Showing posts with label Tasawwuf. Show all posts
Showing posts with label Tasawwuf. Show all posts

Tuesday, May 26, 2020

Mawahib al-Dayyan Syarh Fath al-Rahman


Kitab Mawahib al-Dayyan Syarh Fath al-Rahman ( مواهب الديان شرح فتح الرحمن) merupakan sebuah karya yang menbincangkan mengenai akidah, fiqh al-ibadah dalam mazhab al-Syafi’i dan ihsan (adab hubungan dengan Allah SWT). Kitab ini disusun oleh Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Ali Ba’asyan al-Daw’ani al-Hadhrami [1270H].

Kitab Mawahib al-Dayyan ini disusun sebagai huraian bagi kitab Fath al-Rahman (فتح الرحمن), iaitu karya al-‘Allamah al-Syeikh Muhammad bin Ziyad al-Wadhahi al-Syar’abi (1135H), Qadhi dan Mufti negeri Zabid, Yaman pada zamannya. Kitab Fath al-Rahman merupakan kitab yang menerangkan mengenai akidah, hukum hakam  (fiqh) dan ihsan. Kitab yang ringkas ini disusun berdasarkan sebuah hadis Rasulullah saw yang terkenal dengan  nama Hadis Jibril ‘a.s. (حديث جبريل عليه السلام), yang kandungannya memaparkan dialog antara Nabi Muhammad s.a.w. bersama Jibril ‘a.s. mengenai Islam (الإسلام), iman (الإيمان) dan ihsan (الإحسان) serta tanda-tanda kiamat.

Berdasarkan kitab yang dterbitkan oleh Darul Minhaj, pada tahun 2004, kandungan kitab ini merangkumi 415 halaman. Semoga bermanfaat.

Friday, April 17, 2020

al-Minhaj Fi Syu’ab al-Iman (المنهاج في شعب الإيمان)


Kitab al-Minhaj Fi Syu’ab al-Iman (المنهاج في شعب الإيمن)  adalah sebuah kitab yang disusun oleh Abu Abdullah al-Husain bin al-Hasan bin Muhammad bin Halim al-Bukhari al-Jurjani al-Halimi (338-403H). Kitab ini telah diterbitkan oleh Dar al-Fikr dengan cetakan pertama pada 1979 (cet. 1) dalam 3 jilid.

 kandungan ini, Haji Khalifah menyebutkan dalam kitab Kasyf al-Dzunun; “ Kandungan kitab ini merangkumi hukum-hakam dan permasalahan fiqh yang banyak dan selainnya yang berkaitan dengan usuluddin, tanda-tanda kiamat dan keadaan hari kiamat ”.

Kandungan kitab ini dibahagiakan kepada 10 bahagian; iaitu;

1)      Menerangkan Hakikat Keimanan.
2)      Pertambahan Iman dan Pengurangannya.
3)      Pengecualian Mengenai Iman;  sah atau tidak sah keimanan. 
4)   Lafaz-lafaz keimanan; Apa yang mengesah dan tidak mengesahkan keimanan.
5)   Keimanan orang yang Muqallid dan orang yang ragu-ragu  serta perbezaan di antara   Muqallid dan selainnya. 
6)      Seseorang itu boleh dianggap beriman dengan keimanan orang lain atau tidak.
7)      Mengenai kesahan iman seseorang itu atau tidak.
8)      Mengenai orang tidak sampai seruan (dakwah). 
9)      Mengenai orang yang mati, sedangkan ia syak terhadap dakwah yang sampai kepadanya.
10)  Mengenai pecahan keimanan (شعب الإيمان).

Bahagian ke 10  (شعب الإيمان) ini merupakan kandungan utama kitab ini. Dalam bahagian inilah yang paling banyak dibincangkan oleh penyusunnya  dalam kitab ini. Kandungannya telah dibahagikan kepada 77 bab, yang membincangkan mengenai 77 pecahan iman yang merangkumi permasalahan-permasalahan akidah, fiqh dan tasawuf.

Secara ringkas berikut adalah antara isi kandungan yang dibincangkan;

a)    Mengenai akidah;  perkara-perkara rukun iman, hari kebangkitan, Hisab, al-Mizan, syurga, neraka dan sirath, cintakan Allah, takut kepada janji buruk, harapan terhadap janji baik, tawakal, cinta kepada Nabi saw, keluarga dan para sahabat baginda. 
b)  Mengenai tasawuf dan adab; menjaga lidah, amanah, ikhlas, taubat dan adab-dab yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia.
c)  Mengenai fiqh; bersuci, solat, puasa, iktikaf, sedekah (zakat), haji, jihad dan berkaitan dengannya, dan lain-lain yang berkaitan dengan permasalahan fiqh. 
d)   Lain-lain; Menuntut ilmu, tilawah al-Quran, doa dan yang berkaitan dengannya, tuntutan berubat dari penyakit dan lain-lainnya.

Keseluruhan bahagian 1 hingga 9 dibincangkan dalam jilid pertama dan 12 bab (pecahan iman) dari bahagian 10 telah dibincangkan dalam jilid pertama (544 halaman), manakala selebihnya dibincangkan dalam jilid 2 (bab 13 – 33 dalam 558 halaman) dan jilid 3 (bab 34 – 77 dalam 535 halaman).


Di antara ringkasan kitab al-Minhaj ialah;

a)  Talkhish al-Minhaj – karya ‘Alauddin Abu al-Hasan ‘Ali bin Isma’il bin Yusuf  al-Qunawi al-Tibrizi  (668-729H). 

b)   Mukhtashar Kitab al-Minhaj Fi Syu’ab al-Iman (مختصر كتاب المنهاج في شعب الايمان) – karya Syeikh Ali al-Syarbaji dan  Mahyuddin Najib. 

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan https://waqfeya.com/book.php?bid=4851 dan dibaca secara online di pautan https://al-maktaba.org/book/32809. Semoga bermanfaat.

Wednesday, November 7, 2018

Rawdhah al-Thalibin wa ‘Umdah al-Salikin


Kitab Rawdhah al-Thalibin wa ‘Umdah al-Salikin (روضة الطالبين وعمدة السالكين)[1] merupakan sebuah karya dalam bidang tasawwuf yang disusun oleh Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (1058-1111M).

Kata Imam al-Ghazali dalam kata pengantar kitab ini; “ Saya menulis kitab ini sebagai pegangan bagi para pencari kebenaran (طالب الحق) dan membantu mereka dalam menempuh suluk, insya Allah. Dalam menulisnya, saya memohon pertolongan Allah Ta’ala agar terhindar dari kekurangan dan kesalahan. Dialah Penolong dan Pembantu Terbaik. Sesungguhnya Dialah yang maha Dekat dan Maha mengabulkan Doa. Kitab ini saya namakan Rawdhah al-Thalibin wa ‘Umdah al-Salikin (روضة الطالبين وعمدة السالكين) ”.

Kitab ini dibahagikan kepada 43 bab dan sebahagian bab pula ada yang dibahagikan kepada fasal tertentu. Berikut antara isi kandungan kitab ini;

1.      Dasar Agama
2.      Adab
3.      Makna Suluk dan Tasawuf.
4.      Makna wushul dan Wishal.
5.      Makna Tauhid dan Penyikapan (Mukasyaf)
6.      Makna Nafsu, Ruh, Hati dan Akal
7.      Makna Cinta (Mahabbah)
8.     Makna Kedamaian kerana Allah
9.      Makna Haya dan Muraqabah
10.  Makna Kedekatan (al-Qurb)
11.   Kemulian Ilmu  dan kewajipan Mencarinya
12.  Makna Asama’ al-Husna
13.  Meyakini dan Berpegang Teguh kepada Akidah yang benar.
14.  Penjelasan Sifat-Sifat Allah SWT.
15.   Hakikat Ikhlas dan Riya’

Kitab ini diakhiri dengan dengan bab ke 43, iaitu menerangkan mengenai tatacara solat Ahl al-Qurb (صفة صلاة أهل القرب).

Kitab Rawdhah al-Thalibin wa ‘Umdah al-Salikin boleh dibaca secara atas talian (online) di pautan روضة الطالبين وعمدة السالكين. 

Sekadar yang maklumat yang diperolehi, kitab ini telah diterjemahkan  dalam bahasa Indonesia dengan judul “Taman Kebenaran” dan diterbitkan oleh Turos Khazanah pustaka Islam, Jakarta Selatan dengan cetakan pertamanya tahun 2017.

Semoga bermanfaat.




[1] Terdapat kitab lain yang hampir sama judul dengan ini, iaitu kitab Rawdhah al-Thalibin wa ‘Umdah al-Muftin (روضة الطالبين وعمدة المفتين) , iaitu sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun oleh Imam al-Nawawi (631-676H).

Saturday, July 7, 2018

KHULASHAH AL-TASHANIF FI TASHAWWUF


Kitab Khulashah al-Tashanif fi al-Tashawwuf  (خلاصة التصانيف في التصوف ) merupakan sebuah karya dalam bidang tasawwuf yang ditulis oleh Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (505H).

Karya Imam al-Ghazali ini asalnya ditulis dalam bahasa Parsi, yang kemudiannya dialihbahasakan oleh Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi al-Irbili al-Syafi’i al-Naqsyabandi (1840-1913) ke dalam bahasa Arab. Kitab ini asalnya merupakan sebuah jawapan bertulis Imam al-Ghazali kepada seorang muridnya, yang memohon isi intisari pengajaran tasawuf yang terkandung dalam karya-karya beliau, khususnya perbincangan mengenai ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan yang tidak bermanfaat dalam melayari bahtera hidup menuju akhirat.

Dari pencarian saya di laman web, saya hanya menemui sebuah edisi kitab ini yang diterbitkan oleh Mathba’ah al-Najah di Mesir dengan cetakan pertamanya tanpa disebutkan tarikh cetakannya. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan  خلاصة التصانيف في التصوف.

Kitab ini juga ada diterbitkan bersama beberapa karya Imam al-Ghazali yang lain dalam sebuah buku yang berjudul Majmu’ah Rasa-il al-Imam al-Ghazali (مجموعة رسائل الإمام الغزالي). Buku ini diterbitkan oleh al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, Mesir dengan memuatkan sebanyak 26 risalah karya Imam al-Ghazali. Buku ini boleh dimuat turun di pautan مجموعة رسائل الإمام الغزالي.


Terjemahan kitab Khulashah al-Tashanif fi al-Tashawwuf dalam bahasa Melayu

Dalam koleksi saya ada sebuah buku terjemahan bagi kitab Khulashah al-Tashanif fi al-Tashawwuf. Buku yang berjudul “ Intisari Karya-Karya Tasawuf ” yang dicetak dengan tulisan Jawi ini merupakan sebuah karya terjemahan yang diusahakan oleh Ustaz Haji Abdullah al-Qari bin Salleh dan Ustaz Muhammad Salleh bin Haji Arsyad. Buku ini merupakan edisi cetakan kedua pada tahun 1983, manakala cetakan pertamanya pada tahun 1980. Ia diterbitkan oleh Pustaka Aman Press dengan ketebalan 61 halaman termasuk kata pengantar penterjemah dan halaman isi kandungan.

Sekadar pemerhatian saya, buat masa sekarang saya belum menemui edisi terbaharu terjemahan ini yang diterbitkan oleh Pustaka Aman Press, atau syarikat penerbitan lain. Kemungkinan ada terjemahan lain yang telah diterbitkan sama ada dalam Bahasa Melayu atau Indonesia, yang boleh dikongsi maklumatnya dari pihak pembaca.

Semoga bermanfaat.

Saturday, October 7, 2017

MINHAJ AL-'ABIDIN (منهاج العابدين)


Kitab Minhajul Abidin ( منهاج العابدين ) atau judul lengkapnya Minhaj al-‘Abidin ila Jannah Rabb al-‘Alamin ( منهاج العابدين إلى جنة رب العالمين ) adalah sebuah kitab tasawuf karya Imam al-Mujaddid Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (450-505H), yang terkenal dengan gelaran Imam al-Ghazali. Kitab ini adalah karya terakhir Imam al-Ghazali., sebagai peninggalan berharga yang menjadi wasiat bimbingan terakhir beliau bagi umat Islam, sebelum menjelang kewafatannya.

Menurut Imam al-Ghazali terdapat tujuh ‘aqobah (عقبة) yang mesti ditempuhi oleh setiap hamba untuk meningkatkan kualiti ibadahnya kepada Allah SWT. Dalam teks Indonesia 'aqobah diterjemahkan sebagai tanjakan. Namun, ada juga yang menafsirkan kata 'aqobah dalam kitab ini sebagai metode, tahap atau juga rintangan. ‘Aqabah-‘aqabah tersebut ialah ‘‘ 
  1.           ‘Aqabah Ilmu dan Makrifat (عقبة العلم)
    2.     ‘Aqabah  Taubat (عقبة التوبة)
    3.      ‘Aqabah Rintangan (عقبة العوائق)
    4.      ‘Aqabah Godaan (عقبة العوارض)
    5.      ‘Aqabah Pendorong (عقبة البواعث)
    6.      ‘Aqabah Celaan (عقبة القوادح)
    7.      ‘Aqabah Puji dan Syukur (عقبة الحمد والشكر)
Dengan demikian, tema pokok dalam kitab Minhaj al-‘ Abidin ini lebih fokus dan lebih bersifat praktis jika dibandingkan dengan kitab Ihya Ulumuddin.

Kitab Minhaj al-‘Abidin versi Arabnya boleh dimuat turun di Sini  atau Sini. Terjemahan kitab ini telah diterbitkan oleh pelbagai penerbitan sama ada di Malaysia mau pun di Indonesia. Sekadar contoh, bagi buku terjemahan dalam bahasa Indonesia boleh layari "Terjemahan Minhaj al-‘Abidin".

Semoga bermanfaat.

Monday, November 16, 2015

al-Risalah al-Jami’ah wa al-Tazkirah al-Nafi’ah


Sebuah karya ulama yang ingin dikongsi bersama pembaca kali ialah sebuah kitab yang berjudul  “ al-Risalah al-Jami’ah wa al-Tazkirah al-Nafi’ah ”. Kitab ini merupakan karya al-‘Allamah al-Sayyid Ahmad bin Zain bin ‘Alawi bin Ahmad al-Habsyi (1069-1145H), seorang tokoh ulama terkenal mazhab Syafi’i dari Hadhramaut, Yaman.  

Dalam kitab “ Risalah al-Jami’ah wa al-Tazkirah al-Nafi’ah” ini diterangkan secara ringkas mengenai tiga bidang utama dalam agama, iaitu akidah, fiqh dan tasauf. Namun begitu, perbahasan utama yang diterangkan dalam kitab ini adalah mengenai bidang fiqh mengikut mazhab Syafi’i, yang berkaitan dengan fiqh ibadat, iaitu solat, zakat, puasa dan haji. Penerangan tentang ibadat solat lebih terperinci berbanding ibadat yang lain.

Kitab ini telah menjadi teks pengajian  dan rujukan para ulama dan pelajar di kebanyakan  peusat pengajian Islam, sekolah dan pondok di Hadramaut dan  lainnya  seperti Zabid, Tihamah Yaman,  Mekah, Madinah, Indonesia, Malaysia, Mesir, Afrika Selatan, Kenya, Uganda dan Algeria. Kitab ini telah dicetak dengan cetakan yang pelbagai di Mesir, Arab Saudi, Yaman, Indonesia dll.


Sumber rujukan kitab al-Riasalah al-Jami’ah

al-‘Allamah al-Sayid Ahmad bin Zain al-Habsyi, penyusun kitab al-Risalah al-Jami’ah ini ada menerangkan sumber penulisan kitabnya dalam pendahuluan kitab al-Risalah al-jami’ah;

فَهَذِهِ مَسَائِلُ مُخْتَصَرَةٌ مِنْ بَعْضِ كُتُبِ حُجَّةِ الإسْلاَمِ الْغَزَالِيِّ غَالِبَاً. مَنْ عَرَفَهَا وَعَمِلَ ِهَا نَرْجُو لَهُ مِنَ الله أنْ يَكُوْنَ مِنْ أهْلِ الْعِلْمِ ظَاهِرَاً وَبَاطِنَاً

“ Maka ini adalah beberapa permasalahan yang diringkaskan dari sebahagian kitab-kitab karya Hujjatul Islam al-Ghazali. Sesiapa yang mengetahui dan mengamalkannya, kami memohonkan pengharapan daripada Allah untuknya agar menjadi seorang ahli imu yang zahir batin ”.

Di antara kitab yang disusun oleh ulama terkemudian,  yang menghuraikan kitab al-Riasalah al-Jami’ah ialah;
      a)      Anwar Lami'ah wa Tatimmat Wasi'ah Syarh Risalah Jami'ah wa Tazkirah Nafi'ah.
      b)      Bahjah al-Wasail bi Syarh Masail al-Risalah Jami'ah wa Tazkirah Nafi'ah.  
      c)      Syarah’ Allamah Muhammad bin Salim Ba Basil Al-Hajrini Al-Hadhrami Al-Makki.
      d)     Durur Lami'ah syarh Risalah Jami'ah
      e)      Ghilafah Sati'ah li Aali al-Lami'ah min Risalah Jami'ah.
      f)        al-Dilalah al-Nafi’ah Syarh al-Risalah  al-Jami’ah, karya Shalih bin Mathran.

Di antara kitab-kitab  syarah di atas, buat masa sekarang saya hanya mendapat maklumat  mengenai kitab Bahjah al-Wasail bi Syarh Masail , karya seorang ulama terkenal Nusantara, iaitu al-Syaikh al-‘Allamah Abu Abdul Mu’thi Muhammad Nawawi bin ‘Umar bin ‘Arabi al-Banteni al-Jawi al-Syafi’i (1230-1314H).  Syaikh Muhammad Nawawi al-Banteni di awal kitabnya telah menerangkan sebab yang mendorong beliau menyusun kitabnya adalah bagi menghuraikan kandungan kitab al-Risalah al-Jami’ah tersebut;

هذا شرح علي الرسالة الجامعة بين اصول الدين والفقة والتصوف للسيد أحمد بن زين الحبشى. سألني فيه بعض
الأحبة فأجبته لذالك طالبا من الله إخلاص الطوية. وسميته بهجة الوسائل بشرح مسائل.

“ Ini sebuah syarah (huraian) bagi kitab al-Risalah al-Jami’ah Bayna Ushuluddin wa al-Fiqh wa al-Tashawwuf [1]  karya al-Sayyid Ahmad bin Zain al-Habsyi. Telah meminta sebahagian dari orang yang dikasihi (di kalangan murid-murid dan sahabat) agar menyusun kitab sebagai huraian isi kandungannya. Maka aku memperkenankan permintaan tersebut dengan ikhlas mengharapkan keredaan Allah... dan aku namakan kitab ini dengan “ Bahjah al-Wasail bi Syarh al-Masail[2] بهجة الوسائل) بشرح مسائل.)”

Kitab al-Risalah al-Jami’ah dalam bentuk file PDF boleh dimuat turun di pautan   ﺍﻟﺮﺳﺎﻟﺔ ﺍﳉﺎﻣﻌﺔ ﻭ ﺍﻟﺘﺬﻛﺮﺓ ﺍﻟﻨﺎﻓﻌﺔ. Manakala terjemahan dalam Bahasa Inggeris boleh dimuat turun di pautan berikut;

Semoga bermanfaat.


[1] Judul lain bagi kitab Risalah al-Jami’ah wa al-Tazkirah al-Nafi’ah. Judul ini ada dicatatkan di bahagian kulit hadapan kitab Bahjah al-Wasail dan dalam muqaddimahnya.
[2] Judul Wasail ini diambil dari ungkapan penyusun asalnya dalam muqaddimahnya:   هَذِهِ مَسَائِلُ مُخْتَصَرَةٌ (Ini merupakan beberapa permasalahan yang diringkaskan).

Wednesday, January 21, 2015

Maw’izhah al-Mu’minin


Kitab Maw’izhah al-Mu’minin min Ihya’ ‘Ulumiddin (موعظة المؤمنين من إحياء علوم الدين) adalah antara kitab yang terkenal, yang menjadi rujukan dan teks pengajian Islam, khususnya dalam bidang adab dan akhlak. Kitab ini merupakan ringkasan dari kitab Ihya’ ‘Ulumiddin karya al-Imam Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali (505H/1111M). Usaha meringkaskan kitab ini telah dilakukan oleh al-‘Allamah al-Muhaddis al-Mufassir Syaikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi al-Dimasyqi (1332/1914), seorang ulama terkenal dari Syria.

Kitab ini merupakan antara ringkasan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin yang terbaik. Kandungannya padat dan hampir menyeluruh meliputi aspek-aspek penting yang terdapat dalam kitab asal. Di Malaysia, kitab ini menjadi teks pengajian dan kuliah ilmu di masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara. Kitab ini bagaikan inti kepada kandungan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin yang mudah diambil  manfaatnya oleh para pelajar maupun orang awam. Walaupun, tidak mempelajari kitab Ihya’ ‘Ulumiddin secara langsung, melalui kitab ini, umat Islam dapat mengenai Imam al-Ghazali dan karyanya kitab Ihya’ ‘Ulumiddin.

Kata Syaikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi dalam pengantar kitab ini; “ ….pada tahun 1323H saya mulakan usaha untuk meringkaskan kandungan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin itu dalam dua juzuk yang sederhana, menurut susunan asalnya, tanpa sebarang perubahan judul-judulnya ”.

Kitab ini telah diterjemahkan dalam berbagai bahasa dunia. Di Malaysia ia telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu oleh beberapa syarikat penerbitan. Melalui buku terjemahan ini, kandungan kitab Maw’izah al-Mu’minin dapat dibaca dan diamalkan kandungannya oleh masyarakat Islam di negara ini.

Dalam koleksi saya, terdapat sebuah buku terjemahan kitab ini dengan judul Bimbingan Mu’minin. Terjemahan ini diusahakan oleh al-Marhum Syed Ahmad Semait seorang penulis dan ulama terkenal dari Singapura. Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Nasional, Singapura, dengan cetakan ke 14 pada tahun 2014. Berdasarkan butiran dalam buku tersebut, buku terjemahan ini mula diterbitkan pertama kalinya pada tahun 1978. Pada tahun 1990  ia telah dikemaskini dan telah diterbitkan berulang kali dengan edisi jawi dan rumi.  

Kitab edisi Arabnya boleh dimuat turun di pautan berikut; 

Semoga bermanfaat.

Tuesday, December 30, 2014

Intisari Karya-karya Tasawuf


Ketika saya mengemas dan menyusun atur buku di atas rak buku yang sudah lama tidak dibersihkan saya menjumpai sebuah buku yang sudah lama saya mencarinya. al-Hamdulillah buku yang saya sangka telah hilang dari koleksi saya ini masih ada tersisip di antara buku-buku yang tersusun dalam rak yang terletak dalam bilik tidur anak saya.

Buku yang berjudul “ Intisari Karya-Karya Tasawuf ” yang dicetak dengan tulisan Jawi ini merupakan sebuah karya terjemahan yang diusahakan oleh Ustaz Haji Abdullah al-Qari bin Salleh dan Ustaz Muhammad Salleh bin Haji Arsyad dari sebuah karya Hujatul Islam al-Imam Abu Hamid al-Ghazali yang berjudul “ Khulashah al-Tashanif fi al-Tashawwuf” (خلاصة التصانيف في التصوف ).

Buku dalam koleksi saya ini adalah edisi cetakan kedua pada tahun 1983, manakala cetakan pertamanya pada tahun 1980. Ia diterbitkan oleh Pustaka Aman Press dengan ketebalan 61 halaman termasuk kata pengantar penterjemah dan halaman isi kandungan.

Karya Imam al-Ghazali ini asalnya ditulis dalam bahasa Parsi, yang kemudiannya dialihbahasakan oleh Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi al-Irbili al-Syafi’i al-Naqsyabandi (1840-1913) ke dalam bahasa Arab. Kitab ini asalnya merupakan sebuah jawapan bertulis Imam al-Ghazali kepada seorang muridnya, yang memohon isi intisari pengajaran tasawuf yang terkandung dalam karya-karya beliau, khususnya perbincangan mengenai ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan yang tidak bermanfaat dalam melayari bahtera hidup menuju akhirat.

Setakat ini, saya belum menemui edisi terbaharu terjemahan ini yang diterbitkan oleh Pustaka Aman Press, atau syarikat penerbitan lain. Kemungkinan ada terjemahan lain yang telah diterbitkan sama ada dalam Bahasa Melayu atau Indonesia, yang boleh dikongsi maklumatnya dari pihak pembaca.

Dalam edisi bahasa Arab saya hanya menemui sebuah kitab ini yang diterbitkan oleh Mathba’ah al-Najah di Mesir dengan cetakan pertamanya tanpa disebutkan tarikh cetakannya. Kitab ini juga ada diterbitkan bersama karya-karya Imam al-Ghazali dalam sebuah buku yang berjudul “ Majmu’ah Rasa-il al-Imam al-Ghazali ”. Buku ini diterbitkan oleh al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, Mesir dengan memuatkan sebanyak 26 risalah karya Imam al-Ghazali.

Semoga bermanfaat.

Thursday, September 18, 2014

Maraqi al-‘Ubudiyyah (مراقي العبودية)


Kitab Maraqi al-‘Ubudiyyah Syarh ‘ala Bidayah al-Hidayah  (مراقي العبودية شرح على بداية الهداية ) merupakan sebuah karya Abu Abdul Mu’thi Muhammad Nawawi bin ‘Umar bin ‘Arabi al-Bantani al-Jawi (1314H), seorang tokoh ulama terkenal dari Nusantara yang memenuhi hidupnya dengan aktiviti pengajaran dan penulisan ilmu agama Islam di kota Makkah al-Mukarramah. 

Kitab Maraqi al-‘Ubudiyyah ini disusun oleh Syaikh Nawawi al-Jawi sebagai huraian (syarah) bagi kitab Bidayah al-Hidayah karya Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali al-Thusi (501H). Kitab ini sangat popular di Nusantara, khusus sebagai teks pengajian fiqh dan tasawwuf di pondok-pondok pasantren.

Kitab ini selesai ditulis pada 13 Zulkaedah 1289H/1872M. Cetakan pertama kitab ini telah diterbitkan dan dicetak di Bulaq pada tahun 1293 H/1875 M. Kitab ini, kemudiannya dicetak ulang di Bulaq pada tahun 1309 H/1891 M, di Mesir pada tahun 1298 H/1880 M dan 1304 H/1886 M, di al-Maimanah pada tahun 1307 H/1889 M, 1309 H/1891 M dan 1327 H/1909 M serta Percetakan al-Azhariyah al-Masriyah, Mesir pada tahun 1308H/1890M. Jika dinilai dari jumlah edisinya yang berbeza-beza ia masih dapat ditemui lagi dalam pasaran hingga sekarang. Kitab Maraqi al-‘Ubudiyyah yang menjadi tatapan saya ketika menyiapkan catatan ringkas ini adalah edisi cetakan ulang yang diterbitkan oleh Mathba’ah Ben Halabi, Patani, Thailand. Berdasarkan edisi ini ketebalan keseluruhannya merangkumi 103 halaman.

Syaikh Nawawi menyatakan dalam muqaddimah kitabnya; 

“ Maka inilah syarh kitab Bidayah al-Hidayah (permulaan petunjuk) yang saya menamakannya sebagai “ Maraqil Ubudiyyah ” dengan harapan, semoga  dengannya akan mendapatkan keberkatan syaikh pengarang (Imam Ghazali) dan doa penuntut ilmu yang bertanya. Kandungan kitab ini bukanlah idea dan pandanganku sendiri, melainkan himpunan beberapa perkataan para ulama’ yang mulia, berdasarkan kefahamanku - yang dikurniakan Allah – terhadap peninggalan para ulama terdahulu ”.[1]

Sebagaimana kitab asalnya Bidayah al-Hidayah, isi kandungan kitab ini dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu;

1)     Bahagian pertama membincangkan mengenai amalan-amalan ketaatan yang meliputi beberapa panduan adab iaitu adab bangkit daripada tidur, adab masuk tandas, adab berwuduk, adab mandi, adab bertayammum, adab keluar ke masjid, adab masuk masjid, adab selepas terbit matahari hingga gelincirnya, adab persediaan bagi solat fardu, adab tidur, adab solat, adab imam dan makmum, adab Jumaat dan adab puasa[2].

2)    Bahagian kedua pula membincangkan mengenai panduan menghindari diri dari amalan-amalan maksiat zahir dan batin. Panduan memelihara daripada maksiat zahir, iaitu memelihara mata (pandangan), telinga (pendengaran), lisan (percakapan), perut (pemakanan), kemaluan, tangan dan kaki. Manakala maksiat batin (hati) pula seperti sifat ujub, takbur dan bangga diri.

3)   Bagi melengkapi kitab ini, Syaikh Nawawi al-Jawi meneruskan huraian beliau mengenai “ Adab persahabatan dan pergaulan bersama al-Khaliq (Allah yang Maha Pencipta) dan adab persahabatan dan pergaulan sesama makhluk”, seperti adab sesama muslim, adab dengan guru dan adab dengan ibu bapa.

Dalam menyusun kitab Maraqi al-‘Ubudiyyah ini, Syaikh Nawawi banyak sekali merujuk kitab “ Ihya ‘Ulumuddin ”  karya Imam al-Ghazali. Namun begitu, beliau juga ada merujuk kitab-kitab lain, khusus mengenai masalah fiqh ketika menghuraikan bahagian ibadat. Ketika menghuraikan kandungan kitab ini, beliau ada menyebutkan nama ulama atau kitab yang menjadi rujukan beliau, antaranya;  al-Ihya’ ‘Ulumiddin, karya Imam al-Ghazali (rujukan utama), al-Nawawi (al-Minhaj, al-Azkar), Syaikhul Islam Abu Yahya Zakaria al-Anshari ( al-Tahrir, Syarh al-Rawdh), al-Ramli al-Shaghir, al-Ramli al-Kabir, al-Syarbini al-Khathib, Ibn Hajar al-Haytami, al-Wana-i, al-Bujairimi, Syaikh ‘Athiyyah al-Ajhuri, al-Mawardi, Ibn al-Naqib, al-Damiri, al-Bulqini, Ibn al-Shalah, al-Halimi, al-Syubramilasi, al-‘Azizi, al-Ziyadi, al-Fakihi, al-Barkawi, Ahmad al-Mihi, Muhammad al-Samanudi, al-Fansyi, al-Hamdani dan lain-lain. Beliau juga ada merujuk kepada kitab-kitab mengenai bahasa Arab seperti al-Qamus, al-Mishbah dan al-Shahhah.


Terjemahan kitab ini….

Sekadar pengamatan saya di laman sesawang, saya dapati terdapat dua buah edisi buku terjemahan kitab ini telah diterbitkan (semuanya dari Indonesia), iaitu;

1.    Terjemah Maroqil ‘Ubudiah: Syarah Bidayah Al-Hidayah. Diterbitkan beberapa kali cetakan oleh Mutiara Ilmu.

2.  Tangga Menuju Kesempurnaan Ibadat, Maraqi Al ‘Ubudiyyah Syarah Kitab Bidayatul Hidayah. Diterbitkan oleh Lentera Hati dengan ketebalan 360 halaman.


Kitab edisi Arabnya boleh dimuat turun melalui pautan berikut;

  1. http://perpustaqwa.files.wordpress.com/2013/09/maraqi.pdf 

  2. http://ia601503.us.archive.org/21/items/tasawufwrdoud/maraqioboudia.pdf

Semoga bermanfaat.



[1] Petikan ini saya terjemahkan secara bebas, tanpa mengikut susun kata asalnya.
[2] Dalam bahagian ini, diterangkan hukum-hukum fiqh yang berkaitan dengan amalan-amalan ibadah berdasarkan mazhab al-Syafi’i.