Sunday, December 20, 2015

Fatawa al-Qaffal


Kitab “Fatawa al-Qaffal (فتاوى القفال)”  adalah sebuah kitab yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh al-Imam Abu Bakr Abdullah bin Ahmad bin Abdullah al-Marwazi  al-Khurasani  (327-417H), yang terkenal dengan gelaran al-Qaffal al-Shaghir  atau al-Qaffal al-Marwazi.

Imam Al-Qaffal  adalah seorang tokoh utama mazhab Syafi’i, yang mengetuai para fuqaha Syafi’iyyah di Khurasan (Syaikh al-Khurrasani) pada abad ke 5 hijrah. Beliau terkenal dengan keluasan ilmunya dalam bidang fiqh  dan usul fiqh. Perkara ini, jelas terserlah dalam beberapa fatwa beliau dalam kitab al-Fatawa ini. Jika disebutkan gelaran “al-Qaffal al-Marwazi” di dalam kitab-kitab fiqh mazhab Syafi’i, maka ia merujuk kepada al-Qaffal al-Shaghir ini, bukannya kepada al-Qaffal al-Kabir, iaitu  al-Imam Abu Bakr Muhammad bin ‘Ali bin Ismail al-Syasyi[1] (291-365H), yang juga dikenali sebagai al-Qaffal al-Syasyi. Pendapat Imam al-Qaffal al-Syasyi al-Kabir ini kerap disebutkan di dalam kitab-kitab usul fiqh.

Imam al-Qaffal al-Marwazi merupakan seorang yang luas pengetahuannya mengenai fiqh mazhab Syafi’i, termasuk pendapat qadim dan jadid dalam mazhab Syafi’i. Beliau juga terkenal sebagai seorang ulama yang tidak taksub kepada mazhab yang dianutinya. Di antara pendapat yang masyhur daripada beliau ialah mengenai keharusan seorang penganuti mazhab Syafi’i  solat bermakmumkan seorang imam yang bermazhab Hanafi dan sebaliknya,  sedangkan  pendapat yang masyhur oleh sebahagian  para fuqaha Syafi’i dan Hanafi bahawa perbuatan tersebut adalah tidak sah.

Selain kitab al-Fatawa ini, antara karya Imam al-Qaffal al-Marwazi yang lain ialah kitab Syarh Talkhish Ibn al-Qash[2]Syarh al-Furu’ li Ibn al-Haddad[3] dan Syarh Kitab ‘Uyun al-Masail li Abi Bakr al-Farisi[4]


Kitab “Fatawa al-Qaffal”

Kitab Fatawa al-Qaffal ini tidak disusun sendiri oleh al-Imam al-Qaffal al-Marwazi, tetapi ia disusun oleh seorang ulama lain selepas kewafatannya, yang berkemungkinan adalah salah seorang dari anak-anak muridnya. Ia disusun berdasarkan beberapa fatwa yang masyhur yang pernah dikeluarkan oleh Imam al-Qaffal al-Marwazi. Kitab ini didahului dengan kata pengantar penyusun (penghimpun fatwa) dan penyusunnya (penghimpun) kerap menyebut perkataan “aku berkata kepadanya”, “maka berkata al-Syaikh”, “kami berkata kepadanya”. Ia membuktikan kitab ini disusun selepas kewafatan Imam al-Qaffal al-Marwazi oleh salah seorang muridnya. Sebenarnya, kitab ini tidak menghimpun kesemua fatwa yang pernah dikeluarkan oleh al-Qaffal al-Marwazi. Berdasarkan kitab Fatawa al-Qaffal yang diterbitkan dengan cetakan pertamanya (2011) oleh Dar Ibn Qayyim (Arab Saudi) dan Dar Ibn ‘Affan (Mesir) hanya terdapat 349 permasalahan fiqh yang disebutkan dalam kitab tersebut. Banyak lagi fatwa-fatwa lain yang dinisbahkan kepada Imam al-Qaffal al-Marwazi yang disebutkan dan dinukilkan oleh para ulama dalam beberapa kitab yang muktamad di sisi mazhab Syafi’i yang tidak terdapat dalam kitab fatwa ini.

Bagi edisi cetakan yang disebutkan di atas, pentahkik (editor) kitab “Fatawa al-Qaffal” iaitu Mustafa Mahmud al-Azhari, telah berusaha mengumpul beberapa fatwa-fatwa al-Qaffal al-Marwazi yang terdapat berselerakkan dalam beberapa kitab fiqh dan qawa’id fiqh yang disusun oleh para ulama mazhab Syafi’i, dan melampirkannya di akhir kitab ini, khususnya mengenai bab-bab tertentu  yang tidak terdapat dalm kitab fatwa ini.

Fatwa-fatwa dalam kitab ini disusun mengikut bab-bab fiqh, mengikut turutan kitab-kitab berikut, iaitu  kitab thaharah,  kitab solat, kitab jenazah, kitab zakat, kitab puasa, kitab haji, kitab korban, pemburuan, sembelihan dan makanan (ath’imah), kitab nazar, kitab jual beli, dan kitab al-Salam dan al-qard.


Kitab-kitab yang mengandungi fatwa-fatwa Imam al-Qaffal al-Marwazi

Berikut disenaraikan beberapa buah kitab fiqh yang ada menyebutkan fatwa-fatwa  al-Qaffal al-Marwazi;

      1.     Fath al-‘Aziz Syarh al-Wajiz karya Imam al-Rafi’i(623H),  
      2.     Rawdh al-Thalibin dan Majmu’ karya ImamAbu Zakariyya Yahya bin Syaraf  al-Nawawi (676H),
      3.      Kifayah al-Akhyar fi Hall Ghayah al-Ikhtishar karya Taqiyuddin al-Hushni (829H),
     4.      Asna al-Mathalib Syarh Rawdh al-Thalib, karya Syaikhul Islam Abu Yahya Zakariyya al-Anshari (926H),
     5.    Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj dan al-Fatwa al-Kubra karya Ibn Hajar al-Haytami (974H),
      6.       Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj Karya Khathib al-Syarbini (977H),
      7.      Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj karya Syamsuddin al-Ramli (1004H),
      8.     Hasyiah I’anah al-Thalibin karya abu Bakr al-Dimyathi  dll.

Fatwa-fatwa dari al-Qaffal juga terdapat dalam beberapa kitab qawa’id fiqhiyyah, antaranya;

    1.   al-Asybah wa al-Nazhair karya Shadruddin Muhammad bin ‘Umar , yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Wakil (716H),
     2.     al-Majmu’ al-Muzahhab fi Qawa’id al-Mazhab karya al-Hafizh Khalil bin Kaikaldi al-‘Ala-i (761H),
     3.    al-Asybah wa al-Nazhair karya Tajuddin  ‘Abdul Wahhab bin ‘Aliy bin Abdul Kafi al-Subki (771H),
   4.   al-Matsur fi al-Qawa’i dan Khabaya al-Zawaya karya Badaruddin Muhammad bin Bahadur al-Zarkasyi 794H),
     5.      al-Qawa’id karya Sirajuddin ‘Umar bin ‘Ali Ibn al-Mulaqqan ( 804H),
    6.  al-Asybah wa al-Nazhair karya ‘al-Hafizh Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Sayuthi (911H), dll.

Semuanya fatwa-fatwa  al-Qaffal yang terdapat dalam kitab-kitab di atas, adalah bersumber kepada  kitab al-Syarh al-Kabir karya al-Rafi’i dan al-Rawdhah  karya al-Nawawi.  Sedangkan mereka berdua (al-Rafi’i dan al-Nawawi) merujuk  fatwa-fatwa tersebut kepada karya-karya  Imam al-Haramayn al-Juwayni[5]. Di mana Imam al-Haramayn pula mengambil fatwa-fatwa tersebut dari pada murid-murid al-Qaffal al-Marwazi seperti bapanya  Syaikh Abu Muhammad al-Juwaini[6], al-Qadhi Husain[7], al-Shaydalani, al-Fawrani[8] dan  Abu ‘Ali al-Sinji[9]. Di samping itu, al-Nawawi dan al-Rafi’i juga ada  merujuk kepada karya-karya Imam Abu Hamid al-Ghazali[10] dan kitab Syarh al-Talkhis karya al-Qaffal  al-Marwazi.

Kandungan kitab Fatawa al-Qaffal  yang merangkumi  304 halaman ini boleh dimuat turun melalui pautan  http://waqfeya.com/book.php?bid=9430Semoga bermanfaat.

Sumber:  Kitab Fatawa al-Qaffal, cetakan 1 (2011), Dar Ibn Qayyim / Dar Ibn ‘Affan.



[1] Di antara karya beliau ialah Tafsir Kabir lil-Qur`an al-Karim, Syarh Kitab ar-Risalah lil-Imam al-Syafi'i, Dala`il al-Nubuwwah, Mahasin al-Syari'ah dan Adab al-Qadha’.

[2] Iaitu huraian bagi kitab al-Talkhish karya al-Imam Abu al-‘Abbas, Ahmad bin Abu Ahmad al-Thair al-Thabari (335H/946M), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Qash. Di antara karya beliau yang lain ialah; Adab al-Qadhi / Adab al-Qadha, al-Mawaqit, al-Miftah, Dala-il al-Qiblah dan Nushrah al-Qawlain li al-Imam al-Syafi’i.

[3] Iaitu huraian bagi kitab al-Furu’ al-Mawlidat (Furu’ Ibn al-Haddad) karya al-Qadhi Ibn al-Haddad al-Kinani,  Abu Bakr Muhammad bin Ahmad bin Muhammad (344/345H). Antara karya beliau yang lain ialah; Jami’ al-Fiqh, Al-Bahir fi al-Fiqh dan Adab al-Qudha’.

[4] Iaitu huraian bagi kitab ‘Uyun al-Masa-il karya al-Imam Abu Bakr Ahmad bin al-Hasan bin Sahl al-Farisi (350H/961M). Antara karya lain beliau ialah Kitab al-Intiqad ‘ala al-Muzani.

[5] Beliau ialah Abu al-Ma-‘ali Abdul Malik bin Abdullah al-Juwaini (419-478H), yang terkenal dengan gelaran Imam Haramayn. Beliau adalah guru kepada Imam al-Ghazali. Di antara karya beliau ialah; Nihayah al-Mathlab Fi Dirayah al-Mazhab dan Ghunyah al-Mustarsyidin fi al-Khilaf

[6] Beliau ialah Rukn al-Islam Abu Muhammad Abdullah bin Yusuf bin Abdullah al-Juwaini (438H). Di antara karya beliau ialah al-Tabshirah fi al-Waswasah, Mukhtashar al-Mukhtashar (Mukhtashar Syaikh Abi Muhammad)/ al-Mu’tashar  – ringkasan Mukhtashar al-Muzani, Mukhtashar fi Mawqif al-Imam wa al-Makmum dan  al-Jam’  wa al-Farq.

[7] Beliau ialah al-Qadhi  Husain, Abu ‘Ali al-Husain bin Muhammad bin Ahmad al-Marwarruzi (462H). Di antara karya beliau ialah; al-Ta’liqah (Syarh Mukhtashar al-Muzani), al-Fatawa, Syarh al-Furu’ Ibn al-Haddad dan Asrar al-Fiqh.

[8] Beliau ialah al-Fawrani, Abdurrahman bin Muhamad Ahmad bin Fawran (461H). Di antara karya beliau ialah kitab al-Ibanah dan al-‘Umdah

[9] Beliau ialah Abu Ali Husain bin Syu’aib bin Muhammad al-Sinji (406H). Di antara karya beliau ialah kitab Syarh Mukhtashar al-Muzani, Syarh al-Talkhish  dan Syarh al-Furu’.

[10] Beliau ialah Hujjatul Islam  Abu Hamid, Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazzali (450-505H). Di antara karya beliau ialah kitab  al-Basith,  al-Wasith  Fi  al-Mazhab, al-Wajiz Fi Fiqh al-Imam al-Syafi’I,  al-Khulashah  dan al-Ihya ‘Ulum al-Din.

No comments:

Post a Comment