Monday, January 16, 2017

Kitab Munyah al-Mushalli (منية المصلي)


Kitab Munyah al-Mushalli (منية المصلي) merupakan sebuah karya fiqh yang masyhur dalam bahasa Melayu, yang khusus membicarakan perkara-perkara yang berkaitan tentang solat (baca: sembahyang).

Kitab ini disusun oleh al-‘Alim al-‘Allamah al-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani  (1769-1847), seorang ulama yang terkenal dengan karya-karyanya  yang menjadi rujukan para ulama dan masyarakat Melayu di Nusantara hingga ke hari ini.

Di Malaysia, kitab ini sangat popular di kalangan para pelajar dan masyarakat Islam yang mendalami ilmu agama dan menjadi teks pengajian di pondok-pondok, surau-surau, masjid-masjid dan majlis-majlis ilmu.

Menurut al-Marhum Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah; “ Munyatul Mushalli adalah karya Syeikh Daud bin Abdullah Fathani yang paling banyak diajarkan oleh tok guru dalam rangka memperkenalkan pengetahuan sembahyang. Sebelum ada buku-buku yang ditulis dengan aksara Latin/ Rumi, Munyatul Mushalli pula sebagai buku asas pelajaran sembahyang di seluruh dunia Melayu…[1]


Sejarah Penyusunan Kitab ini….

Berdasarkan kajian al-Marhum Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah, kitab Munyah al-Mushalli disusun oleh Syaikh Daud al-Fathani bagi memenuhi suatu permintaan salah seorang sultan yang memerintah sebuah negeri Melayu yang ketika itu datang menunaikan ibadah haji di Makkah. Oleh kerana itulah, di bahagian akhir kitab membicarakan mengenai sembahyang itu, beliau akhiri dengan sebuah “Tatimmul Faidah” yang membicarakan mengenai kewajipan raja terhadap rakyat[2].

Kitab ini selesai disusun oleh Syaikh Daud al-Fathani pada tahun 1242H /1826H ketika beliau berada di Makkah al-Musyarrafah. Beliau membuat catatan mengenai perkara ini di akhir kitab Munyah al-Mushalli, katanya;

Telah selesailah faqir ilaLlah Ta’ala Daud bin Abdullah Fathani menterjemahkan risalah yang bernama “Munyah al-Mushalli” di dalam negeri Makkah al-Musyarrafah pada waktu Dhuha, hari Selasa, lima belas hari (15) bulan Zulhijjah pada Hijrah Nabi  - ‘alaihi afdhal al-shalawat wa azka al-taslim -, seribu dua ratus empat puluh dua (1242) [3].


Cetakan kitab ini…

Munyah al-Mushalli adalah termasuk kitab yang paling banyak disalin dengan tulisan tangan sebelum ia dicetak dan terbitkan. Perkara ini terbukti dengan wujudnya banyak manuskrip-manuskrip tulisan tangan yang terdapat di pusat-pusat penyimpanan manuskrip klasik, seperti di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia.

Menurut al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, cetakan pertama kitab Munyah al-Mushalli belum beliau temui. Manakala kitab cetakan yang kedua, ada beliau miliki. Kitab ini dicetak oleh Matbaah al-Miriyah, Mekkah tahun 1313H (1895M) di bawah pembiayaan Syeikh Abdul Rahman Gudang bin Muhammad Ali bin Ismail al-Fathani. Cetakan-cetakan mutaakhir di Asia Tenggara pula dilakukan oleh beberapa percetakan di Surabaya, Cerebon, Singapura, Pulau Pinang, Kota Bharu, Patani dan Bangkok. Dari cetakan pertama hingga cetakan mutakhir, barangkali sudah ribuan kali cetakan dan sampai sekarang masih dicetak dan beredar di pasaran serta masih diajar kepada masyarakat di berbagai tempat di dunia Melayu.[4]


Kandungan kitab ini…

Berikut saya catatkan tajuk-tajuk utama kitab Munyah al-Mushalli, sebagaimana yang dicatatkan oleh al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah dalam karya beliau[5], iaitu;

1. Muqaddimah Kitab
2. Syarat-syaarat Sembahyang
3. Rukun-rukun Sembahyang
4. Sunat Ab’adh dan Sunat Hai-at
5. Asal Usul Sembahyang
6. Hikmah dan Kesempurnaan Pengamalan
7. Sujud Sahwi
8. Makruh Dalam Sembahyang
9. Sunat-Sunat Sesudah Sembahyang
10. Sembahyang Berjemaah (kelebihan sembahyang berjemaah)
11. Sembahyang Jumaat[6]
12. Sembahyang Sunat[7]
13. Tatimmah Faidah[8]


Rujukan utama Kitab al-Mushalli

Sebenarnya, Syaikh Daud Fathani tidak menyebut atau menyenaraikan secara khusus mengenai sumber rujukan beliau ketika penyusunan kitab Munyah al-Mushalli. Namun begitu, beliau ada menyebutkan beberapa nama kitab atau nama ulama yang menjadi rujukan bagi beberapa petikan dalam kitab Munyah al-Mushalli. Berikut judul-judul kitab dan nama ulama yang disebutkan dalam kitab Munyah al-Mushalli;

a) Abu Hamid al-Ghazali[9], merujuk kepada karya beliau yang berjudul– al-Ihya’ ‘Ulumiddin.

b)   Muhammad bin Ali al-Tirmizi (255H/869H). Nama lengkap beiau ialah Abū ʿAbd Allāh Muammad ibn ʿAlī bin Hasan al-Tirmidhī al-anafī. Beliau terkenal dengan gelaran al-Hakim al-Tirmizi. Seorang tokoh tasawwuf yang terkenal.

c)    Syaikh al-Bujairimi[10], tanpa menyebutkan kitab rujukannya. Kemungkinan merujuk kepada karya beliau yang berjudul “ Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Iqna’[11]. Kitab ini terkenal dengan judul al-Bujairimi ‘ala al-Khathib.

d)     Al-Arif al-Bakri[12]

e)    Sayyidi Muhammad Ghawtsullah, merujuk kepada karyanya yang berjudul “Jawahir al-Khamis”.

f)  Al-‘Arif billah Sayyidi al-Sanusi[13] , merujuk kepada karyanya yang berjudul al-Mujarrabat.

g)     Syaikh al-Ramli[14]

h)    Syaikh Ibnu Hajar al-Haytami[15]

i)   Imam Muhyiddin Zakariyya bin Syaraf al-Nawawi (676H), merujuk kepada karyanya yang berjudul al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab .

j)     Syarah al-Wasith[16]

k)   al-Khathib al-Syarbaini[17], melalui karyanya Mughni Muhtaj Syarh Minhaj al-Thalibin

l)       Imam Habib Abdullah bin ‘Alawi bin Ahmad al-Haddad (1044-1132H), melalui karya al-Nasha-ih al-Diniyyah wa al-Washya al-Imaniyyah[18].


Sekadar ini sahaja dahulu catatan mengenai kitab Munyah al-Mushalli ini. Jika diberi kesempatan oleh Allah SWT, saya akan menambah lagi beberapa catatan mengenai kitab-kitab atau penulisan-penulisan yang berkaitan dengan kitab ini, seperti ringkasan, syarah atau pengalihtulisannya dari jawi kepada tulisan rumi.

Semoga bermanfaat.




[1] Petikan daripada muqaddimah karya beliau yang berjudul “ Munyatul Mushalli Syeikh Daud al-Fathani – Pengetahuan Sembahyang Masyhur ”, terbitan Khazanah Fathaniyyah, tahun 1991. Dalam rujukan yang sama selanjutnya, akan disebut dengan “ Munyah Mushalli – Pengetahuan Sembahyang  ….”.

[2] Munyah Mushalli Pengetahuan Sembahyang, hal. 1.

[3] Munyah Mushalli – Pengetahuan Sembahyang, hal. 151.

[4] Munyah Mushalli – Pengetahuan Sembahyang, hal-3-4.

[5] Munyah al-Mushalli– Pengetahuan Sembahyang: Bahagian Isi Kandungan. Lihat tajuk-tajuk yang diletakkan bagi memisahkan teks-teks Munyah al-Mushalli. Perlu diketahui edisi asal kitab Munyah al-Mushalli dalam tulisan Jawi tidak diletakkan tajuk tertentu bagi memisahkan permasalahan yang dibicarakan.

[6] Dijelaskan mengenai kemuliaan hari Jumaat, mentakhir solat Jumaat, syarat sah Jumaat hukum mengiringi sembahyang zohor selepas sembahyang Jumaat.

[7] Disebutkan dalam Munyah al-Mushalli “ Dan setengah daripada kesempurnaan orang yang memelihara atas sembahyang dan mendirikan dia, membaikkan memeliharakan segala sunat rawatibnya dan segala sunat yang dituntut oleh syarak….” Lihat Munyah Mushalli – Pengetahuan Sembahyang, hal. 107. Terdapat 25 jenis solat sunat yang disebutkan dalam kitab ini.

[8] Tambahan Syaikh Daud al-Fathani mengenai tanggungjawab pemerintah.

[9] Iaitu Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Ahmad al-Ghazali (505H), yang terkenal dengan gelaran Imam al-Ghazali.

[10] Nama penuh beliau ialah Syaikh Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi (1131-1221H).

[11] Kitab ini merupakan kitab hasyiah (huraian) bagi kitab al-Iqna’ li Hall Alfaz Abi Syuja’ karya Syaikh Muhammad bin Muhammad  Syarbini al-Khathib (977H).

[12] Beliau ialah al-Syekh Sayyid Muhammad Syamsuddin Ibn Abu al-Hasan al-Bakri. Beliau adalah seorang tokoh tasawwuf yang terkenal, Di antara amalan yang dinisbah kepada beliau ialah pengamalan  “Selawat al-Fatih”.

[13] Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Yusuf bin ‘Umar al-Sanusi al-Maliki al-Tilmisani (832-895H). Seorang tokoh yang terkenal dengan gelaran Imam al-Sanusi al-Asy’ari ini merupakan seorang tokoh terkenal Ahli Sunnah wa Jama’ah, yang mendokong fahaman akidah dari aliran al-Asya’irah. Di antara karya beliau yang terkenal ialah kitab Umm al-Barahin fi al-‘Aqa-id.

[14] Syaikh Syamsuddin Muhammad bin Syihabuddin Ahmad bin Hamzah al-Ramli, (919-1004H). Beliau terkenal dengan gelaran Imam al-Ramli al-Shaghir. Di antara karya beliau ialah Nihayah al-Muhtaj Syarh al-Minhaj.

[15] Beliau ialah Syaikhul Islam al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haytami al-Sa’di al-Anshari (974H). beliau adalah seorang tokoh mazhab Syafi’i yang terkenal, yang menghasil banyak karya ilmiah dalam pelbagai bidang. Antara karya beliau terkenal dalam bidang fiqh ialah Tuhfah al-MuhtajSyarh al-’Ubab dan  Manhaj al-Qawim .
 
[16] Kitab al-Wasith  adalah sebuah karya Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (505H). Kitab al-Wasith merupakan rujukan fiqh utama dalam mazhab al-Syafi’i. Terdapat dua kitab syarah (huraian) bagi kitab al-Wasith yang diketahui disusun dengan sempurna  oleh penyusunnya, iaitu al-Muhith fi Syarh al-Wasith karya Muhammad bin Yahya bin Mansur al-Naisaburi dan al-Bahr al-Muhith fi Syarh al-Wasith karya Ahmad bin Muhammad al-Qammuli. Tidak dipastikan antara kedua-dua kitab ini yang mana menjadi rujukan  pengarang kitab Munyah al-Mushalli.

[17] Beliau ialah Imam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Khathib al-Syirbini al-Qahiri (977H). Di kalangan ulama mazhab Syafi’i beliau dikenali dengan gelaran Syamsuddin al-Khathib al-Syirbini.

[18] Berdasarkan penelitian saya terhadap sebahagian isi kandungan kitab Munyah al-Mushalli, saya dapati ia merupakan terjemahan beberapa petikan dari bab Solat yang terdapat dalam kitab al-Nasha-ih al-Diniyyah wa al-Washya al-Imaniyyah, yang disusun kembali oleh Syaikh Daud al-Fathani dengan beberapa pengubahsuaian. Hal ini boleh dilihat dari permulaan kitab Munyah al-Mushalli lagi. Petikan ini hanyalah melibatkan hikmat dan kelebihan solat sahaja, tidak melibatkan perkara hukum dan kaifiat solat. Di mana mengenai kaifiat solat Syaikh Daud banyak merujuk kepada beberapa kitab fiqh sebagaimana yang disebutkan dalam senarai rujukan di atas. Insya Allah, dengan izin-Nya dalam kesempatan yang lain, saya bercita-cita untuk memaparkan perkara ini secara bersiri untuk tatapan pembaca.

No comments:

Post a Comment