Wednesday, June 26, 2013

Nihayah al-Tadrib fi Nadzm Ghayah al-Taqrib


Kitab Nihayah al-Tadrib fi Nadzm Ghayah al-Taqrib (في نظم غاية التقريب نهاية التدريب ) merupakan karya Syaikh Syarafuddin Yahya bin Nuruddin bin Musa Bin Ramadhan bin ‘Umairah al-‘Imrithi (988H). Beliau menyusun Kitab Nihayah al-Tadrib ini dalam bentuk nazam  berdasarkan kitab fiqh yang masyhur yang menjadi bahan kajian dan rujukan para pelajar dan ulama mazhab al-Syafi’i, iaitu matan Ghayah al-Taqrib karya al-Qadhi Abu Syuja’ Syihabuddin Ahmad bin al-Hasan bin Ahmad al-Ashbahani (434-500H).

Selain kitab Nihayah al-Tadrib, Syaikh al-‘Imrithi juga menyusun kitab yang lain dengan bentuk nazam, seperti kitab nahu (tata bahasa) yang terkenal dengan judul al-Durrah al-Bahiyyah Nadzam al-Ajrumiyyah yang merupakan bentuk nadzam dari kitab al-Ajrumiyah karya Muhammad al-Shanhaji (672-723H). Selain al-Ajurumiyah dan al-Taqrib, beliau juga menadzamkan kitab al-Tahrir karya Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin  Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Sunaiki al-Mishri (823-926H), salah satu kitab mukhtashar dalam fiqh Syafi’i yang paling baik dengan kitabnya al-Taisir fi Nadzam al-Tahrir fi al-Fiqh al-Syafi'i dan kitab al-Waraqat karya Imam Haramain al-Juwayni (478H) dalam Ushul fiqh dengan kitabnya Tashil al-Thuruqat li Nadzam al-Waraqat.

Sebagaimana kitab-kitab nadzam yang lain, kitab Nihayah al-Tadrib ini mudah untuk dihafalkan bahkan lebih mudah dari pada kitab-kitab nadzam yang lain, apalagi nadzam kitab yang diselesaikan penulisannya pada tahun 988H ini berbentuk bahar rojaz. Oleh sebab itu, banyak pujian ulama terhadap nadzam taqrib ini, di antaranya adalah syair berikut:

يا طالب العلم خذ رجوزة نظمت  *** نظم  اللآلي  بأسلاك من الذهب
فهي التي تمنح الطلاب معرفة *** وحفظ أبياتها يغنيك عن كتب

Kitab Nihayah al-Tadrib ini telah  disyarah oleh Syaikh Ahmad bin Hijazi bin Badir al-Fasyani (978 H) melalui karyanya yang berjudul Tuhfah al-Habib (تحفة الحبيب بشرح نظم غاية التقريب في فقه مذهب الإمام الشافعي). Ada juga ta’liqat (penjelasan dalam bentuk catatan kaki) yang disusun oleh Syaikh Muhammad Hasan Habannakah al-Maidani, seorang ulama Syria yang wafat tahun 1978. Ulama ini adalah guru dari Dr. Said Ramadhan al-Buthi (2013M), Dr. Wahbah al-Zuhaili, Dr. Mustafa Khin (1429H), dan Dr. Mustafa Bugha.  Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kitab ini silakan download pada link di bawah ini;



Artikel ini diubahsuai dari artikel di pautan berikut; http://mutakhorij-assunniyyah.blogspot.com/2013/05/membaca-taqrib-dalam-bentuk-nadhom.html. Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment