Wednesday, September 4, 2013

Sullam al-Tawfiq ila Mahabattillah ‘ala al-Tahqiq


Kitab Sullam al-Tawfiq ila Mahabattillah ‘ala al-Tahqiq (سلم التوفيق إلى محبة الله على التحقيق), adalah sebuah karya al-Syeikh 'Abd Allah bin al-Husain bin Hakim bin Muhammad bin Hasyim Ba'alawi al-Hadhrami al-Tarimi (1191-1272 / 1778-1855). Ia sebuah kitab yang sangat penting, di mana isi kandungan berkaitan dengan beberapa kewajiban bagi setiap muslim.

Kandungan kitab Sullam al-Taufiq merangkumi tiga perkara asas agama iaitu bidang tasawuf, fiqh dan aqidah, yang disusun secara ringkas dan padat, tanpa mengemukakan dalil dan tidak diberikan definisi secara panjang lebar. Ia dibahagikan kepada beberapa bab dan setiap bab pula dipecahkan kepada beberapa fasal.

Perbahasan kitab Sullam al-Tawfiq ini dimulai dengan perbahasan mengenai akidah. Di antaranya pembahasannya mengenai dua kalimah syahadah, keimanan kepada Allah, para Nabi, perkara sam’iyyat (perkara ghaib) dan perkara yang membatalkan keimanan dan hukum murtad.

Setelah membicara dimensi akidah, penulis selanjutnya menjelaskan tentang hukum Islam (fiqh) secara singkat, baik aspek ibadat seperti, tatacara wuduk, shalat, zakat, puasa, haji serta sedikit pembahasan tentang mu’amalah yang meliputi tatacara jual beli dan larangan riba. Perbahasan bahagian ini diakhiri dengan penerangan mengenai kewajipan memberi nafkah yang dijelaskan secara ringkas. Dalam menjelaskan tema-tema fiqh penulis hanya membahas tema asas sahaja. Sebagai contohnya mengenai solat diterangkan mengenai syarat, rukun serta perkara yang membatalkan tanpa membahaskan lebih lanjut tentang perkara sunat dan makruh.

Begitu juga dalam kajian tasawuf, diterangkan secara ringkas berkenaan dengan beberapa perkara maksiat (dosa), sama ada maksiat yang berhubungan dengan hati ataupun anggota tubuh yang lainnya seperti perut, mata, lisan (lidah), telinga, tangan, kemaluan, kaki dan badan. Perbahasan bahagian tasawuf ini diakhiri dengan anjuran segera bertaubat dengan memenuhi syarat-syaratnya.

Kitab Sullam al-Tawfiq telah mendapat perhatian para ulama mazhab Syafi’i. Beberapa kitab telah disusun sebagai huraian (syarah) kitab Sullam al-Tawfiq, antaranya;

a) Kitab Mirqat Su’ud al-Tashdiq fi syarh Sullam al-Taufiq ila Mahabattillah ‘ala al-Tahqiq (مرقاة صعود التصديق في شرح سلم التوفيق إلى محبة الله على التحقيق), sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Abu ‘Abdul Mu’thiy, Muhammad Nawawi bin 'Umar bin Ali al-Jawi al-Bantani al-Tanariy (1316H/1898M), seorang ulama keturunan Melayu yang terkenal di Makkah pada zamannya.

b) Kitab Is’ad al-Rafiq wa Bughyah al-Shiddiq, karya Muhammad bin Salim bin Sa’id Ba Bashil al-Syafi’i.

c)  Kitab Sullam al-Tawfiq yang ditahkik dan diberikan hasyiah di bahagian nota kaki oleh Sibt al-Jilani. 

Di samping kitab-kitab huraian (syarah)nya, terdapat juga ulama yang menyusun kembali kitab Sullam al-Taufiq dalam bentuk prosa (nazam). Di mana  KH. Abdul Hamid Pasuruan telah menggubahkannya dalam bentuk prosa sebanyak 500 bait melalui karyanya yang judul Mandzumah Sullamut Tawfiq.

Selain itu, terdapat juga karya yang merupakan ringkasan (ikhtishar) bagi kitab Sullam  al-Tawfiq, iaitu kitab Mukhtashar al-Kafil bi Ilmi al-Din al-Dharuri yang disusun oleh Syaikh Abdullah al-Harari.

Kitab Sullam al-Tawfiq dalam file pdf boleh dimuat turun di pautan

Semoga bermanfaat. 

No comments:

Post a Comment