Saya mula mengenali
buku “ Ensiklopedia Imam Syafi’i ” ini, dengan
judul ‘Arabnya “ al-Imam al-Syafi’i fi
Mazhab al-Qadim wa al-Jadid ” melalui telaah saya terhadap kitab “ al-Madkhal ila Mazhab al-Imam al-Syafi’i
” versi terjemahannya, yang diterbitkan oleh al-Hidayah Publication dengan judul
Ensiklopedia Imam al-Syafie Jilid 1 –
Pengantar Mazhab Imam al-Syafie, karya Dr Akram Yusuf al-Qawasimi. Di mana
dalam buku ini banyak dipetik pendapat Dr Ahmad Nahrawi al-Indunisi pengarang
kitab al-Imam al-Syafi’i fi Mazhab al-Qadim
wa al-Jadid, khususnya ketika
menjelaskan mengenai karya-karya dan pendapat-pendapat Imam al-Syafi’i. Insya
Allah dalam artikel berikut dicatatkan secara ringkas mengenai kitab ini.
Kitab “ al-Imam al-Syafi’i fi Mazhab al-Qadim wa
al-Jadid ” adalah karya Dr. Ahmad
Nahrawi Abdus Salam al-Indunisi. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1999,
ketika berusia 68 tahun.
Edisi asal kitab ini
merupakan thesis
PhD Dr Ahmad Nahrawi di Universiti al-Azhar Mesir. Kitab ini pertama kali
dicetak di Mesir pada tahun 1988. Kitab ini menjadi rujukan penting para mahasiswa
universiti-universiti di Timur Tengah yang membuat kajian ilmiah mereka
mengenai mazhab al-Syafi’i. Hingga kini, kitab ini masih dijual di kedai-kedai
buku di Mesir.
Kitab ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa
Indonesia dengan judul “ Ensiklopedia Imam Syafi’i ” oleh Usman Sya'roni, S.Ag,
Lc. Manakala editor penerbitannya adalah
Amirah Ahmad Nahrawi, Lc iaitu anak perempuan kepada Dr. Ahmad Nahrawi. Buku
setebal 773 halaman ini telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun
2008 oleh Penerbit Hikmah, Indonesia.
Dalam kitab ini, Dr.
Ahmad Nahrawi membahaskan mengenai karya-karya dan pendapat-pendapat Imam
al-Syafi’i ketika di Iraq dan Mesir. Bahkan beliau telah membincangkan secara
khusus mengenai kedudukan kitab al-Umm, adakah benar ia karya Imam al-Syafi’i.
Beliau menegaskan bahawa para ulama sepakat bahwa kitab al-Umm adalah karya Imam
Syafi’i yang diriwayatkan oleh al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi. Tidak ada
seorangpun yang menentang kesepakatan ini, sampai pada kurun ke-4 Hijriah
muncul pendapat yang menyatakan kitab al-Umm bukan karya Imam Syafi’i dari
seorang tokoh sufi yang bernama Abu Thalib al-Makki dalam kitabnya Qut
al-Qulub. Kemudian al-Ghazali mengikuti juga pendapat tersebut dalam
kitabnya al-Ihya'. Dr. Ahmad Nahrawi menyebutkan bahawa Syaikh Abu
Zahrah seorang tokoh ulama al-Azhar telah secara panjang lebar membantah
pendapat ini dalam kitabnya yang bertajuk “al-Syafi’i ”.
Selain itu, pendapat yang mengkritik penisbahan
kitab al-Umm kepada Imam Syafi’i muncul dari seorang yang bernama Dr. Zaky
Mubarak. Malangnya, kritikannya hanya mengekori pendapat Abu Thalib al-Makki
dan al-Ghazali sebelumnya. Dr. Ahmad Nahrawi sekali lagi membawakan pendapat seorang
tokoh hadis terkenal Syaikh Ahmad Syakir yang telah membantah pandangan Dr. Zaky
Mubarak tersebut dalam mukaddimah tahqiqannya terhadap kitab al-Risalah
karya Imam al-Syafi’i
Ini sekadar maklumat yang dapat saya paparkan untuk
dikongsi bersama. Sebenarnya saya belum memiliki buku ini, sama ada edisi Arab atau
terjemahannya. Catatan ringkas ini saya susun berdasarkan
maklumat yang saya ubahsuai dari blog perbincangan ilmiah al-fikrah.net http://arkib.al-fikrah.net/index.php?name=Forums&file=viewtopic&p=761080.
Pembaca boleh
membaca dan mendapat maklumat lanjut mengenai kandungan buku ini melalui edisi
terjemahan yang boleh dibaca di pautan berikut;
Jika
pembaca mengetahui mana-mana kedai buku di Malaysia yang ada menjual buku ini,
boleh maklumkan kepada saya.
No comments:
Post a Comment