Monday, October 15, 2012

Terjemahan Singkat Tafsir Ibnu Katsier


Kali ini saya ingin memperkenalkan sebuah kitab terjemahan Tafsir Ibnu Katsir, yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia. Kitab terjemahan ini sudah lama saya miliki, dan menjadi bahan bacaan dan rujukan saya. Berikut maklumat ringkasnya.
 
Judul: Terjemahan Singkat Tafsir Ibnu Katsier.
Penterjemah: H. Salim Bahreisy dan H. Said Bahreisy
Penerbit: Victory Agencie, Kuala Lumpur (edisi Malaysia)
Penerbit (asal): PT. Bina Ilmu, Surabaya. (1992)
Diterbitkan dengan 9 Jilid dalam 8 buku. Jilid 8 dan 9,dihimpunkan dalam satu buku.
 
Beberapa catatan:
 
Berdasarkan judul dalam bahasa Arab yang terpapar di bahagian atas cover depannya “ Tarjamah Mukhtashar Tafsir Ibn Katsir”, pada mulanya saya membuat andaian buku ini merupakan terjemahan bagi sebuah Mukhtashar Tafsir Ibn Katsir dalam versi‘Arab, yang telah disusun oleh seorang ulama dari Timur Tengah.
 
Namun, apabila saya melihat judul dalam bahasa Indonesia di bahagian tengah covernya “Terjemahan Singkat Tafsir Ibnu Katsier” dan membaca kata pengantar penterjemahnya, saya membuat kesimpulan bahawa buku tafsir ini telah diterjemahkan dari kitab Tafsir Ibn Katsir yang asal, dengan membuat beberapa keringkasan, sebagaimana yang disebutkan oleh penterjemah;
 
Penerjemahan ini kami lakukan agak bebas dan tidak terlalu letterlijk (harfiyah), bahkan jika dalam penafsiran sesuatu ayat kami temui beberapa hadis yang maksudnya bersamaan, maka kami merasa cukup satu atau dua hadis tersebut. Demikian pula mengenai sanad, langsung kami sebut nama sahabat yang mendengarnya dari Rasulullah saw
 
Oleh itu, buku tafsir ini bukanlah terjemahan sebuah kitab mukhtashar Tafsir Ibn Katsir yang telah telah disusun oleh ulama lain sebelumnya, bahkan penterjemah merupakan peringkas atau penyusun mukhtashar bagi Kitab Tafsir Ibn Katsir itu sendiri. Jika andaian ini benar, maka buku tafsir ini boleh dianggap sebuah kitab mukhtashar Ibn Katsir dalam bahasa Indonesia. Wallahu a’lam.
 
Kandungan
 
Di permulaan setiap jilid dilampirkan kata pengantar penterjemah dan “Kata Pengantar Imam Ibnu Katsir”. Berikut disebutkan susunan surah-surah dalam kitab tafsir ini;
 
Jilid 1 : Surah al-Baqarah
Jilid 2 : Surah Ali ‘Imran dan al-Nisa’
Jilid 3 : Surah al-Maidah, al-An’am, dan al-Anfal
Jilid 4 : Surah al-Taubah, Yunus, Hud, Yusuf, al-Ra’d, Ibrahim, al-Hijr, dan al-Nahl.
Jilid 5 : Surah  al-Israk, al-Kahfi, Maryam, .......hingga surah al-Nur.
Jilid 6 : Surah al-Furqan, al-Syu’ara’, al-Naml, al-Qashash, .....hingga surah Yaasin.
Jilid 7 : Surah al-Shaffat  ....hingga surah al-Rahman.
Jilid 8 : Surah al-Waqi’ah ....hingga surah al-Mursalat.
Jilid 9 : Surah al-Naba’ .... hingga surah al-Nas.
Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment