Sunday, February 16, 2014

Idhah al-Bab (إيضاح الباب )


Kitab Idhah al-Bab li Murid al-Nikah bi al-Shawab (إيضاح الباب لمريد النكاح بالصواب ) merupakan sebuah karya al-‘Alim al-‘Allamah al-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani (1131-1265H), seorang tokoh ulama dunia Melayu yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Kandungan kitab ini membicarakan mengenai tatacara perkahwinan dalam Islam. Sehingga sekarang, kitab ini masih menjadi rujukan dan teks pengajian dan kuliah ilmu di pusat-pusat pengajian Islam (pondok), masjid dan surau di Nusantara, khusus di Malaysia.

Menurut al-Marhum Haji Wan Muhammad Shaghir Abdullah, judul asal kitab ini sebagaimana yang tercatat pada manuskrip asalnya ialah Idhah al-Albab (إيضاح الألباب ), bukannya Idhah al-Bab, iaitu judul yang tercatat pada kitab yang dicetak dan yang dikenali masyarakat sekarang ini[1]. Kitab ini selesai disusun oleh Syaikh Daud al-Fathani pada tahun 1224H / 1809M.

Kitab edisi tulisan Jawinya masih dicetak dan dijual di pasaran. Sekadar pengetahuan saya, kitab ini diterbitkan oleh sebuah syarikat penerbitan dari Patani, Thailand, iaitu Mathba’ah Ben Halabi ( Ben Halabi Press). 

Selain edisi Jawinya, kitab ini juga ada diterbitkan dengan edisi tulisan Rumi. Dalam koleksi saya, terdapat sebuah buku yang diterbitkan oleh Al-Hidayah House Publishers, dengan ketebalannya merangkumi 207 halaman. Buku ini telah dialih tulisannya dari Jawi ke Rumi oleh Ustazah Noraine Abu - tanpa membuat sebarang pindaan susunan bahasa daripada teks asalnya. Usaha ini memberi peluang kepada mereka yang kurang mahir dalam tulisan Jawi untuk mengikuti majlis pengajian kitab ini berdasarkan kitab asalnya.  Semoga bermanfaat.



[1] HWM Shaghir (1991); Munyatul Mushalli Pengetahuan Sembahyang Masyhur, hal. 13

1 comment: