Monday, September 10, 2012

Bustan al-Ahbar Mukhtashar Nail al-Authar


Kitab Bustan al-Ahbar Mukhtashar Nail al-Authar  (بستـان الأحبـار مختصر نيـل الأوطـار) merupakan karya Syaikh Faishal bin ‘Abdul ‘Aziz Alu Mubarak (1958M), seorang ulama terkenal Jami’ al-Azhar al-Syarif Mesir pada masanya. 

Kitab Bustan al-Ahbar  disusun sebagai ringkasan bagi Kitab Nail al-Authar (نيـل الأوطـار), karya Imam Muhammad ‘Aliy al-Syawkani, iaitu sebuah kitab yang menghuraikan (syarah) hadis-hadis hukum yang terdapat dalam kitab yang disusun oleh Imam Syaikh al-Islam Majduddin Abu al-Barakat  Abdul Salam Ibn Taymiyyah (728H)  yang berjudul Muntaqa al-Akhbar Min Ahadits Sayyid al-Akhyar. Hadis-hadis yang terdapat dalam kitab ini bersumber dari Kitab hadits Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim, Musnad Imam Ahmad, Jami' Abi Isa al Tirmidzi, Kitab Sunan Abi Abdurrahman al-Nasa-i, Kitab Sunan Abi Daud al-Sijistani dan Kitab Sunan Ibnu Majah al-Qazwini.

Bilangan hadis yang terdapat dalam kitab Bustan al-Ahbar adalah sebanyak 5029 buah, iaitu sama dengan jumlah hadis yang disyarah oleh al-Syawkani dalam Kitab Nail al-Authar. Ketika meringkaskan kitab Nail al-Authar, Syeikh Faishal tidak mengurangkan jumlah hadis yang terdapat dalam  kitab asalnya. Ini berbeza dengan kitab mukhtashar (ringkasan) yang lain, yang kebiasaannya mengurangkan jumlah hadis dari kitab asalnya dengan memilih sebahagian hadis yang mewakili tajuk atau bab tertentu dan meninggalkan yang lain. Keringkasan yang dilakukan oleh Syaikh Fayshal dalam Kitab Bustan al-Ahbar ialah dengan meringkaskan huraian (syarah) yang dilakukan oleh al-Syawkani. Beliau hanya memilih huraian-huraian yang dianggapnya lebih penting dalam menjelaskan sesuatu hadis.

Setelah diringkaskan, berdasarkan edisi ‘Arabnya Kitab Bustan al-Ahbar ini diterbitkan dalam 2 juzuz yang agak tebal.  Sedangkan kitab asalnya Nail al-Authar disusun oleh al-Syawkani dalam 8 juzuz.


Terjemahan Kitab Bustan al-Ahbar

Kitab Bustan al-Ahbar ini ada diterjemahkan dalam bahasa Melayu/Indonesia. Di sini saya hanya ingin menyentuh secara ringkas mengenai buku terjemahan Bustan al-Ahbar yang terdapat dalam koleksi saya.

  1. Judul Buku;  Di bahagian atas kulit (cover)nya, ditulis dengan dengan huruf ‘Arab  مختصر نيـل الأوطـار, manakala di bawahnya ditulis ‘ Terjemahan Nailul Authar ’. Di bawahnya lagi ditulis ‘Himpunan Hadits-Hadits Hukum’.
  2. Penterjemah; Kitab ini telah diterjemahkan oleh panel yang terdiri daripada A. Qadir Hasan, Mu’ammal Hamidy, Drs. Imron AM dan Umar  Fanany B.A.
  3. Bilangan Jilid; Dicetak dalam 6 jilid (6 buah buku) dengan jumlah halaman keseluruhannya sebanyak 3239.
  4. Penerbit: Buku ini asalnya diterbitkan oleh P.T. Bina Ilmu, Surabaya, Indonesia. Manakala buku dalam koleksi saya ini diterbitkan oleh Victory Agencie, Kuala Lumpur, dengan cetakan pertama 1994.
  5. Di pengantar buku terjemahan Ringkasan Nail al-Authar ini, penterjemah nampaknya telah tersilap atau terkeliru apabila menyebutkan nama penyusun Kitab Muntaqa al-Akhbar ialah Syaikh al-Islam Taqiyuddin Ibn Taimiyyah atau nama sebenarnya Taqiyuddin Abu al-‘Abbās Ahmad ibn 'Abdul Halīm ibn 'Abdul Salām Ibn Taimiyyah al-Harrānī (1263 – 1328M). Sedangkan penyusun sebenar kitab ini ialah datuk beliau, iaitu Majduddin  Abu al-Barakat ‘Abdul Salam bin Abdullah ibn Taymiyyah al-Hanbali (meninggal dunia pada tahun 728H/1255M).

Tambahan; 

1.  Untuk faedah bersama,  baru-baru ini saya  mendapati kitab terjemahan ini  ada dipaparkan dalam bentuk blog. Anda boleh melayarinya di pautan berikut; Nailul Authar  «Himpunan Hadits Hukum (http://nailulauthor.wordpress.com/).

2.    Buku terjemahan ini juga boleh didownload dengan mengklik pada pautan (mengikut jilidnya) berikut: Jilid 1Jilid 2Jilid 3Jilid 4Jilid 5. Hanya ada 5 Jilid sahaja. Untuk membukanya gunakan aplikasi DJVUView. Kalau belum ada silakan download disini.  

3.      Muat turun kitab Bustan al-Ahbar di pautan  بستـان الأحبـار.

4.      Untuk memuat turun kitab Nail al-Authar klik pautan  نيـل الأوطـار.  


Semoga bermanfaat.

6 comments:

  1. Assalamualaikum encik, saya Adi. Saya tinggal di Besut, Terengganu. Saya amat berminat dengan Terjemahan Kitab Bustan al-Ahbar yang encik ada tu. Saya mempunyai terjemahan kitab Zadul Ma'ad (7 jilid lengkap) yang masih lagi dalam keadaan baru dan elok, insyaAllah. Boleh ke kalau kita buat pertukaran buku kerana saya amat berminat dengan kitab encik itu?

    ReplyDelete
  2. Salam. Terima kasih, sebenarnya saya juga ada memiliki terjemahan kitab zaadul ma'ad karya ibn qayyim tersebut. Buat masa ini, buku dalam koleksi saya hanya lah sebagai rujukan peribadi, keluarga dan rakan-rakan terdekat sahaja. Buku terjemahan bustanul ahbar masih ada dijual di kedai-kedai buku agama. Saya dapati buku ini ada dijual secara online di pautan berikut http://atsar.ilmusunnah.com/index.php?route=product/product&path=63&product_id=359. ( tetapi terbitan syarikat lain - dalam 4 jilid).

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya mempunyai terjemahan lengkap Tafsir Sa'di 7 jilid. Boleh ke dibuat pertukaran?

      Delete
  3. Semoga saudara memanfaat kitab yang berharga tersebut sebaiknya. Kitab yang saudara tawarkan itu harga rmnya lebih mahal berbanding buku terjemahan yang saya miliki. Saudara boleh memilikinya dengan membeli di pasaran kitab.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya memang teramat-amat berminat dengan kitab terjemahan yang encik ada tu. Saya memang berharap agar kita dapat membuat pertukaran. Boleh tak encik?

      Delete
    2. Assalamualaikum encik, jika encik setuju untuk tukar, insyaAllah saya boleh berikan 7 jilid lengkap Tafsir Sa'di dan 7 jilid lengkap Zadul Ma'ad kepada encik. Saya amat berharap sangat agar encik bersetuju.

      Delete