Wednesday, December 2, 2015

al-Kalim Thayyib - Fatawa ‘Asriyyah


Kitab “al-Kalim Thayyib - Fatawa ‘Asriyyah” adalah sebuah kitab yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh seorang tokoh ulama terkenal masa kini, iaitu al-‘Allamah Syaikh Dr. Abu ‘Ubadah Nur al-Din ‘Ali bin Jumaah bin Muhammad bin Abd al-Wahhab bin Salim bin Abd Allah bin Salam (1952-). Beliau lebih dikenali sebagai Syaikh ‘Ali Jumaah atau Dr. Ali Jumaah di kalangan umat Islam seluruh dunia pada hari ini. Beliau dilahirkan di Bandar  Bani Suwayf, satu perkampungan di pinggir sungai Nil, Mesir pada waktu fajar, 3 Mac 1952 Masihi bersamaan 7 Jamadilakhir 1371 Hijrah

Kini beliau menjawat jawatan Mufti Besar Mesir dan merupakan salah seorang ulama Islam di peringkat antarabangsa yang paling dihormati. Beliau juga seorang ulama mazhab Syafi'i masa kini (kontemporari) yang pakar dalam bidang Syariah dan Usul al-Fiqh.

Isi kandungan kitab ini, menghidangkan  sekumpulan fatwa yang berkaitan dengan pelbagai permasalahan kehidupan manusia kini, seperti yang berkaitan dengan ibadat, muamalat, hukum pidana (jenayah) dan beberapa permasalahan lain yang mempunyai kaitan dengan isu-isu semasa. Uslub (gaya bahasa) dalam penyusunan fatwa-fatwa ini juga mudah difahami kerana ia menggunakan bahasa yang mudah dan sesuai dengan generasi kini.

Kitab ini dihasilkan melalui pengumpulan jawapan fatwa bagi persoalan yang telah diajukan oleh pelbagai lapisan masyarakat Islam di Mesir. Atas kapasiti beliau sebagai seorang Mufti Mesir, beliau telah menerima pelbagai pertanyaan daripada masyarakat Islam dari segenap pelusuk Mesir yang inginkan kepastian, keterperincian dan keterangan berkaitan dengan permasalahan agama. Permasalahan dan jawapan yang berkaitan kemudian dihimpunkan sebelum dicetak menjadi kitab ini.

Kitab ini telah dihasilkan dan diterbitkan pertama kalinya pada tahun 2005 (1425 H). Ia kemudiannya dicetak untuk kali kedua pada tahun 2006 (1426 H). Pada tahun 2007 (1437 H), hasil daripada pengumpulan fatwa-fatwa terkini oleh Syaikh ‘Ali Juma’ah, kitab ini telah ditambah dengan jilid baru iaitu jilid kedua. Pada masa sekarang kitab ini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa utama dunia, termasuklah dalam bahasa Melayu.


Metod Penyusunan kitab ini…

Kitab al-Kalim al-Thayyib - Fatawa ‘Asriyyah ini dimulakan dengan sedikit pendahuluan yang menbincangkan secara ringkas tugas seorang mujtahid untuk menggunakan akal bagi menghadapi pelbagai persoalan dari masyarakat. Penggunaan akal yang dimaksudkan adalah penggunaan yang bertepatan dengan syarak dan bukan mengikut hawa nafsu. Turut dibincangkan ialah perbezaan di antara fatwa dan fekah. Tugas dan cabaran seorang mufti juga diselitkan secara ringkas.

Kitab ini merupakan kitab yang membincangkan fatwa berkaitan dengan fiqh secara umumnya. Oleh yang demikian, penyusunan bab dalam kitab ini menyamai penyusunan penulisan-penulisan fiqh secara umumnya. Penyusunan ini dimulakan dengan perbahasan mengenai ibadah, muamalat, kekeluargaan dan jenayah. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa fatwa lain yang diluar daripada skop perbahasan fiqh yang turut dimuatkan dalam kitab ini, seperti akhlak, hak-hak kemanusian, ideologi semasa dan pakaian turut dimuatkan. Namun, fatwa di luar bidang fiqh adalah kurang berbanding bidang fiqh yang menjadikan kitab ini sebagai satu kitab fatwa yang lebih berteraskan hukum-hukum fiqh.

Oleh kerana kitab al-Kalim al-Thayyib - Fatawa ‘Asriyyah ini merupakan kitab himpunan fatwa-fatwa yang pernah diajukan permasalahannya kepada Syaikh ‘Ali Juma’ah, terdapat beberapa fatwa yang menunjukkan berlakunya sesi dialog atau soal jawab yang berturutan antara beliau dan mustafti (penanya). Dialog ini adalah untuk memahami permasalahan yang dihadapi oleh mustafti dengan baik kerana seorang mufti tidak harus mengeluarkan fatwa tanpa menyelidiki secara teliti apa yang berlaku ataupun mengambil jalan mudah untuk mengeluarkan fatwa. Bagi memenuhi tuntutan serta adab seorang mufti dalam mengeluarkan fatwa ini, Syaikh ‘Ali Juma’ah juga menyelidiki terlebih dahulu setiap permasalahan dengan bertanyakan soalan-soalan yang berkaitan sebelum membuat rumusan terhadap fatwa yang disandarkan itu.

Dalam kitab ini, terdapat penjelasan yang dibuat secara terperinci tentang sesuatu permasalahan. Ini adalah bersesuaian dengan fatwa yang sememangnya tujuannya untuk menjelaskan dan memberi kefahaman kepada mustafti terhadap sesuatu permasalahan. Setiap fatwa yang dikeluarkan oleh mufti perlu diterangkan dengan keterangan yang menghilangkan segala kemusykilan. Di sebalik penjelasan tentang fatwa secara teliti, terdapat juga fatwa yang dijawab dengan ringkas. Ringkasan dalam menjawab fatwa ini dilakukan oleh Syaikh ‘Ali Juma’ah adalah kerana soalan yang berulang atau ianya merupakan satu perkara yang sudah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat Islam, di mana perkara tersebut difahami walaupun tanpa penjelasan yang terperinci.

Catatan ini dipetik dengan sedikit pengubahsuaian dari sebuah disertasi yang berjudul Metode Fatwa Sheikh 'Ali Juma'ah Dalam Kitab al-Kalim al-Tayyib - Fatawa_'Asriyyah,  oleh Wan Mohd Khairul Firdaus bin Wan Khairuldin. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai biodata pengarang dan kitab fatwa ini sila baca disertasi ini dengan melayari pautan berikut;


Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment