Saturday, September 8, 2012

Hadis 40 (Terjemahan dan Syarahnya)


Hadis 40 (Terjemahan dan Syarahnya) merupakan karya Ustaz Mustafa Abdul Rahman, salah seorang ilmuan Malaysia yang banyak menyumbang kepada perkembangan dakwah dan ilmu-ilmu Islam. Karya ini merupakan huraian kepada hadis-hadis yang dikumpulkan oleh Imam al-Nawawi dalam bukunya “al-Arba’in”. Buku Hadis 40 menjadi antara rujukan utama kepada masyarakat Islam di Malaysia untuk memahami teks-teks hadis, selain Mastika Hadis, terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Buku Hadis 4o karya Ustaz Mustafa Abdul Rahman ini menjadi teks kuliyyah di masjid-masjid, malah ia juga dijadikan teks usrah di kalangan pelajar di sekolah-sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi.

Ustaz Mustafa Abdul Rahman dilahirkan di Gunung Semanggol, Perak pada tahun 1918 dalam sebuah keluarga yang berketurunan ulama. Bapanya, Abdul Rahman bin Mahmud merupakan lulusan Universiti al-Azhar dan pernah menuntut di Masjidil Haram, Mekah. Setelah kembali ke tanahair, Abdul Rahman membuka sebuah pusat pengajian agama, iaitu Pondok al-Rahmaniah di Gunung Semanggol. Beliau banyak meyumbangkan tenaga dan idea dalam perkembangan dakwah dan keilmuan Islam di Malaysia. Sumbangannya disalurkan menerusi penulisan karya-karya, di samping penglibatan secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan. Beliau meninggal dunia di Gunung Semanggol pada 28 Oktober 1968 bersamaan 6 Syaaban 1338H ketika berusia 51 tahun.

 
Buku Hadis 40 (Terjemahan dan Syarahnya)

Buku Hadis Empat Puluh (Terjemahan dan Syarahnya) adalah salah sebuah karya hadis Ustaz Mustafa yang masyhur dan mendapat tempat yang baik dalam kalangan masyarakat sehingga kini. Pada asalnya buku ini ditulis dengan tulisan jawi dan dicetak buat kali pertama pada tahun 1964 sebagaimana catatan pengarang dalam ‘Kata Penyusun’. Manakala edisi rumi diterbitkan kali pertama pada Oktober 1989 untuk memenuhi permintaan masyarakat serta meluaskan sasaran pembaca kepada golongan yang tidak mahir dalam tulisan jawi. Di samping itu, penerbit juga membuat beberapa tambahan penjelasan yang tertinggal dalam edisi jawi. Edisi rumi ini dicetak kali kedua pada tahun 1991, diikuti 1996, 1998 dan 2001.

Ustaz Mustafa menjelaskan bahawa tujuan penghasilan buku ini ialah sebagai satu usaha menghidupkan dan memperkembangkan sunnah Rasulullah s.a.w. dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Justeru itu, beliau memilih karya Imam al-Nawawi atau Muhy al-Din Abu Zakariya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (m.676H), iaitu Matn al-Arba’in al-Nawawiyah untuk diterjemahkan dan dihuraikan hadis-hadisnya. Meskipun karya ini hanya memuatkan 42 buah hadis, namun hadis-hadis ini mempunyai kepentingan yang tersendiri, terutama dari aspek kaedah dan sumber hukum-hukum Islam. Malah kebanyakannya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, atau salah seorang daripada mereka, justeru kedudukan hadis-hadis ini adalah sahih dan tidak diragui lagi darjatnya. Terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi yang dijelaskan darjatnya sebagai hadis hasan sahih, iaitu hasan lagi sahih. Faktor-faktor inilah yang mempengaruhi pemilihan Matn al-Arba’in oleh Ustaz Mustafa.

 
Sistematika Penulisan Buku

Perbincangan dalam buku ini dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama mengupas empat topik penting dengan kata kunci: Pendahuluan Ilmu Hadith (membentangkan sejarah pembukuan hadis dan kedudukan hadis sebagai sumber perundangan Islam); hadis, perbezaan antara hadis dan hadis Qudsi, beberapa istilah dalam kajian hadis seperti sanad, isnad, musannid, matan, riwayat, muhaddith, hakim dan hujjah). Bahagian-bahagian nama hadis (Mutawatir, masyhur, sahih, hasan, da’if, marfu’, mawquf, mursal, muttasil, mahfuz, jayyid, mujawwad dan thabit, mawduc). Pengarang mengemukakan bahagian ini dengan tujuan untuk mendedahkan maklumat penting kepada pembaca berkaitan ‘Ulum al-Hadith, terutama istilah-istilah penting dalam penentuan darjat hadis serta menekankan kepentingan ilmu ini kepada ahli-ahli agama yang ingin mendalami hukum-hukum Islam. Seterusnya beliau memperkenalkan secara ringkas riwayat hidup imam-imam hadis yang termasyhur, iaitu pengarang Kutub Sittah, dan biografi ringkas Imam al-Nawawi.

Bahagian kedua pula memuatkan terjemahan dan huraian kepada 42 hadis pilihan yang terdapat dalam Matn al-Arbacin al-Nawawiyyah. Pengarang memulakan bahagian ini dengan terjemahan mukadimah yang ditulis oleh Imam al-Nawawi dalam kitab tersebut.

 
Rujukan Hadis 40

Ustaz Mustafa menyenaraikan tujuh belas buah kitab yang menjadi rujukannya dalam menghuraikan hadis. Rujukan ini meliputi karya-karya cUlum al-Hadith, Syarh al-Hadith dan bidang-bidang ilmu lain, iaitu:

1. Miftah al-Sunnah, oleh Muhammad ‘Abd al-‘Aziz al-Khawli

2. Syarh al-Dibaj al-Madhahib, oleh Syams al-Din Muhammad Hanafi al-Tabarzi

3. Minhaj Dhawi al-Nadr, oleh Muhammad Mahfuz Abdullah al-Tirmidhi

4. Minhat al-Mughith, oleh Hasan al-Mas’udi

5. Isna al-Mutalib, Syeikh Muhammad bin Sayyid Darwis

6. Tadhkirah al-Mawdu’at, oleh Muhammad Tahir bin Ali al-Hindi

7. Syarh Matn al-‘Arba’in al-Nawawiyyah

8. Fath al-Mubin li Syarh al- al-Arba’in, oleh Ahmad Ibn Hajar Haytami

9. Al-Majalis al-Saniyyah, oleh Ahmad bin Syeikh Hijazi

10. Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, oleh Ahmad bin Rajab al-Hanbali

11. Miftah al-Khatabah wa al-Wa’iz, oleh Muhammad Ahmad al-‘Adwi

12. Al-Syarh al-Jadid li Jawharah al-Tawhid, oleh Muhammad Ahmad al-‘Adwi

13. Al-Dar al-Nadid, oleh Ahmad bin Yahya al-Syafi’i

14. ‘Aqidah al-Muslim, oleh Muhammad al-Ghazali

15. Al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, oleh Yusuf al-Qaradawi

16. Ruh al-Din al-Islami, oleh ‘Afif ‘Abd al-Fattah Thabbarah

17. Fatawa al-Imam al-Nawawi, oleh Syeikh ‘Ala’ al-Din Ibn al-‘Attar

Pengarang tidak menyatakan secara jelas pendapat-pendapat yang dipetik dan di mana pula beliau meletakkannya, justeru menyukarkan pembaca mengesan bahan rujukan yang digunakan. Walau bagaimanapun, kajian ini mendapati beliau telah memanfaatkan sepenuhnya rujukan ini dalam menghuraikan hadis-hadis dan mengetengahkan pengajarannya kepada pembaca.

 
Metodologi Huraian Hadis 40

Ustaz Mustafa Abdul Rahman telah menggunakan metodologi penghuraian hadis yang lebih kurang sama dengan penulis-penulis lain. Terdapat 10 kaedah yang diaplikasikan oleh beliau, iaitu:

1. Mengemukakan matan hadis dan terjemahannya ke dalam Bahasa Melayu moden dengan penyampaian yang mudah dan ringkas. Kemudian beliau menyatakan sumber hadis secara ringkas.

2. Memperkenalkan latar belakang perawi secara ringkas.

3. Menyatakan nilaian hadis atau kepentingan dan fadilat hadis.

4. Menghuraikan hadis berdasarkan tema-tema penting.

5. Mengemukakan dalil-dalil dari al-Qur’an dan Hadis-hadis serta pelbagai pendapat ‘ulama yang berkaitan dengan isu bagi memperkuatkan huraian dan penerangan.

6. Menyatakan sumber surah dan ayat al-Qur’an secara konsisten, tetapi sebaliknya ketika memetik hadis-hadis dan athar-athar lain beliau hanya menyatakan sumber secara ringkas bagi sebahagian hadis.

7. Memperkenalkan latar belakang ulama secara ringkas.

8. Menerangkan maksud perkataan dari sudut bahasa dan istilah.

9. Mendatangkan contoh yang mudah bagi menjelaskan sesuatu isu atau perkara.

10. Merumuskan isi-isi dan mengemukakan pengajaran/kefahaman (fiqh al-hadith) yang boleh dimanfaatkan oleh pembaca daripada hadis tersebut

Untuk maklumat lanjut mengenai Buku Hadis 40 ini dan pengarangnya,  sila download dan baca artikel berikut: Metodologi Mustafa Abdul Rahman Dalam Huraian Hadis 40. Catatan saya di atas merupakan petikan dari artikel ini. Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment