Showing posts with label al-Syawkani. Show all posts
Showing posts with label al-Syawkani. Show all posts

Thursday, September 19, 2013

Tuhfah al-Zakirin bi 'Uddah al-Hishn al-Hashin

Kitab Tuhfah al-Zakirin bi ‘Uddah al-Hishn al-Hashin min Kalam Sayyid al-Mursalin (تحفة الذاكرين بعدة الحصن الحصين من كلام سيد المرسلين ) merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan zikir dan doa yang diamalkan oleh Rasulullah saw. Kitab ini adalah sebuah karya Imam al-‘Allamah Muhammad ‘Ali bin Muhammad al-Syawkani (1250H). 

Imam al-Syawkani menyusun kitab yang terkenal dengan singkatan Tuhfah al-  Zikirin ini sebagai huraian (syarah) bagi kitab ‘Uddah al-Hishn al-Hashin min Kalam Sayyid al-Mursalin (عدة الحصن الحصين من كلام سيد المرسلين) karya Imam Ibn al-Jazari atau nama sebenarnya Syamsuddin Abu al-Khair Muhammad bin Muhammad bin Ahmad bin ‘Ali bi Yusuf al-Jazari (751-838H). Manakala kitab ‘Uddah al-Hishn al-Hashin pula adalah sebuah ringkasan bagi karya Imam In al-Jazari sendiri yang berjudul al-Hishn al-Hashin min Kalam Sayyid al-Mursalin الحصن الحصين من كلام سيد) المرسلين). 

Dalam kitab Tuhfah al-Zakirin ini, Imam al-Syawkani telah mengtakhrijkan hadis-hadis yang terkandung di dalamnya, di samping menghuraikannya. Sebagaimana kitab asalnya (‘Uddah al-Hishn al-Hashin), kitab Tuhfah al-Zakirin ini masih mengekalkan bilangan babnya, iaitu sebanyak 10 bab. Setiap bab pula dibahagikan kepada beberapa fasal.

Ringkasan kandungan kitab ini;

Bab   1: Keutamaan zikir, doa, dan selawat kepada Nabi saw. beserta caranya.
Bab  2: Waktu, tempat mustajab berdoa, orang yang mustajab doanya, dan 
              media doa yang  mustajab.
Bab  3: Zikir dan doa sehari semalam.
Bab 4:  Zikir dan doa berkaitan dengan bersuci, masjid, azan dan iqamah 
              dan solat rawatib.
Bab 5:  Doa makan, minum, puasa, zakat safar, haji, jihad dan nikah.
Bab 6:  Zikr dan doa ketika terjadi mendung, petir, hujan, hilal, angin 
              kencang dan bulan purnama.
Bab 7:  Zikir dan doa yang berkaitan dengan aktiviti peribadi dalam 
             berbagai keadaan.
Bab 8: Zikir dan doa berkaitan dengan sebab-sebab tertentu.
Bab 9: Keutamaan Zikir, istighfar dan al-Quran. 
Bab 10: Doa-doa shahih dari Rasulullah saw yang bersifat mutlak. 


Terjemahan kitab ini…  


 Edisi terjemahan kitab Tuhfah al-Zakirin dalam bahasa Indonesia ada diterbitkan oleh Pustaka Azzam Indonesia dengan judul “Mutiara Ahli Dzikir”. Terbitan ini berdasarkan edisi ‘Arab yang ditahqiq oleh Abu Sahal Najah ‘Iwadh Shiyam. Ketebalannya merangkumi 1016 halaman.
    Manakala terjemahan kitab al-Hishn al-Hashin dalam bahasa Melayu ada diterbitkan oleh  Syarikat Perniagaan Jahabersa.
     Kitab Tuhfah al-Zakirin ini boleh didownload di pautan berikut;
  
     Kitab al-Hishn al-Hashin  boleh didowload di pautan berikut;

Semoga bermanfaat.

Monday, September 10, 2012

Bustan al-Ahbar Mukhtashar Nail al-Authar


Kitab Bustan al-Ahbar Mukhtashar Nail al-Authar  (بستـان الأحبـار مختصر نيـل الأوطـار) merupakan karya Syaikh Faishal bin ‘Abdul ‘Aziz Alu Mubarak (1958M), seorang ulama terkenal Jami’ al-Azhar al-Syarif Mesir pada masanya. 

Kitab Bustan al-Ahbar  disusun sebagai ringkasan bagi Kitab Nail al-Authar (نيـل الأوطـار), karya Imam Muhammad ‘Aliy al-Syawkani, iaitu sebuah kitab yang menghuraikan (syarah) hadis-hadis hukum yang terdapat dalam kitab yang disusun oleh Imam Syaikh al-Islam Majduddin Abu al-Barakat  Abdul Salam Ibn Taymiyyah (728H)  yang berjudul Muntaqa al-Akhbar Min Ahadits Sayyid al-Akhyar. Hadis-hadis yang terdapat dalam kitab ini bersumber dari Kitab hadits Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Musnad Imam Ahmad, Jami' Abi Isa al Tirmidzi, Kitab Sunan Abi Abdurrahman al-Nasa-i, Kitab Sunan Abi Daud al-Sijistani dan Kitab Sunan Ibnu Majah al-Qazwini.

Bilangan hadis yang terdapat dalam kitab Bustan al-Ahbar adalah sebanyak 5029 buah, iaitu sama dengan jumlah hadis yang disyarah oleh al-Syawkani dalam Kitab Nail al-Authar. Ketika meringkaskan kitab Nail al-Authar, Syeikh Faishal tidak mengurangkan jumlah hadis yang terdapat dalam  kitab asalnya. Ini berbeza dengan kitab mukhtashar (ringkasan) yang lain, yang kebiasaannya mengurangkan jumlah hadis dari kitab asalnya dengan memilih sebahagian hadis yang mewakili tajuk atau bab tertentu dan meninggalkan yang lain. Keringkasan yang dilakukan oleh Syaikh Fayshal dalam Kitab Bustan al-Ahbar ialah dengan meringkaskan huraian (syarah) yang dilakukan oleh al-Syawkani. Beliau hanya memilih huraian-huraian yang dianggapnya lebih penting dalam menjelaskan sesuatu hadis.

Setelah diringkaskan, berdasarkan edisi ‘Arabnya Kitab Bustan al-Ahbar ini diterbitkan dalam 2 juzuz yang agak tebal.  Sedangkan kitab asalnya Nail al-Authar disusun oleh al-Syawkani dalam 8 juzuz.


Terjemahan Kitab Bustan al-Ahbar

Kitab Bustan al-Ahbar ini ada diterjemahkan dalam bahasa Melayu/Indonesia. Di sini saya hanya ingin menyentuh secara ringkas mengenai buku terjemahan Bustan al-Ahbar yang terdapat dalam koleksi saya.

  1. Judul Buku;  Di bahagian atas kulit (cover)nya, ditulis dengan dengan huruf ‘Arab  مختصر نيـل الأوطـار, manakala di bawahnya ditulis ‘ Terjemahan Nailul Authar ’. Di bawahnya lagi ditulis ‘Himpunan Hadits-Hadits Hukum’.
  2. Penterjemah; Kitab ini telah diterjemahkan oleh panel yang terdiri daripada A. Qadir Hasan, Mu’ammal Hamidy, Drs. Imron AM dan Umar  Fanany B.A.
  3. Bilangan Jilid; Dicetak dalam 6 jilid (6 buah buku) dengan jumlah halaman keseluruhannya sebanyak 3239.
  4. Penerbit: Buku ini asalnya diterbitkan oleh P.T. Bina Ilmu, Surabaya, Indonesia. Manakala buku dalam koleksi saya ini diterbitkan oleh Victory Agencie, Kuala Lumpur, dengan cetakan pertama 1994.
  5. Di pengantar buku terjemahan Ringkasan Nail al-Authar ini, penterjemah nampaknya telah tersilap atau terkeliru apabila menyebutkan nama penyusun Kitab Muntaqa al-Akhbar ialah Syaikh al-Islam Taqiyuddin Ibn Taimiyyah atau nama sebenarnya Taqiyuddin Abu al-‘Abbās Ahmad ibn 'Abdul Halīm ibn 'Abdul Salām Ibn Taimiyyah al-Harrānī (1263 – 1328M). Sedangkan penyusun sebenar kitab ini ialah datuk beliau, iaitu Majduddin  Abu al-Barakat ‘Abdul Salam bin Abdullah ibn Taymiyyah al-Hanbali (meninggal dunia pada tahun 728H/1255M).

Tambahan; 

1.  Untuk faedah bersama,  baru-baru ini saya  mendapati kitab terjemahan ini  ada dipaparkan dalam bentuk blog. Anda boleh melayarinya di pautan berikut; Nailul Authar  «Himpunan Hadits Hukum (http://nailulauthor.wordpress.com/).

2.    Buku terjemahan ini juga boleh didownload dengan mengklik pada pautan (mengikut jilidnya) berikut: Jilid 1Jilid 2Jilid 3Jilid 4Jilid 5. Hanya ada 5 Jilid sahaja. Untuk membukanya gunakan aplikasi DJVUView. Kalau belum ada silakan download disini.  

3.      Muat turun kitab Bustan al-Ahbar di pautan  بستـان الأحبـار.

4.      Untuk memuat turun kitab Nail al-Authar klik pautan  نيـل الأوطـار.  


Semoga bermanfaat.