Tuesday, January 17, 2017

MANZHUMAH AL-'AZIZI FI MASA-IL AL-JAMA'AH


Kitab Manzhumah al-‘Azizi fi Masa-il al-Jama’ah (منظومة العزيزي في مسائل الجماعة) adalah sebuah sebuah kitab atau matan fiqh dalam mazhab Syafi’i yang  membicarakan secara khusus mengenai beberapa persoalan solat berjamaah, yang  disusun dalam bentuk nazam oleh al-‘Allamah al-Syaikh ‘Ali bin Ahmad al-‘Azizi al-Bulaqi al-Syafi’i (1070H/1660M)[1].

Kitab ini telah diberikan huraian oleh al-‘Allamah al-Syaikh al-Imam Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rayyis al-Zamzami al-Zubairi (1187 H/1773M M-1240 H/1824 M), melalui kitabnya Syarh Manzhumah al-‘Azizi (شرح منظومة العزيزي) atau judul lengkapnya Fath al-Karim al-Rahman Fi ma Yughtafir li al-Muwafiq min al-Arkan  (فتح الكريم الرحمن فيما يغتفر للموافق من الأركان).

Manakala Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani (1265H), seorang ulama terkenal di Nusantara yang berasal dari Patani, telah memetik (menukil) dan menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu beberapa permasalahan yang terdapat dalam kitab Syarh Manzhumah al-‘Azizi, iaitu karya gurunya al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rayyis dan menghimpunkannya dalam sebuah  risalah yang diberi judul al-Bahjah al-Mardhiyyah Fi ‘Uzr Takhalluf al-Ma’mum ‘an al-Imam (البهجة المرضية فى عذر تخلف المأموم عن الإمام).  

Dalam risalah ringkas ini, Syaikh Daud hanya memetik 6 bait nazam daripada matan Manzhumah al-‘Azizi yang khusus menerangkan beberapa keadaan yang dibolehkan makmum yang muwafiq berbeza perlakuannya dengan imam atau disebutkan dalam kitab ini “ beberapa masa-il yang diuzurkan ketinggalan makmum yang muwafiq dengan imamnya dan yang tiada diuzurkan ”. Setiap bait nazam tersebut telah diberikan huraiannya berdasarkan kitab Syarh Manzhumah al-‘Azizi karya Syaikh Muhammad Shalih al-Rayyis tersebut.

Semoga bermanfaat.



[1] Di antara karya lain Syaikh al-‘Azizi ialah kitab Hasyiah al-Fawa-id al-‘Aziziyyah ‘Ala Syarh Abi Syuja’ li Ibn Qasim al-Ghazzi, Iaitu kitab yang menghurai atau mengkomentarkan karya al-‘Allamah Syamsuddin Abu Abdullah Muhammad bin Qasim Muhammad al-Ghazzi al-Syafi‘i (918H) yang berjudul Fath al-Qarib al-Mujib atau terkenal sebagai Syarh Ibn Qasim al-Ghazzi ‘ala Matn al-Taqrib, yang merupakan huraian bagi Matn al-Taqrib karya al-Qadhi Abu Syuja’, Syihabuddin Ahmad bin al-Hasan bin Ahmad al-Ashbahani (533-593H).

No comments:

Post a Comment