Thursday, May 30, 2013

AL-ZUBAD (الزبد)


Matn al-Zubad (متن الزبد), juga dikenali dengan kitab Manzhumah Shafwah al-Zubad atau Alfiyyah al-Zubad fi al-Fiqh al-Syafi’i merupakan salah sebuah karya fiqh dalam mazhab al-Syafi’i dalam bentuk puisi (nazam) yang mengandungi lebih daripada 1,000 bait yang sangat terkenal di seluruh dunia Islam. Sejak dari dahulu sehingga kini penghafalan Matn al-Zubad diberi penekanan oleh institusi-institusi tradisional Islam seperti di pondok-pondok atau pesantren-pesantren.
Matan Zubad adalah hasil karya Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin al-Husain bin Hasan bin ‘Ali bin bin Ruslan al-Ramli al-Maqdisi al-Syafi’i (753H -844H). Ulama yang dikenali dengan Ibn Ruslan dilahirkan di Ramlah, Palestin dan wafat di Baitulmaqdis, Palestin.  Dikatakan kitab Matn al-Zubad susunan Ibn Ruslan ini sebenarnya berasal dari sebuah karya HibatuLlah bin Abd al-Rahim al-Barazi (645-738H), iaitu sebuah kitab yang disusun kembali dari Matn Abu Syuja’ dengan beberapa penambahan oleh pengarangnya. Wallahu a’lam.

Kandungan Matn al-Zubad;

Secara umumnya Matn al-Zubad boleh dibahagikan kepada 4 bahagian, iaitu;

1.       Pendahuluan (Tamhid)

2.      Bidang Aqidah( al-Muqaddimah fi ‘Ilm al-Ushul)

3.      Bidang Fiqh: menerangkan mengenai masalah-masalah fiqh menurut mazhab al-Syafi’i, bermula dengan Kitab al-Thaharah hingga kitab al-Qadha’, iaitu meliputi semua masalah fiqh yang biasa disentuh oleh para fuqaha. Perbincangan mengenai bidang fiqh merupakan kandungan utama kitab ini.
4.      Penutup (al-Khatimah fi ‘Ilm al-Tashawwuf); diterangkan secara  ringkas mengenai bidang tasawwuf.
Matn al-Zubad ini telah mendapat perhatian yang tinggi di kalangan ulama fiqh mazhab al-Syafi’i. Mereka telah menyusun beberapa buah kitab fiqh yang menjadi rujukan dalam mazhab al-Syafi’i  sebagai syarah (huraian) Matn al-Zubad. Di antara syarah kitab al-Zubab ialah; 
1.       Ghayah al-Bayan Fi Syarh Zubad ibn Ruslan; karya al-‘Allamah Syamsuddin Muhammad bin Abu al-Abbas Ahmad al-Ramli.
2.      Mawahib al-Shamad Fi Hall Alfaz al-Zubab; karya Syaikh Ahmad bin Hijazi al-Fasyani.
3.      Ifaadah al-Saadah al-Umad bi Taqrir Ma’ani Nazam al-Zubad ; karya al-‘Allamah al-Sayyid Muhammad bin Ahmad bin ‘Abd al-Baari al-Ahdal.
4.      Faidh al-Manan Syarh Zubad Ibn Ruslan; karya al-‘Allamah al-Sayyid Yusuf bin Muhammad al-Bathah al-Ahdal.
5.      Fath al-Mannan Tarjamah li Shafwah al-Zubad; karya al-Syaikh Daud bin Syaikh Wan ‘Abdullah al-Fathani.
Untuk mengetahui lebih lanjut kandungan Matn al-Zubad, sesiapa yang berminat boleh mendownload Matn al-Zubad di Link Download atau  di pautan berikut;
Semoga bermanfaat.

Tuesday, May 28, 2013

al-Hawi al-Shaghir

 
 
Kitab al-Hawi al-Shaghir (الحاوي الصغير)merupakan sebuah kitab fiqh yang menjadi rujukan para ulama dalam mazhab  al-Syafi’i.  Kitab ini adalah sebuah karya Imam Najmuddin Abdul Gaffar bin Abdul Karim al-Qazwaini al-Syafi’i (عبد الغفار بن عبد الكريم القزويني الشافعي ) (585-665H). 
 
Kitab al-Hawi al-Shaghir ini merupakan ringkasan bagi kitab Fath al-‘Aziz  atau al-Syarh al-Kabir karya  al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi-‘iy al-Qazwaini (624H). Manakala Kitab al-Hawi al-Shaghir ini telah diringkaskan lagi oleh ulama yang terkemudian, iaitu; 
 
1.       Ibn al-Wardi,  Zaynuddin Abu Hafsh ‘Umar bin al-Muzaffar bin ‘Umar al-bin al-Wardi Mu’arri al-Kindi (749H) dengan kitabnya al-Bahjah al-Wardiyyah , iaitu ringkasan dalam bentuk nazam. 
 
2.      Ibn al-Muqri’ Ismail bin Abu Bakr bin Abdullah al-Muqri al-Zabidi al-Yamani (837H), dengan kitabnya  al-Irsyad
 
Kitab al-Bahjah al-Wardiyyah kemudiannya telah disyarah oleh  Syaikh al-Islam Abu Yahya Zakariya al-Anshari (823-926H) dengan kitabnya al-Gharar al-Bahiyyah Syarh al-Bahjah.  
 
Manakala kitab al-Irsyad tersebut telah disyarah sendiri oleh Ibn al-Muqri’ melalui kitabnya al-Ikhlash al-Nawiy fi Syarh al-Irsyad al-Ghawi. Kemudiannya Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (973H) juga menghasilkan karyanya al-Imdad fi Syarh al-Irsyad  sebagai syarah bagi kitab al-Irsyad tersebut.
 
Di samping itu, Ibn Hajar al-Haytami juga ada membuat komentar bagi kitab al-Ikhlash al-Nawiy karya Ibn al-Muqr’ di atas dengan kitabnya Fath al-Jawwab fi Syarh al-Ikhlash
 
Untuk membaca kitab al-Hawi al-Shaghir ini, pembaca boleh memuat turun kitab ini dalam bentuk file PDF di pautan di bawah. Kitab ini merupakan kitab yang dicopy  dari edisi yang ditahkik oleh Dr. Shalih bin Muhammad bin Ibrahim, iaitu asalnya sebuah karya ilmiah yang dihasilkan untuk mendapatkan Ijazah PhD. Kitab ini telah dicetak  oleh Dar Ibn al-Jawzi pada tahun 1430H.  

Download Kitab PDF

Semoga bermanfaat.

al-Durar al-Bahiyyah Fima Yalzam al-Mukallaf min 'Ulum al-Syar'iyyah


Kitab al-Durar al-Bahiyyah fiima yalzamu al-Mukallaf min al-‘ulum al-syar’iyyah  (الدرر البهية فيما يلزم المكلف من العلوم الشرعية) adalah sebuah kitab yang disusun oleh Syaikh al-‘Allamah Abu Bakr Utsman bin al-‘Arif Billah Sayyid Muhammad Zainuddin Syatha al-Dimyathi al-Syafi’i.

Syaikh Abu Bakr bin Muhammad Syatha al-Dimyathi (أبي بكر بن محمد شطا الدمياطي)  dilahirkan pada tahun 1266H/1850M dan wafat tahun 1310H/1893M. Beliau merupakan  seorang guru yang terkenal di Masjid al-Haram Makkah dan salah seorang murid al-‘Allamah Sayyid Ahmad Zaini Dahlan Mufti al-Syafi’iyyah di Makkah al-Mukarramah pada zamannya.

Syaikh Abu Bakr Syatha telah menyusun kitab ini dengan menghimpunkan ilmu-ilmu yang patut diketahui dan diamalkan oleh setiap muslim yang mukallaf. Kitab ini dimulai dengan sebuah muqaddimah yang menerangkan kelebihan ilmu dan kelebihan ilmu fiqh berbanding dengan ilmu yang lain. Seterusnya Syaikh Abu Bakr Syatha telah menerangkan di fasal pertama kitabnya mengenai asas aqidah yang perlu diketahui. Kemudiannya beliau menerangkan mengenai beberapa kewajipan mukallaf dan perkara yang berkaitan dengan fiqh al-ibadah yang terkandung dalam rukun Islam dan yang berkaitan dengannya. Boleh dikatakan kandungan utama kitab ini adalah mengenai bidang fiqh beraliran mazhab al-Syafi’i.

Syaikh Abu Bakr Syatha  mengakhiri kitab beliau ini dengan sebuah al-khatimah (penutup) yang mengandungi beberapa huraian ringkas mengenai bidang tasawwuf. Kitab ini selesai disusun pada bulan Zulkaedah 1303H.

Berikut saya lampirkan isi kandungan kitab al-Durar al-Bahiyyah ini berdasarkan kitab yang dicetak di India oleh Maktabah Isya’at al-Islam.


1. Muqaddimah
2. Alamat ( tanda-tanda) Keimanan
3. Sifat-sifat Allah
4. Kewajipan Mukallaf
5. Fasal Mengenai Hukum Syarak
6. Fasal Mengenai Bersuci (Thaharah)
7. Fasal mengenai Qadha Hajat
8. Fasal mengenai Istinjak
9. Berwuduk
10. Menyapu Khuf dan Tayammum
11. Mandi
12. Haid
13. Nifas
14. Waktu-waktu Solat
15. Solat Berjemaah
16. Solat Jumaat
17. Solat Musafir
18. Solat Sunat
19. Kaifiat Solat Jenazah
20. Zakat
21. Puasa
22. Iktikaf
23. Haji dan ‘Umrah
24. Penutup (Khatimah)

Kitab ini telah diberikan huraian (syarah) oleh al-‘Allamah Syaikh Abdul Hamid bin Muhammad Ali Qudus bin Abdul Qadir al-Khathib (1280-1335 /1863-1917), melalui karyanya yang berjudul al-Anwar al-Sunniyyah ‘ala al-Durar al-Bahiyyah (الدرر البهية الأنوار السنية على).

Kitab ini boleh didownload di pautan berikut  Link Download . 4Shared

Sunday, May 26, 2013

Fatawa Imam al-Ghazali

 
Kitab Fatawa Imam al-Ghazali merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan beberapa fatwa-fatwa Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali al-Thusi (450-505H) mengenai masalah fiqh menurut mazhab al-Syafi’i. Dalam kitab ini terdapat sebanyak 190 masalah yang telah dihuraikan Imam al-Ghazali berdasarkan persoalan-soalan yang dikemukakan kepada beliau.
 
Sebagaimana yang kita ketahui Imam al-Ghazali adalah seorang ulama fiqh terkemuka dalam mazhab al-Syafi’i. Kitab-kitab fiqh karyanya seperti al-al-Basith, al-Wasith dan Wajiz telah menjadi rujukan utama para ulama selepas beliau.

Kitab Fatawa ini boleh dikategorikan sebagai kitab yang langka, kerana susah untuk dapatkannya.  Tidak sebagaimana kitab-kitab beliau yang lain seperti Ihya’ ‘Ulumiddin dan karya-karya tasawwufnya banyak beredaran di pasaran, sama ada dalam bahasa ‘Arab maupun terjemahannya dalam berbagai bahasa.
 
Setakat maklumat yang saya dapati terdapat sebuah edisi kitab ini yang telah cetak dan telah dicopy dalam file PDF. Kitab ini telah dtahqiq oleh Musthafa Mahmud Abu Shawi dan diterbitkan oleh Ma’ahad al-‘Ali al-‘Alami li al-Fikr wa al-Hadharah al-Islamiyyah (ISTAC), Kuala Lumpur pada tahun 1996.  Bagi mendapat maklumat lanjut mengenai kitab ini dan membaca isi kandungannya, sila download kitab ini pada pautan di bawah. Semoga dengan adanya kitab ini boleh menjadikan wasilah keberkahan dan mengabadikan ilmu-ilmu para ulama yang menjadi para pewaris para Nabi.
 فتاوى الإمام الغزالي - رحمه الله
حققه: مصطفى محمود أبو صوى.
طبعة: المعهد العالي العالمي للفكر والحضارة الإسلامية,
كوالا لمبور - ماليزيا.
Download Kitab PDF

Maklumat awal mengenai kitab Fatawa al-Ghazali ini, saya dapati dari http://kitab-islami.blogspot.com/2013/04/download-kitab-fatawa-imam-al-ghazali.html. Namun begitu, artikel di atas saya telah susun kembali dengan beberapa tambahan berdasarkan tela’ah  ringkas saya terhadap kitab tersebut.  Maklumat lanjut mengenai kitab ini juga boleh dibaca di http://www.ghazali.org/site-ms/oeuvre-j.htm. Semoga bermanfaat.
 

Saturday, May 25, 2013

al-Mihal wa al-Nihal

 
Buku al-Milal wa al-Nihal (Aliran-Aliran Teologi Dalam Sejarah Umat Manusia) karya Muhammad B. Abdul Karim al-Syahrastani (Wafat: 548H) atau lebih dikenali dengan nama al-Syahrastani ini banyak merakam sejarah panjang kelompok-kelompok pemikiran para ahli falsafah, teologi, dan ahli hikmah termasyhur dari pelbagai penjuru dunia, yang membentang luas sejak ribuan tahun silam, bermula dari para pemikir pra-Sokrates (mis. Thales, Phitagoras), Plato, Aristotles, Porphyry, sehinggalah kepada al-khawarij, Qadariyah, Jabbariyah, Syi'ah, sufi, muktazilah, ilmu kalam bawaan Ibnu Sina dan al-Farabi; dari tradisi pemikiran kuno seperti al-Sabiah, al-Hanifah, dan Stoic sehinggalah kepada aliran Tanasukh (Reinkarnasi), hulul, dan al-Kabilah (Pemuja Spiritualisme) juga turut dikupas.
 
Yang mana telah kita maklum bahawa tsabit dalam perkhabaran hadis bahawa umat Islam akan terpecah menjadi 73 kelompok aliran semuanya. Sebagaimana umat sebelumnya dari kalangan Yahudi dan Nashara terbahagi menjadi 71 dan 72 kelompok. Buku ini memberi wawasan luas kepada para pembaca dan pengkaji berkenaan proses dialektika pemikiran dari manusia-manusia pemikir yang tidak mengenal penat lelah dalam pencarian soal kebenaran dan hakikat kehidupan, berkenaan tema-tema besar kemanusian, ruh, emosi, akal, libido, ego, malaikat, nabi, dan Tuhan, yang menjadi kajian ilmu-ilmu agama (teologi), falsafah, psikologi dan spiritual. Tidak dapat disangkal bahawa banyak tema-tema yang dibahaskan di dalam buku ini menjadi dasar dan landasan berfikir para manusia moden sekarang ini. Tidak menghairankan jika isu-isu moden sekarang seperti demokrasi, HAM (gerakkan hak asasi manusia), hak kebebasan bersuara, anti-kekerasan, dan gerakan spiritualisme adalah kelanjutan dari idea-idea besar dari para kelompok pemikir masa lalu.
 
Yang mengkagumkan daripada al-Syahrastani adalah kebijakan (kegeniusan) beliau dalam mencerna hujah-hujah dan bantahan terhadap para ahli falsafah serta teologi yang kompleks dan rumit ke dalam bahasa yang sederhana dan kuat. Yang juga menarik adalah bahawa paparan sejarah pemikiran umat manusia ini selalu dikaitkan dengan teks-teks al-Qur’an. al-Syahrastani menggariskan kecemerlangan idea-idea para ahli falsafah dan hikmah-hikmah kehidupan serta melakukan kritikan secara logik yang dianggap menyimpang (dari aqidah Islam) dengan mengutip dan mendasarkan diri dengan ayat-ayat al-Qur’an berkenaan tema-tema yang berkaitan. Buku ini telah terbukti sebagai suatu bentuk karya klasik yang diabadikan oleh para pengkaji dan ulama sebagai suatu hasil karya yang menawarkan kearifan dan pencerahan bagi para pembacanya. Ini adalah salah satu karya yang sangat masyhur dalam bidang perbandingan pemikiran dan aliran dalam Islam selain turut memuatkan perbandingan agama antara Islam dengan Yahudi, Nashara, dan juga Hindu.
 
Menurut al-Syahrastani, di antara dasar pokok penyusunan buku ini adalah bagi memaparkan dan menjelaskan:
 
1.  Mengapa terdapat pelbagai jenis kelompok manusia dalam berideologi dan beragama.
2. Faktor pendorong kepada munculnya pelbagai kelompok pemikiran dalam Islam.
3. Syubhat dalam memahami agama.
4. Muncul perbezaan pemikiran, puncanya, sumber ambilan fakta, dan kesan akibatnya.
5. Menjelaskan ciri-ciri dan kriteria setiap kelompok pemikrian yang wujud.
 
Penyusunan buku  ini banyak mengambil sumber rujukan dari karya-karya para tokoh terdahulu semisal Maqalat al-Islaamiyyin oleh Abu al-Hasan al-Asy'ari rahimahullah (324H), al-Fashl fi al-Milal wa al-Nihal oleh Ibnu Hazm rahimahullah (456H), dan al-Farq baina al-Firaq oleh 'Abdul Qahir al-Baghdadi rahimahullah (429H).
 
Selain menjadi rujukan umat Islam, buku ini juga turut menjadi rujukan penting di sisi para pengkaji orientalis dan barat kerana di dalamnya mengemukakan fakta-fakta penting yang akurat sekitar sejarah dan latar belakang pemikiran falsafah Yunani baik yang terdahulu atau yang terkemudian.
 
al-Syahrastani selain mengarang buku al-Milal wa an-Nihal ini, beliau turut menyusun buku-buku lain yang tidak kurang hebatnya dalam bidang yang hampir sama. Dan beliau turut terkenal sebagai tokoh yang banyak membuat kritikan terhadap ilmu kalam, aliran falsafah, dan tamadun Yunani yang sememangnya pada zaman beliau pemikiran tersebut berkembang pesat meracuni aqidah umat Islam. Hasil-hasil karya beliau banyak dimanfaatkan oleh ulama sesudahnya termasuklah al-Hafiz Ibnul Qayyim rahimahullah (751H).

Wednesday, May 22, 2013

AL-AZKAR AL-NAWAWIYYAH

Kitab al-Azkar al-Muntakhabah min Kalaam Sayyid al-Abraar merupakan sebuah kitab yang terkenal karya al-Imam Muhyiddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H) atau terkenal dengan julukan Imam al-Nawawi. Di kalangan masyarakat Islam kitab ini lebih dikenali dengan nama Kitab  al-Azkar al-Nawawiyyah.  Dalam kitab ini, Imam al-Nawawi rahimahullah menghimpunkan hadis-hadis yang menyebutkan doa-doa dan zikir-zikir daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Maka, kitab ini sangatlah bermanfaat bagi sesiapa yang mahu mengetahui dan mendalami doa-doa harian dan zikir-zikir harian yang terdapat dalam hadis-hadis Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam berserta adab-adab dan etikanya. 
Imam al-Nawawi mengatakan di dalam mukaddimah kitab al-Azkar-nya;  
“ Bahawa sebaik-baik keadaan seorang hamba adalah di saat dia berzikir kepada Rabb-Nya, iaitu Rabb sekalian alam. Dia menyibukkan dirinya dengan zikir-zikir yang diriwayatkan dari Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam, pemimpin seluruh Rasul. Para ulama telah menulis banyak kitab yang berkaitan dengan amalan seharian, doa-doa, dan zikir-zikir yang diketahui oleh mereka yang telah mengenal Allah Subhanahu wa Ta'ala. Namun semua itu terlalu panjang dengan banyaknya sanad dan pengulangan sehingga menjadikan orang yang ingin mempelajarinya merasa jemu.  Maka di sini, saya berhasrat untuk memudahkan hal tersebut bagi yang menginginkan. Kemudian saya menghimpunkan kitab ini sebagai suatu ringkasan terhadap tujuan-tujuan yang saya sebutkan di atas, dan bukan untuk mengetahui sanad-sanadnya, kerana kebanyakan mereka tidak menyukainya kecuali sedikit. Tujuan yang sebenarnya adalah untuk mengetahui zikir-zikir tersebut, lalu mengamalkannya. Kemudian saya menjelaskan hal-hal yang kelihatan samar bagi mereka yang ingin mencari petunjuk, dan insya-Allah sebagai ganti dari sanad-sanad yang tidak saya sertakan tersebut, saya akan menyertakan hal yang lebih penting lagi, iaitu menjelaskan status hadis tersebut sama ada sahih, hasan, dha'if, atau mungkar. Ini adalah yang lebih diperlukan oleh semua orang kecuali sedikit dari kalangan ahli hadis. Ini adalah suatu hal penting yang wajib untuk dipegang teguh, lagi diperlukan oleh para pelajar dari kalangan penghafaz, demikian juga dengan para imam, saya juga menyertakannya dengan beberapa dasar penting ilmu hadis, perincian hukum-hakam fiqh, kaedah-kaedah penting, galakkan, dan etika atau adab-adab yang penting yang peru diketahui oleh mereka yang mendalami tasawuf. Saya akan menjelaskan semua itu dengan bahasa yang mudah difahami oleh kalangan awam dan kaum terpelajar ”. 
Isi Kandungan al-Azkar; 
Kitab ini secara umumnya, dibahagikan mengikut bab-bab tertentu mengenai doa-doa, zikir-zikir, dan adab-adab tertentu dalam Islam. Di antara bab-bab tersebut adalah seperti: 
1. Mukaddimah, keutamaan dan kedudukan zikir, serta adab-adab asas tentang zikir dan doa.
2. Keutamaan dzikir.
3. Doa-doa seharian.
4. Adab-adab terhadap al-Qur'an.
5. Bab Pujian terhadap Allah.
6. Selawat ke Atas Nabi.
7. Zikir-zikir dan Doa-doa untuk hal-hal khusus tertentu.
8. Zikir-zikir yang dibaca ketika solat, baik solat wajib ataupun yang sunnah.
9. Zikir-zikir tentang Ramadhan, dan bulan-bulan tertentu.
10. Zikir-zikir yang berkaitan dengan haji.
11. Zikir-zikir yang berkaitan dengan jihad.
12. Zikir-zikir ketika makan dan minum.
13. Zikir dan adab-adab ketika bersin, serta sunnah mendoakan keselamatan.
14. Zikir-zikir yang berkaitan dengan pernikahan.
15. Bab nama dan kun-yah (gelaran). 
16. Pelbagai zikir-zikir yang bersifat umum.
17. Bab menjaga lisan.
18. Adab-adab berdoa. 
19. Bab Istighfar. 
Dan banyak lagi sub-perbahasan yang lainnya yang mana di dalamnya menghimpunkan berbagai jenis doa dan zikir-zikir yang diambil dari hadis-hadis Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam. 
Kitab-kitab  yang berkaitan dengan kitab al-Azkar; 
Berikut dilampirkan beberapa buah yang menghuraikan, memberi catatan ringkas dan mentakhrij hadis-hadis dalam kitab al-Azkar al-Nawawiyyah; 
1.       Nata-ij al-Afkar fi Takhrij Ahadits al-Azkar, karya al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani (852H). Dalam kitab ini al-‘Asqalani telah memberi komentar dan mentakhrij terhadap hadis-hadis yang terdapat dalam kitab al-Azkar. Kitab ini boleh didownload di pautan berikut: http://read.kitabklasik.net/2010/07/nataij-al-afkar-fi-takhrij-ahaditsi-al.html  
2.      Amali al-Azkar, karya al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani (852H). Dalam kitab ini juga al-‘Asqalani telah mentakhrij dan memberi komentar mengenai kedudukan hadis-hadis-hadis  yang terdapat dalam kitab al-Azkar. 
3.    Tuhfah al-Abrar bi Nukat al-Azkar, karya al-Hafizh Jalaluddin Abdul Rahman al-Sayuthi (911H). Dalam kitab ini al-Sayuthi memberikan beberapa catatan ringkas mengenai sebahagian hadis-hadis yang terdapat dalam kitab al-Azkar. Catatan-catatan tersebut diambil oleh al-Sayuthi dari kitab Amali al-Azkar, iaitu sebuah karya al-Hafizh Ibn hajar al-‘Asqalani. Oleh itu kitab Tuhfah al-Abrar ini boleh dianggap sebagai ringkasan kitab al-Amali tersebut. Kitab ini boleh didownload di pautan berikut:  http://ia600604.us.archive.org/17/items/waq8797/8797.pdf  
4.      al-Futuhat al-Rabbaniyyah ‘ala al-Azkar al-Nawawiyyah, karya al-Allamah Syeikh Muhammad bin ‘Allan al-Siddiqi al-Syafi’i (1057H).  Kitab ini merupakan kitab yang menghuraikan kandungan kitab al-Azkar agak terperinci. Ibn ‘Allan telah mentakhrij hadis-hadis yang terdapat dalam kitab al-Azkar dan menghuraikan maksud hadis-hadis di dalamnya. Kitab ini dianggap sebagai kitab pertama yang menghuraikan (mensyarah) isi kandungan kitab al-Azkar. Kitab ini telah dicetak oleh kebanyakan penerbit sebanyak 7 jilid. Kitab ini boleh dibaca dan didownload di pautan berikut:  http://archive.org/details/futohat  
Terjemahan kitab al-Azkar al-Nawawiyyah;   
Kitab al-Azkar telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu atau Indonesia oleh beberapa syarikat penerbitan, antaranya; 
1. Terjemahan al-Azkar Imam an-Nawawi; Jadikan Zikir  Sebagai Amalan dan penyuluh Hidup. Diterjemahkan oleh Panel penterjemah dari kitab yang ditahqiq Muhammad Abdul Qadir Syahin. Diterbitkan oleh Al-Hidayah Publication (C-2, 2010), dengan ketebalannya 699 halaman.
2. الأذكار terjemah al-Azkar: pilihan dari kalimat-kalimat Rasulullah s.a.w. Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Antara, Kuala Lumpur (C-?, 2000) dengan ketebalan 837 halaman.
3. Al-Adzkar: kumpulan doa dan zikir. Diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait dan diterbitkan oleh Pustaka Nasional, Singapura (2000). Buku  ini telah diterbitkan dalam dua edisi, iaitu edisi Rumi dan Jawi. 
4. Tarjamah al-Adzkar an-Nawawi (mutiara ibadah, dzikir, doa). Telah diterjemahkan oleh Alhamid dan Zaid Husein dan diterbitkan oleh Alharamain, Kuala Lumpur (1985). 
5. Al-Adzkar : ensiklopedi do'a dan dzikir dalam al-Quran dan as-Sunnah as-Shahihah. Diterjemahkan oleh Ghafur Saub, dan Irfanuddin Rafiuddin. Diterbitkan  oleh Pustaka as-Sunnah, Jakarta (2007) 
6. Ensiklopedi mutiara doa, dzikir & amalan harian Nabi. Diterbitkan oleh Rabitha Press, Jakarta (2009)
7. Tarjamahan al-Adzkar.  Diterbitkan oleh PT AlMa'arif, Bandung (1984). 
Semoga bermanfaat.

Wednesday, May 15, 2013

al-Asybah wa al-Nazhair karya Ibn al-Murahhil


Kitab " al-Asybah wa al-Nazhair fi Fiqh al-Syafi'iyah (الأشباه والنظائر في فقه الشافعية) " yang ingin dipaparkan di sini adalah sebuah kitab yang  membincangkan kaedah fiqh karya al-Imam al-Muhaddis al-Faqih Muhammad bin Umar bin Makki yang digelar Shadruddin, dan dipanggil Abu Abdullah bin al-Murahhil. Di Syam, beliau lebih dikenali sebagai Ibn Wakil al-Mishri. Beliau dikenali dengan nama tersebut sehingga ke akhir hayatnya.  Lahir di Dimyat pada tahun 665 H. Membesar di Damsyik dan mempelajari ilmu melalui bapanya dan fuqaha hebat pada zamannya. Beliau mempelajari Usul Fiqh dari Safiyuddin al-Hindi. Beliau seorang yang hebat pada zamannya dari segi kecerdikan, hafalan dan ingatan. Beliau terkenal sebagai ulama besar Syafi'iyyah di Syam yang memimpin Dar al-Hadis al-Asyrafiyyah pada zamannya. Beliau meninggal dunia pada tahun 716H.
Ibn Kathir menyebut tentang Ibn al-Murahhil: " Beliau ialah Syaikh al-Syafi’iyyah pada zamannya, paling masyhur pada masanya, banyak mengajar, memtela’ah buku dan mengarang."  al-Subki ada menyebut di dalam al-Tabaqat: "Beliau seorang Imam besar yang menonjol dalam mazhab Shafi'i, mempunyai nama yang sentiasa disebut."

Ibn al-Murahhil pernah mempunyai perdebatan dengan Ibn Taimiyyah. Ibn Taimiyyah sangat sedih apabila mendengar berita kematian Ibn Murahhil. Katanya: "Mudah-mudahan Allah membaikkan takziah orang Islam terhadapmu wahai Shadruddin."

Di antara karya beliau ialah al-Asybah wa al-Nazhair, puisi yang indah dan syair baik yang dihimpun di dalam Diwan yang dinamakan Tiraz al-Durar.



Beberapa catatan mengenai kitab ini;

Kitab ini dianggap kitab paling awal dalam bidangnya yang menggunakan nama “al-Asybah wa al-Nazair”. Terdapat juga  kitab lain yang menggunakan nama al-Asybah wa al-Nazair tetapi dalam bidang lain. Di antara mereka yang menuruti jejak langkah beliau dalam penamaan ini ialah Tajuddin al-Subki, Ibn Mulaqqin, al-Sayuthi dan lain-lain.

al-Ala'i menyebut dalam pendahuluan kitab Qawaid-nya: “ Perkara yang menjadi faktor penulisan kitab ini ialah pemerhatianku terhadap buku al-Asybah wa al-Nazhair karya Shadruddin Abu Abdullah bin al-Murahhil dan aku memberi komentar terhadapnya ” .

Para cendekiawan Islam menyebut bahawa kitab al-Murahhil tersebut tidak dapat ditulis dengan baik dan kemas oleh pengarangnya disebabkan penulisannya dibuat ketika musafir, seperti yang disebut oleh pengarang Fawat al-Wafayat: " Di antara perkara yang ditulisnya itu ialah ketika beliau di dalam kapal. Beliau namakan karyanya itu al-Asybah wa al-Nazair. Beliau meninggal sebelum sempat menyalin balik dan menyemaknya."

Tajuddin al-Subki menyebut di dalam kitab al-Tabaqat: "Shadruddin mempunyai sebuah kitab al-Asybah wa al-Nazhair. Beliau meninggal sebelum sempat menyemak dan mengeditnya. Justru, terdapat perkara-perkara yang ditulis dalam kitabnya mempunyai kesilapan."

Orang yang mengeditnya ialah anak saudaranya Zainuddin. Beliau membuat beberapa penambahan dan membezakan di antara tambahannya dan tulisan asal kitab dengan katanya: Saya berkata: “ Kaedah-kaedah yang terdapat di dalam kitab tersebut, sama ada kaedah fiqh atau kaedah usul tidak dibuat dalam bentuk yang biasa dikenali oleh ulama-ulama mutaakhirin dari aspek penulisan yang baik”.

Kitab ini kemudiannya diedit pula oleh al-Subki dalam kitabnya al-Asybah wa al-Nazhair. Kitab Ibn Wakil al-Syafie ini dianggap penting kerana ia menjadi rujukan penting bagi ulama terkemudian seperti Tajuddin al-Subki, al-Zarkasyi dan Ibn Mulaqqan yang menonjolkan kaedah-kaedah yang dibincangkan secara lebih tepat dengan diedit dan ditokok tambah sehingga menjadi kaedah ilmiah terbaik sehingga kini.

Kitab ini boleh di "download" di pautan https://archive.org/download/FP65087/65087.pdf.  Semoga bermanfaat.

Tuesday, May 14, 2013

al-Arba'in al-Nawawiyyah



Kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah, ia lebih dikenali dengan nama Hadis Arba'in Nawawi ataupun Hadis Empat Puluh. Ia merupakan karya Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676/1277) atau lebih terkenal dengan Imam al-Nawawi. Kitab al-Arbain adalah sebuah kitab kecil yang paling padat dengan hikmah dan ilmu. Ia memuatkan 42 buah hadis yang merupakan hadis berbentuk penjelasan dasar-dasar Syari'at Islam. Terlalu banyak pujian dan sanjungan dari para ulama sejak dahulu hingga kini terhadap karya ini. Kitab tersebut cukup dikenali dan tersebar ke serata dunia dan diterjemahkan ke pelbagai bahasa.


Asal Kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah

Diriwayatkan bahawa Syaikh al-Islam Taqiyuddin Abu Amr Utsman bin Musa al-Syarzuki, atau lebih dikenali dengan nama Ibn al-Sholah yang wafat pada tahun 643H, telah menghimpunkan hadis-hadis yang bersifat komprehensif ke dalam bukunya yang berjudul al-Ahaadits al-Kuliyyah, yang dikatakan merangkumi dasar-dasar agama Islam. Kitab tersebut memuatkan sebanyak dua puluh enam hadis. Kemudiannya, Imam al-Nawawi (676H), menyalin semua dua puluh enam hadis-hadis tersebut, serta menambahkan hadis-hadisnya sehingga menjadi berjumlah empat puluh dua hadis ke dalam bukunya “al-Arba’in an-Nawawiyah ” yang sangat terkenal, banyak menjadi hafalan, dan Allah menjadikannya begitu bermanfaat berkat keikhlasan penyusun dan kebaikan maksudnya.


Kitab-kitab Huraian (Syarah) Kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah

Para ulama yang muncul selepas al-Nawawi sangat mengambil perhatian terhadap kitab al-Arbain ini dengan menghasil berbagai karya bagi menghuraikan (syarah) 42 hadis yang terkandung dalamnya supaya manfaatnya tersebar di kalangan masyarakat. Antara kitab-kitab syarah bagi Kitab al-Arba’in al-Nawawiyyah dalam bahasa Arab yang telah diterbitkan;
 
1.      Syarh Ibn Daqiq al-‘Iyd, karya Taqiyuddin Abu al-Fath Muhammad bi ‘Ali bin Wahab al-Mishri al-Qusyairi (702H). Beliau terkenal dengan nama Ibn Daqiq al-‘Iyd.

2.      al-Ta’yin fi Syarh al-Arba’in, karya al-‘Allamah Najmuddin Sulaiman bin ‘Abdul Qawiy bin ‘Abdul Karim al-Thufi al-Hanbali (716H).

3.      Syarh al-‘Allamah al-Syaikh Sa’duddin bin ‘Umar al-Taftazani (791H).

4.      Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam fi Syarh Khamsin Haditsan min Jawami’ al-Kalim, karya al-Hafizh Ibn Rajab Zainuddin Abu al-Farj  ‘Abdul Rahman bin Ahmad bin Abdul Rahman al-Hanbali (795H). Dalam kitab ini beliau menghuraikan 50 hadis, iaitu 42 hadis dari Kitab al-Arbai’in al-Nawawiyyah dan ditambah lagi dengan 8 hadis yang lain.

5.      al-Fath al-Mubin Syarh al-Arba’in, karya Syihabuddin Ahmad Ibn Hajar al-Haytami (974H).

6.      al-Majalis al-Sunniyyah fi al-Kalam ‘ala al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya al-Syaikh Ahmad bin Hijaz al-Fasyni (978H).

7.      al-Jawahir al-Bahiyyah fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya al-Syaikh Abu al-Fadhl Muhammad Waliyuddin bin ‘Ali Salim al-Syasyriy (989H).

8.      al-Futuhat al-Wahabiyyah bi Syarh al-Arba’in Haditsan al-Nawawiyyah, karya Syaikh Ibrahim bin Mar’i  bin  ‘Athiyyah al-Syarhiti (1106H).

9.      al-Mubin al-Mu’in li Fahm al-Arba’in, karya Mulla ‘Ali bin Sulthan bin Muhammad al-Qari al-Harawi al-Makki al-Hanafi (1114H).

10.  Syarh al-Arba’in karya  al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad Hayat al-Sindi (1163H).

11.  ‘Arus al-Afrah, karya Syaikh Abdullah bin Muhammad al-Nairwai al-Syafi’i (1275H).

12.  al-Jawahir al-Lukluiyyah fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Syaikh Muhammad bin Abdullah al-Jardani al-Dimyathi al-Syafi’I (1331H).

13.  Syarh al-Arba’in Haditsan al-Nawawiyyah, karya Abdul Majid al-Syarnubi al-Azhari al-Maliki (1348H).

14.  al-Syuruh al-Arba’ah ‘ala al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya para ulama Fes Maghribi, iaitu Syaikh Ahmad bin Muhammad al-Tawadi bin Sodah, Syaikh Abdul Qadir bin Ahmad bi Saqrun, Syaikh Muhammad bin Ahmad Banis dan al-Thayyib bin Abdul Majid Ibn Kirat.

15.  al-Nuzhah al-Bahiyyah fi Syarh Ahadits al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Syaikh Qasim al-Qaisi . Karya beliau ini pertama kali diterbitkan pada tahun 1372H.

16.  al-Syarh al-Mujiz al-Mufid, karya al-Syaikh Abdullah bin Shalih al-Muhsin.

17.  al-Tuhfah al-rabbaniyyah fi Syarh al-Arba’in Haditsan al-Nawawiyyah, karya Ismail bin Muhammad al-Anshari (1317H).

18.  al-Minhah al-Khairiyah fi  Arba’in Hadith min Ahadits  Khair al-Bariyyah, karya Syeikh al-‘Allamah Muhammad Mahfuz bin Abdullah  bin Abdul Mannan al-Turmasi (1285-1329H)

19.  Syarh al-Alfazh al-Gharibah fi al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Muhyiddin Mistu.

20.  al-Wafi fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Muhyiddin Mistu dan Dr. Mustafa al-Bugha.

21.  al-Mukhtar fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Abdul Khaliq Mas’ud.

22.  al-Bayan fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Khalid al-Baythar.

23.  al-Mukhtar min Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Muhammad Adib al-Hamud.

24.  Qawa’id wa Fawa-id min al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Syaikh Nazhim bin Muhammad Sulthan.

25.  Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah fi al-Ahadits al-Shahihah al-Nabawiyyah, karya Mahmud bin Abdul Qadir al-Arnauth.

26.  Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah fi Tsawb Jadid, karya Abdul Wahhab bin Rasyid Abu Shafiyyah.

27.  Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Dr. Mahmud Bikar Zakariyya.

28.  Iydhah al-Ma’ani al-Khafiyyah fi al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Muhammad Tatay.

29.  Min Misykat al-Nubuwwah Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, karya Syaikh Muhammad Shalih Furfur (1407H).

30.  Syarh al-Arba’in Haditsan al-Nawawiyyah wa Mulhaqatih, karya Abdul ‘Aziz ‘Izzuddin al-Sairawan.

 
Kitab Huraian (syarah) al-Arba’in dalam bahasa Melayu;
 
Antara huraian Hadith 40 dalam bahasa Melayu yang sekadar dapat saya catatkan dalam artikel ini. Sebenarnya banyak lagi karya penulis tempatan yang menghuraikan karya al-Nawawi ini;
 
1.      Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya), karya al-Fadhil Ust. Mustafa Abdul Rahman (1968M).

2.      Kuliah Subuh pada membicarakan hadis 40 , karya Syed Ahmad Semait
 
Semoga bermanfaat.