Saturday, November 28, 2015

al-Ibanah fi Furu’ al-Syafi’i


Kitab “ al-Ibanah fi Furu’ al-Syafi’i[1] ” adalah sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i karya al-Imam Abu al-Qasim Abdurrahman bin Muhamad Ahmad bin Fawran al-Fawrani (461H). Beliau adalah seorang tokoh besar dalam mazhab syafi’i. Beliau  merupakan murid senior kepada al-Imam Abu Bakr Abdullah bin Ahmad bin Abdullah al-Maruzi (327-417H), yang terkenal dengan gelaran al-Qaffal al-Shaghir. Di antara karya beliau ialah kitab al-Ibanah dan al-‘Umdah.

Kitab al-Ibanah menjadi rujukan para ulama terkemudian dan isi kandungannya yang memaparkan pandangan dan idea-idea al-Fawrani mengenai sesuatu permasalahan hukum telah dipetik dan menjadi sandaran para ulama di dalam kitab-kitab karya mereka. Kitab al-Ibanah sangat masyhur sebagai karya al-Fawrani di kalangan ulama Syafi’iyyah, sehingga mereka hanya memadai menyebutkan gelaran Imam al-Fawrani di dalam kitab-kitab fiqh karya mereka sebagai “Shahib al-Ibanah” (Pengarang kitab al-Ibanah), tanpa menyebut namanya.

Sebagai contohnya, Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi r.h banyak memetik pandangan Imam al-Fawrani dari kitab al-Ibanah, sebagaimana yang terdapat dalam kitab al-Majmu’ karyanya. Berikut dibawakan petikan dari kitab al-Majmu’;

قال صاحب ” الإبانة ” : يكره الخاتم من حديد أو شَبَه وهو نوع من النحاس , وتابعه صاحب ” البيان ” فقال : يكره الخاتم من حديد أو رصاص أو نحاس لحديث بريدة رضي الله عنه.

Ertinya; “ Pengarang kitab al-Ibanah mengatakan, makruh memakai cincin besi atau tembaga. Pendapat ini juga diikuti oleh pengarang kitab al-Bayan. Beliau mengatakan, ‘Makruh memakai cincin besi, atau timbal, atau tembaga. Berdasarkan hadis dari Buraidah ”. (al-Majmu’ : 4/341)

Kitab al-Ibanah telah diringkaskan oleh al-Imam Abu Sa'id Abdurrahman bin Ma’mun al-Mutawali al-Naisaburi (478H) dengan karyanya yang berjudul “ Tatimmah al-Ibanah ”. Imam Abu Sa’id al-Mutawali adalah murid kepada Imam al-Fawrani. Sebenarnya kitab Tatimmah al-Ibanah ini bukanlah sekadar ringkasan kitab al-Ibanah, kerana selain meringkas kandungan kitab al-Ibanah, Imam al-Mutawali telah membuat penambahan beberapa permasalahan hukum yang tidak terdapat dalam kitab asalnya. Penambahan ini dilakukan sebagai melengkapkan lagi kandungan kitab al-Ibanah, sehingga Imam al-Mutawali menamakan karya beliau ini sebagai Tatimmah al-Ibanah (Pelengkap kitab al-Ibanah).

Namun begitu, ada juga penulis yang menganggap kitab Tatimmah al-Ibanah ini sebagai kitab huraian (syarah) bagi kitab al-Ibanah, bukannya ringkasan, memandangkan isi kandungannya ada huraian tambahan dari Imam al-Mutawali, seperti penambahan dengan pendapat-pendapat lain dalam sesuatu permasalahan kerana adanya dalil-dalil yang sahih mengenainya.

Imam al-Nawawi ada menyebutkan dalam kitab al-Majmu’ petikan dari kitab Tatimmah al-Ibanah. Di mana beliau menyebutkan Imam al-Mutawali sebagai “Shahib al-Tatimmah” (Pengarang kitab Tatimmah al-Ibanah). Berikut contoh petikan tersebut;

وقال صاحب ” التتمة ” : لا يكره الخاتم من حديد أو رصاص ؛ للحديث في الصحيحين أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال للذي خطب الواهبة نفسها ” اطلب ولو خاتما من حديد ” قال : ولو كان فيه كراهة لم يأذن فيه .

Ertinya: “Pengarang kitab al-Tatimmah mengatakan: ‘Tidak makruh menggunakan cincin besi atau tembaga. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan dalam dua kitab shahih (al-Bukhari dan Muslim), bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah menyuruh orang yang melamar wanita untuk mencari cincin besi.  Jika cincin besi hukumnya makruh, tentulah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak akan meyuruhnya ”. (al-Majmu’, 4/341)

Sayangnya kitab ini tidak sempat disempurnakan oleh Imam al-Mutawali, ia hanya sempat disiapkan setakat perbincangan mengenai Kitab al-Hudud dalam bab al-Saraqah (Mencuri). Bagi menyempurnakan kitab Tatimmah al-Ibanah ini, usaha telah dilakukan oleh al-Imam Muntajibuddin Abu al-Futuh, As’ad bin Mahmud bin Khalaf al-‘Ijliy al-Ashbahani (515-600H) dengan menyusun karya beliau yang berjudul “ Tatimmah al-Tatimmah ”.

Selain kitab Tatimmah al-Ibanah, kitab al-Ibanah juga telah diberikan huraian (syarah) oleh al-Imam Abu Abdullah al-Husain bin Ali al-Thabari (495H), melalui kitabnya yang berjudul al-‘Uddah[2] al-Kubra Syarh al-Ibanah. 

Sekadar pengetahuan saya, kitab al-Ibanah ini belum lagi diterbitkan oleh mana-mana syarikat penerbitan. Saya tidak pasti, adakah kitab ini masih ada dalam bentuk manuskrip tulisan tangan di mana-mana perpustakaan di pelusuk dunia ini. Namun begitu, yang pasti kitab al-Ibanah ini sememangnya pernah wujud sebagai sebuah karya fiqh yang yang bernilai, yang menjadi rujukan para ulama dan sebahagian isi kandungan masih boleh didapati dalam karya-karya para ulama terkemudian.

Tulisan ini hanyalah sekadar catatan peribadi untuk dikongsi dengan para pembaca. Saya sangat mengharapkan daripada pembaca agar dapat berkongsi maklumat tambahan dan lebih tepat mengenai kitab ini.  Semoga bermanfaat.




[1] Penambahan “ Fi Furu’ al-Syafi’i ” dihujung perkataan al-Ibanah adalah penambahan dari penulis, bagi membezakannya dengan kitab-kitab lain yang juga berjudul al-Ibanah. Antaranya;
      1)   Kitab al-Ibanah fi al-Fiqh al-Syafi’i, karya Imam Muhammad bin Banan bin Muhammad al-Kazaruni (455H).
          2)      Kitab-kitab al-Ibanah yang disusun khusus mengenai akidah, seperti kitab al-Ibanah ‘an Ushul al-Diyanah  karya Imam Abu Hasan al-Asy’ari, kitab al-Ibanah ‘an Ibthal Mazhab Ahl al-Kufar wa al-Dholalah karya al-Qadhi Abu Bakar al-Baqilani (403H) dan kitab al-Ibanah ‘an Syari’ah al-Firqah al-Najiah al-Mujanibah wa a-Firqah al-Mazmumah (al-Ibanah al-Kubra) karya Ibnu Baththah (378H).

[2] Terdapat sebuah kitab lagi yang berjudul al-‘Uddah, iaitu al-‘Uddah  al-Shughra, karya Abu Ishaq al-Ruyani Ibrahim bin Ali bin al-Husain al-Syaibani al-Thabari  (523H), yang terkenal dengan gelaran Abu al-Makarim al-Ruyani. Menurut al-Mandili, jika disebutkan kitab al-‘Uddah secara mutlak , maka yang dimaksudkan adalah kitab al-‘Uddah al-Shughra.  Haji Khalifah menyebutkan dalam kitabnya Kasyf al-Dzunun (2/1129) nama kitab ini adalah al-‘Uddah – tanpa perkataan al-Shughra. Kemungkinan perkataan al-Shughra tersebut ditambahkan di hujungnya bagi membezakannya dengan kitab al-‘Uddah al-Kubra, iaitu karya Imam Abu Abdullah al-Husain al-Thabari (495H) sebagaimana yang disebutkan di atas.

No comments:

Post a Comment