Thursday, June 20, 2013

Tuntunan Jiwa


Karya ulama yang saya ingin kongsi bersama para pembaca pada kali ini adalah sebuah buku yang disusun oleh salah seorang guru saya ketika saya belajar di peringkat menengah dahulu.  Judul buku tersebut ialah “ Tuntunan Jiwa  atau judul lengkapnya  “ Tuntutan Jiwa ke Arah Kesempurnaan Beribadat ”.

Buku ini merupakan karya Haji Nik Abdul Kadir bin Haji Nik Muhammad, seorang ulama dari negeri Kelantan, yang pernah menjadi Mudir (Pengetua) SMA Ma’ahad Muhammadi (Lelaki), Kota Bharu, iaitu sebuah sekolah agama yang terkenal di negeri Kelantan.

Buku Tuntutan Jiwa ini telah diterbitkan oleh Syarikat Ja’far Rawas, sebuah syarikat penerbitan dan penjual buku agama yang terkenal di Kelantan, dengan cetakan pertamanya pada tahun 1986. Buku ini telah diterbitkan dalam dua edisi, iaitu edisi Rumi dan Jawi.

Buku yang saya miliki adalah buku edisi jawinya, yang disebutkan oleh penyusunnya sebagai cetakan keempat yang telah dibuat pembetulan dan penambahan isinya. Saya memiliki ini sejak tahun 1988 lagi. Ketebalannya merangkumi 140 halaman.

Berikut pengenalan ringkas kandungan buku ini, yang saya petik dari kata muqaddimah penyusunnya sendiri;
                                                                                                                            
“ ….. Segala pujian dan syukur ke hadrat Allah SWT atas sambutan yang diberikan oleh sebahagian kaum muslimin di negeri ini terhadap risalah yang saya namakan “ Tuntunan Jiwa Kea rah Kesempurnaan Ibadat ” yang mengandungi bacaan ibadat: dari bacaan selepas wuduk hinggalah bacaan selepas sembahyang fardu dan seterusnya dari bacaan sembahyang jenazah hinggalah  bacaan-bacaan yang dibaca pada waktu-waktu dan sempena-sempena tertentu di dalam masa aman dan kesusahan, berdasarkan amalan-amalan dan suruhan Nabi saw dan juga amalan-amalan sahabat r.a, yang kesemuanya diberi erti  dan setengah-setengahnya diberi ulasan ringkas

Kandungan buku ini seterusnya dinyatakan oleh penyusunnya;

  ….dan ditambah dengan berbagai jenis bacaan doa yang dipetik dari al-Quran, yang dibaca oleh para nabi dan orang-orang soleh di dalam menghadapi segala keadaan, dan ditambah juga keterangan-keterangan dari al-Quran dan hadis-hadis tentang kelebihan zikir, doa istighfar, dan selawat, serta kelebihan beberapa jenis amalan dan kelakuan, serta kisah Qarun yang terkenal untuk dibuat pengajaran dan panduan di dalam pelayaran kita mengharungi lautan hidup, semoga kita selamat sampai ke tempat yang dituju ”.

Sebenarnya banyak lagi kandungan buku ini yang tidak dapat dipaparkan di sini. Penyusun telah mengakhiri buku Tuntunan Jiwa ini, dengan “Himpunan Zikir-zikir (wirid) untuk dibaca pagi dan petang”. Dimulai dengan zikir-zikir dari ayat al-Quran dan diakhiri dengan kumpulan zikir dari hadis Nabi saw.

Buku ini sentiasa menjadi tatapan saya setiap kali selesai solat, khususnya himpunan zikir-zikir yang dibaca pada pagi dan petang.  Himpunan zikir yang terdapat dalam buku ini hampir sama dengan susunan al-Maktsurat karya Imam Hasan al-Banna.

Buku ini masih ada di pasaran buku-buku agama di beberapa buah kedai di Kelantan, lebih-lebih lagi di kedai buku penerbitnya “Syarikat Ja’afar Rawas” Kota Bharu. Untuk membeli kitab ini secara online sila layari pautan berikut;
http://www.sjr.com.my/product_info.php?products_id=187

Huraian atau syarah kitab ini secara audio boleh diikuti di pautan http://www.niknasri.com/?p=8661 .

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment