Kitab
Fiqh
al-Sunnah li al-Nisaa’ (فقه السنة للنساء) atau judul lengkapnya Fiqh al-Sunnah li al-Nisaa’ wa Ma yajibu an
Ta’rifahu kullu Muslimah min Ahkam (فقه السنة للنساء وما يجب أن تعرفه كل مسلمة من أحكام) adalah sebuah karya fiqh susunan Syaikh Abu Malik
Kamal bin al-Sayyid Salim.
Kandungannya
memuatkan penjelasan mengenai fiqh wanita secara lengkap, dengan bahasa yang
mudah difahami. Ia disusun dalam bentuk yang amat padat dan ringkas tetapi
penuh dengan nilai-nilai yang ilmiah. Sebuah buku yang baik untuk para wanita
khususnya dan umat Islam umumnya. Permasalahan fiqh dalam kitab ini
dibentangkan tanpa mengikut pandangan mazhab tertentu, tetapi mengikut pendapat
yang dianggap sahih oleh penyusunnya berdasarkan penelitian beliau terhadap
dalil-dalil dari al-Quran dan al-Sunnah.
Dalam
pendahuluan kitab ini, Syaikh Abu Malik Kamal menerangkan kaedah penyusunan
karya beliau ini;
“
Kami telah berusaha semaksimal mungkin
untuk menyajikan buku ini dengan metod yang sesuai dengan para muslimah masa
kini. Saya mudahkan gaya bahasanya dan saya perjelaskan pelbagai permasalahan mengikut
kemampuan saya dengan tetap menjaga kedalaman fiqh serta pelbagai kaedah yang
berlaku dalamnya. Saya cukupkan hanya dengan menyebutkan dalil dari al-Quran
dan al-Sunnah untuk setiap permasalahan dan di kebanyakan kesempatan saya tidak
menyebutkan perbezaan pendapat yang berlaku, dan merasa cukup dengan pendapat
yang memiliki dalil yang lebih kuat…… Namun begitu, terkadang kami menyebutkan juga
beberapa perbezaan yang berlaku dengan tujuan
agar paa pelajar dapat mengetahui bahawa dalam masalah tertentu ada pendapat
lain selain pendapat yang saya anggap kuat.. …”
Antara
tajuk-tajuk utama yang terlibat di dalam perbahasan dalam buku ini adalah
sekitar isu-isu asas seperti thaharah (bersuci), solat, pengurusan jenazah,
zakat, puasa, umrah dan haji, sehinggalah kepada persoalan-persoalan fiqh yang lainnya
termasuk persoalan nazar & sumpah, makanan & minuman, udhiyah (korban),
pakaian & perhiasan, pernikahan, penceraian dan perwarisan.
Kitab
ini telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 2001 oleh Maktabah
al-Tawfiqiyyah, Kaherah dalam satu jilid.
Terjemahan
kitab ini
Di sini, saya hanya ingin menyebutkan dua versi
terjemahan kitab ini yang ada dalam koleksi saya, iaitu satu dalam bahasa
Indonesia dan satu lagi dalam bahasa Malaysia.
a) Ensiklopedi Fiqih Wanita
Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta dengan cetakan
pertamanya pada tahun 2006. Manakala edisi yang saya miliki adalah dari cetakan
ke enam pada tahun 2012. Buku ini merupakan terjemahan lengkap daripada kitab
asalnya, iaitu terbitan Maktabah al-Tawfiqiyyah, Kaherah pada tahun 2001. Edisi
terjemahan ini merangkumi keseluruhan kandungan kitab asalnya, termasuk kata pengantar
dari beberapa orang ulama mengenai kandungan buku dan muqaddimah pengarangnya.
Buku ini diterbitkan dalam dua jilid. Jilid pertama setebal 528 halaman, manakala jilid kedua setebal 518 halaman.
b)
Indahnya Hidup Wanita Bersyariat
Buku ini diterbitkan oleh Crescent News, Selangor dengan cetakan
pertamanya pada tahun 2013. Ia diterbitkan dalam satu jilid setebal 1199
halaman. Berdasarkan maklumat yang terdapat dalam buku ini, penyusunnya adalah
Fatimah Hj Omar dan Syawana Aziz. Ia tidak menyebutkan buku ini sebagai edisi
terjemahan dan tidak menyertakan nama pengarang asalnya.
Saya telah membuat
perbandingan isi kandungannya dengan kitab asal
yang berbahasa Arab dan terjemahannya dalam bahasa Indonesia, saya dapati kandungannya adalah sama dan dipastikan ia adalah
terjemahan bagi kitab Fiqh al-Sunnah li
al-Nisaa’ karya Abu Malik Kamal ini.
Isi
kandungannya meliputi hampir semua kandungan kitab asalnya, hanya bab
pewarisan, iaitu bab terakhir dan muqaddimah pengarang serta kata penutup
pengarang kitab asalnya tidak lampirkan. Pengubahsuaian bab juga dilakukan,
dengan memecahkan sebahagian bab asalnya kepada beberapa bab yang baru.
Beberapa nota kaki yang disediakan oleh pengarang yang terdapat dalam kitab
asalnya juga dikekalkan dalam buku ini.
Semoga catatan ini bermanfaat.
No comments:
Post a Comment