Sunday, February 8, 2015

al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra


Kitab al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra  ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i (الفتاوى الفقهية الكبرى على مذهب الإمام الشافعي) merupakan sebuah kitab fiqh dalam mazhab al-Syafi’i yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh oleh Syaikhul Islam al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haytami al-Sa’di al-Anshari (974H) atau gelaran ringkasnya Ibn Hajar al-Haytami - dalam berbagai permasalahan agama yang penting.

Kitab ini sebenarnya tidak disusun sendiri oleh Ibn Hajar al-Haytami dalam bentuk kitab sebagaimana yang ada sekarang. Kitab yang menghimpunkan  fatwa-fatwa Ibn Hajar al-Haytami ini diusahakan penyusunannya oleh seorang murid beliau, yang bernama al-‘Allamah al-Syaikh ‘Abdul Qadir bin Ahmad bin ‘Ali al-Fakihi al-Makki al-Syafi’i (920-982H).

Kandungan kitab ini disusun dalam bentuk soal jawab, iaitu soalan dari penanya dan diikuti dengan jawapan oleh Ibn Hajar al-Haytami. Sebagaimana dengan kitab fiqh yang lain, kitab ini juga disusun mengikut “Kitab” dan “Bab” fiqh. Ketika menjawab persoalan atau permasalahan yang dikemukakan oleh penanya, Ibn Hajar al-Haytami telah menyebutkan pendapat yang rajih (terpilih) dalam mazhab al-Syafi’i, tanpa menyebut pandangan mazhab mazhab-mazhab yang lain.

Dalam permasalahan tertentu,  beliau tidak menyebutkan dalil-dalil dari al-Quran dan al-sunnah sebagai hujah fatwanya, tetapi memadai dengan membawakan pandangan para tokoh ulama (kibar ‘ulama) mazhab al-Syafi’i.

Kitab ini sangat terkenal di kalangan ulama mazhab al-Syafi’i mutaakhirin sebagai rujukan fatwa bagi menyelesai sesuatu permaslahan yang timbul dalam masyarakat. Kitab ini telah diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan di Timur Tengah dalam 4 jiid.

Muat turun kitab ini di pautan  http://www.feqhweb.com/vb/t17981.html. Semoga catatan ringkas ini bermanfaat.

No comments:

Post a Comment