Tuesday, February 2, 2016

Hukum-Hakam Azan & Iqamat Menurut Ulama Mazhab Syafi’i


Hukum-Hakam Azan & Iqamat Menurut Ulama Mazhab Syafi’i adalah judul sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i semasa yang disusun oleh Ustaz Mohammad Haidzir Hussin, seorang pensyarah di Jabatan Tahfiz  Kolej Pengajian Islam, Johor.

Sebagaimana judulnya, kandungan buku ini menyentuh pelbagai isu dan hukum yang berkaitan dengan azan dan iqamat secara terperinci berdasarkan mazhab Syafi’i. Buku ini perlu dimiliki oleh umat Islam, khususnya para muazin kerana kandungannya dapat memberi panduan yang berguna, yang dapat menjawab beberapa permasalahan yang berkaitan dengan dengan azan dan iqamat.

Menurut penyusunnya, maklumat-maklumat dan hukum-hakam mengenai azan dan iqamat dalam buku ini, dinukilkan darupada beberapa buah buku yang muktabar di dalam mazhab Syafi’i sebagaimana yang disebutkan di dalam bibliografi di akhir buku ini.

Namun begitu, menurut penyusunnya kitab yang menjadi rujukan utama beliau ketika menyiapkan karya beliau ini ialah kitab Mughni al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj karya al-‘Allamah Muhammad Khathib al-Syarbini dan kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab karya al-Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi.

Buku ini telah diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn Bhd dengan cetakan pertamanya pada tahun 2012. Buku ini mempunyai ketebalan sebanyak 152 halaman, tidak termasuk halaman kata pengantar dan halaman bibliografi.

Sila ke pautan http://www.telagabiru.com.my/produk/buku/hukum-hakam-azan-iqamat-menurut-ulama-mazhab-syafi-i untuk mendapat maklumat lanjut mengenai buku ini. Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment