Showing posts with label al-hawi al-shaghir. Show all posts
Showing posts with label al-hawi al-shaghir. Show all posts

Friday, June 20, 2014

al-Bahjah al-Wardiyyah (البهجة الوردية)


Kitab al-Bahjah al-Wardiyyah (البهجة الوردية) atau Manzhumah al-Bahjah al-Wardiyyah (الوردية منظومة البهجة) merupakan sebuah kitab fiqh mazhab al-Syafi’i yang disusun dalam bentuk nazam oleh al-Imam Zaynuddin Abu Hafsh ‘Umar bin al-Muzaffar bin ‘Umar al-bin al-Wardi Mu’arri al-Kindi (749H), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Wardi. 

Kitab al-Bahjah ini juga dikenali sebagai Bahjah al-Hawi, kerana kitab ini disusun oleh Ibn al-Wardi sebagai ringkasan bagi kitab al-Hawi al-Shaghir, iaitu sebuah kitab yang disusun oleh al-Imam Najmuddin Abdul Ghaffar bin Abdul Karim al-Qazwaini al-Syafi’i (585-665H). Manakala kitab al-Hawi al-Shaghir ini pula adalah ringkasan bagi kitab Fath al-‘Aziz atau al-Syarh al-Kabir karya al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad al-Rafi’i al-Qazwaini (624H). 

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya al-Durar al-Kaminah, terdapat 5063 bait yang disusun oleh Ibn al-Wardi bagi melengkapi karya beliau ini. Kitab al-Bahjah al-Wardiyyah ini kemudiannya telah disyarah oleh beberapa orang ulama,  antaranya ialah;

1)      Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad bin Abdul Rahim al-Iraqi al-Mishri (762-826H)

2)     Syamsuddin Muhammad bin Muhammad al-Khathib al-Syarbini (977H)

3)     Syaikh al-Islam al-Qadhi Zainuddin Abu Yahya Zakariya al-Anshari (823-926H)

4)     Syamsuddin al-Jamal Muhammad bin Syihabuddin Ahmad al-Ramli (919-1004H)

5)      al-Qadhi Syarafuddin Hibatullah bin Abdul Rahim al-Barizi[1] (645-738H)


Di antara kitab syarah al-Bahjah yang paling terkenal dan masih dicetak dan diterbitkan hingga kini ialah kitab yang disusun oleh Syaikh al-Islam Zakariyya al-Anshari, iaitu kitab al-Ghurar al-Bahiyyah fi Syarh Manzhumah al-Bahjah al-Wardiyyah (الـغـرر الـبـهـيـة في شـرح مـنـظـومـة الـبـهـجـة الـورديـة). Berdasarkan terbitan Dar al-Kutub al-Ilmiyyah – Beirut –Lubnan,  ia dicetak dalam 11 jilid.

Download kitab al-Bahjah al-Wardiyyah di pautan berikut;  الوردية منظومة البهجة.

Semoga bermanfaat.


[1] Baca biografi hidup beliau di pautan al-Barizi.

Tuesday, May 28, 2013

al-Hawi al-Shaghir (الحاوي الصغير)

  
Kitab al-Hawi al-Shaghir (الحاوي الصغير) merupakan sebuah kitab fiqh yang menjadi rujukan para ulama dalam mazhab  al-Syafi’i.  Kitab ini adalah sebuah karya Imam Najmuddin Abdul Gaffar bin Abdul Karim al-Qazwaini al-Syafi’i (585-665H). 

Kitab al-Hawi al-Shaghir ini merupakan ringkasan bagi kitab Fath al-‘Aziz  atau al-Syarh al-Kabir karya  al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi-‘iy al-Qazwaini (624H). Manakala Kitab al-Hawi al-Shaghir ini telah diringkaskan lagi oleh ulama yang terkemudian, iaitu; 

1.       Ibn al-Wardi,  Zaynuddin Abu Hafsh ‘Umar bin al-Muzaffar bin ‘Umar al-bin al-Wardi Mu’arri al-Kindi (749H) dengan kitabnya al-Bahjah al-Wardiyyah , iaitu ringkasan dalam bentuk nazam. 

2.      Ibn al-Muqri’ Ismail bin Abu Bakr bin Abdullah al-Muqri al-Zabidi al-Yamani (837H), dengan kitabnya  al-Irsyad

Kitab al-Bahjah al-Wardiyyah kemudiannya telah disyarah oleh  Syaikh al-Islam Abu Yahya Zakariya al-Anshari (823-926H) dengan kitabnya al-Ghurar al-Bahiyyah Syarh al-Bahjah.  

Manakala kitab al-Irsyad tersebut telah disyarah sendiri oleh Ibn al-Muqri’ melalui kitabnya al-Ikhlash al-Nawiy fi Syarh al-Irsyad al-Ghawi. Kemudiannya Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (973H) juga menghasilkan karyanya al-Imdad fi Syarh al-Irsyad  sebagai syarah bagi kitab al-Irsyad tersebut.

Di samping itu, Ibn Hajar al-Haytami juga ada membuat komentar bagi kitab al-Ikhlash al-Nawiy karya Ibn al-Muqri’ di atas dengan kitabnya Fath al-Jawad fi Syarh al-Ikhlash

Untuk membaca kitab al-Hawi al-Shaghir ini, pembaca boleh memuat turun kitab ini dalam bentuk file PDF di pautan الحاوي الصغير. Kitab ini merupakan kitab yang dicopy  dari edisi yang ditahkik oleh Dr. Shalih bin Muhammad bin Ibrahim, iaitu asalnya sebuah karya ilmiah yang dihasilkan untuk mendapatkan Ijazah PhD. Kitab ini telah dicetak  oleh Dar Ibn al-Jawzi pada tahun 1430H.  

Semoga bermanfaat.