Friday, September 14, 2012

Kitab al-Muntaqa min Akhbar Mustafa


Kitab al-Muntaqa min Akhabar Mushthafa (المنتقى من أخبار مصطفى) merupakan karya Syaikh al-Islam Majduddin Abu al-Barakât Abdul Salam bin Abdullah bin Abu al-Qâsim bin Abdullah Ibnu Taimiyyah (653H). Beliau merupakan datuk kepada Syaikh al-Islam Taqiyuddin Ahmad bin Abdul Halim bin Majduddin Abdul Salam al-Harrani. Menurut Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Dzail Thabaqât al-Hanabilah , ketika menerangkan biografi Majduddin ibnu Taimiyah menyebutkan bahawa kitab al-Muntaqa merupakan ringkasan dari karya Majduddin sendiri iaitu kitab al-Ahkâm al-Kubra. 
Kitab al-Muntaqa ini mengandungi 5029 hadits yang menjadi sumber hukum-hukum fiqh. Ia disusun sesuai mengikut tertib bab-bab pembahasan fiqh, dengan mencantumkan nama-nama ulama yang mengeluarkannya tanpa menjelaskan darjat atau status hadits tersebut. 

Selain judul di atas, Kitab al-Muntaqa ini telah diterbitkan dengan beberapa judul, antaranya;

     1.  Muntaqa al-Akhbar min Ahadits Sayyid al-Akhyar
     2.  al-Muntaqa fi al-Ahkam al-Syar'iyyah min Kalam Khair al-Bariyyah saw

Ramai para Ulama yang menghuraikan (mensyarah) kitab ini, antaranya;
  1. al-Imam Muhammad bin Ahmad bin Abdul Hadi Al-Maqdisi wafat tahun 744 H.
  2. al-Allamah Sirajuddin Umar bin Ali bin al-Mulaqqin wafat tahun 804 H, namun beliau tidak sempat menyelesaikan syarahnya.
  3. Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhsin al-Qadhi al-Hanbali wafat tahun 771 H. Namun beliau juga tidak sempat menyempurnakan syarahnya.
  4. al-Qadhi Muhammad bin ‘Ali al-Syaukani wafat tahun 1255H. Karya beliau berjudul Nailul Authar Syarh Muntaqa al-Akhbâr. Imam Syaukani dalam Syarahnya banyak mengambil metod dan meringkas penjelasannya dari kitab Fathul Bâri Syarh Shahih al-Bukhari, iaitu karya al-hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam masalah Fiqhiyyah. Juga dalam meringkas takhrij hadits cukup bagus dan baik.
  5. Syeikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin mensyarah juz pertama dari kitab al-Muntaqa iaitu sampai masalah Jâmi’ Ad’iya` manshushun ‘Alaiha Fi ash-Shalat dan telah dicetak tahun 1426 H oleh Dâr Al-Muhaddits. 

1 comment: