Sunday, July 7, 2019

al-Muqaddimah al-Jazariyyah (المقدمة الجزرية)


Kitab al-Muqaddimah al-Jazariyyah (المقدمة الجزرية) adalah sebuah karya Imam Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Yusuf al-Jazari al-Syafi’i (833H), yang terkenal dengan gelaran Ibnu al-Jazari. Kitab yang disusun dalam bentuk bait-bait syair ini merupakan salah satu karya utama di dalam disiplin ilmu Tajwid. Judul asal kitab ini ialah al-Muqaddimah fi ma yajibu ‘ala Qari’ an Yu’allimahu (المقدمة في ما يجب على قارئ القرآن أن يعلمه).

Kandungan kitab ini merangkumi beberapa bab ilmu Tajwid yang dijelaskan secara mudah dan sistematik; bermula dengan penjelasan sifat dan makhraj huruf-huruf di dalam al-Qur’ān, beberapa asas ilmu Tajwid hingga pembahasan yang berkaitan dengan penulisan perkataan di dalam Rasm ‘Uthmani.

Kepentingan karya ini berbanding karya-karya yang lain, adalah kerana penjelasan yang diberi amatlah ringkas dan mudah difahami, dirangkai dalam bait-bait syair yang indah dan penuh makna, sehingga sesuai untuk golongan yang baru mahu memulakan perjalanan intelektual mereka dalam tradisi ini.

Kitab ini telah menarik perhatian para ulama, di mana mereka telah menyusun beberapa karya sebagai huraian (syarah)nya, antaranya;

a)     Al-Hawasyi  al-Mufahhimah li Syarh al-Muqaddimah (الحواشي المفهمة لشرح المقدمة), karya Abu Bakr Ahmad bin Muhammad al-Jazari (859H). Beliau adalah anak kepada Ibnu al-Jazari.
b)     Al-Daqa-iq al-Muhakkamah fi Syarh al-Muqaddimah (الدقائق المحكمة في شرح المقدمة), karya Zakariyya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Syafi’i (926H).
c)      Al-Manh al-Fikriyyah fi Syarh al-Muqaddimah al-Jazariyyah (المنح الفكرية في شرح المقدمة الجزرية), karya Mulla bin ‘Ali bin Sulthan Muhammad al-Qari (1014H).

Kitab ini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dunia, termasuklah dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.

Kitab al-Muqaddimah al-Jazariyyah dalam bahasa Arab boleh dimuat turun melalui pautan المقدمة الجزرية

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment