Kitab Kifayah al-Muhtadi bi Syarh Sullam al-Muhtadi (كفاية المهتدي بشرح سلم المبتدي) merupakan
sebuah karya Syeikh Muhammad Nur al-Fathani seorang matan Hakim Syari’ Makkah.
Kitab ini disusun oleh beliau sebagai
huraian atau syarah bagi kitab Sullam al-Muhtadi karya Syeikh Daud
al-Fathani iaitu sebuah kitab aqidah dan fiqh yang terkenal di alam Melayu ini.
Kitab Kifayah al-Muhtadi adalah kitab Jawi atau berbahasa
Melayu yang pertama yang disusun bagi menghuraikan (syarah) kitab berbahasa
Melayu karya ulama nusantara ini. Perkara dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Nur
al-Fathani di akhir syarah beliau, “ maka inilah awal kitab bahasa Melayu
yang disyarahkan dia kerana ringkas ibaratnya dan banyak masalahnya, ……”.
Mengenali Syeikh Muhammad Nur al-Fathani secara
ringkas
Syeikh Muhammad Nur al-Fathani lahir di Mekah pada tahun
1290H / 1873M, di antara guru-guru beliau ialah Syeikh Wan Ali Kutan, Syeikh
Ahmad al-Fathani dan di Mesir beliau berguru dengan Syeikh Bakhit al-Muthie.
Menurut catatan al-Marhum al-Ustaz Haji Wan Shaghir, riwayat Syeikh Muhammad
Nur al-Fathani agak berbeza dengan ulama-ulama lainnya kerana beliau
satu-satunya ulama di Mekah yang dapat menjadi orang besar dalam dua
pemerintahan. Beliau menjadi orang besar pada zaman pemerintahan Syarif Husein.
Apabila pemerintahan bertukar kepada Ibnu Sa’ud, yang terkenal dengan era
pemerintahan Wahabi, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani masih tetap dengan
kedududukannya.
Judul Kitab
Judul kitab ini ‘ Kifayah al-Muhtadi bi Syarh Sullam
al-Mubtadi ’ ada disebutkan oleh Syeikh Muhammad Nur al-Fathani dalam
pendahuluan kitabnya. Selepas menyebut judul tersebut dalam bahasa Arab, beliau
menterjemahkannya pula ke dalam bahasa Melayu “ …..Dan aku namakan dia
Kifayah al-Muhtadi bagi menerangkan cahaya Sullam al-Muhtadi”. Berdasarkan
judul terjemahan ini saya dapati (setakat pengetahuan saya) kitab ini telah
dicetak dan diterbitkan, sebagai “ Kifayah al-Muhtadi Pada Menerangkan
Cahaya Sullam al-Muhtadi ” .
Susunan Kandungan Kitab Kifayah al-Muhtadi
Susunan kandungan kitab ini sama dengan kitab Sullam
al-Mubtadi iaitu dimulai dengan kata pengantar beliau (Syeikh Muhammad Nur
al-Fathani) dan disusuli dengan mukadimah Syeikh Daud al-Fathani (Kata
al-Musannif r.h).
Kandungan kitab dimulai dengan Bab Fi al-‘Aqidah (Ini Suatu
Bab Pada menyatakan I’tiqad), kemudian diteruskan dengan 16 buah kitab yang
menerangkan hukum fiqh mengikut mazhab Syafi’i, dan setiap kitab pula
dipecahkan kepada beberapa fasal. Terdapat penambahan oleh Syeikh Muhammad Nur
al-Fathani ialah beliau meletakkan tajuk bagi setiap fasal. Dalam kitab Sullam
al-Muhtadi hanya disebutkan fasal sahaja tanpa menyebutkan tajuk perbahasan.
Ini suatu pembaharuan yang memudahkan pembaca mencari masalah yang ingin mereka
telaahnya. Sebagai contoh dalam di fasal pertama dalam Kitab al-Sholah, beliau
menyebut “ Pada menyatakan barang yang wajib atas segala wali-wali ”. Namun
begitu, 3 fasal yang terdapat dalam Bab Fi al-‘Aqidah, beliau tidak pula
meletakkan tajuknya, hanya memadai dengan kata-kata Syeikh Daud al-Fathani,
iaitu Fasl (dalam bahasa ‘Arab) , Ini Suatu Fasal..
Kitab ini diakhiri dengan satu Khatimah (penutup), yang
dipecahkan kepada beberapa fasal
sebagaimana kitab Sullam al-Muhtadi. Syeikh Muhammad Nur al-Fathani
telah menambahkan huraian bagi Khatimah dengan katanya ; “ Kesudahan pada
menyatakan segala perangai yang baik dan jahat ”. Dalam al-Khatimah terdapat 7
fasal, beliau juga telah meletakkan tajuk bagi setiap fasal. Contohnya di fasal
pertama beliau menyebutkan; “ Fasl, Pada menyatakan setengah daripada penyakit
jantung”.
Isi Kandungan Kitab
Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, kitab ini merupakan
huraian bagi Kitab Sullam al-Muhtadi. Syeikh Muhammad Nur al-Fathani ketika
menghuraikan matan Kitab Sullam al-Muhtadi di kebanyakan tempat beliau tidak
menyebutkan nama kitab rujukannya. Namun begitu, ada juga beberapa buah kitab
karya ulama terdahulu disebutkan. hanya
menyebut nama ulama sahaja tanpa kitab rujukannya.
Dalam sesuatu masalah fiqh yang dibincangkan kadangkala
beliau ada menyebut perbezaan pendapat ulama dalam mazhab Syafi’i mengenainya.
Dalam masalah tertentu beliau ada juga menyebut pendapat ulama yang menyalahi
mazhab Syafi’i, tetapi menyamai dengan mazhab lain. Namun, hal ini dalam
beberapa masalah tertentu sahaja.
Di hujung fasal terakhir (Pada menyatakan kaifiat taubat)
dalam Khatimah, iaitu selepas kata penutup Syeikh Daud al-Fathani, Syeikh
Muhammad Nur al-Fathani pun menutup karya ini dengan katanya, “ .. dan telah
selesai saya daripada menghuraikan segala ibarat kitab ini pada Madinah
al-Munawwarah pada hari Jumaat sembilan hari bulan Rabi’ yang kedua pada tahun
hijrah 1351 kemudian daripada dimulaikan dia pada Makkah al-Musyarrafah ”
(Penulisannya bermula di Mekah dan selesai di Madinah al-Munawwarah pada hari
Jumaat, 9 Rabiul Akhir-1351 / 11-Ogos-1932 -p)
Kemudian Syeikh Muhammad Nur al-Fathani mengakhiri Kitab
Kifayah al-Muhtadi ini dengan menterjemahkan doa yang disebutkan oleh Syeikh
Daud al-Fathani dalam Kitab Sullam al-Mubtadi. Kata beliau, “ Kemudian ada
musannif mendatangkan doa yang elok menyudahikan karangannya dengan dia serta
saya pun memadai dengan doa itu jua. Mudah-mudahan Allah SWT qabulkan dia maka
iaitu….” . Beliau menyebutkan sebahagian doa tersebut dan
menterjemahkannya, kemudian menyebutkan lagi bahagian berikutnya dan
menterjemahkannya, sehingga selesai doa tersebut diterjemahkan. Maka selesailah
kandungan kitab ini.
Rujukan Kitab Kifayah al-Muhtadi
Berikut saya catatkan nama ulama dan kitab yang disebutkan
oleh Syeikh Muhammad Nur al-Fathani dalam Kitab Kifayah al-Muhtadi, sekadar
telaah dan pengamatan saya terhadap kitab ini, mungkin ada lagi yang
tertinggal.
a) Nama
Kitab: Tafsir al-Nasafi, al-A’lam (Ibn Hajar al-Haytami), al-Raudhah,
al-Muhazzab (al-Syairazi), al-Ba-‘its ‘ala Inkar al-Bid’i wa al-Hawadits (Abu Syamah al-Syafi’i), Ibnu
Khuzaimah (Kitab Shahih),
b) Nama
ulama: Abu Bakar al-Tunisi, al-Nasafi, Ibn Hajar (al-Haytami), Ibnu Suraij,
al-Kurdi, Syeikh al-Muzani, Imam al-Nawawi, Syeikh al-Baghawi, Istakhri,
Ruyani, Syeikh Qaffal, Muhammad bin Ishaq Ibnu Khuzaimah, Syeikh al-Rafi’I,
Bujirimi, al-Qadhi Husain, al-Syeikh Syihabuddin Abi Muhammad Abdul Rahman (Abu
Syamah al-Syafi’i), Ibnu al-Jawzi, Abu Ja’far al-‘Uqaili, Abu Tsaur, Syeikh
al-Syumairi, Syeikh Abu Hamid dan al-Ziyadi.
Sekian, selesailah catatan ringkas mengenai kitab Kifayah
al-Muhtadi yang begitu luas huraiannya. Siapa yang mempelajari dan
mengamalkannya menjadi seorang muslim
yang bemazhab Syafi’i yang luas pengetahuannya dan jauh dari sikap ta’asub. Semoga
bermanfaat.
Antum jual kitab ini ga
ReplyDeleteAssalamualaikum, boleh saya tahu rujukan dr mana? Saya nak rujuk untuk kertas kerja saya.
ReplyDelete