Monday, December 17, 2012

Terjemah Hadis Jawahirul Bukhari


Kitab yang ingin diperkenalkan secara ringkas dalam catatan ini merupakan karya seorang ulama berketurunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang terkenal itu. Ulama yang berdomisil di Kedah ini tercatat nama pada karya-karyanya ialah Sheikh Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas’udi al-Banjari al-Qadhi. Nama popular disebut Tuan Husein Kedah. Di antara karya-karyanya yang banyak terdapat sebuah karya hadis yang diberi judul Terjemah Hadis Jawahirul Bukhari.

Menurut pengkaji tersohor mengenai kitab jawi dan ulama nusantara al-Marhum Ust. Haji Wan Mohd Shaghir bin Abdullah;

 “ Belum diketahui tahun berapa karya ini diselesaikan penulisan oleh Tuan Husain Kedah, kerana yang terdapat pada penulis hanya juzuk yang pertama sama.

Cetakan pertama oleh al-Maktabah Az-Zainiyah, Taiping, Perak, 1350 H. Pada mukadimah, Tuan Husein Kedah menyebut bahawa beliau terjemahkan daripada segala lafaz Hadis Jawahiril Bukhari dan sebahagian daripada Syarh al-Qastalani yang telah disebarkan oleh ulama Mesir moden, iaitu Sheikh al-Allamah Mustafa Muhammad Imarah al-Masriyah daripada kitab Hadiqatul Ahadisil Bukhari, lebih 700 hadis yang sahih sekeliannya. Tuan Husein menyebut judul sebenar terjemahannya itu dengan Tazkir Qabailil Qadhi fi Tarjamatil Bukhari.

Hadis-hadis yang dibicarakan di dalam kitab ini sebahagian besarnya adalah sama dengan yang terkandung dalam Mukhthasar Ibnu Abi Jamrah.

Terjemahan kitab ini[1] juga terdapat dalam bahasa Melayu yang diusahakan oleh Mustafa Abdur Rahman Mahmud, 1369 H/1950 M yang diberi kata pengantar oleh Sheikh Abdullah Fahim.Walau bagaimanapun, susunan dan model terjemahan kedua-dua kitab tersebut adalah tidak sama. Terjemahan Mustafa Abdur Rahman Mahmud lebih banyak merujuk kepada Hasyiyah ‘ala Mukhtashar Ibnu Abi Jamrah lil Bukhari oleh al-Alim al-Allamah Sheikh Syinwani yang pernah dinobatkan sebagai Syeikhul Islam Universiti Al-Azhar ”.

Catatan di atas, merupakan petikan yang diubahsuai dari artikel yang bertajuk:  Penulisan hadis tokoh ulama nusantara’ karya al-Marhum Ust Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, yang asalnya disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 9 Mac 2009[2].

Semoga bermanfaat.


[1] Iaitu terjemahan Kitab Mukhtashar Ibn Abi Jamrah.
[2] Namun rujukan saya hanyalah merujukkan kepada artikel yang disiarkan kembali di pautan http://blogtraditionalislam.wordpress.com/2009/03/11/penulisan-hadis-tokoh-ulama-nusantara/#comments
 

No comments:

Post a Comment