Wednesday, October 3, 2012

Kitab Ma'arij al-Lahfan

Bersama Wan Mohd Shaghir Abdullah
 
 
PERKEMBANGAN Islam di dunia Melayu dicatatkan dimulai pengikut sufi. Ilmu tasawuf dinamakan ilmu batin penulisan awalnya pada peringkat dunia Melayu dimulai zaman kebesaran kerajaan Aceh oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri.
 
Pada  zaman itu, berkembang pula pelbagai ilmu Islam. Ilmu lain diistilahkan sebagai ilmu bercorak zahir.

Ketika Syeikh Hamzah al-Fansuri meninggal dunia, muncul sanggahan oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri terhadap penulisan Syeikh Hamzah al-Fansuri. Sejak zaman itu hingga sekarang, muncul perbahasan ulama dunia Melayu terhadap tulisan kedua-dua ulama di Aceh itu.

Antara ulama dunia Melayu dari Terengganu yang membahas persoalan pemikiran zahir dan batin ialah Saiyid Abdur Rahman Saiyid Muhammad al-Aidrus atau dikenali panggilan Tok Ku Paloh.
Beliau adalah guru dan penasihat Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III. Karangan beliau yang membahas persoalan zahir dan batin menurut pemikiran dan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah diberi judul agak panjang, ‘Ma'arij al-Lahfan li at-Taraqqi ila Haqaiq al-'Irfan’.

Judul terjemah bahasa Melayu menurut Tok ku Paloh sendiri ialah ‘Tangga Bagi Orang Yang Sangat Dahaga Naik Kepada Martabat Kepada Haqiqat Ma'rifat’. Kitab khazanah Melayu bernilai tinggi ini saya peroleh daripada Muhammad Zaidi Abdullah berasal daripada Datuk Abdul Aziz @ Ambak Ismail dari Terengganu. Kitab Ma'arij al-Lahfan itu tidak lengkap, dapat disemak mulai halaman kulit, halaman satu hingga 100, halaman 200 hingga 317. Bererti halaman 101 hingga 199 hilang.
 
Halaman akhir juga tidak ada. Saya tidak pasti sama ada Ma'arij al-Lahfan sempat diselesaikan Tok Ku Paloh atau tidak. Pada halaman kulit, tercatat bahasa Arab maksudnya memperkenalkan judul, tahun penulisan iaitu 1300 Hijrah dan nama Saiyid Abdur Rahman Saiyid Muhammad Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus.

Di antara kesimpulan perkataan hikmah daripada mukadimah antaranya: “Manusia elok kejadiannya, kemuliannya terletak pada tauhidnya.” Saya berkesimpulan manusia walau bagaimana kebesaran, kekayaan dan kemuliaannya, selagi mereka tidak bertauhid kepada Allah, tidak beerti apa-apa.

Menurut Tok Ku Paloh, pada zamannya kebanyakan manusia jahil mendapat petunjuk sebenar. Petunjuk sebenar itu ialah mengikut al-Quran dan hadis serta tafsiran jumhur ulama muktabar.

Dalam konteks al-Quran dan hadis, banyak beliau sebut lafaz Arab, beliau terjemah ke bahasa Melayu dan beliau tafsirkan. Penafsiran mulai cara biasa termasuklah penafsiran menurut ulama sufi.

Banyak perkara yang beliau bahas, tetapi saya perkenalkan di sini pemikirannya mengenai tarikat yang saya fokuskan Tarikat Naqsyabandiyah kerana amalan beliau dan lebih panjang beliau bahas daripada yang lainnya. Tok Ku Paloh menyebut tarikat yang muktabar berasal daripada dua sahabat Nabi Muhammad iaitu Saiyidina Abi Bakar Siddiq dan Saiyidina Ali bin Abi Thalib.

Mengenai kelebihan Saiyidina Abi Bakar Siddiq, Tok Ku Paloh ada warid daripada Nabi, maksud sabdanya, “Tiada menuangi oleh Allah pada dadaku akan suatu melainkan aku penuhilah akan dia pada dada Abi Bakar.”

Sabdanya lagi, “Tiada melebihi akan kamu oleh Abu Bakar dengan banyak puasa dan sembahyang, kerana segala amal zahir itu seperti amal kamu juga. Tetapi melebihi akan kamu dengan rahsia yang tetap ia pada hati yang dilimpahi akan dia daripada batin Nabi SAW.”

Selepas itu, Tok Ku Paloh menyenaraikan 40 tarikat muktabar di kalangan ulama tasawuf. Beliau letakkan yang paling atas Tarikat Naqsyabandiyah dan yang paling akhir, Tarikat Dasuqiyah.

Walaupun Tok Ku Paloh membahas Tarikat Naqsyabandiyah dan dalam beberapa kalimatnya beliau lebih memandang tinggi tarikat itu, beliau menasihatkan, “... permulaan Tarikat Naqsyabandiyah itulah kesudahan segala tarikat melainkan orang yang ada al-hububiyah (golongan yang dikasihi Allah) dan amuradiyah (golongan yang dikehendaki Allah) seperti setengah Auliya’ yang terdahulu futuh (dibukakan oleh Allah segala rahsia Rabbani) mereka itu atas suluk. Tetapi segala saudara janganlah kamu sangka terlebih Tarikat Naqsyabandi daripada segala tarikat lain ...” (halaman 312).

Tok Ku Paloh menutup senarai kata beliau, “Dan tafshil segala tarikat itu telah masyhur ia pada sisi segala ulama maka kita serahkan akan pengetahuannya kepada mereka itu ...” (halaman 310 - 311).

 
- dipetik drp. Berita Harian, Selasa, 9, April. 2007
 

2 comments:

  1. Tuan,sy dari nasab tok ku paloh..boleh kah kiranya,saya nak dpatkan satu salinan dari kitab tersebut? nama saya syed ahmad syuhaidi bin tuan said shaikh.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam. Maaflah, saya tidak memiliki kitab ini. Artikel di atas sebenarnya susunan almarhum tuan haji wan mohd shaghir. Sumber artikel ada saya sebutkan di atas.

      Delete