Monday, November 16, 2015

al-Risalah al-Jami’ah wa al-Tazkirah al-Nafi’ah


Sebuah karya ulama yang ingin dikongsi bersama pembaca kali ialah sebuah kitab yang berjudul  “ al-Risalah al-Jami’ah wa al-Tazkirah al-Nafi’ah ”. Kitab ini merupakan karya al-‘Allamah al-Sayyid Ahmad bin Zain bin ‘Alawi bin Ahmad al-Habsyi (1069-1145H), seorang tokoh ulama terkenal mazhab Syafi’i dari Hadhramaut, Yaman.  

Dalam kitab “ Risalah al-Jami’ah wa al-Tazkirah al-Nafi’ah” ini diterangkan secara ringkas mengenai tiga bidang utama dalam agama, iaitu akidah, fiqh dan tasauf. Namun begitu, perbahasan utama yang diterangkan dalam kitab ini adalah mengenai bidang fiqh mengikut mazhab Syafi’i, yang berkaitan dengan fiqh ibadat, iaitu solat, zakat, puasa dan haji. Penerangan tentang ibadat solat lebih terperinci berbanding ibadat yang lain.

Kitab ini telah menjadi teks pengajian  dan rujukan para ulama dan pelajar di kebanyakan  peusat pengajian Islam, sekolah dan pondok di Hadramaut dan  lainnya  seperti Zabid, Tihamah Yaman,  Mekah, Madinah, Indonesia, Malaysia, Mesir, Afrika Selatan, Kenya, Uganda dan Algeria. Kitab ini telah dicetak dengan cetakan yang pelbagai di Mesir, Arab Saudi, Yaman, Indonesia dll.


Sumber rujukan kitab al-Riasalah al-Jami’ah

al-‘Allamah al-Sayid Ahmad bin Zain al-Habsyi, penyusun kitab al-Risalah al-Jami’ah ini ada menerangkan sumber penulisan kitabnya dalam pendahuluan kitab al-Risalah al-jami’ah;

فَهَذِهِ مَسَائِلُ مُخْتَصَرَةٌ مِنْ بَعْضِ كُتُبِ حُجَّةِ الإسْلاَمِ الْغَزَالِيِّ غَالِبَاً. مَنْ عَرَفَهَا وَعَمِلَ ِهَا نَرْجُو لَهُ مِنَ الله أنْ يَكُوْنَ مِنْ أهْلِ الْعِلْمِ ظَاهِرَاً وَبَاطِنَاً

“ Maka ini adalah beberapa permasalahan yang diringkaskan dari sebahagian kitab-kitab karya Hujjatul Islam al-Ghazali. Sesiapa yang mengetahui dan mengamalkannya, kami memohonkan pengharapan daripada Allah untuknya agar menjadi seorang ahli imu yang zahir batin ”.

Di antara kitab yang disusun oleh ulama terkemudian,  yang menghuraikan kitab al-Riasalah al-Jami’ah ialah;
      a)      Anwar Lami'ah wa Tatimmat Wasi'ah Syarh Risalah Jami'ah wa Tazkirah Nafi'ah.
      b)      Bahjah al-Wasail bi Syarh Masail al-Risalah Jami'ah wa Tazkirah Nafi'ah.  
      c)      Syarah’ Allamah Muhammad bin Salim Ba Basil Al-Hajrini Al-Hadhrami Al-Makki.
      d)     Durur Lami'ah syarh Risalah Jami'ah
      e)      Ghilafah Sati'ah li Aali al-Lami'ah min Risalah Jami'ah.
      f)        al-Dilalah al-Nafi’ah Syarh al-Risalah  al-Jami’ah, karya Shalih bin Mathran.

Di antara kitab-kitab  syarah di atas, buat masa sekarang saya hanya mendapat maklumat  mengenai kitab Bahjah al-Wasail bi Syarh Masail , karya seorang ulama terkenal Nusantara, iaitu al-Syaikh al-‘Allamah Abu Abdul Mu’thi Muhammad Nawawi bin ‘Umar bin ‘Arabi al-Banteni al-Jawi al-Syafi’i (1230-1314H).  Syaikh Muhammad Nawawi al-Banteni di awal kitabnya telah menerangkan sebab yang mendorong beliau menyusun kitabnya adalah bagi menghuraikan kandungan kitab al-Risalah al-Jami’ah tersebut;

هذا شرح علي الرسالة الجامعة بين اصول الدين والفقة والتصوف للسيد أحمد بن زين الحبشى. سألني فيه بعض
الأحبة فأجبته لذالك طالبا من الله إخلاص الطوية. وسميته بهجة الوسائل بشرح مسائل.

“ Ini sebuah syarah (huraian) bagi kitab al-Risalah al-Jami’ah Bayna Ushuluddin wa al-Fiqh wa al-Tashawwuf [1]  karya al-Sayyid Ahmad bin Zain al-HabsyiTelah meminta sebahagian dari orang yang dikasihi (di kalangan murid-murid dan sahabat) agar menyusun kitab sebagai huraian isi kandungannya. Maka aku memperkenankan permintaan tersebut dengan ikhlas mengharapkan keredaan Allah... dan aku namakan kitab ini dengan “ Bahjah al-Wasail bi Syarh al-Masail[2] بهجة الوسائل) بشرح مسائل.)”

Kitab al-Risalah al-Jami’ah dalam bentuk file PDF boleh dimuat turun di pautan   ﺍﻟﺮﺳﺎﻟﺔ ﺍﺎﻣﻌﺔ ﻭ ﺍﻟﺘﺬﻛﺮﺓ ﺍﻟﻨﺎﻓﻌﺔ. Manakala terjemahan dalam Bahasa Inggeris boleh dimuat turun di pautan berikut;

Semoga bermanfaat.


[1] Judul lain bagi kitab Risalah al-Jami’ah wa al-Tazkirah al-Nafi’ah. Judul ini ada dicatatkan di bahagian kulit hadapan kitab Bahjah al-Wasail dan dalam muqaddimahnya.
[2] Judul Wasail ini diambil dari ungkapan penyusun asalnya dalam muqaddimahnya:   هَذِهِ مَسَائِلُ مُخْتَصَرَةٌ (Ini merupakan beberapa permasalahan yang diringkaskan).

2 comments:

  1. Check out Bahjatul Wasail || بهجة الوسائل بشرح الرسالة الجامعة (Fiqh) for RM55.00. Get it on Shopee now! https://shp.ee/yrl4xoq.

    ReplyDelete