Tuesday, August 27, 2013

al-Mustadrak ‘ala al-Shahihain


Kitab al-Mustadrak ‘ala al-Shahihain (المستدراك على الصحيحين) merupakan sebuah kitab dalam bidang hadis karya  al-Imam, al-Hafiz, al-Allamah, al-Hakim Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah bin Muhammad al-Dhabiyyi, al-Naisaburi. Beliau juga terkenal dengan gelaran singkat Ibn al-Bayyi’ atau al-Hakim al-Naisaburi. Beliau dilahirkan di Naisabur, Iran pada tahun 321H dan mempelajari hadis sejak kecil daripada bapa dan juga bapa saudaranya. Kemudiannya beliau turut mengembara dalam mempelajari hadis di serata pelusuk wilayah Islam seperti Iraq, Mada`in, Khurasan, Hijaz dan banyak lagi. Beliau mendengar hadis daripada sejumlah besar ulama hadis yang mencapai angka 2000 orang syeikh.
 
Beliau meriwayatkan hadis daripada bapanya, Abu al-‘Abbas al-Asham, Muhammad bin Salih bin Hani`, Abu Abdillah al-Akhram, Abu Ali al-Naisaburi dan selain mereka. Hadisnya pula diriwayatkan pula oleh beberapa tokoh hadis yang hebat seperti al-Daruquthni, al-Baihaqi, Abu Zar al-Harawi, Ibn Hibban dan ramai lagi.  Beliau berpegang kepada mazhab Fiqh al-Syafi’i daripada gurunya Abu Sahl al-Sa’luki dan Abu Ali bin Abu Hurairah. Beliau juga merupakan salah seorang pakar Qiraat yang mempelajarinya daripada Muhammad bin Abu Mansur al-Saram dan Abu al-Naqar al-Kufi.
 
Beliau menjawat jawatan Qadi (hakim) di Naisabur dan diminta untuk memegang jawatan yang sama di Jurjan tetapi beliau menolaknya. Beliau merupakan salah seorang ahli perunding atau duta diplomasi di antara kerajaan Bani Buwaih dan Daulah Samaniyah.
 
Hasil karyanya menurut Ibn ‘Asakir mencapai angka 2,500 buah jilid dalam pelbagai tajuk. Beliau merupakan salah seorang yang menjadi petanda kehebatan Allah Taala di muka bumi ini dengan karang yang luar biasa banyaknya. Dalam hal ini beliau menceritakan: “Aku telah minum air zamzam dan berdoa semoga Allah menganugerahkan kepadaku kepandaian mengarang dengan begitu baik.” Di antara kitab karangannya yang masyhur ialah:
 
  • Tarikh Naisabur
  • al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain
  • al-Madkhal ila Makrifat al-Shahih
  • Fadhail al-Syafi’i
  • al-Iklil
  • Tasmiyah man Ukrija Lahum al-Bukhari wa Muslim
  • Makrifah ‘Ulum al-Hadits
Beliau meninggal dunia pada tahun 405H selepas keluar daripada tempat permandian dalam usia yang begitu lanjut.
 
Pengenalan ringkas Kitab al-Mustadrak
 
Tujuan al-Hakim menyusun kitab al-Mustadrak adalah untuk menghimpun hadis-hadis sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim, atau salah seorang daripada mereka, yang tidak ditulis dalam kitab sahih masing-masing. al-Hakim telah menghimpun sebanyak 8,803 hadis di dalamnya dan mensahihkannya mengikut beberapa tahap:
  1. Hadis yang sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim.
  2. Hadis yang sahih mengikut syarat salah seorang daripada mereka sama ada syarat al-Bukhari atau mengikut syarat Muslim.
  3. Hadis yang sahih tanpa disandarkan kepada al-Bukhari atau Muslim iaitu hadis sahih mengikut syarat al-Hakim sendiri.
  4. Hadis yang tidak diberi apa-apa darjat. Kemungkinan al-Hakim bermaksud untuk menilainya setelah siap menyusun kitab al-Mustadrak tetapi dia tidak sempat untuk menunaikan maksudnya.
Kajian yang dilakukan semula oleh tokoh-tokoh hadis selepas al-Hakim mendapati wujud beberapa percanggahan dalam teknik pensahihan al-Hakim. Mereka dapati hanya sebahagian hadis yang darjatnya menepati pensahihan al-Hakim manakala selainnya tidak.
 
Ada hadis yang dihukum sahih oleh al-Hakim berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim akan tetapi semakan semula mendapati ia tidak menepati syarat al-Bukhari dan Muslim. Demikian juga bagi hadis yang beliau sahihkan berdasarkan syarat salah seorang daripada mereka, atau berdasarkan syarat al-Hakim sendiri. Bahkan adakalanya di sebalik pensahihan tersebut, semakan semula mendapati hadis tersebut sebenarnya memiliki darjat dha‘if, sangat dha‘if sehinggalah ke darjat palsu (maudhuk).
 
Para ahli hadis ini yang mengetahui percanggahan ini telah terbahagi kepada 3 bahagian:
 
Pertama: Mereka yang mendakwa beliau adalah seorang ahli hadis tetapi pada masa yang sama juga adalah seorang Syi‘ah al-Rafidhah yang jahat. Oleh itu disahihkan hadis-hadis yang tidak sahih bertujuan mencemari asas-asas Ahl al-Sunnah dan pada waktu yang sama membenarkan Mazhab Syi‘ah.
 
Hal ini dijelaskan oleh al-Zahabi: “Beliau merupakan seorang yang dipercayai tetapi beliau mensahihkan di dalam kitab Mustadraknya itu beberapa hadis yang digugurkan dan begitu banyak boleh dijumpai di dalamnya. Aku tidak mengetahui apa yang dia sembunyikan daripada hal itu atau sememangnya dia tidak mengetahui perkara tersebut (dari kejahilannya sendiri). Sekiranya dia mengetahui kesalahan yang dia lakukan itu dan disengajakan, maka itu merupakan perbuatan khianat dan dia adalah seorang Syiah yang sememangnya masyhur dengan perlakuan sedemikian dalam mengambil hadis yang bercanggah dengan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.” [Kitab Mizan I'tidal]
 
Perkataan yang agak ‘keras’ dilafazkan oleh Abu Ismail Abdullah al-Ansari apabila ditanya tentang al-Hakim: “Beliau ialah seorang imam dalam hadis dan juga Rafidhah yang najis.”
 
 
Berkata pula Ibn Thahir al-Maqdisi: “Beliau adalah seorang yang begitu fanatik dalam jiwanya terhadap Syiah. Beliau menampakkan dirinya sunnah dengan mendahulukan para khulafa yang awal, tetapi mula bersikap menyeleweng tentang Mu’awiyah dan ahli keluarganya secara terang dan langsung tidak memohon maaf atas kesalahannya”.
 
al-Zahabi berkata: “Aku mengambil jalan sederhana dengan menyatakan bahawa beliau bukanlah Rafidhah (pelampau Syiah) tetapi hanya sekadar seorang Syiah.” [Kitab Mizan I'tidal]
 
 
Pendapat ini dianggap lemah malah ditolak oleh Ahl al-Sunnah. Ini kerana Mazhab Ahl al-Sunnah tidak menghukum seseorang melainkan pada amal zahirnya. Amalan zahir al-Hakim tidak menunjuk atau mengisyaratkan apa-apa tanda bahawa beliau bermazhab Syiah al-Rafidhah.
 
Perkara paling utama yang boleh dikatakan tentang al-Hakim ialah beliau hanya mengutamakan kecintaan kepada para Ahl al-Bait dan ini dikenali sebagai al-Tasyaiyu’ atau al-Mufadhdhilah.
 
 
Kedua: Bagi usaha mengumpulkan 8,803 buah hadis yang sahih menurutnya. al-Hakim telah mengambil jangka masa yang begitu lama sehingga ke penghujung hayatnya. Dalam jangka masa yang lama ini, sebagaimana kebiasaannya bagi orang yang berusia lanjut mereka tidak begitu mantap dalam menghukum darjat sesebuah hadis, bahkan sering tersilap.  Kecerdasan fikiran yang semakin lemah dan berkemungkinan nyanyuk telah menyebabkan al-Hakim banyak membuat kesilapan di dalam periwayatan hadis dalam al-Mustadrak sehingga ke tahap mensahihkan hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang pernah ditolaknya sendiri dalam kitab yang lain.
Oleh kerana kesilapan yang begitu menjejaskan ini dalam lapangan ilmu hadis, sebahagian ahli hadis menganggap lemah pensahihan hadis al-Hakim sehingga tidak boleh berhujah dengannya melainkan disemak semula.
 
Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) menerangkan: (al-Hakim adalah) seorang imam yang sangat benar dan juga seorang yang sangat bahaya, paling utama yang disebutkan tentangnya adalah dia digolongkan di kalangan orang-orang yang dha‘if. Tetapi telah diperkatakan oleh sebahagian ulama tentang keuzurannya kerana dia menulis kitab al-Mustadrak ketika di penghujung umurnya. Malahan sebahagian yang lain menyebutkan bahawa beliau telah mulai tidak kuat mengingat dan nyanyuk pada usia tersebut.
 
Ketiga: al-Hakim dalam periwayatan hadis agak bermudah-mudahan (tasahul) di dalam mensahihkan sesuatu hadis. Ini sebagaimana terang Ibn al-Shalah rahimahullah (643H): ”Dan dia (al-Hakim) meluaskan syarat penetapan hadis sahih dan mengambil sikap bermudah-mudahan dalam menghukum dengannya.”
 
Ibn Dihyah di dalam kitabnya al-‘Ilm berkata: “Menjadi kewajipan kepada ulama hadis untuk berwaspada pada setiap perkataan al-Hakim Abu Abdullah kerana dia banyak berbuat silap, menzahirkan hadis-hadis yang tertolak.”
 
 
Berkata Abu Sa’id al-Malini: “Aku telah melihat kitab al-Mustadrak yang dikarang oleh al-Hakim daripada mula hingga akhir dan aku tidak jumpa sebuah hadis yang terdapat syarat kedua imam tersebut (al-Bukhari dan Muslim).”
 
Berkata al-Zahabi dalam mengomentari pendapat tersebut: “Ini merupakan pendapat yang melampau oleh al-Malini, sedangkan masih terdapat sejumlah hadis yang menepati syarat kedua imam tersebut dan sejumlah besar lagi mengikut syarat salah seorang dari keduanya. Moga kedua syarat tersebut memenuhi setengah kitabnya, seperempat di kalangan hadis yang sah dari aspek sanadnya sekalipun terdapat sedikit kecacatan, dan seperempat lagi yang mengandungi hadis munkar dan lemah yang tidak sah diamalkan serta selebihnya adalah hadis palsu.” [Tazkirah al-Huffaz] 
 
 

No comments:

Post a Comment