Saturday, June 29, 2013

Rihlah Ibn Bathutha


Muhammad bin Abdullah bin Muhammad bin Bathuthah adalah seorang pengembara (traveler), petualang (adventure), dan pengamat (viewer) yang membuat catatan harian tentang negeri-negeri yang ia kunjungi dalam pengembaraannya.

Catatan perjalanan yang dikenal dengan "Rihlah Ibnu Bathuthah" ini ditulis setelah dirinya mengunjungi berbagai belahan dunia, kemudian mengamati kebudayaan, adat istiadat, dan perilaku masyarakat di negeri-negeri yang ia kunjungi, terutama wilayah yang dipimpin oleh kesultanan Islam.

Banyak kisah menarik yang diceritakan dalam buku catatan perjalanan Ibnu Bathuthah ini, terutama cerita-cerita tentang para sultan, para syaikh, sejarah sebuah negeri, falsafah kehidupan masyarakat setempat dan lain sebagainya yang ia tulis berdasarkan pengamatan langsung dari negeri-negeri yang ia kunjungi. Dari India sampai negeri Cina, dari Afrika sampai Nusantara, Ibnu Bathuthah menceritakan perjalanannya secara apik dan mengesankan. Ia misalnya, menceritakan kunjungannya bertemu dengan seorang sultan di nusantara iaitu dari Kerajaan Samudera Pasai, yang bernama Sultan Malik al-Zhahir.

Ibnu Bathuthah sendiri menyebut hasil karyanya ini sebagai persembahan seorang pengamat tentang kota-kota asing dalam perjalanan yang menakjubkan, yang ia tuangkan dalam sebuah catatan perjalanan. Sebagai sebuah catatan perjalanan membaca buku ini seperti mendengarkan seorang pelacung (guide tour) bercerita tentang negeri-negeri yang menakjubkan dari segala sisi. Pembaca seolah diajak berkelana menyusuri negeri-negeri yang ia kunjungi, kemudian memetik hikmah dan pelajaran dari setiap kejadian dalam perjalanan.

Ibnu Bathuthah berhasil merangkai sebuah catatan perjalanan sebagai karya sejarah bermutu tinggi, yang boleh dijadikan rujukan bagi mereka yang ingin mengetahui sejarah sebuah bangsa dan peradaban manusia.

 
Artikel di atas,  dipetik dan diubahsuai dari pautan berikut;  http://www.cordova-bookstore.com/alkautsar/rihlah_ibnubatutah.htm. 

Semoga bermanfaat.

Thursday, June 27, 2013

Indahnya Hidup Bersyariat


Buku yang ingin saya kongsi  bersama pembaca kali ini ialah sebuah buku yang sangat popular sekarang ini, yang menjadi rujukan di kalangan masyarakat Islam di Malaysia, iaitu buku yang berjudul “ INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT ”.
 
Buku ini merupakan hasil karya tokoh agama dan pendakwah  yang tidak asing lagi di negara kita iaitu Dato’ Ismail Kamus , serta dibantu oleh Ust. Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid, seorang pensyarah di Pusat Matrikulasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA). Buku ini diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd dengan cetakan pertama pada Mac 2009.

Berikut maklumat ringkas mengenai buku ini sebagaimana yang dicatat di bahagian cover   belakangnya;

Kandungan buku INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT ini merupakan panduan untuk diri sendiri (fardu ain), seisi keluarga, masyarakat dan umat sejagat (fardu kifayah). Ia merangkumi syariat ketika kelahiran, fardu ain kanak-kanak, penekanan pendidikan remaja, hukum-hakam muamalat (jual beli), munakahat (nikah kahwin dan rumah tangga) serta amalan zikir, doa dan adab. Semua ilmu bersumberkan al-Quran dan hadis sahih.

Teknik penyampaian buku ini ringkas dan tepat dalam bentuk carta, jadual dan rajah. Semua doa, bacaan dan zikir boleh dibaca dan dihafal dengan mudah. Langkah amalan disampaikan mengikut turutan stepby-step. Media fotografi warna penuh digunakan untuk menunjukkan perkara yang realistik.

Buku ini seharusnya menjadi kewajipan untuk dimiliki oleh setiap rumah, pusat sumber, sekolah dan individ ”.

Buku ini dibahagikan kepada tujuh bab, iaitu;

1.       Syariat Kelahiran
2.      Pendidikan Awal Kanak-kanak
3.      Syariat Berkaitan Remaja
4.      Fardu Ain Asas
5.      Munakahat ( Hukum Perkahwinan)
6.      Syariat Dalam Bermasyarakat
7.      Syariat Sunat Harian Sepanjang Masa

Buku ini masih ada di pasaran dan telah terbitkan edisi barunya yang telah dikemaskini. Ia masih  ada dijual di kedai-kedai buku agama di seluruh negara. Boleh juga dibeli secara online di kedai-kedai buku online yang terkenal di alam cyber.  Selamat membaca.

Wednesday, June 26, 2013

Nihayah al-Tadrib fi Nadzm Ghayah al-Taqrib

Kitab Nihayah al-Tadrib fi Nadzm Ghayah al-Taqrib  merupakan karya Syaikh Syarafuddin Yahya bin Nuruddin bin Musa Bin Ramadhan bin ‘Umairah al-‘Imrithi (988H). Beliau menyusun Kitab Nihayah al-Tadrib ini dalam bentuk nazam  berdasarkan kitab fiqh yang masyhur yang menjadi bahan kajian dan rujukan para pelajar dan ulama mazhab al-Syafi’i, iaitu matan Ghayah al-Taqrib karya al-Qadhi Abu Syuja’ Syihabuddin Ahmad bin al-Hasan bin Ahmad al-Ashbahani (434-500H).
 
Selain kitab Nihayah al-Tadrib, Syaikh al-‘Imrithi juga menyusun kitab yang lain dengan bentuk nazam, seperti kitab nahu (tata bahasa) yang terkenal dengan judul al-Durrah al-Bahiyyah Nadzam al-Ajrumiyyah yang merupakan bentuk nadzam dari kitab al-Ajrumiyah karya Muhammad al-Shanhaji (672-723H). Selain al-Ajurumiyah dan al-Taqrib, beliau juga menadzamkan kitab al-Tahrir karya Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin  Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Sunaiki al-Mishri (823-926H), salah satu kitab mukhtashar dalam fiqh Syafi’i yang paling baik dengan kitabnya al-Taisir fi Nadzam al-Tahrir fi al-Fiqh al-Syafi'i dan kitab al-Waraqat karya Imam Haramain al-Juwayni (478H) dalam Ushul fiqh dengan kitabnya Tashil al-Thuruqat li Nadzam al-Waraqat.
 
Sebagaimana kitab-kitab nadzam yang lain, kitab Nihayah al-Tadrib ini mudah untuk dihafalkan bahkan lebih mudah dari pada kitab-kitab nadzam yang lain, apalagi nadzam kitab yang diselesaikan penulisannya pada tahun 988 H ini berbentuk bahar rojaz. Oleh sebab itu, banyak pujian ulama terhadap nadzam taqrib ini, di antaranya adalah syair berikut:
 
   يا طالب العلم خذ رجوزة نظمت  *** نظم  اللآلي  بأسلاك من الذهب
فهي التي تمنح الطلاب معرفة *** وحفظ أبياتها يغنيك عن كتب

Kitab Nihayah al-Tadrib ini telah  disyarah oleh Syaikh Ahmad al-Fasyani (978 H). Ada juga ta’liqat (penjelasan dalam bentuk catatan kaki) yang disusun oleh Syaikh Muhammad Hasan Habannakah al-Maidani, seorang ulama Syria yang wafat tahun 1978. Ulama ini adalah guru dari Dr. Said Ramadhan al-Buthi (2013M), Dr. Wahbah al-Zuhaili, Dr. Mustafa Khin (1429H), dan Dr. Mustafa Bugha.  Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kitab ini silakan download pada link di bawah ini;
 
 

Semoga bermanfaat.

Thursday, June 20, 2013

Tuntunan Jiwa


Karya ulama yang saya ingin kongsi bersama para pembaca pada kali ini adalah sebuah buku yang disusun oleh salah seorang guru saya ketika saya belajar di peringkat menengah dahulu.  Judul buku tersebut ialah “ Tuntunan Jiwa  atau judul lengkapnya  “ Tuntutan Jiwa ke Arah Kesempurnaan Beribadat ”.

Buku ini merupakan karya Haji Nik Abdul Kadir bin Haji Nik Muhammad, seorang ulama dari negeri Kelantan, yang pernah menjadi Mudir (Pengetua) SMA Ma’ahad Muhammadi (Lelaki), Kota Bharu, iaitu sebuah sekolah agama yang terkenal di negeri Kelantan.

Buku Tuntutan Jiwa ini telah diterbitkan oleh Syarikat Ja’far Rawas, sebuah syarikat penerbitan dan penjual buku agama yang terkenal di Kelantan, dengan cetakan pertamanya pada tahun 1986. Buku ini telah diterbitkan dalam dua edisi, iaitu edisi Rumi dan Jawi.

Buku yang saya miliki adalah buku edisi jawinya, yang disebutkan oleh penyusunnya sebagai cetakan keempat yang telah dibuat pembetulan dan penambahan isinya. Saya memiliki ini sejak tahun 1988 lagi. Ketebalannya merangkumi 140 halaman.

Berikut pengenalan ringkas kandungan buku ini, yang saya petik dari kata muqaddimah penyusunnya sendiri;
                                                                                                                            
“ ….. Segala pujian dan syukur ke hadrat Allah SWT atas sambutan yang diberikan oleh sebahagian kaum muslimin di negeri ini terhadap risalah yang saya namakan “ Tuntunan Jiwa Kea rah Kesempurnaan Ibadat ” yang mengandungi bacaan ibadat: dari bacaan selepas wuduk hinggalah bacaan selepas sembahyang fardu dan seterusnya dari bacaan sembahyang jenazah hinggalah  bacaan-bacaan yang dibaca pada waktu-waktu dan sempena-sempena tertentu di dalam masa aman dan kesusahan, berdasarkan amalan-amalan dan suruhan Nabi saw dan juga amalan-amalan sahabat r.a, yang kesemuanya diberi erti  dan setengah-setengahnya diberi ulasan ringkas

Kandungan buku ini seterusnya dinyatakan oleh penyusunnya;

  ….dan ditambah dengan berbagai jenis bacaan doa yang dipetik dari al-Quran, yang dibaca oleh para nabi dan orang-orang soleh di dalam menghadapi segala keadaan, dan ditambah juga keterangan-keterangan dari al-Quran dan hadis-hadis tentang kelebihan zikir, doa istighfar, dan selawat, serta kelebihan beberapa jenis amalan dan kelakuan, serta kisah Qarun yang terkenal untuk dibuat pengajaran dan panduan di dalam pelayaran kita mengharungi lautan hidup, semoga kita selamat sampai ke tempat yang dituju ”.

Sebenarnya banyak lagi kandungan buku ini yang tidak dapat dipaparkan di sini. Penyusun telah mengakhiri buku Tuntunan Jiwa ini, dengan “Himpunan Zikir-zikir (wirid) untuk dibaca pagi dan petang”. Dimulai dengan zikir-zikir dari ayat al-Quran dan diakhiri dengan kumpulan zikir dari hadis Nabi saw.

Buku ini sentiasa menjadi tatapan saya setiap kali selesai solat, khususnya himpunan zikir-zikir yang dibaca pada pagi dan petang.  Himpunan zikir yang terdapat dalam buku ini hampir sama dengan susunan al-Maktsurat karya Imam Hasan al-Banna.

Buku ini masih ada di pasaran buku-buku agama di beberapa buah kedai di Kelantan, lebih-lebih lagi di kedai buku penerbitnya “Syarikat Ja’afar Rawas” Kota Bharu. Untuk membeli kitab ini secara online sila layari pautan berikut;
http://www.sjr.com.my/product_info.php?products_id=187

Huraian atau syarah kitab ini secara audio boleh diikuti di pautan http://www.niknasri.com/?p=8661 .

Semoga bermanfaat.

Monday, June 17, 2013

Qanun Jinayah Syar'iyah


Buku Qanun Jinayah Syar’iah Dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam Berdasarkan al-Quran Dan al-Hadith ” merupakan sebuah karya fiqh kontemporari yang khusus membincangkan bidang fiqh jenayah dan kehakiman dalam Islam.

Buku ini adalah antara karya fiqh yang bermutu, yang disusun dalam Bahasa Melayu moden, yang dapat menandingi karya-karya fiqh klasik dalam bidang perundangan Islam, yang pernah dihasilkan oleh ulama-ulama nusantara terdahulu seperti kitab  Mir-at al-Thullab karya al-Fanshuri dan Hidayah al-Muta’allim wa ‘Umdah al-Mu’allim karya Syaikh Daud al-Fathani.

Buku ini telah disusun oleh Haji Said Haji Ibrahim (1923-2001M), bekas Mufti negeri Sabah dan diterbitkan oleh Darul Ma’rifah, Kuala Lumpur dengan cetakan pertamanya tahun 1996.

Buku ini menjelaskan kedudukan undang-undang jenayah dalam Islam, iaitu Hudud, Qisas dan Takzir dalam Sistem Perundangan Islam mangikut peruntukan hukum Syara’ yang disebutkan di dalam Quran dan Hadis.

Hukuman jenayah (hudud, qisas dan takzir)  yang berteraskan Quran dan Hadith tidak boleh diketepikan dan tidak boleh dihalang perlaksanaanya oleh undang-undang yang dibuat oleh manusia, kerana undang-undang yang digubal oleh manusia itu tidak boleh mengatasi undang-undang Allah dan menolak Wahyu Ilahi.

Oleh itu buku  “Qanun Jinayah Syar’iyah” ini memberi manfaat dan faedah yang besar terhadap pembaca, pengkaji dan perujuk, khususnya peminat undang-undang Syar’iyah yang ingin untuk mengetahui hakikat sebenar kes-kes yang boleh didakwa dan yang dikenakan hukuman mengikut undang-undang jenayah Islam serta cara-cara penghakiman kes-kes itu. Buku setebal 514 halaman ini,   sangat baik untuk dibeli sebagai bahan rujukan.
 
Buku ini juga boleh dibaca bersama syarahan (huraian)nya, yang lengkap dengan contohnya, yang disampaikan oleh ustaz Ahmad Jailani, di pautan berikut:


Semoga bermanfaat.

Sunday, June 16, 2013

Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj


Kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj  merupakan sebuah kitab fiqh yang terkenal, yang menjadi rujukan para ulama mazhab al-Syafi’i pada zaman mutaakhir. Kitab ini adalah karya al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (909-973H), yang lebih terkenal dengan panggilannya Ibn Hajar al-Haytami.

Kitab yang lebih dikenali dengan judul ringkasnya al-Tuhfah ini merupakan sebuah kitab yang menghuraikan (mensyarahkan) sebuah karya Imam al-Nawawi (631-676H) yang berjudul Minhaj al-Thalibin. Di dalam muqaddimahnya, Ibn Hajar al-Haytami berkata, “ Setelah itu, sudah lama terlintas di dalam fikiranku untuk mengambil berkah dengan memberi sumbangan tehadap sebahagian kitab-kitab Abu Zakariyya Yahya al-Nawawi hinggalah saya berazam untuk berkhidmat terhadap kitabnya al-Minhaj dengan berpedoman kepada kitab-kitab syarahnya yang banyak beredar, serta memberikan jawapan dan tanggapan terhadap beberapa persoalan yang terdapat di dalamnya ” (al-Haytami, 1996:6)

Kitab al-Tuhfah ini merupakan sebuah kitab fiqh utama dalam mazhab al-Syafi’i, yang paling banyak menjadi pegangan muktamad para ulamanya di samping kitab Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, iaitu karya Imam Syamsuddin al-Ramli (1004H), di dalam menjelaskan pendapat-pendapat yang difatwakan di dalam mazhab setelah era al-Nawawi.

Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini sudah dicetak berulang kali bersamaan dengan hasyiahnya, iaitu;

   1.      Hasyiah al-‘Allamah Ahmad bin Qasim al-‘Ubbadi (994H)
         2.      Hasyiah al-‘Allamah Abdul Hamid al-Syarwani al-Daghistani

Menurut al-Syaikh Dr.  Wahbah al-Zuhayli, cetakan kitab al-Tuhfah yang paling elok adalah cetakan Dar al-Kutub  al-‘Ilmiyyah di Beirut yang ditashihkan oleh Syaikh Muhammad Abdul Aziz al-Khalidi.

Download kitab al-Tuhfah di pautan berikut;

Islamweb.net (baca online) 
http://www.islamport.com/isp_eBooks/shf/e-Books/1718.rar 
http://islamport.com/w/shf/Web/1718/1.htm (baca online) 
http://www.almeshkat.net/books/archive/books/tuhft_%20almuhtaj.zip

Semoga bermanfaat.

Wednesday, June 12, 2013

al-Shihhah karya al-Jawhari


Kitab al-Shihhah atau judul lengkapnya Taj al-Lughah wa al-Shihhah al-‘Arabiyyah merupakan sebuah kamus Bahasa Arab yang terkenal, yang menjadi rujukan para ulama dan ahli bahasa Arab sejak turun temurun. Kitab ini adalah sebuah karya Abu Nasr Ismail bin Hammad al-Jawhari al-Farabi (393H), yang terkenal dengan gelaran al-Jawhari.

Para pengkaji dan penyelidik Bahasa Arab bersepakat bahawa al-Jawhari adalah salah satu daripada keajaiban zaman dari sudut kepintaran dan kebijaksanaannya. Beliau dianggap sebagai pemudah kepada dunia perkamusan Bahasa Arab. Beliau telah mencipta kaedah penyusunan kamus mengikut akhiran perkataan. Dalam Bahasa Arab ia dikenali sebagai Qawafi.

Kitab Shihhah karangan al-Jawhari disusun berdasarkan akhiran perkataan. Pembaca yang ingin mencari sesuatu kalimah perlu melihat huruf terakhir pada kalimah (setelah dibuang huruf-huruf tambahan) dan kemudian melihat huruf terawal untuk mengetahui bahagian yang menempatkannya. Huruf terakhir pada binaan kalimah dicari pada bab dan huruf terawal pada binaan kalimah dicari pada bahagian. Contohnya dalam Bab Hamzah, Bahagian Wau, kalimah-kalimah yang akan kita temui ialah وبأ, وثأ, وجأ, ودأ, وذأ, ورأ, وضأ, وطأ, وكأ, ومأ dan seterusnya. al-Jawhari juga bukan sekadar mengambil kira huruf terakhir dan huruf terawal, malah beliau turut menyusun pecahan selepasnya berdasarkan huruf kedua atau ketiga dalam binaan kalimah.

Kitab yang berkaitan dengan kitab al-Shihhah;
 
 
2. Tahdzib al-Shihhah, karya  Mahmud bin Ahmad al-Zanjani.


Semoga bermanfaat.

Friday, June 7, 2013

al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh



Kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh      (الفقه الإسلامي وأدلته  ) merupakan sebuah kitab fiqh agung zaman mutakhir ini, yang masyhur menjadi telaah para ulama dan rujukan di pusat-pusat pengajian Islam. Kitab yang dianggap sebagai sebuah ensiklopedia fiqh dan perundangan Islam ini adalah karya Dr. Wahbah al-Zuhaily - seorang ulama kontemporari yang terkenal di dunia Islam.

Kandungan kitab ini menyentuh keseluruhan aspek tentang fiqh yang bermula daripada persoalan taharah, ibadat, muamalat dan juga aspek-aspek undang-undang jenayah, wasiat, undang-undang keluarga, undang-undang kontrak dan lain-lain.

Pembahasan kitab ini menekankan metod fiqh perbandingan mazhab fiqh, khususnya empat mazhab Ahl al-Sunnah wa Jama’ah, iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali. Namun begitu, terkadang Dr.  Wahbah al-Zuhaily ada menyebut juga madzhab lain seperti Imamiyah dari Syi’ah dan Ibadhiyah dari Khawarij. 

Antara keistimewaan kitab  ini ialah ia juga disertai dengan  pentarjihan hukum yang dilakukan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaily terhadap sesuatu masalah yang dibincangkan berdasarkan  yang  sumber hukum Islam, baik yang naqli maupun aqli yang didasarkan pada prinsip umum dan semangat tasyri’. Sejalan dengan sikap kritis dan praktis ummah, kemasyhuran kitab ini telah mengungguli kitab-kitab fiqh perbandingan karya ulama sebelumnya.

Kitab ini telah mengharumkan nama Dr. Wahbah al-Zuhaili di peringkat internasional.  Kitab fiqh perbandingan ini memiliki pembahasan yang luas dengan bahasa yang jelas dan susunan yang sistematik.  Keterangannya disertai dengan dalil yang jelas dan rujukan yang lengkap serta penjelasan nilai hadis yang dikemukakan.  Pada saat ini kitab al-Fiqh Islami wa Adillatuhu telah mendominasi pengkajian fiqh perbandingan di berbagai institusi pengajian tinggi, dalam berbagai forum ilmiah fiqh dan pengajian serta menjadi rujukan utama para ulama fiqh kontemporari dalam kajian-kajian fiqh mereka.

Perbahasan kitab ini dimulakan dengan seluk-beluk fiqh Islam dan keistimewaannya, sejarah ringkas tokoh-tokoh mazhab, perspektif perbezaan ijtihad fiqh dalam Islam, dan seterusnya dimulakan dengan perbahasan thaharah, solat, sehinggalah kepada perbahasan yang lebih kompleks lainnya.
 
Berikut saya sebutkan perbahasan keseluruhan kitab ini berdasarkan buku Fiqih Islam wa Adillatuhu,  iaitu edisi terjemahan yang diterbitkan oleh Gema Insani, Indonesia; 
 
JILID 1: Pengantar Ilmu Fiqih, Tokoh-tokoh Mazhab Fiqih, Niat, Thaharah, Solat
 
JILID 2: Solat Wajib, Solat Sunnah, Zikir Setelah Solat, Qunut dalam Solat, Solat Jama’ah, Solat Jama' dan Qasar.
 
JILID 3: Puasa, I'tikaf, Zakat, Haji dan Umrah.
 
JILID 4 Membahas : Sumpah, Nadzar, Hal-hal yang dibolehkan dan dilarang, Kurban dan Aqiqah, Teori-teori Fiqih.
 
JILID 5: Hukum Transaksi Kewaangan, Transaksi jual beli, insurans, Khiyar, Akad Jual Beli, Akad Ijarah.
 
JILID 6: Jaminan, Pengalihan hutang, Gadaian, Paksaan, Kepemilikan.
 
JILID 7: Sistem Ekonomi Islam, Pasar Kewangan, Hukum Hadd Zina, Qazaf, Pencurian.
 
 JILID 8: Jihad, Pengadilan dan Mekanisme Mengambil Keputusan, Pemerintahan Dalam Islam.
 
JILId 9: Pernikahan, Talak, Khulu', Meng’illa Istri, Li’an, Zhihar, Masa 'Iddah.  
 
JILID 10: Hak-hak Anak, Wasiat, Wakaf, dan Warisan. 
 
Sebagai makluman tambahan, berdasarkan edisi Dar al-Fikr, kitab al-Fiqh Islami wa Adillatuh ini telah diterbitkan sebanyak 8 jilid.  Ia telah diterbitkan dengan edisi terjemahan dalam berbagai bahasa. Berdasarkan edisi Dar al-Fikr tersebut, berikut saya catatkan dua edisi lengkap terjemahan yang telah diterbitkan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia (sekadar pengetahuan saya);
 
 1.     Edisi terjemahan dalam Bahasa Malaysia telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur dengan judul Fiqh & Perundangan Islam. Bilangan jilidnya menyamai bilangan cetakan Dar al-Fikr, iaitu 8 jilid. Penterjemahan kitab ini telah dilakukan oleh sebuah panel penterjemah yang diketuai oleh Syed Ahmad Syed Hussain.
 
2.      Edisi terjemahan dalam Bahasa Indonesia pula telah diterbitkan oleh Gema Insani dengan judul Fiqih Islam wa Adillatuhu. Bilangan jilidnya sebanyak 10 jilid.

Download kitab edisi Arabnya disini: Cover, Juz 1, Juz 2, Juz 3, Juz 4, Juz 5, Juz 6, Juz 7, Juz 8 

Semoga bermanfaat