Friday, September 28, 2012

Kitab Masa-il al-Ta'lim

 
Kitab Masa-il al-Ta’lim  atau dikenali juga dengan judul al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah Fi Fiqh al-Sadat al-Syafi-‘iyyah merupakan sebuah kitab fiqh yang menjadi rujukan para ulama dalam mazhab al-Syafi’i. Kitab Masa-il al-Ta’lim ini, lebih dikenali dan disebut dalam kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi’iyyah dengan nama  al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah atau Muqaddimah Bafadhal. 
 
Kitab ini merupakan hasil karya al-Imam al-‘Allamah Jamaluddin Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal al-Sa’di al-Hadhrami (850-918H). Dalam kitab fiqh al-Syafi’iyyah, nama beliau biasanya disebut dengan Bafadhal sahaja. Bafadhal asalnya merupakan nama gelaran keluarga/keturunannya.  Dari Keluarga ini telah lahir ramai ulama dan tokoh mazhab Syafi’i yang terkenal.
 
Kandungan Kitab;
 
Berkata Imam Bafadhal di muqaddimah kitabnya; “ Kitab ini merupakan suatu mukhtashar (ringkasan) yang perlu diketahui oleh setiap muslim. Oleh itu  mereka hendaklah mengambil perhatian  terhadap kandungannya”.
 
Berdasarkan Kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah dalam koleksi saya, kandungan kitab ini tidak meliputi semua tajuk fiqh. Ia dimulai dengan khutbah kitab (pendahuluan) yang ringkas, kemudian disusuli dengan beberapa buah kitab, kitab dibahagikan kepada beberapa bab dan bab pula dibahagikan kepada beberapa fasal. Pembahagian kitab, bab dan fasal dalam kitab al-Muqaddimah ini, tidak teratur sebagaimana biasa digunakan dalam kitab-kitab fiqh yang lain. Saya tidak pasti, adakah penyusunan ini memang dibuat oleh pengarangnya sendiri atau tidak. Berikut ringkasan susunan kitab tersebut;
 
1.       Khutbah Kitab
2.      Kitab al-Thaharah;
-         Dimulai dengan beberapa fasal berkaitan dengan air, wuduk, istinjak dan mandi.
-         Bab al-Najasat: jenis-jenis najis
-         Bab al-Tayammum; terdapat beberapa  fasal berkaitan dengan syarat dan fardu tayammum, haid dan hukum perempuan mustahadah.
-         Bab al-Sholat; fasal tentang waktu solat, azan dan iqamat.
-         Bab Shifat al-Sholat; terdapat beberapa fasal mengenai apa yang sunat dibacakan ketika melaksanakan rukun-rukun solat, syarat-syarat sah solat, perkara makruh, jenis-jenis sujud, solat sunat, dan solat berjemaah
-         Bab Sholat al-Musafir; fasal mengenai syarat qasar solat dan solat jamak.
-         Bab solat Jumaat;
-         Bab solat al-Khauf
-         Bab solat al-‘Iedain ( solat hari raya)
-         Bab solat al-Kusuf (gerhana)
-         Bab solat Istisqak
-         Bab al-Jana-iz (jenazah)
-                                  -    Bab Zakat
          3. Kitab al-Shiyam
   4. Kitab al-I’tikaf
   5.  Kitab al-Haj wa al-‘Umrah;
 -         Dimulai dengan beberapa fasal mengenai amalan haji dan umrah,
                         -         Bab al-Udhhiyyah (kurban): perkara-perkara mengenai ibadat korban dan
                         -     Ditutup dengan fasal mengenai aqiqah.
              
Kitab Huraian (Syarah);
 
Berikut antara  syarah bagi kitab ini;
 
1.       al-Manhaj al-Qawim bi Syarh Masa-il al-Ta’lim karya Syaikh al-Islam Ahmad Ibn Hajar al-Haytami (974H)
 
2.      al-Mawahib al-Sunniyyah bi Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah karya Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Ali Ba’isyn al-Daw’ani al-Hadhrami [1270H].
 
3.      Busyra al-Karim bi Syarh Masa_il al-Ta’lim, juga karya Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba’isyn al-Hadhrami. Kitab ini adalah ringkasan bagi kitab al-Mawahib al-Sunniyyah karya beliau yang disebutkan di atas. Kitab ini lebih terkenal sebagai syarah kitab Masa-il al-Ta’lim berbanding kitab al-Mahawahib al-Sunniyah.
                                                                           
4.      al-Manhal al-Warif `ala al-Mukhtashar al-Lathif, karya Habib ‘Alwi bin Abdullah bin Husain Alaydrus (1979 M/1399H).
                                                                                                                                           
Di antara kitab-kitab huraian (syarah) al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah di atas yang paling terkenal ialah Kitab al-Manhaj al-Qawim bi Syarh Masa-il al-Ta’lim karya Syaikh al-Islam Ahmad Ibn Hajar al-Haytami (974H). Kitab ini telah diberi komentar (hasyiah) oleh beberapa orang ulama, antaranya;
 
 1.       al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad bin Sulayman al-Kurdi (1127-1194H), dengan karyanya “ al-Hawasyi al-Madaniyyah ‘ala al-Manhaj al-Qawim /Hasyiah al-Kurdi  ‘ala al-Manhaj al-Qawim ”.
 
2.      al-Jurhuzi (1201H) dengan karyanya “ Hasyiah ‘ala al-Manhaj al-Qawim ”.
 
3.      Syeikh al-‘Allamah Muhammad Mahfuz bin Abdullah  bin Abdul Mannan al-Turmasi (1285-1329H), dengan karyanya “ Hasyiah ‘Ala al-Manhaj al-Qawim /Muhibah Zil Fadhli `ala Syarh al-'Allamah Ibnu Hajar Muqaddimah Bafadhal ”.
 
4.      Syaikh Shalih bin Muhammad Bafadhal al-Makkiy (1333H) dengan karyanya “ Hasyiah “ al-Maslak al-Qawim  ‘ala al-Manhaj al-Qawim Syarh Masa-il al-Ta’lim”.

No comments:

Post a Comment