Sunday, August 5, 2012

al-Shirath al-Mustaqim, karya al-Raniri


Kitab al-Shirath al-Mustaqim merupakan kitab fiqh berbahasa Melayu yang pertama sekali dikarang di Nusantara ini. Ia adalah karya seorang ulama terkenal di Nusantara iaitu Shaykh Nur al-Din al-Raniri (1600-1658M), seorang Shaykh al-Islam di Acheh. Walaupun kitab ini hanya membicarakan tentang fiqh ibadat sahaja, namun ia merupakan perintis kepada penulisan kitab-kitab fiqh berbahasa Melayu. Selepas daripada itu, muncul pelbagai karya fiqh yang dihasilkan oleh para ulama di Nusantara ini. Kemunculan al-Sirat al-Mustaqim suatu yang amat signifikan kepada ummah Melayu pada masa itu sebagai rujukan dan panduan dalam melaksanakan ibadat kepada Allah s.w.t. Sambutan yang diterima terhadap kitab ini amat hebat sekali sehinggakan ia kitab yang paling berpengaruh dan berautoriti serta digunapakai dengan meluas terutamanya di Aceh sehingga abad ke-19. Bukan sahaja di Aceh, bahkan kitab ini juga digunapakai secara meluas di seluruh Alam Melayu.


Muqaddimah Kitab

Shaykh Nur al-Din al-Raniri memulakan kitabnya ini menurut kebiasaan yang dilakukan oleh kebanyakan para pengarang dengan berkhutbah memuji dan memuja Allah s.w.t seterusnya berselawat memuji junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat r.a. Khutbah kitab beliau ini dilakukan dalam bahasa Arab dan kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Pada khutbah kitab ini, beliau menjelaskan beberapa perkara yang berkait dengan penulisan kitab beliau ini. Ia adalah sebagaimana berikut :

i.  Tahun beliau memulakan penulisan kitab ini.
ii.  Sebab beliau mengarang kitab ini.
iii. Aliran mazhab fiqh yang mendasari penulisan kitab ini.
iv. Tujuan beliau mengarang kitab ini.
v.  Nama kitab ini.
vi. Rujukan yang beliau gunakan dalam mengarang kitab ini.

Beliau juga didapati amat bersungguh-sungguh untuk memastikan bahawa penulisannya ini bertepatan dengan kehendak al-Qur'an dan al-Hadith. Beliau juga berpesan kepada pembaca jika sekiranya terdapat petikan yang salah dalam penulisannya ini daripada sumber-sumber rujukannya, maka hendaklah diperbetulkan petikan tersebut dengan susunan ayat yang lebih tepat. Seterusnya beliau berpesan supaya kitab ini disebarluaskan ke seluruh negeri-negeri Islam supaya beliau diganjari pahala oleh Allah s.w.t.


Rujukan Pengarang;

Pada mukadimah al-Sirat al-Mustaqim, beliau menyenaraikan beberapa buah kitab fiqh berbahasa Arab yang dijadikan rujukan asas dalam penulisan kitabnya ini, iaitu;

i.                    Minhaj al-Talibin Wa ‘Umdah al-Muftin karya Imam al_Nawawi

ii.                  Manhaj al-Tullab dan Fath al-Wahhab karya Abu yahya Zakaria al-Anshari

iii.                al-Anwar Li A‘mal al-Abrar karya Jamaluddin al-Ardabili.

iv.                Umdah al-Salik Wa ‘Uddah al-Nasik karya Ibn Naqib Shihab al-Din Abu ‘Abbas.

Selain daripada rujukan-rujukan yang disenaraikan oleh Shaykh Nur al-Din al-Raniri pada mukadimah kitabnya ini, beliau juga didapati merujuk kepada karangan-karangan fiqh yang lain. Perkara ini dapat dikesan apabila dilakukan penelitian secara menyeluruh ke atas al-Sirat al-Mustaqim ini. Ianya adalah seperti berikut :

i.                    Fath al-Jawwad Sharh al-Irshad karya Ibn Hajar al-Haytami.

ii.                  Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj karya al-Khatib al-Sharbini.

iii.                 Tuhfah al-Muhtaj Bi Sharh al-Minhaj karya Ibn Hajar al-Haytami

iv.                al-Manhaj al-Qawim Bi Sharh Masa'il al-Ta‘lim, karya Ibn Hajar al-Haytami.

Selain kitab-kitab ini, terdapat tiga buah kitab fiqh lain yang disebut oleh Shaykh Nur al-Din al-Raniri iaitu  Asl al-Rawdah, al-Sharh al-Saghir dan Manasik al-Nawawi.  Asl al-Rawdah adalah merujuk kepada Al-‘Aziz Sharh al-Wajiz karangan al-Imam al-Rafi‘i. Ia merupakan kitab asal Rawdah al-Talibin Wa ‘Umdah al-Muftin sebelum diringkaskan oleh al-Imam al-Nawawi. al-Sharh al-Saghir pula adalah karya al-Imam al-Rafi‘i. Ia merupakan huraian (sharh) ke atas al-Wajiz karangan al-Imam al-Ghazali. Manasik al-Nawawi pula adalah salah satu karangan al-Imam al-Nawawi tentang ibadat haji. Penulis percaya bahawa beliau tidak merujuk secara langsung kepada kitab-kitab tersebut tetapi dinyatakan melalui perantaraan rujukan-rujukan yang beliau gunakan dalam penulisan ini. Selain kitab-kitab fiqh, beliau juga merujuk kepada kitab-kitab hadith seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmidhi, Sahih Ibn Hibban dan lain-lain lagi berdasarkan kewujudan sejumlah besar hadith dalam kitab beliau ini. Boleh jadi beliau merujuk terus kepada kitab-kitab hadith ini ataupun melalui perantaraan kitab-kitab fiqh rujukan beliau itu.


PENYUSUNAN TOPIK-TOPIK DALAM AL-SIRAT AL-MUSTAQIM

al-Sirat al-Mustaqim adalah sebuah kitab fiqh yang hanya membicarakan hukum-hakam yang berkaitan dengan bahagian ibadat sahaja. Sedangkan penulisan lengkap dalam sesebuah karya fiqh menurut ulama-ulama dalam mazhab Shafi‘i mengandungi empat bahagian yang utama iaitu:

1- Bahagian ibadat
2- Bahagia muamalat
3- Bahagian munakahat
4- Bahagian jenayah dan pertikaian (mukhasamat).

Manakala Bab al-Fara'id adalah merupakan bahagian yang tersendiri dan diletakkan antara bahagian muamalat dan munakahat. Penulis mengandaikan wujudnya dua faktor yang menyebabkan Shaykh Nur al-Din al-Raniri hanya menumpukan penulisan bahagian fiqh ibadat sahaja dalam al-Sirat al-Mustaqim.

Pertama, memenuhi keperluan orang ramai mempelajari dan mendalami bahagian tersebut. Ini kerana fiqh ibadat adalah merupakan satu bahagian yang mengandungi persoalan-persoalan asas yang paling penting untuk dihayati dan difahami dalam kehidupan seorang individu muslim. Dengan sebab itulah ia diletakkan pada kedudukan yang pertama berbanding dengan bahagian-bahagian fiqh yang lain. Melakukan ibadat kepada Allah s.w.t pula merupakan tujuan asasi dijadikan manusia ini dan kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat adalah bergantung atas melakukan ibadat dengan cara yang betul menurut ajaran syariat Islam.

Kedua, boleh jadi beliau mengikuti salah satu metode penulisan fiqh ulama Shafi‘iyyah yang hanya menumpukan penulisan bahagian ibadat sahaja. Metode penulisan fiqh dalam bentuk ini dipercayai berasal daripada ulama Shafi‘iyyah dari Yaman. Ini kerana kebanyakan penulisan-penulisan fiqh dalam bentuk ini dikarang oleh mereka seperti al-Muqadimmah al-

Hadramiyyah karya al-Shaykh ‘Abd Allah b. ‘Abd al-Rahman b. Abi Bakr Ba Fadl al-Hadrami al-Sa‘di al-Madhhiji (m. 918H), al-Risalah al-Jami‘ah Wa al-Tadhkirah al-Nafi‘ah oleh al-Sayyid Ahmad b. Zayn al-Habshi (m. 1145H), Safinah al-Najah Fi Ma Yajibu ‘Ala al-‘Abd Li Mawlah oleh al-Shaykh Salim b. ‘Abd Allah b. Sa‘d b. Samir (m. 1270H), al-Durrah al-Wiqadah Sharh al-Ifadah oleh al-Shaykh Muhammad b. ‘Abd Allah Ba Sawdan (m. 1281H) dan Mawahib al-Dayyan Sharh Fath al-Rahman oleh al-Shaykh Sa‘id b. Muhammad Ba ‘Ashn (m. 1270H).

Berhubung dengan bahagian ibadat ini, ulama-ulama dalam mazhab Shafi‘i memasukkan di bawahnya beberapa kitab yang tertentu, iaitu :

1- Kitab al-Taharah (Bersuci)
2- Kitab al-Salah (Solat)
3- Kitab al-Zakah (Zakat)
4- Kitab al-Siyam (Puasa)
5- Kitab al-I‘tikaf (Iktikaf)
6- Kitab al-Hajj (Haji).

Manakala Kitab al-Sayd Wa al-Dhaba'ih (Perburuan dan Penyembelihan), Kitab al-Udhiyah (Korban) dan Kitab al-At‘imah (Makanan), mereka berselisih pendapat dalam menentukan kedudukan kitab-kitab ini dalam bahagianbahagian utama fiqh. Sebahagian mereka meletakkan kitab-kitab ini selepas Kitab al-Hudud (Bahagian Jenayah dan Pertikaian) kerana mengikuti tatacara al-Imam al-Muzani. Manakala sebahagian yang lain pula meletakkannya selepas bahagian ibadat kerana mengikuti perbuatan segolongan ulama-ulama mazhab Shafi‘i yang lain. Menurut Ibn Qasim al-Ghazzi, susunan yang dilakukan oleh golongan yang kedua ini adalah lebih sesuai kerana mencari sesuatu yang halal itu merupakan kewajipan ke atas setiap individu (fard ‘ayn). Justeru amat sesuailah kitab-kitab ini diletakkan selepas bahagian ibadat yang juga merupakan amalan yang berkaitan dengan perbuatan setiap individu Muslim.

Berasaskan kepada perkara ini, didapati bahawa Shaykh Nur al-Din al-Raniri mengikuti pendekatan golongan yang kedua apabila beliau memasukkan kitab-kitab berikut dalam al-Sirat al-Mustaqim: Kitab al-Taharah (Bersuci); Kitab al-Salah (Solat); Kitab al-Zakah (Zakat); Kitab al-Siyam (Puasa); Kitabal-I‘tikaf (Iktikaf); Kitab al-Hajj (Haji); Kitab al-Udhiyah (Korban); Kitab al-Sayd Wa al-Dhaba'ih (Perburuan dan Penyembelihan) dan Kitab al-Atimah (Makanan).

Penyusunan setiap tajuk dalam kitab beliau ini pula adalah mengikuti pendekatan yang dilakukan dalam karangan-karangan fiqh berbahasa Arab dengan membahagikan tajuk-tajuk tersebut di bawah kitab, bab, fasl dan mas'alah. Contohnya, di bawah Kitab al-Taharah terdapat beberapa bab iaitu Bab al-Wudu', Bab Ma Yujib al-Ghusl, Bab al-Tayammum dan Bab al-Hayd Wa al-Istihadah Wa al-Nifas. Di bawah bab-bab tersebut terdapat beberapa fasl. Di bawah fasl-fasl itu pula terdapat beberapa mas'alah. Beliau juga memulakan sesuatu topik yang lebih kecil (far‘) dengan kata-kata “Syahadan”, “Sebermula”, “Bermula”, “Adapun”, dan “Dan Demikian lagi”. Kadang-kadang beliau meletak sesuatu topik itu di bawah tajuk “Fa'idah” dan “Tanbih”.

Artikel ini merupakan petikan dari artikel yang bertajuk:

METODE PENULISAN FIQH OLEH NUR AL-DIN AL-RANIRI DALAM KITAB AL-SIRAT AL-MUSTAQIM ...

Untuk maklumat yang lebih terperinci mengenai Kitab al-Sirat al-Mustaqim ini, anda boleh mendownload dengan meng “klik” tajuk artikel di atas, atau pautan di bawah;


Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment