Kitab Hasyiah
al-Tarmasi ‘ala al-Manhaj al-Qawim (حاشية الترمسى على المنهج القويم), adalah sebuah karya
fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun oleh
Syeikh al-‘Allamah Muhammad Mahfuz bin Abdullah bin Abdul Mannan al-Tarmasi
al-Jawi al-Syafi’i (1285-1329H), seorang ulama dan karyawan agama yang
terkenal, berasal dari negara Indonesia dan menetap di Makkah al-Mukarramah, dengan
berkecimpun dalam penyebaran ilmu di
kota suci Makkah hingga akhir hayatnya.
Kitab yang terkenal
dengan judul ringkasnya Hasyiah al-Tarmasi
ini, sebenarnya mempunyai dua judul lengkapnya, iaitu;
a) Manhal al-‘Amim bi Hasyiah al-Manhaj al-Qawim (المنحل العميم بحاشية المنهج القويم).
b) Mauhib Zil Fadhli ala Syarh Ibnu Hajar ‘ala Muqaddimah Ba Fadhal
(موهبة ذى الفضل على شرح العلامة ابن حجر مقدمة بافضل).
Kitab ini disusun oleh
Syaikh Muhammad Mahfus al-Tarmasi sebagai hasyiah (komentar) bagi kitab al-Manhaj al-Qawim[1],
karya al-Imam al-‘Allamah Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali
bin Hajar al-Makki al-Haytami (909-973/974H), yang terkenal dengan gelaran Ibnu
Hajar al-Haytami[2].
Di mana kitab al-Manhaj al-Qawim
merupakan sebuah kitab yang disusun oleh Ibn Hajar al-Haytami sebagai huraian
(syarah) bagi kitab al-Muqaddimah
al-Hadhramiyyah[3],
iaitu karya al-‘Allamah Jamaluddin Abdullah bin Abdul Rahman Ba Fadhal al-Sa’di
al-Hadhrami[4]
(850-918H), yang terkenal dengan gelaran Ba Fadhal al-Hadhrami.
Kitab Hashiyah al-Tarmasi mula dicetak pertama
kali pada masa hidup beliau lagi dengan keizinan beliau pada tahun 1326H oleh
Percetakan Amirah Sharqiyyah di Mesir. Asalnya terdiri dari 4 jilid. Ia dicetak
bersekali dengan nota kaki (hamish) kitab al-Mawahib
al-Saniyyah karangan Syaikh Sulaiman Kurdiy. Cetakan terkini yang siap
ditahkik pula mengandungi tujuh jilid. Ia diterbitkan oleh Dar al-Minhaj,
Jeddah pada tahun 2011. Melihat kepada ketebalan bagi setiap jilidnya yang
merangkumi antara 600-800 lebih halamannya, kitab Hasyiah al-Tarmasi ini adalah sebuah kitab fiqh yang boleh
dikategorikan sebagai kitab yang agak tebal dan luas perbahasannya.
Setelah dicetak,
sebagaimana beliau jelaskan pada permulaan Bab
al-Bay dalam kitab tersebut, beliau menemui naskhah kitab al-Manhaj al-Qawim yang telahpun ada pelengkap
(takmilah) dari Bab al-Bay hingga Bab al-Fara-id. Maka beliau segera
menulis hasyiyah bagi takmilah tersebut. Maka, pada permulaan Bab al-Bay kita akan mendapati
al-Tarmasi memulakan bab ini dengan Basmalah
dan Hamdalah serta sedikit penjelasan
tentang penemuan beliau terhadap takmilah tersebut.
al-Tarmasi menyifatkan
kitabnya ini sebagai “laporan penuh serta
syarahan yang tinggi” (al-Tarmasi. 2011). Penanya kelihatan begitu lancar
dalam menerangkan isu-isu fiqh. Beliau menyebutkan dalil bagi banyak
permasalahan. Tidak cukup sekadar itu, beliau juga turut menyatakan illah
(sebab atau alasan fiqh). Hasyiyah beliau ini dianggap oleh ramai pihak sebagai
penutup tahkik, pelita pengikut Imam Syafi’i. Hasyiah ini juga mengandungi
pandangan rasmi (muktamad) Mazhab Syafi’i serta mempunyai pandangan rajih dalam
permasalahan khilaf. Ia juga diperakui sebagai ensiklopedia fiqh mazhab yang
mengumpulkan pelbagai permasalahan yang bertaburan di dalam kitab-kitab mazhab
ini.
Untuk mengetahui biodata
Syaikh Muhammad Mahfuz al-Tarmasi dan maklumat mengenai kitabnya Hasyiah
al-Tarmasi, sila layari
Kitab
ini boleh dimuat turun melalui pautan berikut;
Download
Kitab Minjahul Qowim:
Semoga bermanfaat.
[1]
Selain al-Tarmasi, kitab ini juga telah diberikan hasyiah
oleh beberapa ulama yang lain, antaranya;
a) Syaikh
Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi (1127-1194H) dengan karyanya Hasyiah al-Kurdi / al-Hawasyi al-Madaniyyah
‘ala al-Manhaj al-Qawim
b) Abdullah
bin Sulaiman bin Abdullah al-Jurhazi (1128-1201H), dengan karyanya Hasyiah al-Jurhazi ‘ala Manhaj al-Qawim bi
Syarh Masa-il al-Ta’lim.
c) Syaikh Shalih bin Muhammad Bafadhal
al-Makkiy (1333H) dengan karyanya “ Hasyiah al-Maslak al-Qawim ‘ala al-Manhaj al-Qawim Syarh Masa-il
al-Ta’lim”
[2]
Antara karya beliau yang lain
ialah; Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh
al-Minhaj, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, al-Fatawa al-Haditsiyyah, Hasyiah
al-Haytamiy ‘Ala Syarh al-Iydhah Fi al-Manasik al-Haj (Manh al-Fattah Syarh
Haqa-iq al-Iydhah), al-Iy-’ab Syarh al-‘Ubab, al-Imdad fi Syarh al-Irsyad, Fath
al-Jawwab ‘ala Syarh al-Irsyad (Fath
al-Jawwab fi Syarh al-Ikhlash), al-Nu-’aim dan Mukhtashar al-iydhah (fi al-Manasik).
[3] Ia juga terkenal dengan judul Muqaddimah Ba Fadhal, Masa-il al-Ta’lim dan Mukhtashar al-Kabir. Selain Ibn Hajar al-Haytami, kitab ini juga telah diberikan
huraian (syarah) oleh beberapa ulama yang lain dengan karya mereka, antaranya;
a) al-Mawahib
al-Sunniyyah bi Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah karya Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Ali
Ba’isyn al-Daw’ani al-Hadhrami [1270H].
b) Busyra al-Karim bi Syarh Masa-il
al-Ta’lim, juga karya Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba’isyn al-Hadhrami. Kitab ini
adalah ringkasan bagi kitab al-Mawahib
al-Sunniyyah karya beliau yang disebutkan di atas. Kitab ini lebih terkenal
sebagai syarah kitab Masa-il al-Ta’lim berbanding kitab al-Mahawahib al-Sunniyah.
c) al-Manhal
al-Warif `ala al-Mukhtashar al-Lathif,
karya Habib ‘Alwi bin Abdullah bin Husain Alaydrus (1979 M/1399H).
[4]
Selain kitab Muqaddimah
al-Hadhramiyyah, antara karya lain beliau al-Mukhtashar
al-Shaghir (Mukhtashar al-Lathif), Manasik al-Haj dan Majmu’ al-Fatawa.
Barokallah, terimakasih. Semoga Allah selalui mengkaruniakan kesehatan dan kemurahan rizqi, amin
ReplyDelete