Showing posts with label Ibn Hajar al-Haytami. Show all posts
Showing posts with label Ibn Hajar al-Haytami. Show all posts

Tuesday, April 21, 2020

al-I’lam bi Qawathi’ al-Islam (الإعلام بقواطع الإسلام)


Kitab al-I’lam bi Qawathi’ al-Islam (الإعلام بقواطع الإسلام) adalah sebuah karya dalam bidang akidah yang disusun oleh al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haytami (974H). 

Kandungan kitab ini membincangkan tentang faktor-faktor yang boleh membatalkan iman seseorang.

Kandungan kitab ini boleh dimuat turun di pautan;  

Dibaca secara online di pautan الإعلام بقواطع الإسلام.  Semoga bermanfaat.

Sunday, March 8, 2020

al-I’ab Syarh al-‘Ubab ( الإيعاب شرح العباب )


Kitab al-I’ab Syarh al-‘Ubab  الإيعاب شرح العباب ) merupakan sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (974H).

Kitab al-I’ab ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-‘Ubad (العباب) iaitu sebuah karya fiah mazhab Syafi'i yang disusun oleh al-Allamah al-Qadi Shafiyuddin Abu al-Surur Ahmad bin Umar al-Zabidi al-Yamani –terkenal dengan gelaran al-Muzajjad (847-930H). Malangnya kitab yang berharga ini tidak sempat disiapkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haytami kerana kewafatannya. Para ulama mazhab Syafi’i yang mutakhirin menganggap kandungan kitab ini sebagai pendapat yang muktamad di sisi Ibn Hajar al-Haytami kerana ia merupakan kitab terakhir yang disusun oleh Ibn Hajar al-Haytami.

Manuskrip kitab al-I'ab boleh dimuat turun di pautan الإيعاب شرح العبابSemoga bermanfaat.

Thursday, October 31, 2019

al-Fatawa al-Hadithiyyah



Kitab al-Fatawa al-Hadithiyyah () merupakan sebuah karya yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Syaikhul Islam al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haytami al-Sa’di al-Anshari al-Syafi’i (974H) atau gelaran ringkasnya Ibn Hajar al-Haytami - dalam berbagai permasalahan agama.

Kandungan buku ini meliputi beberapa bidang tertentu seperti fiqh, aqidah, tasawwuf dan  pelbagai permasalahan yang berkaitan hadis. Buku ini dikenali dengan judul al-Fatawa al-Hadisiyyah kerana sebahagian besar kandungan bukunya menerangkan permasahan yang berkaitan dengan hadis Nabi saw.

Selain kitab al-Fatawa al-Hadisiyyah ini, terdapat sebuah lagi karya yang menghimpunkan fatwa-fatwa Imam Ibn Hajar al-Haytami, iaitu kitab al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i. Kandungan kitab ini lebih banyak berbanding dengan kitab al-Fatawa al-Hadisiyyah.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, April 18, 2018

AL-IMDAD BI SYARH AL-IRSYAD


Kitab al-Imdad bi Syarh al-Irsyad (الإمداد بشرح الإرشاد) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (909-973H).

Kitab al-Imdad ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Irsyad, yang judul lengkapnya Irsyad al-Ghawi ila Masalik al-Hawi (إرشاد الغاوي إلى مسالك الحاوي), iaitu sebuah kitab mukhtashar (ringkasan) fiqh mazhab Syafi’i yang terkenal yang disusun oleh al-Imam Isma‘il bin Abu Bakr Ibn al-Muqri al-Yamani (837H). 

al-Imam Ibn Hajar al-Haytami kemudiannya, telah meringkaskan kitab al-Imdad ini dengan sebuah karya beliau yang lain, yang berjudul Fath al-Jawad bi Syarh al-Irshad (فتح الجواد على شرح الإرشاد).

Kitab al-Imdad telah diberikan komentar (hasyiah) oleh al-Imam Syihabuddin Abu al-Abbas Ahmad bin Qasim al-Shibagh al-‘Abbadi al-Qahiri al-Mishri (995H) melalui karyanya yang berjudul Hasyiah 'ala al-Imdad (حاشية على الإمداد).

Sekadar maklumat yang diketahui, kitab al-Imdad ini belum pernah lagi cetak dan diterbitkan oleh mana-mana syarikat penerbitan. Ia masih tersimpan sebagai manuskrip. 

Semoga bermanfaat.

Thursday, September 8, 2016

al-Manhaj al-Qawim bi Syarh Masa-il al-Ta'lim


Kitab al-Manhaj[1] al-Qawim bi Syarh Masail al-Ta’lim atau al-Manhaj al-Qawim Syarh ‘ala al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah[2] disusun oleh  al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad Ibn Hajar al-Haytami al-Makki al-Syafi’i (909-974H) sebagai huraian bagi kitab Masa-il al-Ta'lim (al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah) karya al-Imam Jamaluddin Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal al-Sa’di al-Hadhrami (850-918H).

Di antara kitab-kitab huraian (syarah) bagi kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah, maka kitab al-Manhaj al-Qawim adalah kitab yang paling terkenal dan banyak menjadi rujukan para ulama mazhab. Kitab ini telah diberi komentar (hasyiah) oleh beberapa orang ulama, antaranya;

a)  al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad bin Sulayman al-Kurdi (1127-1194H), dengan dua karyanya, iaitu “ al-Hawasyi al-Madaniyyah ‘ala al-Manhaj al-Qawim[3] dan Hasyiah al-Shughra 'ala al-Manhaj al-Qawim[4].

b) Syaikh Abdullah bin Sulaiman bin Abdullah al-Jurhazi (1128-1201H), dengan karyanya Hasyiah al-Jurhazi ‘ala al-Manhaj al-Qawim.

c)   Syeikh al-‘Allamah Muhammad Mahfuz bin Abdullah  bin Abdul Mannan al-Tarmasi (1285-1329H), dengan karyanya Hasyiah al-Tarmasi ‘ala al-Manhaj al-Qawim, atau judul asalnya Muhibah Zil Fadhl `ala Syarh al-'Allamah Ibnu Hajar 'ala Muqaddimah Bafadhal.

d)   Syaikh Shalih bin Muhammad Bafadhal al-Makkiy (1333H) dengan karyanya Hasyiah al-Maslak al-Qawim ‘ala al-Manhaj al-Qawim Syarh Masa-il al-Ta’lim.

Kitab al-Manhaj al-Qawim boleh dibaca secara online melalui pautan http://islamport.com/d/2/shf/1/15/754.htmlBerikut saya lampirkan pautan dua buah edisi terbitan kitab ini; 

1)   Kitab al-Minhaj al-Qawim Syarh ‘ala al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah fi al-Fiqh Syafi’i. Terbitan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut - dengan cetakan pertama pada tahun 2000. Baca dan muat turun kitab ini melalui pauta http://waqfeya.com/book.php?bid=10843 atau terus di pautan https://ia801001.us.archive.org/21/items/FP70615/70615.pdf.

2)  Kitab al-Minhaj al-Qawim  fi Masa-il al-Ta’lim Syarh ‘ala al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah fi al-Fiqh al-Syaf’i. Terbitan Dar al-‘Ulum al-Insaniyyah, Damsyiq – dengan cetakan ketiganya pada tahun 1998. Baca dan muat turun kitab ini di pautan https://ia902309.us.archive.org/28/items/WAQ110533/110533.pdf.

Semoga bermanfaat.


[1] Kitab ini ada yang dicetakan dengan judul al-Minhaj al-Qawim (المنهاج القويم).

[2] Kitab ini, ada yang diterbitkan dengan  dengan menggabungkan kedua-dua judul menjadi satu judul, iaitu  al-Minhaj al-Qawim fi Masa-il al-Ta’lim ‘ala al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah fi ql-Fiqh al-Syafi’i ("المنهاج القويم في مسائل التعليم على المقدمة الحضرمية في الفقه الشافعي") lihat edisi terbitan Dar al-‘Ulum al-Insaniyyah, Dimasyq, cetakan 3 (1998).

[3] Ia terkenal juga sebagai Hasyiah al-Kurdi ‘ala al-Manhaj al-Qawim. Jika disebut  Hasyiah al-Kubra ‘ala al-Manhaj al-Qawim, ia juga merujuk kepada kitab ini.

[4] Ia merupakan huraian kitab al-Manhaj al-Qawim yang lebih ringkas berbanding kitab huraian sebelumnya.

Sunday, February 8, 2015

al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra


Kitab al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra  ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i (الفتاوى الفقهية الكبرى على مذهب الإمام الشافعي) merupakan sebuah kitab fiqh dalam mazhab al-Syafi’i yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh oleh Syaikhul Islam al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haytami al-Sa’di al-Anshari (974H) atau gelaran ringkasnya Ibn Hajar al-Haytami - dalam berbagai permasalahan agama yang penting.

Kitab ini sebenarnya tidak disusun sendiri oleh Ibn Hajar al-Haytami dalam bentuk kitab sebagaimana yang ada sekarang. Kitab yang menghimpunkan  fatwa-fatwa Ibn Hajar al-Haytami ini diusahakan penyusunannya oleh seorang murid beliau, yang bernama al-‘Allamah al-Syaikh ‘Abdul Qadir bin Ahmad bin ‘Ali al-Fakihi al-Makki al-Syafi’i (920-982H).

Kandungan kitab ini disusun dalam bentuk soal jawab, iaitu soalan dari penanya dan diikuti dengan jawapan oleh Ibn Hajar al-Haytami. Sebagaimana dengan kitab fiqh yang lain, kitab ini juga disusun mengikut “Kitab” dan “Bab” fiqh. Ketika menjawab persoalan atau permasalahan yang dikemukakan oleh penanya, Ibn Hajar al-Haytami telah menyebutkan pendapat yang rajih (terpilih) dalam mazhab al-Syafi’i, tanpa menyebut pandangan mazhab mazhab-mazhab yang lain.

Dalam permasalahan tertentu,  beliau tidak menyebutkan dalil-dalil dari al-Quran dan al-sunnah sebagai hujah fatwanya, tetapi memadai dengan membawakan pandangan para tokoh ulama (kibar ‘ulama) mazhab al-Syafi’i.

Kitab ini sangat terkenal di kalangan ulama mazhab al-Syafi’i mutaakhirin sebagai rujukan fatwa bagi menyelesai sesuatu permaslahan yang timbul dalam masyarakat. Kitab ini telah diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan di Timur Tengah dalam 4 jiid.

Muat turun kitab ini di pautan  http://www.feqhweb.com/vb/t17981.html. Semoga catatan ringkas ini bermanfaat.

Tuesday, October 28, 2014

AL-FATH AL-MUBIN BI SYARH AL-ARBA'IN


Kitab al-Fath al-Mubin bi Syarh al-Arba’in الفتح المبين بشرح الأربعين))[1] merupakan kitab huraian bagi kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah[2] karya Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi r.h.(676H), iaitu sebuah kitab yang terkenal, yang menghimpunkan 42 hadis Nabi saw. Isi kandungan hadis tersebut membicarakan asas-asas penting agama Islam yang perlu diketahui umat Islam.

Kitab al-Fath al-Mubin merupakan sebuah kitab yang disusun oleh al-Imam al-‘Allamah al-Faqih al-Muhaqqiq Syihabuddin Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haytami (909-974H). Beliau yang lebih dikenali dengan gelaran Ibnu Hajar al-Haytami ini adalah seorang tokoh mazhab Syafi’i yang terkenal yang menjadi ikutan di kalangan para ulama Syafi’i yang mutakhir. Di antara karya beliau yang paling terkenal dalam bidang fiqh ialah kitab Tuhfah al-Muhtaj, iaitu sebuah kitab huraian bagi kitab Minhaj al-Thalibin  karya Imam al-Nawawi.

Kitab al-Fath al-Mubin adalah antara kitab huraian matan al-Arba’in yang terbaik,  yang menjadi pilihan dan rujukan utama para ulama terkemudian, khususnya pengikut mazhab al-Syafi’i dalam menghuraikan matan al-Arba’in al-Nawawiyyah. Dalam kitab ini Imam Ibn Hajar al-Haytami telah menghuraikan ke semua 42 hadis yang terkandung dalam kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah. Huraian dan kupasan beliau bagi setiap hadis begitu meluas dan terperinci sekali sehingga hampir mencakupi ke semua yang berkaitan dengan hadis tersebut.

Kitab al-Fath al-Mubin ini telah diberikan hasyiah (komentar) oleh al-‘Allamah al-Hasan bin ‘Ali al-Madabighi (1177H) melalui karya beliau yang  terkenal dengan  judul “Hasyiah al-Madabighi ‘ala al-Fath al-Mubin (حاشية العلاّمة الحسن بن علي المدابغي على الفتح.المبين).

Berdasarkan edisi kitab al-Fath al-Mubin yang diterbitkan oleh Dar al-Minhaj, Beirut, dengan cetakan ke 3, pada tahun 2011 – ketebalan kitab ini merangkumi 688 halaman.

Semoga bermanfaat.



[1] Kitab ini juga ada diterbitkan dengan judul Fath al-Mubin li Syarh al-Arba’in   ( فتح المبين لشرح الأربعين).
[2] Catatan ringkas mengenai kitab al-Arba’in karya al-Nawawi ini boleh dibaca di pautan http://abusyahmin.blogspot.com/2013/05/al-arbain-al-nawawiyyah.html

Monday, September 23, 2013

al-Zawajir 'an Iqtiraf al-Kaba'ir


Kitab al-Zawaajir ‘an Iqtiraaf al-Kaba’ir (الزواجر عن اقتراف الكبائر)  merupakan sebuah karya al-Imam Syihabuddin Abu al-'Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (909-973H), seorang tokoh ulama’ mazhab Syafi’i yang terkenal. Tokoh yang terkenal dengan gelaran Ibnu Hajar al-Haytami atau al-Haytami ini merupakan tonggak mazhab Syafi’i pada zamannya. Karya-karya beliau menjadi rujukan para ulama mazhab Syafi’i yang mutaakhirin. Di antara kitab beliau yang paling terkenal ialah kitab Tuhfah al-Muhtaj  Syarh Minhaj, iaitu sebuah kitab yang menghuraikan kitab Minhaj al-Thalibin karya Imam Muhyiddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

Kitab yang biasa disebut dengan judul ringkasnya “al-Zawajir” ini, disusun khusus oleh Ibnu Hajar al-Haytami bagi mengupas dan membincangkan mengenai perbuatan atau amalan yang dikategorikan sebagai dosa besar.

Kitab al-Zawajir ini  ditulis oleh Ibn Hajar al-Haytami pada pertengahan tahun 953 Hijrah. Dalam pembukaan kitabnya itu, tokoh ulama terkemuka ini mengaku tertarik untuk menuangkan buah fikirannya yang berkaitan dengan hal ehwal dosa besar.

Beliau memiliki satu keazaman yang kuat untuk melahirkan sebuah kitab yang khusus mengupas dosa besar dari berbagai aspek, meliputi; definisi, hukum, serta janji dan ancaman akibat meninggalkan ataupun melakukan sesuatu dosa. Tak mudah bagi Ibn Hajar al-Haytami untuk menyelesaikan kitabnya itu. Bahkan, rencana untuk menulis kitab itu sempat tertunda beberapa lama lantaran tiadanya rujukan dan materi yang secara spesifik mengupas tema tentang dosa-dosa besar. Namun, beliau berjaya juga menyusun kitab ini. Kata Ibn Hajar al-Haytami dalam prakata kitabnya;

Hingga akhirnya, saya menemui sebuah kitab karya  al-Hafiz Abu Abdullah al-Zahabi yang dapat memenuhi keperluan saya dan saya tidak perlu mencari rujukan yang lain lagi ”.

Lalu Ibn Hajar al-Haytami melakukan penelitian lebih jauh terhadap kitab yang disusun oleh al-Hafiz al-Zahabi yang berjudul “ al-Kaba’ir ” itu. Beliau akhirnya dapat menyiapkan penyusunan kitab ini sebagai tatapan dan rujukan yang dapat membimbing umat Islam agar tidak tergelincir ke jalan yang dimurkai Allah dan membawa mereka ke jalan yang diredai-Nya.
 
 
Kandungan kitab ini…

Kitab ini dimulai dengan sebuah prakata (Khutbah Kitab) oleh Ibn Hajar al-Haytami yang menerangkan tujuan penyusunan kitab dan ringkasan isi kandungan yang dibincangkan.

Setelah itu didahulukan sebuah “Muqaddimah” , yang menerangkan definisi dosa besar dan pandangan ulama mengenai pembahagian dosa dan jenis-jenisnya. Perbincangan secara umum mengenai akibat melakukan dosa dan kewajipan perlunya sentiasa berhati-hati agar tidak terjerumus dalam perbuatan dosa, sama ada dosa kecil atau besar.

Seterusnya Ibn Hajar al-Haytami membahagi kandungan kitab al-Zawajir kepada dua bab utama. Dalam bab pertama, beliau menjelaskan dosa-dosa besar yang muncul dalam diri (batin) seseorang. Dosa besar ini tidak berkaitan secara langsung dengan pembahasan hukum fiqih. Dalam bab ini dikemukakan lebih kurang 66 jenis dosa besar.

Sedangkan dalam bab kedua, beliau secara khusus membincangkan tentang perbuatan lahir yang menyebabkan dosa besar dan memiliki keterkaitan secara langsung dengan hukum fiqh. Beliau membincangkan permasalahan hukum fiqh berdasarkan metode dan pendapat yang digunakan dalam Mazhab Syafi’i. Penyusunan jenis-jenis dosa besar dalam bab ini juga menurut susunan bab fiqh mazhab Syafi’i, untuk memudahkan penganalisisan masalah, - dimulai dari yang paling buruk seterusnya hingga yang paling ringan. Dalam bab ini dikemukakan lebih kurang 137 jenis dosa besar.

Ibn Hajar al-Haytami melengkapi karyanya itu dengan sebuah penutup (al-Khatimah) yang menghuraikan keutamaan dan syarat-syarat taubat. Tidak hanya itu, beliau juga menyebutkan pula tentang neraka yang penuh dengan berbagai seksaan dan surga  yang penuh dengan berbagai kenikmatan. Beliau berharap sumbangsih kecilnya itu mampu memberikan dorongan, sekaligus peringatan bagi umat Islam agar menghindari berbagai tindakan yang boleh membawa kepada melakukan dosa besar.

Cetakan terbaik edisi Arabnya ialah terbitan Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut berdasarkan tahqiq 'Abdul Latif Hasan 'Abdul Rahman. Ia mempunyai 2 jilid dan diterbitkan dalam 1 buku. Ketebalannya merangkumi 768 halaman.
 
 
Terjemahan kitab ini….

Dalam koleksi saya ada sebuah buku terjemahan dalam bahasa Melayu yang diterbitkan Perniagaan Jahabersa, Johor  dengan cetakan pertamanya pada tahun 2005. Buku terjemahan ini diberikan judul “Dosa-dosa Besar”. Buku yang diterjemahkan oleh Drs. Asmaji Aes Muhtar ini diterbitkan dengan ketebalan 432 halaman, tidak termasuk halaman isi kandungannya.

Satu kekurangan buku terjemahan ini yang ingin saya kongsi bersama pembaca ialah tidak dilampirkan terjemahan bahagian penutupnya, yang menerangkan keutamaan taubat dan syarat-syaratnya, serta lainnya sebagai yang telah saya sebutkan di atas. Saya sangat berharap pihak penerbit dapat mengambil perhatian untuk terbitan akan datang, kerana perbincangan mengenai taubat sangat penting dan sangat berkait-rapat mengenai keseluruhan isi kandungan buku ini.

Buku terjemahan ini adalah antara koleksi buku mengenai dosa besar yang saya miliki, selain buku Dosa-dosa Besar terjemahan al-Marhum Sayed Ahmad Semait  bagi kitab al-Kaba’ir (الكبائر) karya al-Hafiz al-Zahabi.

Download kitab edisi ‘Arabnya di pautan berikut;




Semoga bermanfaat.

Sunday, June 16, 2013

Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj


Kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj  merupakan sebuah kitab fiqh yang terkenal, yang menjadi rujukan para ulama mazhab al-Syafi’i pada zaman mutaakhir. Kitab ini adalah karya al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (909-973H), yang lebih terkenal dengan panggilannya Ibn Hajar al-Haytami.

Kitab yang lebih dikenali dengan judul ringkasnya al-Tuhfah ini merupakan sebuah kitab yang menghuraikan (mensyarahkan) sebuah karya Imam al-Nawawi (631-676H) yang berjudul Minhaj al-Thalibin. Di dalam muqaddimahnya, Ibn Hajar al-Haytami berkata, “ Setelah itu, sudah lama terlintas di dalam fikiranku untuk mengambil berkah dengan memberi sumbangan tehadap sebahagian kitab-kitab Abu Zakariyya Yahya al-Nawawi hinggalah saya berazam untuk berkhidmat terhadap kitabnya al-Minhaj dengan berpedoman kepada kitab-kitab syarahnya yang banyak beredar, serta memberikan jawapan dan tanggapan terhadap beberapa persoalan yang terdapat di dalamnya ” (al-Haytami, 1996:6)

Kitab al-Tuhfah ini merupakan sebuah kitab fiqh utama dalam mazhab al-Syafi’i, yang paling banyak menjadi pegangan muktamad para ulamanya di samping kitab Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, iaitu karya Imam Syamsuddin al-Ramli (1004H), di dalam menjelaskan pendapat-pendapat yang difatwakan di dalam mazhab setelah era al-Nawawi.

Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini sudah dicetak berulang kali bersamaan dengan hasyiahnya, iaitu;

   1.      Hasyiah al-‘Allamah Ahmad bin Qasim al-‘Ubbadi (994H)
         2.      Hasyiah al-‘Allamah Abdul Hamid al-Syarwani al-Daghistani

Menurut al-Syaikh Dr.  Wahbah al-Zuhayli, cetakan kitab al-Tuhfah yang paling elok adalah cetakan Dar al-Kutub  al-‘Ilmiyyah di Beirut yang ditashihkan oleh Syaikh Muhammad Abdul Aziz al-Khalidi.

Download kitab al-Tuhfah di pautan berikut;

Islamweb.net (baca online) 
http://www.islamport.com/isp_eBooks/shf/e-Books/1718.rar 
http://islamport.com/w/shf/Web/1718/1.htm (baca online) 
http://www.almeshkat.net/books/archive/books/tuhft_%20almuhtaj.zip

Semoga bermanfaat.

Tuesday, August 7, 2012

Fath al-Jawad bi Syarh al-Irsyad


Kitab Fath al-Jawad bi Syarh al-Irsyad (فتح الجواد بشرح الإرشاد) merupakan salah satu kitab-kitab fiqh karya al-Shaykh Ibn Hajar al-Haytami yang terkenal. Fath al-Jawad adalah ringkasan kitab al-Imdad bi Syarh al-Irsyad yang juga merupakan karya beliau. Kedua-dua kitab ini adalah huraian (syarh) kepada kitab al-Irsyad karya al-Imam Isma‘il bin Abi Bakr Ibn al-Muqri al-Yamani (837H). Fath al-Jawad 'ala Syarh al-Irshad merupakan sebuah penulisan fiqh yang dikarang dengan susunan-susunan topik yang menarik dan mendapat sambutan yang baik terutamanya di Yaman.


Terdapat dua hasyiah bagi kitab ini, iaitu hasyiah yang dilakukan oleh Ibn Hajar al-Haytami sendiri dan Hasyiah al-‘Allamah al-‘Uqaybi al-Yamani. al-Imam ‘Abd Allah Ba Qushayr (1076H) telah mencuba melakukan ringkasan terhadap kitab ini tetapi beliau tidak dapat menyelesaikan usahanya itu. Fath al-Jawad 'ala Syarh al-Irshad ini berada di tangga yang kedua selepas Tuhfah al-Muhtaj Bi Syarh al-Minhaj untuk dimuktamadkan pandangan-pandangan di dalamnya jika berlaku percanggahan pandangan beliau dalam karangan-karangan fiqhnya.

Namun kitab ini termasuk kitab yang jarang ditemui di pasaran maupun di tangan para pelajar fiqh Syafi'i sendiri bahkan di pesantren-pesantren/pondok-pondok juga sangat jarang ditemui kitab ini, padahal dalam Kitab Hasyiah I`anah al-Thalibin isi kitab Fath al-Jawad sangat sering dinukilkan oleh Sayydi Bakri Syatha. Al-hamdulillah sekarang kitab ini telah diterbitkan kembali oleh penerbit Dar Kutub Ilmiyah dalam tiga jilid.


Kitab ini boleh dimuat turun di sini atau di pautan berikut:  jilid 1, jilid 2, jilid 3
Semoga bermanfaat.