Tuesday, December 25, 2012

Kitab al-Sittin Mas-alah


Kitab al-Sittin Mas-alah (الستين مسألة) merupakan satu kitab fiqh mazhab Syafi’i yang ringkas, yang menghimpunkan enam puluh masalah agama yang perlu diketahui oleh umat Islam. Kitab ini merupakan hasil karya al-Imam al-‘Alim Abu al-‘Abbas Ahmad al-Zahid, seorang  yang terkenal dengan kesalihannya dan banyak beribadat. Beliau wafat pada 14 Rabi’ul Awal tahun 819 hijrah.

 Imam al-Syaikh Ahmad al-Ramli[1] (957H), menyebutkan nama kitab ini sebagai “ al-Muqaddimah[2] ” yang terkenal dengan “ al-Sittin Mas-alah ”. Beliau telah menyusun sebuah kitab yang  menghuraikan matn al-Sittin Mas-alah ini[3].


Pendahuluan kitab;

Kitab ini dimulai dengan lafaz basmalah (bismilah), kemudian penyusun menyebutkan “ Ini merupakan suatu penerangan (bayan) mengenai perkara yang perlu diketahui  dari beberapa kewajipan (al-furudh) yang wajib dilaksanakan berdasarkan mazhab Imam al-Syafi’i rahmatullah ‘alaih ”. Kemudian penyusun telah membawakan beberapa buah hadis Nabi saw dan kata-kata ulama, yang menerangkan kewajipan dan kelebihan menuntut ilmu agama.

Kandungan kitab;

Di antara perkara yang dibincangkan dalam kitab al-Sittin Mas-alah;

1.      Asas keimanan kepada Allah (Qawa-‘id  al-Iman)[4]
2.      Asas Islam (Qawa-‘id al-Islam)[5]
3.      Istinjak,
4.      Wuduk; rukun, sunat, perkara membatalkan wuduk,
5.      Mandi; perkara rukun dan sunat,
6.      Perkara yang diharamkan ketika berhadas, berjunub dan haid,
7.      Tayammum; perkara yang mengharuskan tayammum, syarat-syarat, rukun, sunat tayammum dan perkara yang membatalkan tayammum.
8.      Solat; syarat wajib, syarat sah,  rukun, sunat, perkara membatalkan solat dan beberapa kelakuan dalam solat  bagi perempuan yang  berbeza  dari lelaki,
9.      Solat jenazah,
10.  Zakat,
11.  Puasa; kewajipan rukyah, rukun puasa dan yang berkaitan dengannya,
12.  Haji.


Kitab yang disusun berkaitan dengan matn al-Sittin Mas-alah;

Antara kitab yang disusun oleh ulama terkemudian bagi menghuraikan kitab al-Sittin Mas-alah;

1.      Syarh al-Sittin Mas-alah, yang disusun oleh al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas  Ahmad bin Hamzah bin Ahmad al-Anshari al-Ramli (957H).

2.      Syarh ‘ala al-Sittin Mas-alah, yang disusun oleh al-Imam Syamsuddin, Muhammad bin Muhammad al-Khathib al-Syarbini (977H).

Kitab Syarh a-Sittin Mas-alah, karya Imam Ahmad al-Ramli di atas telah diberikan hasyiah oleh beberapa ulama, antaranya; 

a)   al-Syaikh al-'Allamah Ahmad al-Mihi al-Syibini dengan karyanya “ Hasyiah ‘ala Syarh al-Sittin Mas-alah li Syaikh Ahmad al-Ramli  [6]”. Beliau merupakan murid kepada Imam Abdullah bin Hijazi bin Ibrahim  al-Syarqawi (1150-1226H).  Kitab ini terkenal di kalangan ulama dan pelajar fiqh Syafi’i dan menjadi rujukan dalam masalah fikah. Setakat pengetahuan saya, apabila para ulama generasi muta’akhir menyebut sesuatu masalah itu ada dinyatakan dalam kitab al-Sittin Masalah, sebenarnya mereka merujuk kepada kitab hasyiah ini, kerana ia mudah didapati dan banyak tersebar di kalangan ulama.

Dalam koleksi saya, ada sebuah kitab “ Hasyiah ‘ala Syarh al-Sittin Mas-alah li Syaikh Ahmad al-Ramli ” ini. Kitab ini diterbitkan oleh Mathba’ah Bin Halabi, Patani, Thailand (tanpa tarikh). Bentuk cetakan sebagaimana “kitab kuning” yang lain. Di pinggirnya diletakan “ Syarh al-Sitin Mas-alah”, karya Imam Ahmad al-Ramli. Tebalnya, sebanyak 84 halaman.

b)  al-Syaikh al-'Allamah 'Abdul Karim Karimuddin al-Mathari al-Dimyathi dengan judul karyanya Hasyiah 'ala Syarh al-Syihab al-Ramli 'ala al-Sittin Mas-alah. Kitab ini juga ada dalam koleksi saya, sebagaiman kitab di atas ia juga terbitan Mathba'ah Ben Halabi. Kitab ini lebih tebal berbanding kitab karya Syaikh Ahmad al-Mihi, di mana isi kandungan merangkumi 140 halaman.

Di antara kitab yang ada kaitan dengan matn al-Sittin Mas-alah ialah “ Kitab al-Fath al-Mubin ”, karya Syaikh Mustafa bin Usman al-Jawi al-Qaruti, seorang ulama dari Garut, Indonesia. Kitab ini, asalnya matn al-Sittin Mas-alah yang disusun dalam bentuk nazam (al-Manzhumat).

Kitab al-Fath al-Mubin ini, kemudiannya telah dihuraikan oleh al-Syaikh Abu al-Mu’thi Muhammad Nawawi al-Bentani al-Jawi dengan karya beliau yang berjudul “ Kitab al-‘Aqd al-Samin Syarh ‘ala Manzhumat al-Sittin Mas-alah al-Musamma bi al-Fath al-Mubin ”.

Semoga bermanfaat.


[1] Beliau ialah Syihabuddin Abu al-‘Abbas  Ahmad bin Hamzah bin Ahmad al-Anshari al-Ramli (957H.)
[2] Suatu istilah yang biasa digunakan bagi sebuah kitab yang ringkas dan menjadi suatu muqaddimah (pengenalan asas) kepada pelajar fiqh sebelum mempelajari kitab fiqh yang lebih besar. Kitab ringkas yang dianggap sebagai “matn” ini, kemudian menjadi perhatian ulama seterusnya dengan membuat huraian dan komentar. Antara kitab yang terkenal sebagai al-Muqaddimah ialah al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah (Masa-il al-Ta’lim), Muqaddimah al-Iraqi ( Alfiyah al-‘Iraqi –ulumul hadis) dan lainnya.
[3] Lihat kitabnya Syarh al-Sittin Mas-alah.
[4] Beliau menerangkan asas keimanan kepada Allah itu ada 8 perkara yang wajib diketahui oleh seorang hamba, iaitu Allah bersifat Hayy(Hidup), Qadir (Berkuasa), Mutakallim (Berkata-kata), Sami’ (Mendengar), Bashir (Melihat), ‘Alim (mengetahui), Murid (Berkehendak) dan Baqin (Kekal) .
[5] Rukun Islam yang lima.
[6] Catatan saya di atas, banyak merujuk kepada kitab ini.

No comments:

Post a Comment