Wednesday, May 15, 2013

al-Asybah wa al-Nazhair karya Ibn al-Murahhil


Kitab " al-Asybah wa al-Nazhair fi Fiqh al-Syafi'iyah (الأشباه والنظائر في فقه الشافعية) " yang ingin dipaparkan di sini adalah sebuah kitab yang  membincangkan kaedah fiqh karya al-Imam al-Muhaddis al-Faqih Muhammad bin Umar bin Makki yang digelar Shadruddin, dan dipanggil Abu Abdullah bin al-Murahhil. Di Syam, beliau lebih dikenali sebagai Ibn Wakil al-Mishri. Beliau dikenali dengan nama tersebut sehingga ke akhir hayatnya.  Lahir di Dimyat pada tahun 665 H. Membesar di Damsyik dan mempelajari ilmu melalui bapanya dan fuqaha hebat pada zamannya. Beliau mempelajari Usul Fiqh dari Safiyuddin al-Hindi. Beliau seorang yang hebat pada zamannya dari segi kecerdikan, hafalan dan ingatan. Beliau terkenal sebagai ulama besar Syafi'iyyah di Syam yang memimpin Dar al-Hadis al-Asyrafiyyah pada zamannya. Beliau meninggal dunia pada tahun 716H.
Ibn Kathir menyebut tentang Ibn al-Murahhil: " Beliau ialah Syaikh al-Syafi’iyyah pada zamannya, paling masyhur pada masanya, banyak mengajar, memtela’ah buku dan mengarang."  al-Subki ada menyebut di dalam al-Tabaqat: "Beliau seorang Imam besar yang menonjol dalam mazhab Shafi'i, mempunyai nama yang sentiasa disebut."

Ibn al-Murahhil pernah mempunyai perdebatan dengan Ibn Taimiyyah. Ibn Taimiyyah sangat sedih apabila mendengar berita kematian Ibn Murahhil. Katanya: "Mudah-mudahan Allah membaikkan takziah orang Islam terhadapmu wahai Shadruddin."

Di antara karya beliau ialah al-Asybah wa al-Nazhair, puisi yang indah dan syair baik yang dihimpun di dalam Diwan yang dinamakan Tiraz al-Durar.



Beberapa catatan mengenai kitab ini;

Kitab ini dianggap kitab paling awal dalam bidangnya yang menggunakan nama “al-Asybah wa al-Nazair”. Terdapat juga  kitab lain yang menggunakan nama al-Asybah wa al-Nazair tetapi dalam bidang lain. Di antara mereka yang menuruti jejak langkah beliau dalam penamaan ini ialah Tajuddin al-Subki, Ibn Mulaqqin, al-Sayuthi dan lain-lain.

al-Ala'i menyebut dalam pendahuluan kitab Qawaid-nya: “ Perkara yang menjadi faktor penulisan kitab ini ialah pemerhatianku terhadap buku al-Asybah wa al-Nazhair karya Shadruddin Abu Abdullah bin al-Murahhil dan aku memberi komentar terhadapnya ” .

Para cendekiawan Islam menyebut bahawa kitab al-Murahhil tersebut tidak dapat ditulis dengan baik dan kemas oleh pengarangnya disebabkan penulisannya dibuat ketika musafir, seperti yang disebut oleh pengarang Fawat al-Wafayat: " Di antara perkara yang ditulisnya itu ialah ketika beliau di dalam kapal. Beliau namakan karyanya itu al-Asybah wa al-Nazair. Beliau meninggal sebelum sempat menyalin balik dan menyemaknya."

Tajuddin al-Subki menyebut di dalam kitab al-Tabaqat: "Shadruddin mempunyai sebuah kitab al-Asybah wa al-Nazhair. Beliau meninggal sebelum sempat menyemak dan mengeditnya. Justru, terdapat perkara-perkara yang ditulis dalam kitabnya mempunyai kesilapan."

Orang yang mengeditnya ialah anak saudaranya Zainuddin. Beliau membuat beberapa penambahan dan membezakan di antara tambahannya dan tulisan asal kitab dengan katanya: Saya berkata: “ Kaedah-kaedah yang terdapat di dalam kitab tersebut, sama ada kaedah fiqh atau kaedah usul tidak dibuat dalam bentuk yang biasa dikenali oleh ulama-ulama mutaakhirin dari aspek penulisan yang baik”.

Kitab ini kemudiannya diedit pula oleh al-Subki dalam kitabnya al-Asybah wa al-Nazhair. Kitab Ibn Wakil al-Syafie ini dianggap penting kerana ia menjadi rujukan penting bagi ulama terkemudian seperti Tajuddin al-Subki, al-Zarkasyi dan Ibn Mulaqqan yang menonjolkan kaedah-kaedah yang dibincangkan secara lebih tepat dengan diedit dan ditokok tambah sehingga menjadi kaedah ilmiah terbaik sehingga kini.

Kitab ini boleh di "download" di pautan https://archive.org/download/FP65087/65087.pdf.  Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment