Tuesday, September 9, 2014

al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah


Kitab al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah (التقريرات السديدة فى المسائل المفيدة) adalah sebuah kitab fiqh kontemperari yang disusun bagi menjelas beberapa permasalahan fiqh mengikut aliran mazhab al-Syafi’i.  Kitab ini disusun oleh Habib Hasan bin Ahmad bin Muhammad bin Salim al-Kaf seorang ulama yang terkenal pada masa kini. Beliau menyusun kitab al-Taqrirat ini berdasarkan beberapa kitab fiqh peninggalan para ulama al-Syafi’iyyah terdahulu dan juga bersumberkan pembelajarannya bersama beberapa ulama yang terkenal, khususnya  al-‘Allamah al-Habib Zain bin Ibrahim bin Zain bin Sumaith (1936-).

Kitab ini pertama kali diterbitkan pada tahun 2003 oleh Dar al-‘Ilm wa al-Da’wah di Kota Tarim, Republik Yaman. Kitab terbitan pertama ini hanya membicarakan mengenai bahagian ibadah sahaja. Dalam kata pengantar kitab ini, penyusun ada menyatakan hasrat beliau untuk meneruskan penyusunan kitab ini merangkumi bahagian muamalat, faraidh, munakat, jinayat hingga kitab al-‘itq. Kitab bahagian pertama ini merangkumi 565 halaman termasuk kata pengantar, kata sambutan para ulama dan halaman isi kandungan.

Penyusunan kitab ini adalah suatu usaha gigih Habib Hasan al-Kaf mendidik masyarakat Islam dalam mempelajari ibadah sebagaimana yang diteladani dari Nabi Muhammad saw. Penyusunan kitab ini memudahkan kepada pembaca memahami “turas” dalam penulisan fiqh yang pada waktu ini tidak ramai yang mampu memahami cara penulisan lama yang menyebabkan ilmu ini agak kurang diminati ramai.
                                            
Di antara keistimewaan kitab ini adalah pembahagian masalah fiqh yang mudah dan beberapa persoalan fiqh terkini juga dimuatkan di dalam kitab ini. Dengan terbitnya kitab ini, ia telah dapat merungkaikan beberapa kerumitan dan kesulitan bagi mereka yang ingin memahami fiqh mazhab Syafi’i.

Buat masa kini, penyusun kitab al-Taqrirat al-Sadidah ini menggunakan kitab ini sebagai teks pengajian fiqh di majlis ilmunya. Oleh itu, beliau menyatakan isi kitab ini mungkin akan berlaku perubahan mengikut keperluan umat Islam, sama ada dari aspek kefahaman mereka terhadap kandungan kitab maupun penambahan beberapa isu-isu fiqh masa kini yang memerlukan penjelasan.

Kitab al-Taqrirat al-Sadidah ini boleh dimuat turun melalui pautan berikut;
Semoga bermanfaat.

1 comment: