Tuesday, August 7, 2012

Bughyah al-Thullab li Murid Ma'rifah al-Ahkam bi al-Shawab

Bersama Wan Mohd Shaghir Abdullah

Syeikh Daud Abdullah al-Fathani ialah ulama dunia Melayu yang paling banyak menghasilkan karya kitab dalam pelbagai disiplin ilmu. Pada kesempatan ini diperkenalkan karya beliau yang berjudul Bughyah al-Thullab li Murid Ma'rifah al-Ahkam bi al-Shawab (بغية الطلاب لمريد معرفة الأحكام بالصواب).

Kitab ini mengandungi dua jilid. Syeikh Daud memulakan karyanya dengan mukadimah. Antara kalimat beliau: "Bahawasanya beberapa nafsu (diri) yang cerdik yang menuntut bagi beberapa martabat yang tinggi sentiasa perangainya itu di dalam menghasilkan beberapa ilmu syarak. Dan setengah daripadanya mengetahui akan furu’ ilmu fiqh. Kerana bahawasanya dengan dia menolakkan akan wiswas yang syathaniyah. Dan mengesahkan akan jual beli dan segala ibadat yang diredakan..."

Masih dalam mukadimah, Syeikh Daud memperkenalkan pelbagai hadis mengenai ilmu pengetahuan. Selepas itu, memperkenalkan riwayat ringkas Imam al-Syafie. Kandungan keseluruhan Bughyah al-Thullab adalah membicarakan fiqh bahagian ibadat dalam mazhab Syafie.
Pada kitab ini pengarang menggunakan nama lengkap Daud bin Abdullah bin Idris al-Fathani. Beliau menulis: "Bahawa menghimpunkan beberapa masalah yang sedikit daripada Abwab al-Fiqh, daripada Kitab at-Thaharah hingga akhir Kitab al-Ummuhat, daripada kitab yang muktamad yang difatwakan."
Disebutkan pula kitab yang dirujuk adalah Minhaj dan sekalian syarahnya seperti Tuhfah oleh Syeikh Ahmad bin Hajar, Nihayah oleh asy-Syamsu ar-Ramli, Mughni ( Khathib Syarbaini, Syarh Damiri, Fath al-Wahhab dan syarahnya) dan Syarh Tahrir ( Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari ).
Antara kitab Melayu / Jawi yang dirujuk adalah Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1310 Hijrah. Dicatat pada halaman depan bahawa kitab ini dijual oleh Syeikh 'Abdullah Baz dan Syeikh Ahmad Baz, Babus Salam, Makkah. Dicetak di bahagian tepi “ Nahju ar-Raghibin wa Subul at-Muttaqin ”, juga karya Syeikh Daud.
Ada juga cetakan Rabiulakhir 1321 Hijrah oleh percetakan yang sama. Keterangan pada halaman depan sama cetakan yang pertama. Dicetak pula oleh percetakan yang sama tahun 1328 Hijrah dinyatakan sebagai cetakan yang ketiga.
Keterangan pada halaman depan diubah, dinyatakan bahawa ditashihkan dengan amat cermat dengan merujuk kepada naskhah tulisan pengarangnya sendiri. Dinyatakan bahawa barang siapa berkehendak kepada karangan Syeikh Daud boleh membeli di kedai Syeikh Muhammad Nur Daud al-Fathani di Qasyasyiah.
Pada cetakan ini juga didaftar hak mencetak adalah milik ahli waris. Tercatat pada halaman depan bahawa hak mencetak milik ahli waris dengan daftar pada peraturan Majlis Idarah al-Wilayah, tarikh 15 Mac 1326 nombor 8. Nama ahli waris yang terdaftar ialah Syeikh Muhammad Daud al-Fathani. Cetakan ini atas usaha Syeikh Abdullah Daud dan Syeikh Muhammad Nur Daud, kedua-duanya anak Syeikh Muhammad Daud al-Fathani (maksudnya Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani). Dipercayai ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, ada kalimat tashhih daripada beliau, tetapi namanya tidak termaktub pada cetakan.
Bughyah ath-Thullab termasuk kitab besar, tebal 538 halaman dengan ukuran 27 x 18.6 sentimeter. Kemungkinan Nahju ar-Raghibin wa Subul at-Muttaqin, jilid 1, yang dicetak pada bahagian tepi itu adalah lanjutan Bughyah ath-Thullab.
Dalam manuskrip dicatat bahawa mulai menulis Nahju ar-Raghibin tahun 1226 Hijrah (jilid 1) dan selesai pada Isnin, 6 Jamadilakhir 1232. Jilid kedua selesai pada Jumaat, waktu Asar, Jamadilakhir 1234.
Catatan tarikh ini dan Nahju ar-Raghibin jilid 2 tidak ada dalam semua cetakan. Kandungan membicarakan hukum dan cara perniagaan dalam Islam.
Selain Bughyah ath-Thullab, ada sebuah lagi kitab karya Syeikh Daud berjudul “ Perhubungan Bughyah ath-Thullab ”. Nama judul diberikan berdasarkan pada halaman terakhir. Satu setengah halaman sebelum memasuki kitab ini ada risalah mengenai zakat yang dinyatakan sebagai petikan daripada kitab Syeikh Daud juga.
Kitab ini tidak pernah dicetak, hanya ditemui dalam bentuk manuskrip, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungan membicarakan fiqh mengenai penyembelihan, binatang yang halal dimakan dan sekali gus menyenaraikan pelbagai binatang yang haram dimakan.
Antara salinan yang ditemui, lengkap dan baik adalah salinan Mahmud Muhammad Yusuf Terengganu dan Syeikh Abdul Mubin al-Fathani di Beserah, Kuantan, Pahang. Salinan oleh Mahmud Muhammad Yusuf, Terengganu diselesaikan pada Ahad, 5 Rabiulakhir 1277, tempat melakukan penyalinan di Makkah al-Musyarrafah.
Tambahan;
Kitab Bugyah al-Thullab jilid 2 dalam fail PDF boleh dimuat turun di pautan https://ia902909.us.archive.org/4/items/bughyahalthullab1/bughyahlalthullab%202.pdf.
Semoga bermanfaat.

2 comments: