Sunday, October 15, 2017

AL-KHAZA-IN AL-SANIYYAH (الخزائن السنية)


Kitab al-Khazâin al-Saniyyah min Masyâhir al-Kutub al-Fiqhiyyah li Aimmatinâ al-Fuqahâ al-Syâfi’iyyah (الخزائن السنية من مشاهير الكتب الفقهية لإئمتا الفقهاء الشافعية) merupakan sebuah karya penting yang perlu dimiliki  oleh para ulama dan penuntut ilmu, khususnya mereka yang mengkaji dan mempelajari  kitab-kitab fiqh mazhab Syafi’i. Di mana, kitab ini adalah sebuah karya bibliografi (thabaqât al-kutub) yang menghimpun nama-nama dan data-data kitab fiqh mazhab Syafi’i beserta pengarangnya. Lebih dari 400 nama kitab fiqh Syafi’i dan pengarangnya dirangkumkan dalam kitab ini.

Penyusun (pengarang) kitab ini adalah Syaikh ‘Abd al-Qâdir ibn ‘Abd al-Muthallib al-Mandîlî al-Jâwî (1904-1965 M), seorang ulama besar fiqh dan hadits yang berasal dari Nusantara (tepatnya dari Mandailing, Sumatera Utara), yang mendapat kedudukan sebagai guru di Masjidil Haram, Makkah pada zamannya. Nisbah “al-Mandîlî” di belakang nama pengarang merujuk kepada daerah asalnya; Mandailing.

Menurut al-Mandili, beliau meyusun kitab al-Khazain sebagai rujukan pentela’ah kitab-kitab mazhab Syafi’i. Di mana, kitab ini dapat memudahkan mereka mentelaah kitab-kitab fiqh mazhab kerana nama-nama pengarang kitab yang dikandungnya terkadang masih samar bagi pembaca, serta istilah-istilah yang boleh jadi belum diketahui oleh pelajar.

Syaikh al-Mandili menjadikan karyanya ini terdiri dari 8 pasal, iaitu;
         
 a)     Fasal 1: Nama-nama kitab yang kerap disebutkan dalam kitab-kitab fiqh Syafi’iyyah. Inilah kandungan utama kitab al-Khazain al-Saniyyah dan intinya yang paling banyak dihimpunkan oleh penyusun.  

      b)     Fasal 2: Menyenaraikan nama Para ahli fiqh yang 7 (al-Fuqaha al-Sab’ah) yang berada di Madinah Munawwarah.

      c)      Fasal 3: Nama-nama para Mujaddid umat ini.

     d)   Fasal 4: Nama-nama Ahli Hadits (al-Muhaddits) yang sering disebutkan dalam kitab-kitab fiqh.

      e)     Fasal 5: Rumuz nama-nama pengarang kitab.

    f)       Fasal 6: Beberapa istilah, iaitu gelaran dan sifat sebahagian ulama yang sering disebutkan dalam kitab-kitab fiqh Syafi’iyyah seacara khusus, dan kitab-kitab ilmiah secara umum.

    g)     Fasal 7: Nama-nama golongan yang sesat (al-Firaq), yang menyalahi Ahli Sunnah wa Jama’ah.

       h)    Fasa 8: Ahli Qiraah yang tujuh (al-Qurra’ al-Sab’ah) beserta para perawinya.

Bagi memudahkan rujukan pembaca, semua nama-nama dan istilah yang disebutkan telah disusun mengikut susunan abjad (alif, ba’ ta’…..).

Kitab al-Khazain  versi fail PDF boleh dimuat turun di  sini. Maklumat lanjut mengenai Syaikh Abdul Qadir al-Mandili boleh dibaca di sini.

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment