Thursday, March 17, 2016

Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfazh al-Minhaj


Kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfazh al-Minhaj (مغني المحتاج إلى معرفة معاني ألفاظ المنهاج) merupakan sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i. Ia adalah sebuah kitab yang disusun khusus sebagai syarah (huraian) bagi kitab Minhaj al-Thalibin karya al-Imam Abu Zakariyya al-Nawawi (676H).

Kitab yang dikenali dengan judul ringkas Mughni al-Muhtaj ini disusun oleh seorang ulama terkemuka dalam mazhab Syafi’i pada zamannya, iaitu Imam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Khathib al-Syirbini al-Qahiri (977H). Di kalangan ulama mazhab Syafi’i beliau dikenali dengan gelaran Syamsuddin al-Khathib al-Syirbini.

Kitab Mughni al-Muhtaj ini dianggap  antara tiga buah kitab huraian (syarah) bagi kitab Minhaj al-Thalibin yang utama menjadi rujukan para ulama mazhab Syafi’i, selain kitab Tuhfah al-Muhtaj karya al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (909-973H)  dan kitab Nihayah al-Muhtaj karya Syamsuddin Muhammad bin Abu al-Abbas Ahmad bin Hamzah bin Syihabuddin al-Ramli al-Manufi al-Mishri al-Anshari (919-1004H).

Imam al-Khathib al-Syirbini menyusun syarah (huraian) kitab al-Minhaj ini sebagai memenuhi permintaan para sahabatnya, yang memerlukan sebuah karya yang dapat memperjelaskan maksud kitab al-Minhaj. Ketika pertama kali menerima permintaan dari para sahabatnya itu, beliau merasa ragu-ragu untuk memenuhi permintaan tersebut. Apabila beliau diberikan kesempatan oleh Allah SWT menziarahi Masjid Nabawi dan solat dua raka’at di Raudhah, tergerak hati beliau untuk merealisasikan permintaan para sahabatnya untuk menulis syarah bagi kitab al-Minhaj.

Dalam kitab Mughni al-Muhtaj, al-Khathib al-Syirbini cuba menjelaskan kata-kata yang susah difahami yang terdapat dalam kitab al-Minhaj. Beliau juga berusaha menjelaskan kitab al-Minhaj dengan penjelasan yang ringkas, tetapi jelas sehingga karya beliau ini tidak terlalu tebal. Kitab yang telah diterbitkan sebanyak 4 jilid ini sangat besar manfaat dan patut dimiliki dan dikaji oleh mereka yang ingin mendalami mazhab Syafi’i.

Untuk men‘download’ kitab Mughni al-Muhtaj dalam bentuk fail PDF sila klik Cover depan, Jilid 1, Jilid 2, Jilid 3, Jilid 4.

Semoga bermanfaat.

3 comments:

  1. Assalamualaikum..
    kenapa kitab ini minhaj attolibinn tidak dapat di download ya..
    sebelum ini saya sudah downlod kitab mughni almuhtaj boleh sahaja..
    sangat bermanfaat..terima kasih
    *

    ReplyDelete