Thursday, August 21, 2014

Keagungan Zikir Dan Doa Harian Rasulullah saw


Baru-baru ini saya ada membeli sebuah buku terjemahan kitab al-Azkar karya Imam al-Nawawi - terbitan Inteam Publishing - cetakan 1 /2014. Buku yang agak tebal merangkumi 785 halaman ini diberikan judul “ Keagungan Zikir Dan Doa Harian Rasulullah saw ”.  

Kajian dan terjemahan kitab ini diusahakan oleh Ustaz Mohammad Taha bin Hassan Azhari. Setelah membaca buku ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada usaha ini, kerana saya rasa ini merupakan usaha yang ulung setakat ini – kitab karya klasik ini diterjemahkan dengan takhrij dan dilampirkan dengan beberapa lampiran yang bermanfaat dalam bahasa melayu. Sebelum ini, saya hanya melihat usaha ini hanya dilakukan terhadap kitab-kitab Arab yang diterbitkan di Timur Tengah sahaja. 

Berikut antara keistimewaan buku ini sebagaimana yang dinyatakan di bahagian sinopsisnya; 

1.    Dikarang oleh imam besar, Imam Nawwawi rahimahullah. 
2. Menghimpunkan 20 tajuk besar berkaitan zikir, 356 bab dan 1242 hadis beserta takhrij.
3.  Senarai manuskrip asal kitab al-Azkar, metodologi penyelidikan dan penyemakan, sumber rujukan.
4.   Ustaz Mohammad Taha bin Hassan selaku pentakhrij, penyelidik dan penyemak. Beliau mengijazahkan sanad periwayatan kitab al-Azkar dan semua karya Imam Nawawi rahimahullah kepada pembaca yang budiman. 
5. Berimej dan berkonsep baru, berbeza dengan terbitan dan edaran yang pernah diterbitkan sebelum ini, memudahkan pengkaji dan penyelidik untuk merujuk setiap hadis. 
6. Pengarang memulakan kupasannya dengan zikir sebagai pendahuluan, kemudian penjelasan berkenaan amalan pada waktu siang dan malam, serta mengakhirinya dengan tajuk zikir istighfar.  
7.   Disertakan dengan indeks al-Quran dan hadis yang terkandung dalam buku ini.  
8.    Tertumpu pada hadis sahih dan hasan. 
9.      Setiap muslim tidak akan ditimpa perkara yang dibencinya dari perkara yang meragukan atau seumpamanya melainkan mereka mendapati penyembuhnya di dalam kitab ini. Dengan perantaraan dan keberkatan doa nabi yang terpilih. 


Sedikit catatan yang perlu diberi perhatian…. 

Di sini, saya ingin menarik perhatian pihak penerbit, penyelidik/penterjemah dan pembaca mengenai sumber rujukan kitab al-Azkar  (lihat hal. 15 dan 16) yang disebut dalam buku tersebut; 

1.       Saya dapati ada kesilapan – mungkin tidak disengajakan-  dalam senarai kitab-kitab yang menjadikan rujukan kitab al-Azkar yang disebutkan oleh penterjemah. Terdapat 3 buah kitab yang disenaraikan – berdasarkan pemerhatian saya - adalah tidak mungkin menjadikan rujukan kitab al-Azkar, kerana kitab-kitab tersebut disusun oleh para ulama yang hidup selepas Imam al-Nawawi, iaitu; 

a)      Kitab Asna al-Mathalib fi Syarh Rawdh al-Thalib, karya Syaikhul Islam Abu Yahya Zakaria al-Anshari (926H). lihat no. 7. 
b)      Kitab al-Khashaish al-Kubra……… , karya Imam Jalaluddin al-Sayuthi ( 911H). lihat no. 27. 
c)      Kitab Raddul Mukhtar …………, karya Ibn ‘Abidin al-Hanafi (1198H), lihat no. 30. 

2.      Dalam kata pendahuluan penyelidik (hal. 10) ada menyebut juga, di antara kitab tafsir yang menjadi rujukan dalam penyusunan kitab al-Azkar ialah kitab al-Risalah karya Imam al-Qusyairi. Saya telah melihat senarai rujukan yang disediakan dalam buku terjemahan tersebut, terdapat sebuah sahaja kitab karya Imam al-Qusyairi, iaitu kitab al-Risalah al-Qusyairiyah. Adakah kitab ini yang dimaksud oleh penyelidik dengan kitab tafsir tersebut atau kitab yang lain, kerana setahu saya kitab al-Risalah ini merupakan kitab mengenai tasawuf bukannya kitab tafsir.  

Saya ada membaca biografi Imam al-Qusyairi dalam sebuah kitab al-Risalah milik saya, saya dapati terdapat sebuah kitab tafsir yang disusun oleh beliau. Kitab ini berjudul “ al-Taisir fi ‘ilm al-Tafsir ”, yang dikenali juga sebagai al-Tafsir al-Kabir. Menurut Ibn Khalikan, Tajuddin al-Subki dan al-Sayuthi- kitab tafsir ini merupakan kitab tafsir yang terbaik. Adakah kemungkinan kitab ini menjadi rujukan Imam al-Nawawi, atau sememangnya kitab al-Risalah tersebut, tetapi berkaitan dengan tasawuf bukannya dalam bidang tafsir?. Berdasarkan pemerhatian saya terhadap nota kaki yang diberikan dalam buku tersebut yang merujuk kepada kitab al-Risalah tiada yang berkaitan dengan tafsir. Diharap pihak penterjemah dan penerbit memberi perhatian terhadap perkara ini bagi penerbitan yang berikutnya. 

Semoga mendapat bermanfaat. 

6 comments:

  1. salam Tuan,

    boleh bantu saya untuk dapatkan buku babun nikah..saya sudah lama mencari namun belum dapat.

    terima kasih kerna sudi membantu.

    rmzaidi8@gmail.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam. terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. sebenarnya saya sendiri pun belum memiliki kitab ini. saudara boleh cuba kunjungi blog http://kuliahcinta.blogspot.com/2008/07/pengenalan-kitab-babul-nikah.html
      atau email SABRI_MNR@YAHOO.COM , mungkin ia boleh membantu saudara mendapat kitab tersebut.

      Delete
  2. Assalamualaikum, saya rasa kitab Imam Zakariya al-Ansari, Imam Sayuti, Imam Ibn Abidin tu adalah rujukan penterjemah bukan pengarang asal (Imam an-Nawawi). Sepatutnya buku-buku tu patut dimasukkan sebagai rujukan penterjemah, takut-takut ada yang salah faham menyangka Imam an-Nawawi merujuk kitab ulama yang lahir selepas kematiannya. Rasanya perkara ni boleh dipanjangkan ke fb penterjemah:

    https://www.facebook.com/taha.hassan.56027

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Tuan. Bole saye tau mane nak dpt kan buku ni?
    mohdazhar.ah@gmail.com

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum Tuan. Bole saye tau mane nak dpt kan buku ni?
    mohdazhar.ah@gmail.com

    ReplyDelete
  5. wa 'alaikumussalam wa rahmatullah. saya rasa banyak kedai yang menjual buku ini. boleh juga dibeli melalui online. cuba di http://inteammobile.com/v2/index.php?route=product/product&product_id=376.

    ReplyDelete