Tuesday, March 4, 2014

Tafsir Surah Yasin karya al-Marbawi


Syaikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi (1896-1989) merupakan seorang tokoh ulama yang terkenal di negara ini. Bagi mengiktiraf keilmuan dan jasa beliau, Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan beliau sebagai tokoh Ma’al Hijrah yang pertama pada tahun 1987.  

Keilmuan al-Marbawi begitu terserlah melalui karya-karya beliau yang menjadi rujukan para ulama, khusus dalam bidang ilmu hadis melalui beberapa karya beliau seperti Bahr al-Mazi, terjemahan Bulugh al-Maram  dan lainnya. Di samping itu beliau juga mencurahkan usaha beliau menghasilkan beberapa karya dalam bidang tafsir. 

Antara karya beliau dalam bidang tafsir ialah; 

1. Tafsir Quran al-Marbawi Juzuk Alif Lam Min, 
2. Tafsir Quran al-Marbawi Surah Yasin 
2. Tafsir Surah Yasin Bahasa Melayu, 3. Tafsir Nur al-Yaqin, 
4. Tafsir Fath al-Qadir,
5. Tafsir Surah al-Fatihah, 
6. Quran Bergantung Makna 
7. Quran 30 Juzuk 

Tafsir Surah Yasin

Kitab Tafsir Surah Yasin disusun oleh al-Marbawi sebagai rentetan terhadap usaha beliau untuk mentafsirkan keseluruhan al-Quran. Namun demikian, beliau tidak berkesampaian untuk mentafsirkan keseluruhan ayat al-Quran, melainkan tafsiran dan terjemahan kepada beberapa surah dan ayat sahaja seperti yang disebutkan di atas.

Terdapat dua judul kitab tafsir Surah Yasin yang disusun oleh al-Marbawi yang pernah dicetak dan diterbitkan, iaitu;

1. Kitab Tafsir Surah Yasin Bahasa Melayu

Mengenai kitab Tafsir Surah Yasin Bahasa Melayu ini, al-Marhum Haji Wan Muhd Shaghir Abdullah menyebut bahawa kitab tafsir ini diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi  berdasarkan tafsir surah Yasin yang terdapat dalam kitab Tafsir Fath al-Qadir al-Jami’ Bayn Fanny al-Riyawat wa al-Dirawat min ‘Ilm al-Tafsir karya Imam Muhammad bin Ali al-Syawkani, iaitu  atas permintaan Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H/ 1935M. Perkara ini ada dinyatakan sendiri oleh al-Marbawi dalam mukadimah kitab tafsirnya;

Adapun kemudian daripada itu, maka telah menuntut kepada hamba oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir bahawa hamba terjemahkan Tafsir Yasin karangan al-Syaukani daripada Arab kepada Melayu...”.

Asalnya kitab ini memang disusun oleh al-Marbawi sebagai terjemahan bagi Tafsir Surah Yasin yang terdapat kitab Tafsir Fath al-Qadir al-Jami’  Bayn Fanny al-Riyawat wa al-Dirawat min ‘Ilm al-Tafsir karya Imam al-Shawkani. Namun begitu, ia bukan semata-mata terjemahan, kerana dalam penyusunan kitab ini al-Marbawi juga telah membuat beberapa penambahan dengan membuat rujukan terhadap beberapa kitab tafsir yang lain dalam mengemukakan tafsiran dan permasalahan terhadap ayat-ayat al-Quran dalam surah tersebut. Kenyataan ini jelas disebutkan oleh al-Marbawi pada awal pengenalan kitab ini. al-Marbawi menyebutkan;

“ Syeikh yang sangat alim lagi masyhur tinggi dan dalam ilmunya di dalam dunia ini yang dipanggil orang dengan nama Imam Fakhr al-Din al-Razi, juga Tafsir al-Qurtubi, sudah cukup perkenan di hati saya hendak dibahasakan ke bahasa Melayu, dengan tafsir yang teratur cara baru, yang mudah faham dan senang mengambil ingat...

Pada perenggan yang terakhir, al-Marbawi menyebutkan lagi bahawa beliau sama sekali tidak hanya bergantung kepada dua tafsiran yang disebutkan itu sahaja, melainkan terdapat tambahan dan rujukan dari tafsir lain dan tambahan oleh beliau sendiri. Katanya:

Tidaklah saya memindahkan ke sini apa-apa isi tafsir itu sahaja, bahkan saya datangkan apa-apa masalah dari tafsir lain yang ada disebutkan nama-namanya di awal atau di akhir apa masalahnya.

Melalui penelitian para pengkaji, selain kitab Tafsir al-Qurtubi iaitu al-Jami„ li Ahkam al-Qur’an karya Imam al-Qurtubi dan Mafatih al-Ghaib min al-Qur’an al-Karim karya Fakhr al-Din al-Razi, antara kitab-kitab tafsir lain yang menjadi rujukan beliau adalah kitab Tasir al-Tabari atau Tafsir Jami’ al-Bayan fi Ta‟wil Ay al-Quran karya Imam al-Tabari, Tafsir al-Khazin iaitu Lubab al-Ta’wil fi Ma’ani al-Tanzil karya al-Khazin, Tafsir al-Kabir dan beberapa tafsir yang lain. Tafsir Surah Yasin Bahasa Melayu telah sempurna diterjemahkan pada akhir bulan Rejab 1353H dan telah dicetak dan diterbitkan oleh al-Matba‘ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladuh pada tahun 1935M.

2. Kitab Tafsir Surah Yasin

Kitab tafsir ini merupakan kesinambungan kepada kitab tafsir yang disusun sebelumnya, iaitu kitab Tafsir Quran Marbawi Juz Alif Lam Mim. Oleh itu kitab tafsir ini juga dikenali sebagai Tafsir Quran Marbawi Surah Yasin.

Kitab Tafsir Quran Marbawi Surah Yasin telah diselesaikan tafsirannya pada malam Sabtu, 12 Ramadhan 1386H bersamaan dengan 24 Disember 1966M ketika al-Marbawi berusia 73 tahun.  Namun begitu, kitab tafsir ini telah diterbitkan dahulu sebelum al-Marbawi menyelesaikan keseluruhan tafsirannya dalam surah Yasin. Karya ini telah diterbitkan oleh al-Matba‘ah al-Anwar, Kaherah, dengan cetakan pertama pada bulan Sya‘ban 1383H bersamaan dengan Januari 1964M, iaitu dua tahun sebelum al-Marbawi menyelesaikan keseluruhan tafsirannya pada surah tersebut. Di bahagian kulit depan (cover) kitab tafsir ini tercatat “ Tafsir Surah Yasin”. 

Rujukan;

Artikel di atas, disusun semula berdasarkan beberapa artikel dari pautan berikut. Sila baca artikel berikut untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kitab tafsir ini. Semoga bermanfaat.


1 comment:

  1. alhamdulillah ada tambahan untuk kitab rujukan. Kebetulan untuk teori/materi tafsir yasin, menjadi jadwal malam jum'atan sebelum membaca yasin berjama'ah. Lumayan, 1x pertemuan dibahas 3 ayat". Jadi referensi nya bertambah banyak sehingga point-point nya berkembang luas.Mksh gan. Rancaekek cipacing bandung

    ReplyDelete