Tuesday, October 28, 2014

al-Fath al-Mubin bi Syarh al-Arba'in


Kitab al-Fath al-Mubin bi Syarh al-Arba’in ( الفتح المبين بشرح الأربعين)[1] merupakan kitab huraian bagi kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah[2] karya Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi r.h.(676H),  iaitu sebuah kitab yang terkenal, yang menghimpunkan 42 hadis Nabi saw. Isi kandungan hadis tersebut membicarakan asas-asas penting agama Islam yang perlu diketahui umat Islam.

Kitab al-Fath al-Mubin merupakan sebuah kitab yang disusun oleh al-Imam al-‘Allamah al-Faqih al-Muhaqqiq Syihabuddin Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haytami (909-974H). Beliau yang lebih dikenali dengan gelaran Ibnu Hajar al-Haytami ini adalah seorang tokoh mazhab Syafi’i yang terkenal yang menjadi ikutan di kalangan para ulama Syafi’i yang mutakhir. Di antara karya beliau yang paling terkenal dalam bidang fiqh ialah kitab Tuhfah al-Muhtaj, iaitu sebuah kitab huraian bagi kitab Minhaj al-Thalibin  karya Imam al-Nawawi.

Kitab al-Fath al-Mubin adalah antara kitab huraian matan al-Arba’in yang terbaik,  yang menjadi pilihan dan rujukan utama para ulama terkemudian, khususnya pengikut mazhab al-Syafi’i dalam menghuraikan matan al-Arba’in al-Nawawiyyah. Dalam kitab ini Imam Ibn Hajar al-Haytami telah menghuraikan ke semua 42 hadis yang terkandung dalam kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah. Huraian dan kupasan beliau bagi setiap hadis begitu meluas dan terperinci sekali sehingga hampir mencakupi ke semua yang berkaitan dengan hadis tersebut.

Kitab al-Fath al-Mubin ini telah diberikan hasyiah (komentar) oleh al-‘Allamah al-Hasan bin ‘Ali al-Madabighi (1177H) melalui karya beliau yang  terkenal dengan  judul “Hasyiah al-Madabighi ‘ala al-Fath al-Mubin (حاشية العلاّمة الحسن بن علي المدابغي على الفتح.المبين).

Berdasarkan edisi kitab al-Fath al-Mubin yang diterbitkan oleh Dar al-Minhaj, Beirut, dengan cetakan ke 3, pada tahun 2011 – ketebalan kitab ini merangkumi 688 halaman.

Semoga bermanfaat.



[1] Kitab ini juga ada diterbitkan dengan judul Fath al-Mubin li Syarh al-Arba’in          ( فتح المبين لشرح الأربعين).
[2]  Catatan ringkas mengenai kitab al-Arba’in karya al-Nawawi ini boleh dibaca di pautan http://abusyahmin.blogspot.com/2013/05/al-arbain-al-nawawiyyah.html

Thursday, October 23, 2014

Idaman Penuntut



Tatkala penulis melihat-lihat judul buku-buku yang dijual di Badan Cemerlang yang terletak di Plaza Angsana, penulis terpandang tiga jilid buku yang relatifnya lebih nipis berbanding buku-buku yang lain sekitarnya. Tambah menarik, buku-buku tersebut bersaiz lebih kurang A4, satu saiz yang amat jarang bagi buku-buku terkini dengan kulit nipis. Penulis menatap sungguh-sungguh kulit buku tersebut sambil terasa sangat teruja dengan apa yang sedang penulis pegang. Dua daripadanya bertulisan rumi sementara satu lagi bertulisan jawi. Memang tidak salah lagi, ketiga-tiganya ialah susunan penulis yang sama iaitu Al-Ustaz Abdul Ghani Yahya. Ketiga-tiga naskhah tersebut ialah siri Ilmu Fiqh yang dinamai “ Idaman Penuntut pada Menghuraikan yang Kusut ”. 

Penulis harus akui tidak banyak yang penulis tahu tentang penyusun atau pengarang kitab terbabit selain daripada apa yang tercatat di Pendahuluan. Setidak-tidaknya, apa yang penulis difahamkan ialah beliau ialah seorang guru agama dan terlibat dalam penyusunan silibus pembelajaran sekolah agama dalam sistem persekolahan agama Kerajaan Johor suatu ketika dahulu. Atas permintaan anak-anak muridnya, beliau menyusun kitab Idaman Penuntut ini sebagai rujukan pelajaran ilmu fiqah kepada pelajar-pelajar terutamanya yang berada antara Darjah 4 hingga Darjah Khas sekolah agama Kerajaan Johor. Hasrat yang disampaikan bermula selepas beliau berpencen pada 1967 dan hanya mula direalisasikan pada akhir 1982. 

Jilid[1] pertama bagi siri kitab ini diterbitkan pada April 1983 dengan penekanan terhadap topik-topik ibadah dengan topik pertama ialah tentang bersuci dan topik terakhir berkenaan makanan. Bolehlah dikatakan jilid pertama meliputi kesemua pelajaran berkenaan ibadah fardhu ain meliputi sembahyang, puasa, jenazah, zakat, dan haji dan umrah. Jilid kedua pula menyusul dengan topik-topik yang berkaitan dengan dua bidang fiqah iaitu muamalat dan munakahat sementara jilid ketiga menyentuh topik-topik berkenaan faraidh dan jenayah Islam. Oleh hal yang demikan, ketiga-tiga jilid bagi siri ini menyentuh segenap perbincangan tentang fiqah Islami. 

Edisi awal ketiga-tiga jilid ialah dalam tulisan jawi. Pada masa kini, sekurang-kurangnya dua jilid terawal dialihtulisankan kepada tulisan rumi[2]Penyusun/pengarang kitab tersebut ada menyatakan bahawa rujukan utamanya[3] dalam penyusunan kitab itu ialah Matla'al Badrain[4], Al-Baijuri[5] dan Bujairimi ‘ala al-Iqna[6]' yang masing-masing merupakan naskhah-naskhah lama yang cukup diraikan dalam pengajian agama sama ada formal mahupun tidak formal. Kitab-kitab rujukan itu[7], sungguhpun cukup berjasa dalam pengajian Islam dalam masyarakat Melayu/Islam di Malaysia dan Kepulauan Melayu, jelas mempunyai laras bahasa yang agak keterbelakang berbanding Bahasa Melayu terkini selain susunan berbentuk satu perenggan berterusan yang hanya dipisahkan dengan penanda wacana. Oleh sebab itu, penyusunan Idaman Penuntut memudahkan orang ramai, terutamanya pelajar sekolah agama Kerajaan Johor untuk menelaah pelajaran fiqah yang menjadi subjek-subjek teras bermula Darjah empat hingga Darjah Khas. 

Sekadar berkongsi pengalaman sendiri, pembelajaran fiqah di sekolah agama Kerajaan Johor meliputi lima mata pelajaran iaitu Ibadat, Muamalat, Munakahat, Faraidh dan Jenayat. Sebelum zaman penulis, kitab seperti Matla'al Badrain masih lagi menjadi pilihan rujukan bagi tenaga pengajar sekolah agama walaupun kitab/risalah khas untuk setiap subjek sudah disediakan oleh pihak Jabatan Agama Johor. Jadi, Idaman Penuntut memudahkan pelajar (tidak kurang guru juga) membuat rujukan fiqah lantaran susunannya lebih sistematik, dihadirkan dalam bentuk tajuk besar, tajuk kecil dan poin-poin yang memudahkan rujukan pembaca. Kewujudan edisi rumi tambah memudahkan lagi pembacaan penelaah yang tidak begitu fasih membaca jawi. 

Secara umumnya pula, Idaman Penuntut ialah sejenis kitab fiqah Mazhab Syafie sesuai dengan suasana dan keadaan masyarakat Islam Malaysia. Dari hal itu, pembaca yang berpegang pada mazhab itu tidak banyak menemui pandangan yang bertentangan dengan pegangan masyhur Mazhab Syafie di Kepulauan Melayu (seperti mughalazahnya seluruh babi, anjing dan kacukan mereka berdua, sunatnya qunut Subuh dan talkin mayat). Pun begitu, pandangan penyusun seperti tidak wajar menambahkan perkataan Saidina semasa berselawat kepada Nabi selepas tahiyat akhir (jilid 1, nota kaki 1., m.s. 27) dan membidaahkan orang datang berkumpul untuk jamuan makan di rumah si mati (jilid 1, m.s. 63) memperlihatkan sedikit sisi perbezaan pendapatnya berbanding dengan amalan dan kepercayaan tradisional yang didakwa sebagai pandangan Mazhab Syafie yang masyhur. Dan daripada segi pendalilan, jelas sekali pengarangnya sangat bergantung kepada tiga sumber rujukan utama sambil kadang-kala membandingkan kewujudan perbezaan pendapat antara ketiga-tiga kitab itu. Misalnya dalam persoalan ungkapan Saidina dalam selawat tadi, beliau mengutarakan pendapat bagi kedua-dua kitab rujukannya iaitu Al-Baijuri dan Bujairimi ‘ala al-Iqna', lalu mengunggulkan isyarat daripada Bujairimi ‘ala al-Iqna' untuk tidak menambah kalimah tersebut semasa selawat dalam sembahyang. Akan tetapi, beliau berdiplomasi dengan menjelaskan kesetujuannya agar perkataan Saidina ditambah dalam selawat di luar sembahyang. Dalam banyak keadaan, pengarang memberikan pendalilan terhadap sebarang rukun, jenis dan syarat namun bukan kesemua perkara diberikan dalilnya. 

Matlamat penulisan kitab ini pun lebih kepada memenuhi tuntutan pelajaran sekolah agama, jadi pengisiannya jelas cukup sesuai untuk peringkat asas pengenalan fiqah. Secara keseluruhannya, harapan penyusunan kitab bagi memudahkan pelajar untuk menelaah ilmu asas fiqah bolehlah dikatakan tercapai dengan pembaikan kepada gaya bahasa yang lebih mudah difahami. Tambahan pula bilangan muka suratnya yang tidak tebal cukup ideal memudahkan pembelajaran isi-isi penting berkaitan ibadat, muamalat, jenayat, faraidh dan munakahat. Sungguh pun diterbitkan pada 1984, ciri-ciri seperti menonjolkan pandangan daripada kitab-kitab fiqah melayu[8] klasik/semiklasik cukup membuatkan Idaman Penuntut seperti ringkasan atau penerangan ringkas ilmu yang terkandung dalam kitab Melayu klasik/semiklasik. 

Bagaimanapun, untuk mengangkatnya sebagai kitab fiqah yang benar-benar lengkap dengan pendalilan dan ulasan panjang lebar mengenai fiqah Mazhab Syafie mungkin menuntut syarah/ulasan dibuat terhadap teks asalnya. Atau kitab ini perlu dijadikan teks pengkuliahan di majlis-majlis ilmu seperti di masjid-masjid agar penerangan yang lebih konprehensif dapat diberikan oleh tok-tok guru yang mengkuliahkannya. Apa pun, perkara ini tidak sama sekali menafikan keistimewaan Idaman Penuntut sebagai kitab-kitab rujukan untuk ilmu fiqah permulaan yang sewajarnya diketahui oleh setiap umat Islam. Sekurang-kurangnya, kitab ini menjadi antara rujukan tambahan yang penting bagi kurikulum sekolah agama Kerajaan Johor sehinggalah pada tahun 1994 yang menyaksikan permulaan era baru rujukan rasmi sistem persekolahan tersebut. 

Sumber:  Artikel di atas dinukil dari laman 
http://lappanblablabla.blogspot.com/2013/09/idaman-penuntut.html, dengan sedikit pengubahsuaian dan tambahan[9] tanpa perubahan isi kandungannya. Semoga bermanfaat. 


[1] Setiap jilid buku ini disebut “Penggal” iaitu Penggal yang pertama, kedua dan ketiga.
[2] Ketiga-tiga jilid buku ini, ketika catatan ini dibuat telah lengkap dialihtulisankan kepada tulisan rumi oleh Nurul Sakinah binti Ibrahim dan diterbitkan Syarikat Bajrai, Kuala Lumpur.
[3] Selain tiga kitab ini, terdapat dua kitab lagi yang disebutkan oleh pengarang yang menjadi rujukan karya beliau ini, iaitu kitab Fath al-Mu’in karya Syaikh Zainuddin al-Malibari dan kitab yang menjadi huraiannya iaitu kitab  I’anah al-Thalibin karya ‘Allamah Syata al-Bakri,
[4] Judul lengkapnya  Mathla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain, karya Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani (1260-1333 H /1844-1915M).
[5] Iaitu kitab Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn Qasim al-Ghazzi. Sebuah karya Syaikh Ibrahim al-Baijuri (1216H) yang menghuraikan kitab Syarh Ibn Qasim ‘ala matan al-Taqrib, karya al-‘Allamah Muhammad bin Qasim Muhammad al-Ghazzi al-Syafi‘i (918H).
[6] Iaitu kitab Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’. Juga dikenali al-Bujairimi ‘ala al-Khathib. Kitab ini disusun oleh Syaikh Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi (1131-1221H) sebagai huraian bagi kitab al-Iqna’ karya Syaikh Muhammad bin Muhammad  Syarbini al-Khathib (977H).
[7] Perhatian: Hanya kitab Mathla’ al-Badrain sahaja kitab yang ditulis dalam Bahasa Melayu yang menjadi rujukan pengarang, sedangkan kitab-kitab rujukan yang lain adalah dalam bahasa Arab.
[8] Lihat nota no. 7.
[9] Empunya laman “ karya ulama ” ini telah membuat sedikit tambahan berupa nota kaki bagi melengkapkan artikel ini.

Wednesday, October 1, 2014

al-Bahjah al-Mardhiyyah fi 'Uzr Takhalluf al-Ma'mum 'an al-Imam


Kitab al-Bahjah al-Mardhiyyah Fi ‘Uzr Takhalluf al-Ma’mum ‘an al-Imam (البهجة المرضية فى عذر تخلف المأموم عن الإمام) merupakan sebuah karya fiqh al-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani (1265H) seorang tokoh ulama dan pengarang kitab Jawi yang terkenal di Nusantara.  Dalam kitab ini diterangkan beberapa keadaan yang dibolehkan makmum yang muwafiq berbeza perlakuannya dengan imam atau disebutkan dalam kitab ini “ beberapa masa-il yang diuzurkan ketinggalan makmum yang muwafiq dengan imamnya dan yang tiada diuzurkan ”.

Sekadar pengetahuan penulis catatan ini, kitab al-Bahjah al-Mardhiyyah tidak pernah dicetak secara berasingan dalam satu edisi yang tersendiri, malahan sentiasa dicetak di bahagian akhir kitab Munyah al-Mushalli, yang juga karya Syaikh Daud Fathani. Perkara ini juga ada dinyatakan oleh al-Marhum Tuan Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah dalam muqaddimah buku beliau yang berjudul “ Mun-yatul Mushalli Syeikh Daud Al-Fathani Pengetahuan Sembahyang yang Masyhur[1]. Kata beliau;

Sama ada cetakan mutawal Mun-yatul Mushalli di Mekah, Mesir, Turki dan Bombay mahupun cetakan mutakhirnya di Surabaya, Cerebon, Singapura, Pulau Pinang dan lain-lain sentiasa dikembarkan cetakannya dengan karya beliau yang berjudul al-Bahjatul al-Mardhiyah. Al-Bahjatul Mardhiyah sebenarnya bukan termasuk dalam bahagian Mun-yatul Mushalli, tetapi adalah merupakan karya yang berdiri sendiri. Akan tetapi kerana kandungannya membicarakan perkara Muafiq dan Masbuq yang ada hubungannya dengan perkara sembahyang, maka itulah barangkali pentash-hih pertamanya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani mengambil inisiatif mengkobinasikannya dalam satu cetakan ”.

Dalam muqaddimah kitab ini, Syaikh Daud al-Fathani ada menerangkan sebab yang mendorong beliau menyusun kitab al-Bahjah al-Mardiyyah ini. Kata beliau;

“ Ada pun kemudian daripada itu, tatkala adalah setengah saudaraku yang tiada dapat ku menyalahi akan pintanya (permintaan) bahawa menuntut terjemahkan beberapa masail (permasalahan) yang diuzurkan ketinggalan makmum yang muwafiq dengan imamnya, dan tiada diuzurkan. Maka faqir imtisalkan (ikuti) pintanya kerana yang menunjukkan daripada hadis (الدال على الخير كفاعله ). Maka adalah risalah yang terlebih elok aturannya, lagi terlebih nyata bagi maksudnya, lagi singkat bicaranya, iaitu: Syarah bagi Manzhum al-‘Alim al-‘Allamah al-Muhaqqiq, iaitu Syaikh ‘Azizi yang terkandung bicara yang tersebut itu bagi  ‘Alim al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim Rais r.h. yang sangat banyak manfaatnya bagi awam muslimin dan khawasnya.  Maka faqir ilaLlah Ta’ala hendak terjemahkan daripadanya dengan  bahasa Melayu, supaya manfaat bagi orang yang tiada tahu bahasa Arab. Dan jika adalah hamba tiada ahlinya, pada medan ini, tetapi sebab iktimad (pergantungan) faqir ‘alal Lahil Karim bahawa diberi taufiq bagi shawab………….
dan aku namakan terjemah ini;  (ثلاثة أركان طويلة   البهجة المرضية فى عذر تخلف المأموم عن الإمام)”.

Dalam petikan di atas, Syaikh Daud al-Fathani menjelaskan bahawa kandungan kitab al-Bahjah al-Mardhiyyah ini merupakan himpunan beberapa petikan (nukilan) yang diterjemahkan daripada kitab Syarh Manzhumah al-‘Azizi (منظومة العزيزي شرح), sebuah karya guru beliau, iaitu al-‘Alim al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rais (1187 H/1773M M-1240 H/1824 M). Kitab ini merupakan huraian bagi matan Manzhumah al-‘Azizi fi Masa-il al-Jama’ah (في مسائل الجماعة منظومة العزيزي)[2], iaitu sebuah kitab yang membicarakan mengenai beberapa persoalan solat berjamaah – yang  disusun dalam bentuk nazam oleh al-‘Allamah al-Syaikh ‘Ali bin Ahmad al-‘Azizi al-Bulaqi al-Syafi’i (1070H/1660M). Di antara karya lain Syaikh al-‘Azizi ialah kitab Hasyiah al-Fawa-id al-‘Aziziyyah ‘Ala Syarh Abi Syuja’ li Ibn Qasim al-Ghazzi[3].

Dalam kitab ini, Syaikh Daud Fathani telah memetik enam bait nazam dari kitab Manzhumah al-‘Azizi yang berkaitan dengan masalah yang dibincangkan. Sebelum menyebutkan bait yang pertama, Syaikh Daud terlebih dahulu menyatakan; “ Kata Shahibul al-Manzhumah Syaikh ‘Azizi r.’a ” (ertinya “Kata tuan pengarang al-Manzhumah iaitu Syaikh al-‘Azizi ”). Bagi bait-bait nazam berikutnya (bait 2-4) disebutkan “ Kata Nazhim ” (ertinya “ Kata Penyusun nazam ” ). Manakala bagi bait 5-6 didahului dengan “ Katanya ”.

Selepas menyebut bait nazam pertama, Syaikh Daud Fathani memulai huraiannya dengan menyebutkan “ Telah berkata syarahnya, ertinya…”. Setelah menyebutkan bait nazam yang kedua, beliau menyebutkan “ Dan kata Syarihnya telah menyebutkan nazhim pada bait ini….”. Manakala selepas nazam yang ketiga pula beliau menyebutkan “ Maka kata syarahnya telah menyebut nazhim bait ini….”. Selepas bait nazam yang keempat dan kelima, beliau menyebutkan “ Kata syarahnya…”, manakala selepas bait yang keenam disebutkan “ Dan menyebut syarahnya….”.

Syaikh Daud Fathani mengakhiri risalah kecil ini dengan sebuah “ Tatmim Masalah ” yang menerangkan permasalahan jika seorang yang solat itu syak sama ada ia termasuk orang yang muawafiq atau masbuq.

Kitab yang terkenal dengan judul ringkasnya al-Bahjah al-Mardhiyyah ini selesai disusun oleh Syaikh Daud al-Fathani pada tahun 1259H/1843M, atau lebih tepat sebagaimana yang disebutkan oleh Syaikh Daud al-Fathani sendiri di akhir kitab ini;

 “ Telah selesai faqir Daud bin Abdullah al-Fathani daripada menterjemahkan risalah ini pada waktu ‘asar hari selasa (ثلاثاء) empat belas hari bulan Syawal pada Hijrah Nabi saw seribu dua ratus lima puluh sembilan ( 14 Syawal 1259H ) pada negeri Makkah al-Musyarrafah…….”.

Semoga catatan ringkas ini bermanfaat.



[1] Lihat Mun-yatul Mushalli Syeikh Daud Al-Fathani Pengetahuan Sembahyang yang Masyhur. Khazanah Fathaniyah, Ct-1, 1991.
[2] Selain kitab syarah ini, Manzhumah al-‘Azizi juga pernah disyarah atau diberi komentar oleh al-‘Allamah Zainuddin bin ‘Abdul ‘Aziz al-Malibari al-Fannani (987H) melalui karya beliau yang berjudul  نصر الحليم حاشية منظومة العزيزي  atau lebih dikenali dengan judul   حاشية المليباري علي منظومة الشيخ العزيزي في مسائل الجماعة .

[3] Iaitu kitab yang menghurai atau mengkomentarkan karya al-‘Allamah Syamsuddin Abu Abdullah Muhammad bin Qasim Muhammad al-Ghazzi al-Syafi‘i (918H) yang berjudul Fath al-Qarib al-Mujib atau terkenal sebagai Syarh Ibn Qasim al-Ghazzi ‘ala Matn al-Taqrib, yang merupakan huraian bagi Matn al-Taqrib karya al-Qadhi Abu Syuja’, Syihabuddin Ahmad bin al-Hasan bin Ahmad al-Ashbahani (533-593H).