Kitab
“ Ramuan Rapi Dari Erti Surah al-Kahfi
” adalah sebuah karya dalam bidang
tafsir al-Quran yang disusun oleh al-Marhum Shahibul Samahah al-‘Allamah Dato’ Haji
Muhammad Nor bin Haji Ibrahim (1905-987). Seorang tokoh ulama yang terkenal di
negeri Kelantan, yang banyak menyumbangkan jasa kepada perkembangan agama Islam
melalui pelbagai jawatan yang disandangnya, antaranya sebagai Qadhi Besar
Negeri Kelantan (1937-1942), Mufti Khas Sultan Kelantan (1942-), anggota Majlis
Agama Islam Kelantan dan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan (1968-1987).
Kitab
“Ramuan Rapi Dari Erti Surah al-Kahfi ” ini telah diterbitkan pertama kalinya
pada tahun 1957 oleh Haji Abdul Rahman bin Haji Awang. Kitab ini dicetak dengan
tulisan Jawi, dengan ketebalan 53 halaman, tidak termasuk halaman kata pengantar
penerbit (sepatah kata penerbit) dan halaman isi kandungannya.
Kitab
ini telah diterbitkan untuk kali keduanya pada 1989, juga dengan edisi tulisan
Jawi oleh Muhammad Sa’id bin Dato’ Haji Muhammad Nor, iaitu anak kepada
al-Marhum Dato’ Haji Muhammad Nor pengarang kitab tafsir ini. Dalam cetakan
kedua ini masih dikekalkan kata pengantar penerbit bagi terbitan pertama
(sepatah kata dari penerbit), penambahan dibuat dengan kata pengantar penerbit
yang kedua dan kata pengantar dari Dato’ Haji Muhammad bin Che’ Wook , iaitu
Mufti Kerajaan Negeri Kelantan ketika itu. Bagi melengkapkan lagi kitab ini,
biodata ringkas pengarangnya dilampirkan bagi mengenangkan ketokohan dan
jasanya kepada agama dan umat Islam. Kitab terbitan kedua ini ada satu
naskhah dalam koleksi peribadi saya.
Dalam
muqaddimah kitab ini, pengarangnya menerangkan galakan membaca surah ini,
khusus pada malam atau hari Jumaat. Berdasarkan beberapa hadis Nabi saw, antara
keistimewaan yang diperolehi orang yang membaca surah al-Kahfi ialah;
a)
Mendapat
nur (cahaya) yang menjadi penyuluh kehidupan bagi keselamatan
hari akhirat.
b) Memperolehi keselamatan
dari usikan syaitan
c) Memelihara diri daripada
fitnah godaan Dajjal.
Dalam
muqaddimah ini, pengarang telah menerangkan bahawa Nabi saw telah memperingatkan
umat Islam mengenai bahaya godaan Dajjal. Kerana betapa pentingnya peringatan
Nabi saw ini, pengarang telah memberikan penerangan mengenai Dajjal ini dalam
beberapa perenggan dalam muqaddimah kitab ini.
Selepas
penerangan mengenai bahaya Dajjal, pengarang telah membuat persoalan “ Akan tetapi , adakah khasiat (keistimewaan)
ayat surah al-Kahfi dapat memimpin dan mensentosakan pembacanya dengan
semata-mata betul dan kena bacaannya sahaja? ”
Bagi
menjawab persoalan ini, beliau menyebutkan; “ Pensyarah-pensyarah hadis telah pun menerangkan bahawa bacaan yang
menghasilkan khasiat-khasiat yang tersebut ialah bacaan orang yang memahami
erti ayat-ayat serta memperamati dan mengambilkan pengajaran yang terisi di
dalamnya ”
Berdasarkan
keistimewaan yang akan diperolehi oleh pembaca surah al-Kahfi ini, pengarang
telah menerangkan tujuan beliau mengarang kitab tafsir ini. Katanya; “ Maka dengan perasaan ingin supaya dimasukkan
Allah ke dalam golongan penolong-penolong kebajikan, saya cuba himpunkan pada
helaian-helaian ini beberapa ramuan bagi faedah pembaca-pembaca Melayu yang
suka hendak memahamkan sedikit daripada maksud ayat-ayat surah al-Kahfi buat
petunjuk jalan keselamatan …………….”.
Pada
akhir muqaddimah kitab ini, pengarang menjelaskan bahawa ramuan yang terdapat
dalam huraian kitabnya itu adalah pandangan dan pemahaman beliau berdasarkan
beberapa buah kitab bacaannya. Di hujung kitab tersebut disenaraikan lebih
daripada 25 buah buku rujukan yang menjadi sumber bacaan, termasuk kitab-kitab
tafsir sepeti Tafsir Ibn Kathir, Tafsir al-Qurthubi, Tafsir al-Baydhawi, Tafsir
al-Jalakayb, Tafsir Ruh al-Bayan, Tafsir Ruh al-Ma’ani, Tafsir al-Tanthawi,
Hasyiah al-Shawi. Begitu juga kitab-kitab hadis yang dirujuk seperti Fath
al-Bari Syarh Shahih Muslim, ‘Aun al-Ma’bub, Tuhfah al-Ahwazi dan sebagainya.
Ini
menjelaskan ketelitian dan kesungguhan beliau merujuk kitab-kitab yang
semstinya sukar didapati kerana bukanlah suatu kebiasaan waktu itu orang
merujuk perpustakaan dan bilangan perpuastakaan pun amat kurang, kecuali
perpustakaan peribadi. Lebih dari itu, beliau juga merujuk kitab-kitab tasawwuf
seperti Ihya’ ‘Ulumiddin, kitab tauhid seperti al-Qawl al-Mufid dan lain-lain.
Dalam
melakukan pentafsiran ayat-ayat dalam surah al-Kahfi ini, pengarang bukan
sekadar menerangkan kisah-kisah yang dipaparkan dalam ayat, bahkan beliau
membuat penelitian terhadap pengajaran yang dapat diambil dari kisah-kisah
tersebut. Menurut beliau, “ semua ibarat
dan kisah Quran adalah asal tujuannya memberi pelajaran dan perbandingan kepada
orang-orang mukmin buat beramal dan mengambil iktibar, tidak semata-mata
perumpamaan atau perihal kejadian ”.
Umpamanya,
bagaimana Ashabul Kahfi yang berusaha membebaskan diri mereka dari kezaliman
pada waktu itu, bukan sahaja mereka berusaha secara zahir, tetapi juga berusaha
secara rohani dengan bersama-sama “
berdoa dengan satu jumlah yang sayugia (sepatutnya) bagi tiap-tiap mukmin
jadikan doanya pada tiap-tiap perkara dunia dan akhirat ”.
Di
akhir pentafsiran pengarang terhadap kisah Ashabul Kahfi ini, beliau menegaskan
tujuan utama kisah ini adalah memberi panduan yang perlu diambil oleh orang
beriman yang ingin menyelamatkan pegangan agama mereka ketika berlakunya fitnah
dan tekanan pemerintah yang zalim. Setiap orang beriman hendaklah tidak terlalu
bergantung dan berharap kepada segala kekuatan zahir yang ada sehingga
melupakan kepada kekuatan yang sebenar, iaitu Allah Tuhan yang Maha Kuasa. Walau
bagaimanapun, kita diperintahkan terlebih dahulu berusaha bersungguh-sungguh
melaksanakan segala perintah Allah SWT. Kesemua yang berlaku adalah dengan izin
Allah.
Banyak
lagi kupasan yang bermanfaat yang diterangkan oleh pengarang dalam buku nipis
53 halaman ini. Tetapi yang jelasnya, dari kupasan dan analisis ringkas beliau
terhadap isi kandungan surah al-Kahfi ini sudah cukup menunjukkan keilmuannya yang
tinggi dan mendalam, yang meletakkan beliau sebagai pemikir dan sarjana Islam
yang cukup keterampilan. Sekadar pengetahuan saya, kitab ini belum lagi diterbitkan kembali sama ada dengan edisi tulisan jawi maupun tulisan rumi. Semoga kitab yang bermanfaat ini dapat diterbitkan kembali oleh pihak keluarga beliau atau mengizinkan syarikat penerbitan tertentu menerbitkan kembali kitab ini untuk memperkembangkan ilmu sebagai warisan yang berkekalan.
Untuk
mengetahui lebih lanjut mengenai biodata Dato’ Muhammad Nor dan kitab tafsir
ini sila layari;
http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/14407/Sumbangan_Dato.pdf
Semoga bermanfaat.
Assalamualaikum. Bagaimana saya nak dapatkan Kitab Tafsir Ramuan Rapi Dari Erti Surah Al Kahfi ini ye?
ReplyDelete