Wednesday, October 25, 2017

SULUK AL-JADDAH (سلوك الجادة)


Kitab Suluk al-Jaddah Syarh Lam’ah al-Mafadah fi Bayan Shalah al-Jum’ah wa al-Mu’adat (سلوك الجادة شرح لمعة المفادة في بيان صلاة الجمعة والمعادةadalah sebuah karya fiqh dalam mazhab Syafi’i, yang menerangkan secara khusus mengenai solat Juma’at.

Kitab ini disusun oleh al-‘Allamah Syaikh Abu ‘Abdul Mu’thiy, Muhammad Nawawi bin 'Umar bin Ali al-Jawi al-Banteni al-Tanariy  (1316H/1898M)  sebagai huraian bagi sebuah risalah karya Al-‘Allamah Syaikh Salim bin Abdullah bin  Samir al-Hadhrami (1270 /1855M) yang berjudul  Lam’ah al-Mafadah fi Bayan Shalah al-Jum’ah wa al-Mu’addah (لمعة المفادة في بيان صلاة الجمعة والمعادة).
Maklumat lanjut mengenai kitab ini boleh dibaca di pautan Studi Naskah “Sulûk Al-Jâddah Fî Bayân Al-Jum'ah”.

Kitab Suluk al-Jaddah ini dicetak kali pertama oleh percetakan Wahabiyyah, Makkah pada tahun 1300H/1882M dan diulang cetak di Makkah pada tahun 1303H / 1883M.

Kitab ini dalam versi file PDF oleh dimuat turun di sini / sini

Semoga bermanfaat.

Monday, October 23, 2017

AL-BALUT (البلوت)


Kitab al-Balut (البلوت) atau judul lengkapnya al-Shawaiq al-Muhriqah li al-Awham al-Kazibah fi Bayan Hill al-Balut wa al-Radd ala Man Harramah (الصواعق المحرقة للأوهام الكاذبة في بيان حل البلوت والرد على من حرمه) adalah sebuah karya fiqh yang disusun oleh Syaikh Muhammad Mukhtar bin Atharid al-Bughuri al-Batawi al-Jawi (1862-1930).

Syaikh Muhammad Mukhtar dilahirkan di Bogor, Jawa Barat, pada hari Khamis, 14 Syaaban 1278 H/14 Februari 1862 M dan wafat di Mekah, pada petang Ahad, 17 Shafar 1349 H/13 Julai 1930 M. beliau menjadi guru di Masjid al-Haram selama lebih kurang 28 tahun, mulai 1321 H/ 1903 M hingga tahun 1349 H/1930 M (baca biodata beliau di sini).

Kitab al-Balut adalah sebuah karya fiqh yang sangat penting dan kemungkinan ia satu-satunya risalah yang secara khusus disusun bagi menerang dan menguatkan fatwa yang menghalalkan belut untuk dimakan oleh umat Islam. Kitab ini bukan sahaja menjadi rujukan para ulama di Indonesia, bahkan juga di peringkat antarabangsa.

Penyusunan kitab ini didorong oleh wujudnya perdebatan yang muncul di kalangan ulama Nusantara dalam menanggapi persoalan ini. Sebahagian ulama berpendapat hukum memakan belut adalah haram. Namun, tak sedikit pula yang berpendapat hukumnya adalah halal. Dalam kitab ini, Syaikh Mukhtar ‘Atharid menyokong dan mengemukakan dalil serta hujah beliau mengenai halalnya belut.
 
Maklumat lanjut mengenai kitab ini sila baca di satuislam.org. Kitab al-Balut dalam versi file pdf boleh dimuat turun di sini/sini / siniSemoga bermanfaat.

Sunday, October 15, 2017

AL-KHAZA-IN AL-SANIYYAH (الخزائن السنية)


Kitab al-Khazâin al-Saniyyah min Masyâhir al-Kutub al-Fiqhiyyah li Aimmatinâ al-Fuqahâ al-Syâfi’iyyah (الخزائن السنية من مشاهير الكتب الفقهية لإئمتا الفقهاء الشافعية) merupakan sebuah karya penting yang perlu dimiliki  oleh para ulama dan penuntut ilmu, khususnya mereka yang mengkaji dan mempelajari  kitab-kitab fiqh mazhab Syafi’i. Di mana, kitab ini adalah sebuah karya bibliografi (thabaqât al-kutub) yang menghimpun nama-nama dan data-data kitab fiqh mazhab Syafi’i beserta pengarangnya. Lebih dari 400 nama kitab fiqh Syafi’i dan pengarangnya dirangkumkan dalam kitab ini.

Penyusun (pengarang) kitab ini adalah Syaikh ‘Abd al-Qâdir ibn ‘Abd al-Muthallib al-Mandîlî al-Jâwî (1904-1965 M), seorang ulama besar fiqh dan hadits yang berasal dari Nusantara (tepatnya dari Mandailing, Sumatera Utara), yang mendapat kedudukan sebagai guru di Masjidil Haram, Makkah pada zamannya. Nisbah “al-Mandîlî” di belakang nama pengarang merujuk kepada daerah asalnya; Mandailing.

Menurut al-Mandili, beliau meyusun kitab al-Khazain sebagai rujukan pentela’ah kitab-kitab mazhab Syafi’i. Di mana, kitab ini dapat memudahkan mereka mentelaah kitab-kitab fiqh mazhab kerana nama-nama pengarang kitab yang dikandungnya terkadang masih samar bagi pembaca, serta istilah-istilah yang boleh jadi belum diketahui oleh pelajar.

Syaikh al-Mandili menjadikan karyanya ini terdiri dari 8 pasal, iaitu;
         
 a)     Fasal 1: Nama-nama kitab yang kerap disebutkan dalam kitab-kitab fiqh Syafi’iyyah. Inilah kandungan utama kitab al-Khazain al-Saniyyah dan intinya yang paling banyak dihimpunkan oleh penyusun.  

      b)     Fasal 2: Menyenaraikan nama Para ahli fiqh yang 7 (al-Fuqaha al-Sab’ah) yang berada di Madinah Munawwarah.

      c)      Fasal 3: Nama-nama para Mujaddid umat ini.

     d)   Fasal 4: Nama-nama Ahli Hadits (al-Muhaddits) yang sering disebutkan dalam kitab-kitab fiqh.

      e)     Fasal 5: Rumuz nama-nama pengarang kitab.

    f)       Fasal 6: Beberapa istilah, iaitu gelaran dan sifat sebahagian ulama yang sering disebutkan dalam kitab-kitab fiqh Syafi’iyyah seacara khusus, dan kitab-kitab ilmiah secara umum.

    g)     Fasal 7: Nama-nama golongan yang sesat (al-Firaq), yang menyalahi Ahli Sunnah wa Jama’ah.

       h)    Fasa 8: Ahli Qiraah yang tujuh (al-Qurra’ al-Sab’ah) beserta para perawinya.

Bagi memudahkan rujukan pembaca, semua nama-nama dan istilah yang disebutkan telah disusun mengikut susunan abjad (alif, ba’ ta’…..).

Kitab al-Khazain  versi fail PDF boleh dimuat turun di  sini. Maklumat lanjut mengenai Syaikh Abdul Qadir al-Mandili boleh dibaca di sini.

Semoga bermanfaat.

Thursday, October 12, 2017

AL-BASITH FI AL-MAZHAB (البسيط في المذهب)


Kitab al-Basith fi al-Mazhab  (البسيط في المذهب) adalah sebuah karya fiqh Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (450-505H), yang terkenal dengan gelaran Imam al-Ghazali. Kadang-kala Imam al-Ghazali juga menamakan kitab ini sebagai al-Basith fi al-Furu’ ( البسيط في الفروع.). Beliau ada menyebutkan judul kitab al-Basith ini di dalam beberapa karya beliau yang lain seperti al-Wasit dan Jawahir al-Quran.

Kitab al-Basith ini termasuk dalam rantaian siri karya fiqh al-Ghazali yang terkenal, iaitu al-Basith, al-Wasith dan al-WajizSumber penyusunan ketiga-tiga kitab tersebut berdasarkan kitab Nihayah al-Mathlab fi Dirayah al-Mazhab (نهاية المطلب في دراية المذهب)  karya agung guru kepada Imam al-Ghazali, iaitu al-Imam Ruknuddin Abu al-Ma’ali Abdul Malik bin Abdullah al-Juwaini (419-478H). Dalam kitab-kitab fiqh mazhab Syafi’i, jika disebutkan julukan “al-Imam” tanpa nama atau gelaran yang lain, maka ia merujuk kepada Imam al-Haramain ini. 

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haytami (973H), pada awalnya al-Imam al-Ghazali telah meringkaskan kitab Nihayah al-Mathlab melalui kitabnya al-Basith dan kemudiannya al-Ghazali telah meringkaskan kitab al-Basith pula melalui karyanya yang berjudul al-Wasith. Akhirnya al-Ghazali telah meringkaskan lagi kitab al-Wasith melalui kitabnya yang berjudul al-Wajiz.

Walaupun kitab al-Basith merupakan ringkasan kepada kitab Nihayah al-Mathlab, tidaklah bermakna semua kandungannya adalah daripada kitab tersebut,  malah Imam al-Ghazali turut memuatkan pandangan-pandangannya. Ini adalah manhaj ulama terdahulu dalam meringkaskan kitab. Sebagaimana Imam al-Nawawi (676 H) yang meringkaskan kitab al-Muharrar karya Imam al-Rafi'i dengan penambahan dan pembetulan.

Sekadar pengamatan dan rujukan penulis yang terhad pada ketika ini - mengenai keberadaan kitab al-Basith pada masa kini -  sebenarnya naskhah kitab ini masih  wujud dalam bentuk manuskrip tulisan tangan di beberapa buah perpustakaan besar di Timur Tengah. Sebahagian daripada kandungan manuskrip ini ada yang telah ditahkik oleh para pelajar ijazah tinggi sebagai kajian ilmiah (tesis). Namun begitu,  penulis dapati kitab al-Basith belum ada yang dicetak dan diterbitkan oleh mana-mana penerbitan[1]. Berbeza dengan kitab-kitab karya al-Ghazali yang lain seperti al-Wasith dan al-Wajiz telah dicetak dan diterbitkan sebagai rujukan umat Islam.



Ringkasan kitab al-Basith

Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, kitab al-Basith telah diringkaskan oleh Imam al-Ghazali melalui karya beliau yang berjudul al-Wasith. Saya belum mendapat maklumat mengenai karya yang lain sebagai huraian atau ringkasan bagi kitab al-Basith. Wallahu a’lam. 


Sila baca maklumat lanjut mengenai kitab al-Basith di sini. Semoga bermanfaat.

[1] Mungkin kesimpulan awal yang penulis nyatakan ini tidak tepat. Saya sangat berharap para pembaca boleh membetulkan tanggapan ini, jika mempunyai maklumat mengenai kewujudan cetakan kitab al-Basith ini.

AL-TAUDIH



Kitab Al-Taudhih: Panduan Lengkap Kesempurnaan Haji & Umrah yang ingin dibicarakan secara ringkas dalam catatan ini adalah sebuah karya Shahibul Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al Bakri - Mufti Wilayah Persekutuan kini.

Sebenarnya Kitab Al-Taudhih ini merupakan sebuah kitab terjemahan dan huraian bagi sebuah karya al-Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H) yang berjudul “al-Idhah fi Manasik al-Hajji wa al-Umrah ”. 

Kitab Al-Taudhih ini amat sesuai untuk dimiliki oleh bakal jemaah haji dan bagi mereka yang ingin menunaikan umrah Buku ini memaparkan gambaran yang amat jelas tentang ibadat haji. Kitab Al-Taudhih ini telah diterbitkan oleh Pustaka Cahaya Kasturi pada tahun 2016. 

Kitab ini boleh dibeli secara online di Buku Islamik Diskaun. Semoga bermanfaat.

Monday, October 9, 2017

al-'Ibadah fi al-Islam ( العبادة في الإسلام)



al-‘Ibadah Fi al-Islam” ( العبادة في الإسلام )  adalah sebuah karya ‘al-‘Allamah Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, seorang ulama yang terkenal dengan keilmuannya pada masa kini. Kitab ini dianggap sebagai karya kedua al-Qaradhawi selepas kitabnya yang berjudul al-Halal wa al-Haram.

Walaupun judulnya al-‘Ibadah fi al-Islam ( Ibadah dalam Islam ), ia bukanlah sebuah kitab fiqh seperti yang biasa difahami. Kitab ini lebih merupakan sebuah kajian tentang falsafah ibadat dalam Islam. Di mana al-Qaradhawi sendiri mengakui beliau menamakannya “al-Ibadat Fi al-Islam” dengan maksud klasiknya sebagai “Fiqh al-‘Ibadah”.

Dalam buku ini al-Qaradhawi menerangkan bahawa ibadah bukan sekadar pinggiran kehidupan manusia, malahan menjadi prinsip utama kenapa para Rasul diutuskan. Namun begitu, konsep ibadah yang sebenar telah disalah erti oleh sebahagian umat Islam sendiri. Dalam huraiannya, al-Qaradhawi telah mengkritik manusia yang tidak menyembah Allah SWT dengan tata cara yang telah ditetapkan oleh-Nya, bahkan telah mengadakan pelbagai sunnah baharu (bid’ah) yang tidak disunnahkan Rasulullah saw.

Melalui buku ini, al-Qaradhawi cuba menggabungkan antara hukum zahir dan batin ibadah sebagaimana yang diterangkan oleh Imam al-Ghazzali melalui karyanya Ihya’ ‘Ulum al-Din (إحياء علوم الدين). Namun tulisan al-Qaradhawi tidaklah memperincikan perkara tersebut sebagaimana yang dilakukan oleh Imam al-Ghazzali.

Buku ini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dunia, termasuklah dalam bahasa Melayu / Indonesia.

Buku ini (versi Arab) boleh dibaca secara online di sini  dan boleh dimuat turun di  sini.

Semoga bermanfaat.


Saturday, October 7, 2017

MINHAJ AL-'ABIDIN (منهاج العابدين)


Kitab Minhajul Abidin ( منهاج العابدين ) atau judul lengkapnya Minhaj al-‘Abidin ila Jannah Rabb al-‘Alamin ( منهاج العابدين إلى جنة رب العالمين ) adalah sebuah kitab tasawuf karya Imam al-Mujaddid Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (450-505H), yang terkenal dengan gelaran Imam al-Ghazali. Kitab ini adalah karya terakhir Imam al-Ghazali., sebagai peninggalan berharga yang menjadi wasiat bimbingan terakhir beliau bagi umat Islam, sebelum menjelang kewafatannya.

Menurut Imam al-Ghazali terdapat tujuh ‘aqobah (عقبة) yang mesti ditempuhi oleh setiap hamba untuk meningkatkan kualiti ibadahnya kepada Allah SWT. Dalam teks Indonesia 'aqobah diterjemahkan sebagai tanjakan. Namun, ada juga yang menafsirkan kata 'aqobah dalam kitab ini sebagai metode, tahap atau juga rintangan. ‘Aqabah-‘aqabah tersebut ialah ‘‘ 
  1.           ‘Aqabah Ilmu dan Makrifat (عقبة العلم)
    2.     ‘Aqabah  Taubat (عقبة التوبة)
    3.      ‘Aqabah Rintangan (عقبة العوائق)
    4.      ‘Aqabah Godaan (عقبة العوارض)
    5.      ‘Aqabah Pendorong (عقبة البواعث)
    6.      ‘Aqabah Celaan (عقبة القوادح)
    7.      ‘Aqabah Puji dan Syukur (عقبة الحمد والشكر)
Dengan demikian, tema pokok dalam kitab Minhaj al-‘ Abidin ini lebih fokus dan lebih bersifat praktis jika dibandingkan dengan kitab Ihya Ulumuddin.

Kitab Minhaj al-‘Abidin versi Arabnya boleh dimuat turun di Sini  atau Sini. Terjemahan kitab ini telah diterbitkan oleh pelbagai penerbitan sama ada di Malaysia mau pun di Indonesia. Sekadar contoh, bagi buku terjemahan dalam bahasa Indonesia boleh layari "Terjemahan Minhaj al-‘Abidin".

Semoga bermanfaat.

Friday, October 6, 2017

SABIL AL-MUHTADIN (سبيل المهتدين)


Kitab Sabil al Muhtadin ( سبيل المهتدين ) adalah nama sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun dalam bahasa Melayu. Judul lengkapnya adalah Sabil al Muhtadin li al-Tafaqquh fi Amriddin ( سبيل المهتدين للتفقه فى امر الدين ). Ia merupakan sebuah karya Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari (1122 – 1227 H),  seorang ulama terkenal dari Banjarmasin, Kalimatan Selatan, Indonesia.

Kitab ini ini ditulis atas permintaan Sultan Tahmidullah bin Sultan Tamjidullah pada tahun 1193 Hijriah bertepatan tahun 1779 Masihi. Penulisan kitab ini mengambil masa selama lebih kurang dua tahun. Kandungan kitab ini membicarakan permasalahan ilmu fiqh dalam mazhab Syafi’i, khususnya dalam bidang ibadat. Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari menyusun kitab ini dengan merujuk kepada beberapa buah kitab yang muktabar dalam mazhab Syafi’i, seperti Syarh al-Manhaj  oleh Syaikhul Islam Zakariyya al-Anshari (926H), Mughni al-Muhtaj oleh Syaikh Muhammad Khatib Syarbaini  (977H), Tuhfah al-Muhtaj oleh Syaikh Ibnu Hajar al-Haitami (973H), Nihayah al-Muhtaj oleh Syaikh Jamal al-Ramli (1004H) dan beberapa buah matan, syarah dan komentar (hasyiah) lainnya.

Kitab Sabil al Muhtadin terdiri  dari 2 (dua) juz. Kedua-dua juz ini merupakan satu kesatuan yang tak dapat dipisahkan. Bahkan ada topik yang dibicarakan pada akhir juz pertama diselesaikan pembahasannya pada juz kedua. Pembahagian isi dalam Sabil al Muhtadin ini dinyatakan dengan istilah kitab-kitab. Keseluruhannya ada 8 (lapan) kitab, iaitu:
  1. Kitab al-Taharah,  yakni suatu kitab yang menyatakan tentang bersuci.
  2. Kitab al-Shalah, yakni kitab yang menyatakan tentang shalat.
  3. Kitab al-Zakat, yakni kitab yang menyatakan hukum zakat.
  4. Kitab al-Shiyam, yakni kitab yang menyatakan puasa.
  5. Kitab al-I'tikaf, yakni kitab yang menyatakan i'tikaf atau berhenti di dalam masjid.
  6. Kitab al-Haji wa al-‘Umrah, yakni kitab pada menyatakan haji dan umrah.
  7. Kitab al-Shaid wa al-Dzaba-ih, yakni kitab pada menyatakan hukum binatang perburuan dan sekalian yang disembelih.
  8. Kitab al-Ith'amah, yakni kitab pada menyatakan barang yang halal dan barang yang haram memakannya.
Dalam beberapa tulisan tentang kehidupan ulama besar dari daerah Kalimantan Selatan ini, disebutkan bahawa penyebaran kitab Sabil al Muhtadin ini dimulai dari ruang pengajian Syaikh Muhammad Arsyad sendiri di Kampung Dalam Pagar (sebuah kampung di Martapura). Di mana berlakunya aktiviti penyalinan kitab Sabil al-Muhtadin dari naskah aslinya oleh murid-murid Syaikh Muhammad Arsyad sendiri. Kemudian naskah itu dibawa orang ke Makkah, di sana dilakukan penyalinan semula oleh para penuntut ilmu. Kitab ini kemudiannya menjadi terkenal di kalangan para penuntut ilmu di Makkah, apabila ia menjadi teks pengajian fiqh mazhab Syafi’i bagi para penuntut yang berbahasa Melayu yang berasal dari berbagai daerah di Nusantara (baca: Asia Tenggara).

Kitab Sabil al-Muhtadin dicetak pertama kali pada tahun 1300 Hijriah atau tahun 1882 Masihi serentak di tiga tempat, iaitu di Makkah, Istambul dan Mesir, dengan pentashihan al-‘Allamah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, seorang ulama yang terkenal berasal dari Patani (Thailand) yang mengajar di Makkah pada waktu itu. Dengan adanya cetakan ini maka Sabilal Muhtadin lebih tersebar dan terkenal di Asia Tenggara. Bahkan menurut keterangan penuntut-penuntut ilmu di Makkah sampai waktu itu masih banyak yang mempelajari Sabil al-Muhtadin sebelum mereka dapat membaca kitab berbahasa Arab.

Sebagai perkongsian, kitab Sabil al-Mutadin ini sudah ada yang diterbitkan dalam versi tulisan rumi untuk memudahkan para pelajar dan masyarakat membaca dan mempelajari isi kandungannya. Terdapat beberapa cetakan oleh pelbagai penerbit samada di Indonesia, maupun di Malaysia. Sekadar contoh, kitab Sabil al-Muhtadin ini ada diterbitkan oleh Syarikat Jahabersa, Johor Bahru.

Semoga bermanfaat.