Showing posts with label Ibadah. Show all posts
Showing posts with label Ibadah. Show all posts

Monday, October 9, 2017

al-'Ibadah fi al-Islam ( العبادة في الإسلام)



al-‘Ibadah Fi al-Islam” ( العبادة في الإسلام )  adalah sebuah karya ‘al-‘Allamah Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, seorang ulama yang terkenal dengan keilmuannya pada masa kini. Kitab ini dianggap sebagai karya kedua al-Qaradhawi selepas kitabnya yang berjudul al-Halal wa al-Haram.

Walaupun judulnya al-‘Ibadah fi al-Islam ( Ibadah dalam Islam ), ia bukanlah sebuah kitab fiqh seperti yang biasa difahami. Kitab ini lebih merupakan sebuah kajian tentang falsafah ibadat dalam Islam. Di mana al-Qaradhawi sendiri mengakui beliau menamakannya “al-Ibadat Fi al-Islam” dengan maksud klasiknya sebagai “Fiqh al-‘Ibadah”.

Dalam buku ini al-Qaradhawi menerangkan bahawa ibadah bukan sekadar pinggiran kehidupan manusia, malahan menjadi prinsip utama kenapa para Rasul diutuskan. Namun begitu, konsep ibadah yang sebenar telah disalah erti oleh sebahagian umat Islam sendiri. Dalam huraiannya, al-Qaradhawi telah mengkritik manusia yang tidak menyembah Allah SWT dengan tata cara yang telah ditetapkan oleh-Nya, bahkan telah mengadakan pelbagai sunnah baharu (bid’ah) yang tidak disunnahkan Rasulullah saw.

Melalui buku ini, al-Qaradhawi cuba menggabungkan antara hukum zahir dan batin ibadah sebagaimana yang diterangkan oleh Imam al-Ghazzali melalui karyanya Ihya’ ‘Ulum al-Din (إحياء علوم الدين). Namun tulisan al-Qaradhawi tidaklah memperincikan perkara tersebut sebagaimana yang dilakukan oleh Imam al-Ghazzali.

Buku ini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dunia, termasuklah dalam bahasa Melayu / Indonesia.

Buku ini (versi Arab) boleh dibaca secara online di sini  dan boleh dimuat turun di  sini.

Semoga bermanfaat.


Wednesday, October 24, 2012

Kitab al-Arba'in fi Ushul al-Din

 
Kitab al-Arba'in Fi Ushul al-Din merupakan karya agung Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali (450-505H), selepas kitabnya yang terkenal ‘Ihya' Ulumiddin’.

Sebenarnya sudah lama saya mencari kitab ini, khususnya kitab terjemahan lengkapnya. Saya mula mengenali judul kitab ini ketika belajar di sekolah menengah lagi, iaitu membaca karya guru saya al-Fadhil al-Ustaz Abdullah al-Qari melalui karya terjemahannya yang berjudul ‘Dasar-Dasar Kepercayaan Islam’. Iaitu terjemahan bahagian pertama daripada kitab al-Arba’in. Insya Allah saya akan paparkan pengenalan ringkas buku tersebut di catatan yang lain.
 
Terdapat dua edisi terjemahan kitab al-Arba’in fi Ushuluddin yang diterbitkan di Malaysia (setakat pengetahuan saya saat ini), iaitu;
  1. 40 Prinsip Agama penyucian rohani untuk meraih akhlak terpuji, terbitan al-Hidayah.  
      Jumlah halaman:386 halaman.
  2. Jalan Pintas Meraih Hidayah (40 Prinsip Agama), terbitan Pelima Media Sdn Bhd.
      Jumlah halaman:286 halaman.
 
Kandungan kitab
 
Di dalam kitab ini dihuraikan  secara terperinci 40 prinsip agama agar masyarakat dapat memahami kunci-kunci kebahagian dalam lapangan ilmu dan amal. Kata al-Ghazali; “Segala amalan itu terbahagi kepada amalan lahir dan amalan batin. Manakala amalan batin itu terbahagi pula kepada penyucian dan penghiasan”.
 
Berikut adalah isi kandungan kitab al-Arba'in Fil Ushul al-Din yang mengandungi 40 Prinsip Agama yang dikupas secara terperinci oleh Imam Al-Ghazali.
 
Bahagian Pertama : 10 Prinsip Ilmu
ü  Zat, Penyucian, Kuasa, Ilmu, Kehendak, Maha Mendengar dan Maha Melihat, Maha berfirman, Tentang Perbuatan-perbuatan, Hari Akhirat, Kenabian.
ü  Tentang kitab-kitab yang dianjurkan untuk dipelajari berkenaan akidah.
 
Bahagian Kedua : 10 Prinsip Amal Lahiriah
ü  Solat, Zakat dan Sedekah, Puasa, Haji, Membaca al-Quran, Berzikir kepada Allah S5tiap Masa, Mencari (rezeki) yang Halal, Menegakkan Hak-hak Kaum Muslim dan Pergaulan Baik dengan Mereka, Amr bil-Makruf dan Nahy anil-Munkar, Mengikut Sunnah.
ü  Penutup : Tentang Urutan Wirid dan Memerhatikan Sepuluh Masalah.
 
Bahagian Ketiga : Membersihkan Hati dari Akhlak yang Tercela
ü  Banyak Makan, Banyak Berbicara, Marah, Hasad, Kedekut dan Mencintai Harta, Gila Pangkat, Cinta Dunia, Sombong, Bangga Diri, Riya.
ü  Penutup Tentang Seluruh Akhlak dan Tempat-tempat penipuan di dalamnya.
 
Bahagian Keempat : Tentang 10 Prinsip Akhlak Terpuji
ü  Taubat, Khauf (takut), Zuhud, Sabar, Syukur, Ikhlas dan Benar, Tawakal, Cinta, Reda dengan Ketentuan Allah, Mengingati Mati dan Hakikatnya serta Bahagian-bahagian yang Bersifat Rohaniah.
ü  Penutup Tentang Bimbingan Jiwa.