Buku “ Thabaqatus
Syafi’iyah - Ulama Syafi’i dan
Kitab-kitabnya Dari Abad ke Abad
” merupakan sebuah buku yang menghimpunkan biografi ulama dan tokoh mazhab
al-Syafi’i yang telah menyumbangkan jasa yang besar kepada perkembangan mazhab
al-Syafi’i dan mazhab Ahlus Sunnah wal Jama’ah umumnya. Buku ini telah
diterbitkan oleh Pustaka Tarbiyah, Indonesia.
Buku ini adalah
sebuah karya al-‘Allamah KH. Sirajuddin ‘Abbas (1905-1980M), seorang tokoh mazhab Syafi’i yang
terkenal di Indonesia dan nusantara amnya. Beliau seorang ulama yang produktif
melahirkan karya-karya bermutu dalam bidang fiqh mazhab Syafi’i dan bidang
aqidah Ahli Sunnah beraliran mazhab al-Asya‘irah. Karya-karya beliau sering
menjadikan rujukan masyarakat Islam di Nusantara. Selain buku ini, karya beliau
yang lain - yang juga menyentuh mengenai mazhab Syafi’i ialah buku yang judul Sejarah & Keagungan Madzhab
Syafi’i. Buku
ini juga diterbitkan oleh Pustaka Tarbiyah, Indonesia. (Insya Allah saya akan buat catatan ringkas mengenai buku ini pada posting yang lain).
Sedikit catatan mengenai buku Thabaqatus Syafi’iyah..
Buku ini
merupakan sebuah buku yang menghimpunkan biografi ulama mazhab Syafi’i yang
paling lengkap dalam bahasa Indonesia/Melayu setakat ini. Namun begitu, kenyataan
ini tidak menafikan kemungkinan adanya karya lain yang telah disusun oleh ulama
lainnya. Dalam buku ini,
penyusun telah menerangkan biografi para ulama yang menjadi pendokong dan
penganut mazhab Syafi’i dalam bidang fiqh serta sumbangan karya mereka dalam
berbagai bidang seperti aqidah, tafsir, fiqh, hadis, sejarah dan sebagainya. Sebagaimana
judulnya, para ulama Syafi’i yang disebutkan dalam buku ini merangkumi
sebahagian besar ulama yang muncul sejak abad kedua Hijrah hingga abad ke 14
Hijrah, di seluruh dunia Islam termasuk di Indonesia.
Buku ini sangat penting
kepada masyarakat Islam dan pelajar-pelajar di pusat pengajian tinggi serta
pondok-pondok pesantren yang terdapat di Nusantara (baca: Asia Tenggara)
secara umumnya. Dengan membaca buku ini, pembaca akan mengetahui dan menghayati
keikhlasan dan kesungguhan para ulama terdahulu dalam perkembangan dakwah
Islamiyyah.
Sebenarnya saya belum memiliki buku ini, maklumat yang
dicatatkan hanya berdasar maklumat dari internet sahaja. Buku ini, masih ada di
pasaran di kedai-kedai buku di Indonesia dan boleh dibeli di kedai-kedai online
(dari pengamatan saya semuanya dari Indonesia). Kemungkinan buku ini ada dijual
di kedai-kedai buku di Malaysia. Hanya setakat ini, saya belum lagi menemuinya
di kedai-kedai buku yang pernah saya kunjungi.
Semoga
bermanfaat.
No comments:
Post a Comment