Kitab Mukhtashar Ihya Ulumuddin
(مختصر إحياء علوم الدين) ini
merupakan ringkasan dari kitab Ihya
Ulumuddin, iaitu sebuah karya agung
susunan al-Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhamad al-Ghazali (505H).
Sebuah karya agama yang dianggap sebagai sebuah ensikopedia yang menggabungkan
tiga asas agama iaitu bidang akidah, ibadat (syariat) dan akhlak (tasawuf).
Sebagaimana yang diketahui bahawa
kitab Ihya ‘Ulumiddin mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan umat
Islam, khususnya dalam bidang kerohanian Islam yang dikenali dengan istilah
tasawuf. Melalui usaha beliau yang murni, ramai mulai sedar bahawa aspek
sufistik juga mempunyai peranan yang besar dalam mengharmonikan kehidupan dan
memberikan keseimbangan antara keperluan dunia dan akhirat.
Kendati sudah banyak ringkasan kitab
Ihya ‘Ulumiddin yang telah disusun oleh para ulama, ringkasan Ihya Ulumuddin yang
disebutkan dalam catatan ini memiliki keistimewaan kerana proses penyusunannya
dilakukan sendiri oleh Imam al-Ghazali, dengan memelihara dan mengekalkan
intisari serta tujuan kitab asalnya. Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali
dalam kata pengantarnya, “Saya telah
meringkaskan kitab ini disebabkan sulitnya membawa buku Ihya’ dalam perjalanan”.
Kitab ringkasan Ihya ‘Ulumiddin
juga dikenali dengan judul “ Lubab Ihya ‘Ulumiddin ” ( لباب
إحياء علوم الدين ) di kalangan para ulama dan disebutkan dalam
karya-karya mereka. Sekadar catatan, kitab Mukhtashar Ihya ‘Ulumiddin ini telah
diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dunia, termasuklah dalam bahasa Melayu dan
Indonesia. Sehingga kini karya-karya terjemahan kitab ini telah diterbitkan
oleh beberapa syarikat penerbitan di negara ini.
Selain buku-buku terjemahan moden
ini, sebenarnya terdapat sebuah karya dalam bahasa Melayu yang berkaitan dengan
kitab Mukhtashar Ihya ‘Ulumiddin ini
telah disusun oleh seorang ulama Nusantara terdahulu. Karya tersebut adalah
kitab yang berjudul “ Siyar al-Salikin ila ‘Ibadah Rabb al-‘Alamin”
karya ‘al-‘Allamah Syaikh Abdul Shamad bin Abdullah al-Jawi al-Palembani (1704-1832H).
Seorang ulama yang berasal dari Palembang, Sumatera. Sebagaimana yang
dijelaskan oleh penyusunnya Kitab Siyar al-Salikin ini merupakan sebuah kitab
terjemahan dan huraian bagi kitab Lubab
Ihya ‘Ulumiddin karya Imam al-Ghazali tersebut.
Kitab Mukhtashar Ihya ‘Ulumiddin
ini boleh dibaca dan dimuat turun di pautan http://www.ghazali.org/books/lubab.pdf.
Semoga bermanfaat.
Terima kasih banyak, sangat membantu...
ReplyDelete