Monday, March 17, 2014

Kitab Bab al-Nikah (باب النكاح)


Kitab Bab al-Nikah (باب النكاح) merupakan sebuah karya dalam bidang fiqh yang menerangkan mengenai urusan perkahwinan dalam bahasa Melayu. Kitab ini selesai disusun oleh pengarangnya pada hari Isnin, 13 Safar 1289H.

Kitab ini masih beredar di pasaran kitab-kitab agama bertulisan Jawi. Sekadar pengetahuan saya kitab ini diterbitkan oleh Penerbit al-Haramain, Indonesia. Berdasarkan naskhah ini, di bahagian depan kulit (cover) tertulis “ Inilah kitab yang bernama Bab al-Nikah ”. Di bawah judulnya diterangkan secara ringkas kandungan kitab ini;  “ Membahas tentang hukum perkahwinan dan perkara yang berhubungan dengan dia daripada syarat, rukun, talak dan lainnya ”.

Di bahagian bawahnya dicatatkan nama penerbitnya “ al-Haramain – Sanqafurah – Jeddah, Indonesia ”. Tiada nama pengarang yang disebutkan dalam naskhah cetakan ini.

Mengenai pengarang kitab ini, sebenarnya tidak dapat dipastikan nama ulama yang menghasilkan karya ini. Saya cuba mencari maklumat mengenai kitab ini, namun setakat ini saya belum menemui tulisan para pengkaji kitab Jawi yang menyentuh secara khusus mengenainya.

Saya ada membaca artikel al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah mengenai Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari[1]. Di mana beliau ada menyebutkan di antara karya Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari ialah kitab yang berjudul “ Bab al-Nikah ”. Namun begitu, saya tidak dapat kepastian mengenai kitab ini, adakah kitab yang disebut oleh beliau itu adalah kitab Bab al-Nikah yang dicetak dan dibincangkan dalam catatan ini, atau kitab lain yang mempunyai persamaan judulnya.

Saya ada juga terbaca dalam satu artikel yang lain yang menyebutkan Syaikh Nuruddin al-Raniri juga ada menghasil karya berjudul “ Bab al-Nikah[2].  Wallahu a’lam.

Berikut dilampirkan petikan awal kitab ini[3];

Ini kitab pada menyatakan hukum nikah, bermula nikah itu sunat barang siapa yang ingin kepada nikah itupun dengan syarat jika diperolehnya belanja nikah seperti mahar dan pakaian dan nafkah dan jika tiada diperolehnya belanja nikah maka terutama baginya meninggalkan nikah dan hendaklah dipecahkannya akan inginnya itu dengan melazimi puasa (adapun) orang yang tiada ingin ia kepada nikah maka makruh baginya nikah itupun dengan syarat jika tiada diperolehnya belanja nikah atau diperolehnya akan dia tetapi ada padanya penyakit seperti lemah zakarnya,  dah tua dan jika ada pada orang yang tiada inginnya itu belanja nikah dan ada padanya penyakit maka masghul dengan mengerjakan ibadah itu maka terafdhal baginya daripada nikah dan jika tiada masghul ia mengerjakan ibadah maka nikah itu afdhal baginya daripada meninggalkan dia ”.

Kitab ini diakhiri dengan petikan berikut;

Tamat al-Kitabah fi Hukmi Nikah pada hari Isnin yang ketiga belas haribulan safar pada tahun hijrah seribu dua ratus delapan puluh sembilan tahun ketiga itulah siap menyurat kitab ini ”.

Sekadar ini sahaja yang dapat saya catatkan dalam catatan ringkas ini. Diharap ada mereka yang berminat membuat kajian yang mendalam terhadap karya ini. Semoga catatan ini bermanfaat.




[2] Dalam artikel yang berjudul “ Pertapakan dan Penyebaran Islam di Negeri Kedah ”, karya Dato' Wan Shamsudin Mohd. Yusof itu ada diterangkan bahawa dalam Hikayat Merong Mahawangsa  ada dikisahkan “ bahawa setelah Kedah menerima Islam, Sultan Acheh mengirim dua buah kitab karya ulama Acheh, Syeikh Nuruddin Al-Raniri iaitu “Siratul-Mustaqim” dan "Babun-Nikah” untuk dikaji dan dipelajari ”. Baca artikel ini di pautan; http://www.mykedah2.com/10heritage/102_5_p2.htm

[3] Petikan ini saya nukil dari pautan http://kuliahcinta.blogspot.com/2008/07/pengenalan-kitab-babul-nikah.html . Sila layarinya untuk membaca kandungan kitab ini yang telah disalin kembali dengan tulisan rumi.

No comments:

Post a Comment