Saturday, September 30, 2017

al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah


Kitab yang ingin dikongsi bersama pembaca kali ini adalah sebuah kitab yang agak nipis yang berjudul al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah (اللمعة في خصائص يوم الجمعة ). Ada juga dicetak dengan judul Nur al-Lum'ah fi Khasha-ish al-Jumu'ah ( نور اللمعة في خصائص الجمعة ). Kitab ini disusun oleh al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Suyuthi (911H).

Dalam kitab ini, Imam al-Suyuthi telah menghimpunkan sebanyak 100 keistimewaan  malam dan hari Jumaat. Kata Imam al-Suyuthi dalam pendahuluan kitab ini;

“ Sesungguhnya al-Ustaz Syamsuddin Ibn al-Qayyim[1] telah menyebut di dalam kitabnya al-Huda[2] bahawa hari Jumaat mempunyai lebih daripada dua puluh keistimewaan. Namun begitu terdapat banyak lagi keistimewaan yang tidak disebut oleh beliau. Oleh itu, saya merasa perlu menyebutkan beberapa keistimewaannya lagi di dalam buku kecil ini berserta dengan dalil-dalilnya secara ringkas. Saya telah berhasil menghimpunkannya sebanyak 100 keistimewaan. Allah sahaja yang memberi tawfiq ”

Antara lain buku ini menjelaskan bahawa Jumaat adalah Hari Raya mingguan bagi umat Islam, Neraka Jahannam tidak menggelegak dan pelupusan dosa pada hari Jumaat, orang yang mati pada malam atau siang hari Jumaat selamat daripada seksa kubur, segala roh berkumpul pada hari Jumaat, ia adalah hari pengampunan, hari pembebasan dan juga mempunyai ketika yang mustajab. 

Untuk mengetahui lebih lanjut apakah keistimewaan-keistimewaan lain dalam buku ini yang mencapai sehingga 100 kelebihan, teruskan membaca dan meraih ilmu melaluinya agar kita dapat meningkatkan amal ibadat kita setiap masa lebih-lebih lagi pada malam dan siang hari Jumaat

Terjemahan kitab al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah;

Sebagai perkongsian maklumat, kitab ini ada diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan judul “ 100 Keistimewaan Malam Dan Hari Jumaat ”. Buku terjemahan ini diterbitkan oleh Al-Hidayah House Of Publishers, Selangor dengan kebenaran penerbit asalnya, iaitu Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.

Berdasarkan kata penerbit dan pengantarnya, buku ini diterjemahkan oleh Dr. Haji Muhammad Nur Lubis bin Abdul Razak Nur, Pegawai Istibat Kanan di Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam. Karya asalnya dalam bahasa Arab berjudul “ Khushushiyyat Yawm al-Jumu’ah ” karya Imam Jalaluddin Abdul Rahman al-Suyuthi. Naskhah asal terjemahan ini diterbitkan oleh Percetakan al-‘Ilm, Damsyik pada tahun 1386-1387H (cet. 2) bersama huraian dan ulasan oleh al-Ustaz Muhammad Riyadh al-Malih.

Oleh itu isi kandungan kitab terjemahan ini merangkumi dua karya ulama, iaitu terjemahan kitab Khushushiyyat Yawm al-Jumu’ah karya Imam al-Suyuthi dan terjemahan ulasannya karya Ust Muhammad Riyadh al-Malih. Terjemahan karya pertama diletakkan di bahagian hadapan, manakala terjemahan karya kedua diletakkan di bahagian akhirnya dalam bentuk nota hujung[3].

Kitab al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah ( edisi Arab) boleh dibaca dan dimuat turun di al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah atau  Nur al-Lum'ah fi Khasha-ish al-Jumu'ahBoleh dbaca secara online juga di al-Lum’ah fi Khasha-ish Yawm al-Jumu’ah

Semoga bermanfaat


[1] Beliau ialah Syamsuddin Muhammad bin Abu Bakar bin Ayyub al-Zar’i al-Dimasyqi (751H). Beliau terkenal dengan gelaran Ibn Qayyim al-Jawziyyah.
[2] Judul lengkapnya ialah Zad al-Ma’ad fi Huda Khayr al-‘Ibad.
[3] Buku ini boleh dibeli secara online di pautan 100 Keistimewaan Malam Dan Hari Jumaat.

No comments:

Post a Comment