Tuesday, February 10, 2015

Nihayah al-Mathlab Fi Dirayah al-Mazhab


Kitab Nihayah al-Mathlab Fi Dirayah al-Mazhab (نهاية المطلب في دراية المذهب) adalah sebuah karya agung al-Imam Ruknuddin Abu al-Ma’ali Abdul Malik bin Abdullah al-Juwaini (419-478H). Beliau terkenal dengan gelaran Imam al-Haramain. Dalam kitab-kitab fiqh mazhab Syafi’i, jika disebutkan julukan “al-Imam” tanpa nama atau gelaran yang lain, maka ia merujuk kepada Imam al-Haramain ini.

Kitab Nihayah al-Mathlab ini  dianggap sebagai sebuah ensiklopedia fiqh mazhab Syafi’i yang menjadi sumber kepada penyusunan kitab-kitab fiqh Syafi’iyah yang muncul selepasnya. Kitab ini juga dikenali sebagai “al-Mazhab al-Kabir”. Ketebalan kitab ini dirangkumi dalam 21 jilid.

Kitab Nihayah al-Mathlab ini dikatakan sebagai ringkasan bagi 4 buah kitab utama mazhab Syafi’i, iaitu Kitab al-Umm, al-Imla’, Mukhtashar al-Buwaithi dan Mukhtashar al-Muzani. Namun begitu menurut Ibn Hajar al-Haytami, kitab Nihayah al-Mathlab hanyalah merupakan syarah (huraian) bagi Kitab Mukhtashar al-Muzani.

Kitab Nihayah al-Mathlab kemudiannya diringkaskan pula oleh Imam Abu Hamid al-Ghazali (450-505H) dengan kitabnya al-Basith fi al-Mazhab[1]. Kitab al-Basith, kemudiannya diringkaskan lagi oleh Imam al-Ghazali dengan karyanya al-Wasith fi al-Mazhab[2]. Kemudian Imam al-Ghazali meringkaskan kitab al-Wasith tersebut dengan menyusun kitab al-Wajiz[3].

Kemudian kitab al-Wajiz tersebut diringkaskan pula oleh al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi‘i al-Qazwini (555-624H) yang terkenal dengan gelaran Imam al-Rafi’i (623H) melalui kitabnya al-Muharrar[4]. Kitab al-Muharrar, kemudiannya diringkaskan pula oleh Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H) melalui kitab beliau yang terkenal, iaitu Minhaj al-Thalibin[5]. Manakala kitab Minhaj al-Thalibin ini diringkaskan pula oleh Syaikhul Islam Abu Yahya Zakariyya al-Anshari (823-926H) melalui kitabnya Manhaj al-Thullab[6]. Kitab Manhaj al-Thullab, diringkaskan kemudiannya oleh Syaikh Zainuddin bin Abdul ‘Aziz al-Malibari (987H) melalui kitabnya Qurrah al-‘Ain fi Muhimmat al-Din[7].


Kandungan kitab ini…

Dalam kitab ini, Imam Haramain telah berusaha memilih dan mengumpul pendapat-pendapat Imam al-Syafi’i, para Ashabul Wujuh, serta pendapat para mujtahid mazhab yang lain. Imam Haramain al-Juwaini dianggap sebagai ulama fiqh pertama yang menjadi pentarjih dan pentahrir pendapat-pendapat para ulama mazhab al-Syafi’I yang muncul sebelumnya. Dalam kitab al-Nihayah ini, Imam Haramain menjelaskan mana-mana pendapat Imam Syafi’i yang kuat dan lemah, yang mana pendapat Ashab (para sahabat/ murid al-Syafi’i) dan para ulama mazhab yang lain sama ada kuat atau lemah. Jika ada pendapat fuqaha’ dalam mazhab Syafi’i yang dianggap tidak sesuai dengan kaedah yang telah ditetapkan oleh Imam Syafi’i, beliau akan memberikan catatan khusus terhadapnya. Biasanya beliau akan berikan komentar berupa “pendapat ini menyalahi mazhab”, lalu kemudian beliau jelaskan pendapat yang sesuai dengan kaedah dan ushul dalam Mazhab Syafi’i.

Selain usaha beliau di atas, beliau juga melakukan beberapa tajdid dalam mazhab syafi’i melalui kitab ini. Tajdid beliau tersebut berupa ijtihad-ijtihad peribadi yang terkadang menyelisihi pendapat mazhab.  Selain itu, beliau juga menetapkan beberapa kaedah yang beliau tuliskan jika tidak ditemukan pendapat yang disepakati oleh mazhab dalam suatu masalah. Di mana kaedah tersebut menjadi asas dan panduan kepada fuqaha’ untuk menentukan sendiri hukum yang tepat sesuai koridor mazhab syafi’i.


Semoga catatan ringkas ini bermanfaat.



[1] Kitab al-Basith walaupun ringkasan kepada Nihayah al-Mathlab, tidaklah bermakna semua kandungannya adalah daripada kitab tersebut,  malah Imam al-Ghazali turut memuatkan pandangan-pandangannya. Ini adalah manhaj ulama terdahulu dalam meringkaskan kitab. Sebagaimana Imam al-Nawawi (676 H) yang meringkaskan kitab al-Muharrar karya Imam al-Rafi'i dengan penambahan dan pembetulan.

Selain kitab al-Basith karya al-Ghazali, kitab Nihayah al-Mathlab juga turut diringkaskan oleh Imam Abu Sa’ad Syarafuddin Abdullah bin Muhammad bin Hibatullah bin al-Mutahhar bin  ‘Ashrun (493/493-585H), yang terkenal dengan gelaran Ibn Abu ‘Ashrun –dengan karyanya Shafwah al-Mazhab min Nihayah al-Mathlab.

[2] Selain al-Ghazali, kitab al-Wasith juga diringkaskan oleh al-Imam Nashiruddin al-Baydhawi (685H), melalui kitabnya  al-Ghayah al-Qushwa fi Dirayah al-Fatwa.

[3] Kitab al-Wajiz telah dihuraikan (syarah) oleh ;
a)      Imam Fakhruddin al-Razi (606H).
b)      Imam al-Rafi’i (623H) melalui karyanya Fath al’Aziz Syarh al-Wajiz, yang juga terkenal dengan judul al-Syarh al-Kabir. Kitab al-Syarh al-Kabir kemudiannya telah diringkaskan oleh al-Nawawi dalam kitab al-Rawdhah al-Thalibin.

[4]  Di antara karya yang menghuraikan Kitab al-Muharrar ialah;
a)      Kasyf al-Durar fi Syarh al-Muharrar, oleh al-Qâdhî SyihâbuddinAhmad bin Yusof al-Sanadi (wafat 895H).
b)      Syarh al-Muharrar oleh Syaikh Nuruddin ‘Ali bin Yahya al-Ziyadi al-Mishri (1024H).

[5] Kitab Minhaj al-Thalibin merupakan kitab yang sering digunapakai untuk merujuk pendapat-pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi‘i selepas berlakunya proses pemurnian (al-tanqih) yang kali pertama dilakukan dalam sejarah perkembangan mazhab Syafi‘i. Oleh kerana itu, kitab ini telah mendapat perhatian yang tinggi di kalangan ulama-ulama mazhab Syafi‘i untuk diperkembangkan sama ada diberikan huraian (syarh), komentar (hasyiah), dilakukan ringkasan, disusun dalam bentuk nazam dan lain-lain lagi sehingga jumlah keseluruhannya yang dapat dikesan hingga kini mencecah 230 buah kesemuanya. Antara yang paling terkenal ialah dalam bentuk huraian (syarh) seperti Tuhfah al-Muhtaj Bi Syarh al-Minhaj oleh Ibn Hajar al-Haytami, Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj oleh Syams al-Din al-Ramli dan Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifah Alfaz al-Minhaj oleh al-Khatib al-Syarbini.

[6] Kitab ini kemudiannya telah dihuraikan oleh Syaikh Zakariyya al-Anshari sendiri melalui karyanya Fath al-Wahhab.

[7] Kitab Qurrah al-‘Ain ini telah dihuraikan (syarah) oleh Syaikh Zainuddin al-Malibari sendiri melalui kitabnya Fath al-Mu’in. Ia juga ada diberikan huraian oleh Syaikh Muhammad Nawawi al-Banteni al-Jawi (1316H) melalui karyanya Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi-in.

No comments:

Post a Comment