Wednesday, October 10, 2012

Kitab al-Misbah al-Munir Fi Tahdzib Tafsir Ibn Katsir


Kitab Tafsir al-Misbah al-Munir Fi Tahdzib Tafsir Ibn Katsir (المصباح المنير في تهذيب تفسير ابن كثير) merupakan karya Abu Hashim Safiyur Rahman bin ‘Abdullah bin Muhammad Akbar bin Muhammad ‘Ali bin ‘Abdul-Mu’min bin Faqirullah al-Mubarakpuri al-Azami atau lebih dikenali dengan Syaikh Shafiyur Rahman al-Mubarakfuri (1360-1227H/1942–2006M) seorang ulama terkenal dari India.

Kitab al-Misbah al-Munir ini merupakan ringkasan bagi kitab Tafsir Ibnu Katsir, karya Imam al-Hafiz ‘Imaduddin Abu al-Fidak Ismail bin ‘Umar bin Katsir al-Qurasyi al-Dimasyqi al-Syafi’i (701-774H) yang merupakan seorang ulama bermazhab Syafi'i yang terkenal pada zamannya.. Beliau dikenali di dunia kesarjanaan Islam sebagai ulama tahqiq, ulama tafsir, ulama hadis, dan pakar sejarah. Mendengar namanya sahaja sudah cukup membuktikan bahawa tafsir ini adalah salah sebuah tafsir yang masyhur dan dipercayai. Bahkan sekiranya disebutkan saja kitab tafsir, nescaya Tafsir Ibnu Katsir-lah yang menjadi sebutan para ulama. Para ulama dahulu hingga kini sentiasa mencadangkan agar setiap orang memiliki dan menela'ah kitab tafsir Ibnu Katsir ini. Ia adalah tafsir dengan methode al-Qur'an dengan al-Qur'an, al-Qur'an dengan sunnah, dan al-Qur'an dengan atsar (fatwa-fatwa para sahabat dan tabi'in) di samping tafsir bahasa. Ia sekali-sekali bukan tafsir akal atau ra'yi sebagaimana yang banyak berlegar di sekitar kita akhir-akhir ini.


Terjemahannya;

Kitab al-Misbahul Munir Fi Tahdzib Tafsir Ibn Katsir ini telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia dan terbitkan oleh Pustaka Ibnu Katsir, Indonesia dengan judul ‘Shahih Tafsir Ibnu Katsir’. Set kitab ini mengandungi sebanyak 9 jilid semuanya. Ini adalah set kitab yang lengkap membawakan tafsir al-Qur'an 30 juzuk kepada kita. Ia membantu masyarakat awam memahami al-Qur'an ayat demi ayat dengan lebih baik dan terperinci berpandukan hadis-hadis nabi dan manhaj para Sahabat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam.

Ciri-ciri keistimewa bagi edisi terbitan/terjemahan ini amat bersesuaian dengan judul terjemahannya; Shahih Tafsir Ibnu Katsir. Berikut antara keistimewaannya:

1.   Setiap hadis atau riwayat/atsar diberikan rujukan/nota kaki. Hadis-hadisnya ditakhrij bagi memudahkan rujukkan dan memberi keyakinan kepada pembaca. Sistem nota kaki yang baik. Takhrij hadis berpandukan kepada Kitab-kitab Syaikh al-Albani rahimahullah, Syaikh Syu'aib al-Arnauth, Ahmad Syakir, dan selainnya.

2. Setiap perbahasan (penafsiran) diberikan dan dipisahkan (dibezakan) dengan perletakkan tajuk bagi tujuan memudahkan pemahaman dan pencarian. Hadis-hadis yang tidak sahih (dhoif atau maudhu') dikeluarkan dari kitab ini. Dan dibiarkan hanya hadis/riwayat yang sahih dan hasan sahaja, serta riwayat-riwayat yang maqbul (diterima).

3. Namun, sedikit kelemahan pada kitab ini adalah pada sebahagian tempat telah menghilangkan beberapa perkataan asal al-Hafiz Ibnu Katsir pada beberapa tempat merujuk perbezaan pendapat (ijtihad) bagi mengelakkan kekeliruan para pembaca dari kalangan awam yang tidak biasa dengan perselisihan pendapat di kalangan ulama silam. Bersesuaian dengan nama dan tujuannya yang disasarkan untuk para pembaca awam dan penuntut ilmu (para pemula).

4.  Terbitan ini sangat sesuai untuk golongan awam yang berminat memahami tafsiran ayat-ayat al-Qur'an secara mendalam tetapi mudah kerana corak penyampaiannya yang mesra pembaca dan mudah difahami. Di samping itu, ia juga sesuai untuk golongan pengkaji kerana konsep nota kakinya yang begitu baik. Jadi, berilah ruang perpustakaan kita untuknya sebagai bekalan rujukan tafsir memahami al-Qur'an yang baik di saat-saat memerlukan. Juga sesuai untuk bacaan berjadual dan bacaan di surau-surau, masjid, serta pusat-pusat pengajian umum seperti sekolah dan universiti.

Sumber: Artikel ini diedit dan diubahsuai dari pautan  berikut: http://atsar.ilmusunnah.com/index.php?route=product/product&product_id=77

2 comments:

  1. Alhamdulillah, dah ada rupanya reviewnya. Jazakallahu khairan kathira tuan yg mulia.

    -luqman alhakim-

    ReplyDelete